BEG yang diletakkan di bawah katil sejak sampai di rumah itu
diselongkar semula, mencari baju. Jean lusuh, baju T hitam lengan pendek,
dipadankan pula dengan kemeja merah kotak-kotak longgar yang tidak dibutangkan.
Rambut panjangnya disanggul tinggi dan ditutup dengan topi. Harap-harap Liyana
tak nampak rambutnya yang sudah diwarnakan merah gelap. Memang cari nahas kalau
dia nampak.
Converse
yang sudah dua minggu lebih tidak dipakai kembali tersarung pada kakinya. Beg
kecilnya dicapai lalu digalas silang. The old Syarizad is back! Dia
tersenyum memandang diri sendiri dalam cermin. Yakin semuanya okey, barulah dia
keluar dari rumah. Liyana sendiri yang janji akan datang menjemputnya di rumah.
Lalu Syarizad memutuskan untuk menunggu di tepi jalan saja.
Sepuluh
minit menunggu, Liyana akhirnya tiba dengan Suzuki Swiftnya.
“Hai,
Ijad!” Liyana melambai mesra sesudah turun dari kereta. Syarizad dihampiri lalu
terus memeluk tubuh sepupunya itu.
Syarizad
hanya membalas ala kadar. Memang tak gembira pun jumpa Liyana. Jauh bezanya
dengan riak wajah Liyana ketika itu.
“Lama
ke tunggu?” tanya Liyana.
“Tak
adalah,” balas Syarizad sekadar berbasa-basi.
“Jomlah
kita pergi. Kan lama pulak boyfriend aku tunggu,” ajak Liyana.
Syarizad
senyum paksa. Tahulah ada boyfriend, tapi perlu ke canang macam tu?
Dengan separuh hati, Syarizad masuk juga ke dalam kereta.
Walaupun
Syarizad sudah tinggal di rumah Liyana sejak kedua-dua orang tuanya meninggal
dunia, tapi hubungan mereka tak adalah rapat sangat. Maksudnya, tak rapat dari
sudut pandangan Syarizad. Sedangkan bagi Liyana, Syarizad itu adik perempuannya
yang sangat dia sayang.
Kenapa
Syarizad tak sukakan Liyana?
Pertama,
sebab Liyana sempurna segala segi. Cantik, bijak, ada pelajaran tinggi, ada
kerjaya, gaji pun boleh tahan lumayan dan sudah ada rumah serta kereta sendiri
di usia yang masih muda.
Kedua,
sebab Liyana selalu menunjuk-nunjuk apa yang dia ada. Contohnya, dia suka
mencanangkan kepada Syarizad yang dia ada kekasih yang kacak dan kaya, yang
sangat sayang dan cinta kepadanya.
Ketiga,
sebab Liyana selalu dapat lebih daripadanya. Sejak kecil, dia tidak pernah
menang dengan Liyana. Atau dalam erti kata lain, dia tidak akan pernah dapat menyamai
Liyana. Atau dalam erti kata lainnya juga, Syarizad sebenarnya dengkikan
Liyana.
“Kau
ni dah duduk KL pun, masih jugak dengan style lama kau tu. Tak
nak ubah ke?” Dan ini, sebab keempat kenapa Syarizad tak sukakan Liyana.
Syarizad
senyum pahit.
“Dah
memang macam ni cara aku, nak ubah apanya?”
Liyana
ketawa kecil.
“Tak
adalah, aku tanya aje. Manalah tahu kalau kau nak pergi shopping ke
nanti, kau boleh contact aku. Bila-bila aku free, aku bawak
kau pergi shopping. Okey?” Wajah Syarizad dipandang sekilas sebelum
Liyana kembali fokus memandu.
Syarizad
julingkan mata ke atas. Tak apa Yana, aku dah ada Marlyn, and she’s better
than you! Gerutu hatinya geram.
SYARIZAD
melilaukan mata ke sekitar restoran itu. Mewah. Liyana yang ajak, biarlah
dia yang bayar nanti. Atau kalau tak pun, biar kekasih dia yang bayar. Kan
Liyana pandang dia ni macam tak berduit sangat!
“Hai,
sayang. Sorry lambat...”
Suara
itu mengalih perhatian Syarizad. Dia angkat kepala memandang seorang lelaki
yang tiba-tiba muncul dan menegur Liyana dengan mesra.
“Tak
apa, I pun baru sampai. Duduklah,” kata Liyana dengan suara manja.
Syarizad
tahan rasa meluat dalam hati.
“Oh
ya, kenalkan... ni cousin I, Ijad.” Liyana memperkenalkan kedua-duanya.
Herdy
berpaling ke arah gadis yang duduk diam di depan Liyana. Dahinya berkerut.
“Oh,
I ingatkan Ijad tu... lelaki. Rupa-rupanya perempuan.” Dia ketawa kecil.
Syarizad
kerutkan dahinya sedikit. Dia bergurau ke?
“Hesy,
you ni... ada pulak lelaki? Mestilah perempuan,” tingkah Liyana. Bibir
masih lagi tersenyum. Langsung tidak perasan reaksi tidak senang Syarizad.
“You
tak cakap pun perempuan,” balas Herdy pula. Kemudian dia kembali memandang
Syarizad yang sudah tunduk memandang meja. “Hai, Ijad. Herdy.” Tangannya
dihulurkan untuk bersalam.
Syarizad
angkat muka. Salam yang dihulur disambut.
“Syarizad.
Ijad.”
Herdy
mengangguk-angguk.
“You
dah order?”
“Dah,”
jawab Liyana. “I dah order untuk you sekali. Okey tak?”
“You
order apa?”
Syarizad
semakin menundukkan muka. Kalau setakat ajak keluar sebab nak suruh dia jadi
tiang lampu kat sini, baik tak payah. Sakit pula hati tengok adegan depan mata.
Lucky you, Liyana. Dapat kekasih yang hampir sempurna macam ni.
Tiba-tiba, tumbuh satu rasa yang tidak enak di sudut hati Syarizad. Rasa yang
dipanggil... dengki dan benci.
Syarizad
perhatikan tingkah mesra kedua-duanya dengan ekor mata. Makin diperhatikan,
makin sakit hati. Namun di sebalik itu, tidak semena-mena saja tumbuh tekad
dalam hati. Kalau dia cuba goda Herdy, apa akan jadi?
Tidak
sempat otak berfikiran jauh apabila tiba-tiba melintas seseorang di depan meja
yang sedang didudukinya. Bukan seorang, tapi dua orang. Dan di antara dua orang
itu, salah seorangnya memang Syarizad kenal. Ben!
Kalut
Syarizad membetulkan topinya. Hujung depan topinya ditarik supaya menutup muka.
Dia buat apa pula kat sini? Waktu-waktu macam inilah nak datang. Hesy!
Janganlah dia pandang sini. Please, jangan pandang. Jangan pandang...
“Ijad,
kenapa tak makan?” Liyana menegur. Pelik melihat tingkah Syarizad.
Syarizad
memandang Liyana. Tidak sedar bila masa makanan yang dipesan sudah pun sampai.
“Err...
nak makanlah ni.”
“Ijad
ni kalau you nak tahu, kasar orangnya.” Liyana membuka cerita.
Syarizad
tersentak. Apa ke halnya cerita pasal aku pula ni? Cerita benda yang tak elok
pula tu. Makin membengkak hati Syarizad dibuatnya.
Herdy
tertawa kecil. “Ya ke?”
Liyana
mengangguk-angguk.
“But
she’s a nice girl. I pun dah anggap dia macam adik kandung I sendiri,”
ujarnya lagi.
Syarizad
hembus nafas. Nasib baik... Sekurang-kurangnya dia tahu Liyana tidak berniat
untuk memalukannya di depan Herdy.
“I
tahu, buah hati I memang baik hati. Semua orang pun you sayang, kan?” Herdy
bukan main lagi memuji.
“Tapi
I sayang you lebih.” Liyana tersenyum manja.
My God... Lagi
lama aku kat sini, lagi bernanah telinga ni. Tak apa, nanti kita tengok siapa
yang lagi sayang siapa. Syarizad mula memasang tekad dalam hati.
“Nak
pergi tandas kejap.” Syarizad segera bangun. Dek kerana mata tak pandang dengan
betul, dia terlanggar tubuh seseorang. “Ops! Sorry, sorry...”
“It’s
okay. Tak apa, tak apa.”
Suara
Ben! Syarizad yang memang sedang pandang ke bawah, semakin menundukkan
pandangan. Sebelum Ben cam dirinya dan sebelum keadaan jadi lebih teruk, dia
terus berjalan laju untuk ke tandas.
Fuhhhh! Hampir kantoi.
KALAU ikutkan hati, memang Syarizad hendak balik saja terus. Tapi mengenangkan
dia datang dengan Liyana dan dia pun tidak tahu macam mana nak cari jalan balik
atau paling tidak pun cari teksi, terpaksalah dia mengikut saja pasangan sejoli
itu. Walaupun sakit mata, dia tetap sabarkan hati.
“Kita
tengok cerita ni eh? Kawan-kawan kat ofis I semua cakap best,” kata
Liyana sambil jarinya menuding ke arah poster yang tertampal dekat dengan
panggung wayang.
Herdy
mengangguk-angguk.
“Okey.
I pergi beli tiket.”
“I
pergi toilet kejap ya.” Liyana berpaling ke arah Syarizad yang hanya
diam memerhati. “Jom, ikut aku pergi toilet.”
Syarizad
mengikut saja. Tiba-tiba dia rasa diri macam seorang PA kepada Liyana.
“Apa
kau rasa?” tanya Liyana tiba-tiba.
“Rasa?
Pasal apa?” Syarizad pelik. Kalau nak tanya apa dia rasa sekarang, dia rasa
meluat, sakit hati, bosan dan nak balik!
“Pasal
Herdy.” Liyana tersenyum-senyum penuh makna. Sepasang matanya jelas menunjukkan
betapa dia bahagia ada Herdy dalam hidupnya.
“Ohh...”
Panjang ‘oh’ Syarizad. Bibirnya dipaksa untuk senyum.
“Dia
okey.”
Jelas
muka Liyana nampak gembira.
“Dia
cakap... tak lama lagi nak hantar rombongan merisik,” beritahunya.
“Oh...
baguslah macam tu.” Acuh tak acuh Syarizad membalas. Ada aku kisah?
“Tolong
pegang kejap.” Liyana menghulurkan begnya kepada Syarizad sebelum masuk ke
dalam tandas.
Syarizad
tercegat di depan tandas sambil berpeluk tubuh. Tiba-tiba, satu idea melintas
dalam kepala. Beg tangan Liyana diselongkar mencari telefon pintar. Ibu jarinya
laju memainkan peranan. Satu per satu nama dalam senarai nama pemanggil dibaca
hingga akhirnya berhenti pada nama Herdy Love.
Spontan
bibirnya tercebik. Telefonnya dikeluarkan dari poket seluar lalu menyalin
nombor telefon lelaki itu. Selesai urusannya, telefon Liyana dimasukkan semula
ke dalam beg tangan.
Lepas
ni kita tengok apa akan jadi. Tekadnya bersama senyuman penuh misteri.
Sepanjang
menonton wayang, Syarizad hanya diam di tempatnya. Tengok cerita romantik macam
ni, memang tak kena langsung dengan cita rasanya. Tapi tak apalah, memandangkan
dia pun sedang berusaha menjadi Syarizad yang baharu, jadi tahankan sajalah.
Manalah tahu kalau-kalau nanti Ben ajak tengok wayang, bolehlah dia pilih filem
romantik juga. Praktis orang kata. Sempat lagi fikirannya terbayangkan Ben ketika
itu.
“I...
kalau boleh memang nak spend time lama lagi dengan you. Tapi I dah janji
dengan Aris dan kawan-kawan lain petang ni. So... sorry okey.” Lembut
suara Herdy memujuk.
Syarizad
hanya memerhati drama sebabak antara pasangan itu sambil berpeluk tubuh. Buat
pemerhatian. Manalah tahu boleh cuba guna cara yang sama untuk pikat Ben. Dia
tersengih sendiri tanpa sedar. Ben lagi!
“Tak
apa, I faham. Lagipun esok-esok kita boleh keluar lagi, kan?” balas Liyana.
“Definitely.
You balik ni drive elok-elok okey. Dah sampai nanti, beritahu.” Herdy
berpesan sambil tangannya bermain dengan rambut yang berjuntaian di dahi
Liyana.
Liyana
tersenyum manja.
“Okey.”
Lambaiannya menghantar langkah kaki Herdy.
“Dahlah
tu, lain kali boleh jumpa lagi.” Syarizad memujuk ala kadar. Bukannya ikhlas
pun. Sekadar nak buang rasa meluat sebelum dia betul-betul termuntah di situ.
Liyana
tertawa halus. Tak sangka pula Syarizad akan cakap macam tu, padahal tadi
senyap aje tak cakap apa-apa.
“Kau
ada nak pergi mana-mana lagi tak? Kalau nak, aku bawakan.”
“Eh,
taklah. Aku nak baliklah, ada kerja sikit.”
“Sure?”
Syarizad
angguk.
“Okey,
jom.”
Lalu
beriringan kedua-duanya menghampiri kereta.
“Lupa
nak tanya, kau duduk kat rumah tu dengan siapa?”
“Aku...”
Syarizad telan liur. “Aku duduk sorang. Bos aku memang dah sediakan rumah tu
untuk aku.” Penipuan ketiga. Syarizad bersandar dengan nafas yang dihela berat.
Liyana
mengangguk-angguk faham. Malas bertanya lagi walaupun jelas terukir satu tanda
tanya besar dalam kepalanya.
“AKHIRNYA...
kau jawab jugak call aku.” Terdengar Idlan menghembus
nafas panjang.
Syarizad
tersengih. Dia baring di katil sambil merenung siling.
“Kenapa?”
“Kau
tanya aku kenapa? Aku call kau banyak kali, satu pun kau tak jawab. Kau
tahu tak, aku risau.”
“Kau
risau aku sesat kat sini eh?”
“Tak,
aku risau kalau kau kena culik lepas tu kena jual.”
“Amboi
mulut. Sepak karang!”
Idlan
terus lepaskan tawanya. Rindu nak bergaduh dengan Syarizad. Nasib baiklah
Syarizad jawab panggilannya malam ini. Kalau tak juga, jangan terkejut kalau
esok tiba-tiba dia terpacak kat depan pintu rumah Syarizad.
“Ada
apa kau beria sangat call aku? Rindu aku eh?”
“Rindu.
Rindu gila. Rindu nak sekeh kepala kau.” Idlan ketawa lagi.
Syarizad
mencebik.
“Sorrylah,
bro. Aku sibuk sikitlah dua, tiga hari ni,” dalihnya. Sengaja beralasan.
Walhal sebenarnya dia malas nak menjawab apa-apa panggilan yang berkaitan
dengan keluarga atau sesiapa saja yang ada hubungan dengannya di kampung.
Tengoklah, mak ngah pun sudah tidak dihubungi lagi. Janji yang kononnya dia
akan selalu telefon sudah berkubur entah ke mana.
“Yalah,
aku tahu. Kau kan dah hebat sekarang ni...”
“Tak
adalah.” Syarizad ketawa kecil. Sorry Lan... tapi kalau aku nak misi aku
berjaya, aku kena putuskan hubungan dengan ramai orang. Hanya dengan cara tu
aku takkan rasa bersalah lagi.
“Nanti
kalau kau dapat cuti, kau baliklah.”
“Aku
baru aje kerja, nak cuti apanya?”
“Yalah.
Aku cakap kalau. Kau faham tak maksud kalau? K-A-L-A-U. Kalau!”
Syarizad
ketawa. Bersembang dengan Idlan memang selalu buat dia ketawa. Entah
macam-macam topik lagi yang dibuka Idlan sampai dia tidak sedar jam sudah
melewati pukul 12.00 malam.
“Esok
aku kerja, Lan. Nak tidur dululah,” ujar Syarizad tanda ingin memutuskan
talian.
“Okey.
Good night,” ucap Idlan.
“Aku
rasa geli dengar kau ucap good night kat aku.” Syarizad ketawa.
“Kenapa
pulak?”
“Yalah,
kau kan anggap aku ni lelaki. Tak pelik ke lelaki ucap good night kat
kawan lelaki dia? Macam gay tau?”
Giliran
Idlan pula yang meledakkan tawa. Syarizad tergeleng-geleng dengan senyuman di
bibir.
“Okeylah.
Kau pergilah tidur. Bye.”
“Bye.”
Syarizad
letakkan telefon di atas meja di tepi katil. Nafas panjang dilepaskan. Entah
kenapa hati tiba-tiba rasa sayu.
“Lan...
kalau lepas ni aku tak contact kau, kau jangan marah ya?”
Sebak yang hadir pantas ditepis. Kepala
diletakkan di atas bantal sambil memejamkan mata
No comments:
Post a Comment