DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 2




“ADAM... kenapa kita tak pernah tengok pun papa awak? Awak tak ada papa ke?”
            Soalan daripada rakan di sebelah membuatkan Adam terdiam. Hanya matanya yang terkebil-kebil mencari jawapan yang dia sendiri tak tahu apa.
            “Semua orang ada papa! Adam aje tak ada papa.” Haykal bersuara sebelum ketawa mengejek lalu disambut oleh tawa rakan-rakan yang lain.
            “Adam ada papalah.” Adam mempertahankan diri sendiri. Wajahnya berubah muram.
            “Ya ke? Kenapa kita tak pernah tengok pun?” Qistina seakan-akan menduga.
            “Papa kita...” Adam terdiam di situ. Kepalanya menunduk.
            “Adam tak ada papa! Adam tak ada papa! Werkk!” Masing-masing mengejek, siap menyanyikan lagu lagi untuk Adam.
            Bibir Adam sudah tercebik. Selama ini dia hanya diam apabila rakan-rakan bertanyakan soal papa. Tapi hari ini, hati kecilnya seolah-olah tak mampu menerima lagi. Sudahnya, tangisannya pecah bergema memenuhi ruang hadapan Taska & Tadika Anakku Comel itu.
            “Kenapa ni?” Cikgu Hilda tiba-tiba keluar dari rumah. Berkerut mukanya melihat situasi di situ. “Kenapa ni? Kenapa Adam nangis?”
            “Adam manja!” Haykal masih terus mengejek.
            “Haykal!” Cikgu Hilda menegur dengan muka yang ditegangkan.
            “Kita cuma cakap Adam tak ada papa. Lepas tu Adam nangis.” Kamila menjawab bagi pihak rakan-rakannya.
            Cikgu Hilda menghembus nafas panjang. “Kenapa cakap macam tu? Cikgu tak ajar tau murid-murid cikgu cakap macam tu kat kawan-kawan. Nak ke kalau cikgu bagi tahu mama dengan papa kamu semua?”
            Laju masing-masing menggeleng dengan muka takut.
            “Haa... tahu pun. Dah, jangan kacau Adam lagi,” tegas Cikgu Hilda. Barulah anak-anak itu bergerak menjauhi Adam.
            Adam masih lagi teresak-esak kecil. Terasa kepalanya diusap lembut, dia mengangkat muka.
            “Adam janganlah nangis. Walaupun Adam tak ada papa, tapi kan Adam ada mama. Mama Adam kan mama yang terbaik. Mama selalu bawak Adam pergi jalan-jalan, belikan Adam aiskrim. Ingat tak apa Adam selalu cerita kat cikgu?” Cikgu Hilda memujuk lembut.
            Adam mengangguk-angguk.
            Cikgu Hilda tersenyum. “Dah, tak nak nangis-nangis lagi. Adam kan good boy?” Sekali lagi rambut Adam diusap sayang.
            Adam mengesat muka yang basah. Kemudian tubuh Cikgu Hilda dipeluk rapat. Cikgu Hilda tersenyum. Namun senyuman itu memudar apabila tangannya menyentuh lengan Adam. Panasnya!
            “Adam, Adam tak sihat ke? Kenapa badan Adam panas sangat ni?” tanya Cikgu Hilda kalut.
            “Adam... Adam pening...” adu Adam perlahan. Tadi dia masih boleh bertahan, tetapi sekarang rasa pening di kepala bagai semakin bertambah-tambah.
            “Ya Allah...” Cikgu Hilda mengeluh panjang. “Sini, ikut cikgu masuk dalam.” Lalu Adam dibawa masuk ke dalam rumah.


NAFAS dihembus panjang. Kalendar yang terletak di hujung meja dicapai. Tarikh hari ini 10 September. Baru Zenia teringat tentang tempahan hotel untuk program yang bakal dianjurkan oleh agensi pelancongan Encik Khairil itu yang masih belum dilaksanakannya. Tak apa, masih ada banyak masa lagi untuk menyelesaikan semua kerja.
            Zenia mencapai fail di atas mejanya pula. Baru sahaja helaian pertama diselak, kedengaran suara Kak Milah menegur.
            “Nia nak air? Akak nak pergi buat air ni.”
            “Boleh jugak, kak. Tapi tak nak manis sangat eh?” Arman yang duduk di depan meja Zenia pula yang menjawab bagi pihak wania itu. Apabila Kak Milah dan Zenia sama-sama berpaling ke arahnya, dia hanya tayang sengih.
            “Kalau kamu nak buat sendirilah,” balas Kak Milah selamba sambil menjeling. Sengaja mengusik sebenarnya. Memang dah jadi ‘tradisi’ di syarikat kecil itu, hubungan antara pekerja sangat rapat bagaikan satu keluarga. Setakat gurau senda macam tu dah tak jadi apa-apa masalah bagi mereka semua.
            “Alah akak ni... dengan kita selalu aje berkira. Dengan Nia tu, nak apa aje boleh!” Arman tarik muncung tak puas hati sambil duduk bersilang kaki.
            “Mestilah... Nia kan staf kesayangan bos kita. Akak pun sayang Nia tau?” balas Kak Milah lagi tak puas bercanda.
            Zenia tak dapat menahan tawanya lagi. “Tak apalah, Kak Milah. Akak buatkan untuk Arman aje. Nanti kalau Nia nak, Nia buat sendiri,” balasnya malas nak bertekak.
            “Hah! Saaaaayang Nia!” kata Arman lalu memberikan flying kiss dengan gaya mengada-ngada ke arah Zenia. Zenia membalas dengan muka yang dicemikkan.
            “Kak Milah! Saya pun nak jugak air.” Zatie yang duduk jauh dari meja Zenia tiba-tiba mencelah.
            “Tak payah, Kak Milah. Dia nak, biar dia buat sendiri.” Alief pula yang menjawab bagi pihak Kak Milah.
            “Eh, yang kau sibuk apahal? Aku ada mintak kau buatkan ke?” Zatie naik angin tak semena-mena. Dengan Alief, cepat aje rasa nak ‘berasap’.
            Zenia dan Kak Milah berpandangan. Masing-masing buat muka. Kalau dah Zatie dan Alief ‘berperang’, apa pun dah tak boleh. Perlahan-lahan Kak Milah berlalu masuk ke arah pantri.
            “Perangai macam hantu. Patutlah tak ada orang nak!” kutuk Zatie geram.
            Masing-masing menggelengkan kepala tengok dua orang yang tak pernah sebulu itu. Asyik perang mulut aje kerjanya.
            “Okeylah tak ada orang nak daripada kau tu kerja asyik nak bergaduh dengan boyfriend aje. Lebih baik single, jimat masa, duit dan tenaga.” Alief kenyit sebelah matanya, kemudian menyambung langkah yang terbantut tadi menuju ke arah mesin fotokopi.
            Pecah tawa mereka semua sementara Zatie sudah tarik muka. Macam mana entah Alief boleh tahu yang dia selalu gaduh dengan pakwe dia. Stalker kut mamat ni?
            “Dah, tak payah nak gaduh-gaduh. Kak Milah buatkan air untuk semua.” Kak Milah muncul sejurus kemudian dengan dulang di tangan.
            “Terima kasih, Kak Milah. Sayang akak!” jawab mereka semua serentak. Kak Milah membalas dengan senyuman panjang.
            Agensi pelancongan itu sebenarnya mempunyai tiga bahagian, iaitu bahagian pembangunan industri, pentadbiran dan perlesenan. Zenia dan rakan-rakannya bertugas di bahagian pembangunan industri yang lebih banyak menguruskan aktiviti-aktiviti yang berkenaan dengan pelancongan, contohnya kursus-kursus homestay dan pekerja tempat-tempat pelancongan, festival dan media gathering. Disebabkan setiap deparment cuma terdiri daripada bilangan para pekerja yang sedikit, maka mereka menjadi sangat rapat.
            Good morning!” Khairil tiba-tiba melangkah masuk ke ruangan pejabat dengan senyuman ceria di bibir.
            Good morning! Hai, bos... Gembira bukan main nampak hari ni. Ada apa-apa ke?” Amira yang terlebih dahulu menegur bos mereka itu.
            “Kau ni, Mira... tanya lagi. Dah tentu-tentulah bos happy. Orang dah nak kahwin, kan...”
            “Seri muka pengantin...”
            Lalu mereka ketawa beramai-ramai.
            “Pandai ajelah you all ni. Macam tahu-tahu aje I dah book tempat untuk kita semua hi-tea petang ni,” balas Khairil tersenyum-senyum.
            “Alhamdulillah...” Alief dan Arman sama-sama buat gaya meraup tangan ke muka, tanda bersyukur yang amat sangat. Yang lain-lainnya hanya ketawa suka.
            Dalam keriuhan itu, telefon bimbit Zenia berdering tiba-tiba. Dia pantas bangun dan bergerak ke tepi. Tak mahu perbualannya nanti terganggu dengan suara-suara rakan-rakannya itu. Membaca nama ‘Taska & Tadika Anakku Comel’ tertera di skrin, Zenia segera menjawab panggilan itu.
            “Assalamualaikum,” ucap Zenia.
            “Walaikumussalam. Puan Iris ya? Ni saya, Cikgu Hilda,” jawab suara lembut di hujung talian.
            “Oh, Cikgu Hilda. Ada apa ya telefon ni?” Zenia bertanya lanjut. Jantungnya berdebar tiba-tiba. Ada benda yang tak kena dengan Adam ke?
            “Saya nak bagi tahu... anak Puan Iris tak sihat, badan dia panas aje dari tadi. Muka pun pucat. Puan boleh datang ambil dia sekarang tak?”
            Zenia memejam mata untuk seketika. Nafas dihembus perlahan. Gusar di hati, hanya Allah yang tahu. “Baiklah, cikgu. Kejap lagi saya datang ambil dia. Maaflah menyusahkan cikgu pulak.”
            “Tak apa, puan. Saya tunggu puan sampai.”
            Talian dimatikan. Zenia kembali ke ruang pejabat. Suasana di situ sudah kembali seperti sedia kala. Masing-masing sibuk dengan kerja. Zenia membawa langkah ke bilik Khairil. Setelah mengetuk pintu, arahan masuk kedengaran. Dia segera menolak daun pintu.
            Yes, Zenia... Ada hal apa?” tanya Khairil.
            Zenia melangkah mendekati meja Encik Khairil. “Hmm... bos, saya ingat hari ni nak ambil cuti setengah hari. Anak saya sakit, jadi saya kena pergi jemput dia kat tadika dia sekarang ni,” ujar Zenia. Riak wajahnya benar-benar berharap moga-moga Khairil akan memberi izin.
            “Ohh...” Khairil terkejut. “Okeylah kalau macam tu. You can go now.”
            “Err... tapi...”
            “Tak apa, you tak payah risau. Just go now. I tak kisah pun,” balas Khairil tenang. Ada senyuman manis di bibir.
            Zenia mengukir senyum lega. Khairil memang bos yang baik. Langsung tak pernah berkira dengan para pekerjanya. Setelah mengucapkan terima kasih, Zenia bergegas keluar dari ruangan pejabat.


TUBUH lesu Adam disandarkan pada bangku menunggu. Zenia duduk di sebelah. Kepala anaknya itu diusap-usap lembut lalu dibawa Adam ke dalam pelukannya. Setiap kali Adam sakit, hatinya tak akan pernah reti bertenang, seolah-olah dia juga dapat merasai kesakitan yang ditanggung Adam.
            Mata Adam yang layu itu memandang ke sekitar ruangan klinik sebelum berhenti pada seorang kanak-kanak sebayanya yang sedang diriba oleh seorang lelaki. Kepala diangkat mencari wajah mamanya. “Mama...” Adam memanggil lemah.
            “Ya, sayang?” Zenia menundukkan kepalanya.
            Adam kembali memandang kanak-kanak perempuan tadi. “Kenapa Adam tak ada papa macam dia?”
            Jantung Zenia tersentap. Hanya sebaris soalan, tetapi sudah cukup untuk merentap ketenangan yang cuba dibina. Ya Allah... kenapa tiba-tiba Adam bertanyakan tentang papanya?
            “Kawan-kawan Adam kat sekolah semua ada papa. Adam pun nak ada papa. Papa Adam ada kat mana, mama?”
            Zenia merapatkan pelukan sambil memejam mata. Air jernih yang hampir menitis keluar ditahan sekuat hati. Pasti selama ini Adam memendam rasa sendiri melihat rakan-rakan di sekolah dihantar dan dijemput papa dan mama masing-masing, sedangkan dia cuma ada mama. Memang Zenia sudah menjangka soalan itu akan ditanyakan Adam, cuma taklah seawal ini, sewaktu dia belum bersedia dengan apa-apa jawapan.
            “Papa Adam ada, tapi papa Adam sekarang jauh. Nanti bila papa dah balik, mama bawak Adam jumpa papa ya?” Pembohongan pertama tentang papa Adam. Zenia mengetap bibirnya. Maafkan mama, sayang...
            Adam tak bersuara lagi. Kepala yang pening terasa semakin berat.
            “Muhammad Adam Rizq Bin Abdullah.”
            Zenia hembus nafas lega setelah nama itu dipanggil. Tubuh Adam diangkat ke dalam dukungannya untuk masuk ke bilik doktor.
Muhammad Adam Rizq... Satu-satunya permata hati yang dia ada. Walaupun kelahiran Adam ke dunia ini bukan atas kerelaannya pada awalnya, tetapi kini segala rasa kasih dan sayangnya tertumpah buat anak itu. Walaupun terpaksa menelan bermacam-macam jenis kata nista daripada orang sekeliling yang tidak henti-henti mencemuh, Zenia kuatkan diri demi Adam. Baginya, tiada apa lagi yang lebih bermakna dalam dunia ini selain dapat terus hidup bersama Adam di sisinya dan melihat senyuman anak itu terus mekar untuknya.


SELEPAS menidurkan Adam yang demamnya sudah semakin baik, Zenia keluar ke ruang tamu. Drama Melayu yang ditayangkan di TV langsung tidak menarik minat sebaliknya dia mencapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kopi. Rindunya ibu, rindunya ayah. Seingatnya, bulan lepas adalah kali terakhir dia menghubungi mereka berdua dan malam ini sudah tiba masanya untuk dia bertanyakan khabar kedua-dua orang tuanya itu.
            “Assalamualaikum, ibu...” ucap Zenia setelah panggilannya dijawab.
            “Waalaikumussalam. Nia? Ya Allah... rindunya ibu dekat Nia. Nia sihat?”
            Zenia tersenyum pedih. Daripada nada suara itu, dia tahu ibu juga amat rindukannya. “Nia sihat, bu. Ibu macam mana? Ayah?”
            “Ayah dengan ibu pun sihat. Ayah belum balik dari masjid lagi, katanya ada tahlil malam ni. Kalau tak mesti dia gembira dapat cakap dengan Nia,” kata Maryam sebak. Esakan halusnya hampir-hampir sampai ke telinga Zenia. Setiap kali Zenia menelefon, rasa sebak itu memang tak dapat disembunyikan. Rindunya membuak-buak. Bertahun-tahun Zenia pergi, perasaan yang satu itu tetap tak mahu pergi. Dan setiap kali mengenangkan semua itu pada pagi hari raya, terasa sayu semakin menjerat sang hati.
            “Tak apalah, ibu... Nanti ibu kirim salam dekat ayah ya? Cakap kat ayah, Nia rindu sangat dengan ayah,” ujar Zenia. Bibirnya diketap kuat, menahan air mata yang hampir gugur. Biar selama mana pun dia meninggalkan orang tuanya, rindu untuk mereka tetap ada. Tetapi untuk pulang, dia masih belum ada kekuatan.
            “Kalau rindu, baliklah Nia. Ibu dengan ayah nak sangat jumpa Nia. Kalau boleh sebelum kami berdua tutup mata...”
            Menitis juga air mata Zenia. Betapa murahnya air mata itu jika melibatkan ibu dan ayah, orang tuanya yang telah banyak berjasa kepadanya selama ini, yang tidak pernah membenci ketika orang lain mencaci, yang tidak pernah membuangnya pada saat orang lain menghina dan mengeji.
            “Nia mintak maaf, bu. Nia masih tak kuat untuk berdepan dengan ahli keluarga kita yang lain. Tapi Nia janji... sampai masanya nanti Nia akan balik jugak jenguk ibu dan ayah. Nia janji,” janji Zenia untuk kesekian kalinya. Air mata yang lebat turun hanya dibiarkan. Biarlah ruang tamu rumah yang sepi itu menjadi saksi tangisannya tumpah sekali lagi.
            “Yalah... ibu faham keadaan Nia. Nia jaga diri baik-baik ya? Nanti kirim salam ibu dekat cucu ibu tu. Ibu teringin sangat nak jumpa dia,” pesan Maryam. Itulah pesanannya setiap kali Zenia menelefon. Tak pernah jemu dan tak akan jemu.
            “Ya, ibu. Nanti Nia bagitahu Adam.” Hanya sampai di situ Zenia mampu bersuara. Kalau perbualan dilanjutkan lagi, dia khuatir tangisan akan bertukar menjadi raungan. Dia sangkakan setelah empat tahun berlalu dia akan menjadi insan yang lebih kuat, rupa-rupanya dia silap.
            Lampu ruang tamu dimatikan. Zenia melangkah longlai masuk ke bilik. Memandang Adam yang lena tidur dengan wajahnya yang polos itu, semangat yang hilang bagai kembali terbina teguh.

No comments:

Post a Comment