Kereta
mewah Camry berhenti di pintu pagar perkarangan sekolah rendah (T) Cheras,
Kuala Lumpur. Pak Daud selaku pemandu tergesa-gesa turun dan membuka pintu.
Risau hatinya jika ditengking oleh anak
majikannya yang berperangai seperti ibu singa itu. Dua orang si kecil yang
bertocang dua segera melangkah keluar. Seorang daripadanya menjeling tajam
kepada Pak Daud sedang yang agak rendah dan kurus tersenyum mesra.
Pak
Daud hanya mengangguk, tanda menghormati kedua-duanya sebelum kembali ke tempat
duduk pemandu.
Seketika
kedengaran suara-suara kecil itu
bergema.
“Hish..
jangan jalan dekat-dekat ngan aku tau. Geli. Muka kau tu buruk, macam
hantu...”. Ejek anak gadis yang bertocang dua itu kepada si adik. Wajahnya
mencemik marah. Dari dulu lagi, dia bencikan adiknya yang berwajah buruk itu.
“Maaf,
kak”. Suara sayu itu kedengaran.
“Yerk...aku
bukan kakak kau la..aku tak ada adik muka macam hantu....kau jangan cakap
dengan siapa-siapa yang kau kenal aku. Aku cuma anggap kau pembantu kat rumah
tau”. Anak itu terus mengejek sebelum terkedek-kedek berlari masuk ke kelasnya.
Dan
seperti hari-hari yang sebelumnya, si kecil itu ditinggalkan sendirian. Namun,
dia masih tegar meneruskan langkah kakinya. Perlahan aturannya tetapi penuh
dengan hati-hati. Hidupnya penuh ketakutan. Ejekan dan sindiran sinis sudah
lali di telinga. Dia sudah tidak kisah lagi biarpun dia bagaikan tidak diberi
peluang untuk menikmati zaman kanak-kanak yang penuh dengan gelak tawa. Itu
adalah takdir buat dia.
Sampai
sahaja di hadapan kelas, dia mengetuk pintu. Gamat suasana sekeliling dengan
ejekan....
“Cikgu
…hantuuuuuu!!!”. Suara di belakang kedengaran
“Errr..takut..momok”.
“Muka
hodoh dah datang..”
“Eeee....jijiknya..balik..balik”.
Suara-suara sinis itu bergema di telinga yang kemudiannya tergelak besar, masih
dengan niat yang sama, mengejek.
Pipi
mulus kemerahan yang comel itu kian merah. Marah atau malu, tiada siapa yang
dapat meneka kerana keseluruhan wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas.
Hanya bibir dan bahagian kanan pipinya yang masih kekal cantik. Mata si kecil
itu bergenang namun tiada air mata yang
menitis.
Cikgu
Salmi hanya memandang belas. Simpatinya tumpah. Namun bibir mengukir senyum
tatkala melihat kaki anak muridnya itu masih gagah melangkah menuju ke tempat
duduknya. Bukan terpaku di pintu dan menangis teresak-esak seperti
kebiasaannya.
Mungkin
juga si kecil yang berambut kerinting ikal itu sudah mula menerima takdir yang
Allah tetapkan untuknya. Siapa tahukan?
sabarlah Ana...
ReplyDelete