Wednesday, 3 February 2016

SAAT KAU JAUH - BAB 4

BAB 4


Kereta mewah Camry berhenti di pintu pagar perkarangan sekolah rendah (T) Cheras, Kuala Lumpur. Pak Daud selaku pemandu tergesa-gesa turun dan membuka pintu. Risau  hatinya jika ditengking oleh anak majikannya yang berperangai seperti ibu singa itu. Dua orang si kecil yang bertocang dua segera melangkah keluar. Seorang daripadanya menjeling tajam kepada Pak Daud sedang yang agak rendah dan kurus  tersenyum mesra.
Pak Daud hanya mengangguk, tanda menghormati kedua-duanya sebelum kembali ke tempat duduk pemandu.
Seketika kedengaran suara-suara kecil itu  bergema.
“Hish.. jangan jalan dekat-dekat ngan aku tau. Geli. Muka kau tu buruk, macam hantu...”. Ejek anak gadis yang bertocang dua itu kepada si adik. Wajahnya mencemik marah. Dari dulu lagi, dia bencikan adiknya yang berwajah buruk itu.
“Maaf, kak”. Suara sayu itu kedengaran.
“Yerk...aku bukan kakak kau la..aku tak ada adik muka macam hantu....kau jangan cakap dengan siapa-siapa yang kau kenal aku. Aku cuma anggap kau pembantu kat rumah tau”. Anak itu terus mengejek sebelum terkedek-kedek berlari masuk ke kelasnya.
Dan seperti hari-hari yang sebelumnya, si kecil itu ditinggalkan sendirian. Namun, dia masih tegar meneruskan langkah kakinya. Perlahan aturannya tetapi penuh dengan hati-hati. Hidupnya penuh ketakutan. Ejekan dan sindiran sinis sudah lali di telinga. Dia sudah tidak kisah lagi biarpun dia bagaikan tidak diberi peluang untuk menikmati zaman kanak-kanak yang penuh dengan gelak tawa. Itu adalah takdir buat dia.
Sampai sahaja di hadapan kelas, dia mengetuk pintu. Gamat suasana sekeliling dengan ejekan....
“Cikgu …hantuuuuuu!!!”. Suara di belakang kedengaran
“Errr..takut..momok”.
“Muka hodoh dah datang..”
“Eeee....jijiknya..balik..balik”. Suara-suara sinis itu bergema di telinga yang kemudiannya tergelak besar, masih dengan niat yang sama, mengejek.
Pipi mulus kemerahan yang comel itu kian merah. Marah atau malu, tiada siapa yang dapat meneka kerana keseluruhan wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas. Hanya bibir dan bahagian kanan pipinya yang masih kekal cantik. Mata si kecil itu bergenang namun  tiada air mata yang menitis.
Cikgu Salmi hanya memandang belas. Simpatinya tumpah. Namun bibir mengukir senyum tatkala melihat kaki anak muridnya itu masih gagah melangkah menuju ke tempat duduknya. Bukan terpaku di pintu dan menangis teresak-esak seperti kebiasaannya.
Mungkin juga si kecil yang berambut kerinting ikal itu sudah mula menerima takdir yang Allah tetapkan untuknya. Siapa tahukan?

1 comment: