MAJLIS pertunangan Liyana dan Herdy berlangsung juga akhirnya. Tidak
mengikut adat Melayu, Herdy juga turut hadir pada majlis itu. Cuma bukan dia
yang menyarungkan cincin, sebaliknya mamanya sendiri. Dia hanya duduk di tepi
menyaksikan upacara itu berlangsung indah.
Syarizad
yang duduk di hujung kiri pelamin menjadi penonton dengan wajah yang bosan.
Kerap kali matanya singgah di wajah Herdy, seolah-olah memanggil lelaki itu
supaya berpaling ke arahnya. Mungkin perasan dirinya sedang diperhati, Herdy
akhirnya menoleh.
Syarizad
mengukir senyuman. Herdy pula membalas dengan senyuman nipis sebelum kembali
memakukan pandangan ke wajah Liyana. Syarizad merengus dalam diam. Takkanlah
tengok Liyana pakai cantik-cantik macam tu Herdy terus lupa tentangnya?
Selesai
majlis berlangsung, Syarizad terus menghilang ke dalam bilik. Lagipun tetamu
yang hadir dijemput menjamu hidangan ringkas di luar rumah, jadi tak perlulah
dia menempel lagi. Satu pesanan ringkas dihantar ke nombor telefon Herdy.
Agak
lama menunggu, pintu biliknya tiba-tiba ditolak dari luar. Herdy masuk dengan
senyuman nipis.
“Tutup
pintu,” arah Syarizad dengan suara yang sedikit berbisik.
Herdy
menurut. Kemudian Syarizad yang berdiri di tepi katil dihampiri. Sekejap saja
tangannya sudah memaut pinggang gadis itu rapat dengannya.
“Ada
orang nampak tak?” tanya Syarizad perlahan. Tangannya dilingkarkan pada leher
Herdy.
Herdy
menggeleng.
“You
yakin?”
“Yup.”
Herdy senyum. “I miss you...”
Syarizad
mencebik.
“Ingatkan
lepas dah tunang dengan Liyana you yang tersayang tu, dah lupa terus kat I
ni...”
“Hesy,
mana boleh lupa. Kalau bukan sebab you, I takkan datang hari ni tau,” balas
Herdy. Hidung Syarizad dicuit lembut.
Syarizad
tersenyum panjang. Hati menggeletek suka mengenangkan Liyana yang bodoh itu.
Kalau Liyana nampak apa yang berlaku sekarang, agak-agak apa reaksi dia? Oh,
belum masanya lagi untuk Liyana tahu. Tunggu dan lihat saja.
Herdy
mendekatkan wajahnya ke wajah Syarizad. Syarizad yang mengerti tidak langsung
menghalang. Hanya membiarkan Herdy melaksanakan apa yang dimahukan,
melampiaskan nafsu masing-masing.
“Hmm...”
Herdy bersuara tiba-tiba di tengah-tengah keasyikan itu. “I kena pergi
sekarang. Tak nak nanti Yana perasan I hilang lama.” Dia melepaskan pelukan di
tubuh Syarizad.
Syarizad
berdecit. “See? Kan I dah cakap yang you memang lebihkan dia daripada
I...”
“Hei...”
Herdy mencuit pipi Syarizad. “You dah lupa ke? You jugak yang suruh I
tunang dengan dia.”
Syarizad
tersenyum.
“Mestilah
I tak lupa.” Satu lagi ciuman diberikan di pipi Herdy sebelum lelaki itu keluar
dari biliknya. Syarizad berdiri di depan cermin, membetulkan ikatan rambut dan
juga baju kurung yang dipakai. Sepuluh minit berlalu, barulah dia keluar dari
bilik. Dia menuju ke dapur untuk membasahkan tekak.
“Kau
buat apa dengan tunang Yana tadi?”
Soalan
tiba-tiba itu mengejutkan Syarizad. Nasib baik tidak terlepas gelas dari
tangannya. Dikesat air yang meleleh keluar dari bibir dengan hujung lengan baju
kurungnya. Tubuh dipusingkan ke arah Idlan yang sedang tercegat di depan pintu
dapur yang terbuka luas.
“Lan...
apa kau cakap?” sengaja Syarizad bertanya semula. Cover line. Takkan
Idlan nampak kut? Mampus!
Idlan
menggeleng-geleng. Riak wajahnya penuh kekesalan.
“Aku
nampak Herdy masuk bilik kau tadi. Kau buat apa dengan dia?”
Syarizad
diam tidak menjawab. Gelas tadi dicuci lalu diletakkan semula di tempatnya.
Kemudian dia berjalan ke arah pintu. Selipar disarung dan dengan selamba
melangkah keluar.
“Ijad!”
Idlan menguatkan suaranya. Dia tahu Syarizad sengaja mengelak dan dia tidak
akan berhenti mendesak sehingga Syarizad mengaku. Dia bukannya bodoh sampai tak
boleh nampak apa yang sedang cuba disembunyikan Syarizad. Orang lain Syarizad
boleh tipu, tapi bukan dia.
Syarizad
berhenti melangkah. Matanya dipejamkan sesaat dua. Mengawal debaran jantung
yang kian tidak menentu. Sungguh dia tidak sangka Idlan akan nampak apa yang
baru berlaku. Mujur Idlan, kalau orang lain macam mana?
“Kau
buat benda tak elok dalam rumah Yana sendiri, masa majlis pertunangan dia,
dengan tunang dia? Apa semua ni, Jad? Kau dah hilang akal ke?” Idlan mengetap
giginya. Marah, tapi tidak tahu macam mana nak lepaskan. Kalau perlu diukur
kekesalannya sekarang, dia sendiri tidak pasti sudah sampai ke tahap berapa.
Syarizad
berpaling. Renungannya tajam menikam.
“Aku
benci Yana.” Selamba dan langsung tanpa rasa bersalah dua patah perkataan itu
dituturkan. Mujur tiada orang di kawasan belakang rumah waktu itu. Hanya ada
dia dan Idlan.
Idlan
tergeleng-geleng. Sangkanya, benci Syarizad hanya di mulut selama ini. Tak sangka benci itu benci yang betul-betul
benci.
“Sampai
macam ni kau sanggup buat dia?”
“Kenapa
tak?” Riak wajah Syarizad masih selamba.
“Ijad!
Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Otak kau letak kat mana? Dah tak ada
akal sampai dah tak boleh fikir? Dah tak ingat dosa pahala?” Kasar bunyi suara
Idlan. Dia sudah tidak peduli lagi. Syarizad perlu disedarkan sebelum
betul-betul terlambat.
Syarizad
ketawa kecil. Sinis bunyinya.
“Kau
tak payahlah nak berceramah pulak dengan aku. Kalau kau tak suka, kau
boleh berambus daripada hidup aku. Aku pun tak hadaplah nak berkawan dengan kau
lagi!”
“Oh...”
Idlan kehilangan suara. Hatinya tercalar dengan kata-kata pedih yang
dilontarkan Syarizad itu. Sampai hati Syarizad. Sanggup putus kawan hanya sebab
dendam yang selama ini dipertahankan.
“Jadi
kau tetap nak sanjung dendam kau tu? Okey.” Idlan mengangguk-angguk.
Syarizad
mengetap bibir. Terasa dadanya turun naik menahan sebak yang semakin kuat
menghentak jantungnya. Ya Allah... apa aku cakap tadi? Dia mahu menarik semula
kata-katanya tadi tapi dia tahu sudah terlambat.
“Aku
memang dah tak kenal siapa kau sekarang, Jad...” Idlan kecewa. Benar-benar
kecewa. Kemudian dia berpaling dan beredar pergi.
Perlahan-lahan
setitis air mata jatuh ke pipi Syarizad. Adakah itu bermakna persahabatannya
dengan Idlan sudah sampai ke titik noktah? Dia sendiri yang
menoktahkannya.Sanggup menggadaikan harga persahabatan yang tidak ternilai
hanya kerana dendam yang disanjung.
Syarizad
terduduk di tepi rumah. Puas ditahan, esakan sepinya terluah juga.
BEG yang digalas sejak tadi diletakkan di atas riba lalu dipeluk rapat.
Kepala disandarkan pada kusyen sambil membuang pandang ke luar cermin tingkap
bas itu. Tiga hari menghabiskan masa di kampung yang langsung tiada harganya,
sudah tiba masanya untuk dia pulang ke Kuala Lumpur, meneruskan apa yang telah
dimulakan.
Dua
hari lepas, Idlan berjanji untuk membawanya berjalan-jalan pagi tadi. Tapi
selepas apa yang berlaku semalam, Idlan terus menyepi daripadanya. Dia cuba
untuk menelefon, tapi sudahnya tak jadi apabila teringatkan hubungan
persahabatannya dengan Idlan sudah retak.
Tangannya
pantas mengesat air mata yang jatuh ke pipi. Come on, Ijad... Kau tak
boleh nangis. Kau kena kuat. Kau tak boleh lemah. Kau yang mulakan semua ni,
jadi kau kena teruskan segalanya sampai ke titik noktahnya.
When a person who means the world to you turns his back on you, it
hurts like hell, bisik hati Syarizad
sendiri. Mata dipejamkan rapat-rapat, mengharap lena yang datang bakal membawa
mimpi yang indah.
BEN yang datang menjemput Syarizad di hentian bas. Mengenangkan rasa rindu
terhadap gadis itu, dia sanggup tinggalkan katil awal-awal pagi untuk pergi
berjumpa Syarizad.
“Sihat?”
tanya Ben.
Syarizad
mengangguk. Nada suara Ben yang penuh prihatin menghantar satu rasa ke dalam
dirinya. Hati yang lara sejak semalam terubat sudah.
“Macam
mana majlis tu?” tanya Ben lagi. Kalau boleh semua yang berlaku dalam hidup
Syarizad sepanjang gadis itu berada di kampung dia mahu tahu. Pintu kereta
dibuka untuk Syarizad masuk sebelum dia sendiri masuk ke tempat pemandu.
“Okey
aje...” perlahan suara Syarizad menjawab. Keluhan dilepaskan. Hatinya jadi
tidak senang tiba-tiba. Terbayang-bayang wajah kecewa Idlan di ruangan matanya.
“Nampak
macam tak happy aje,” rumus Ben. Betullah, tengok dari riak wajah saja
pun dia sudah tahu.
Syarizad
tersenyum hambar. Keprihatinan Ben semakin menambah sayu di hati.
“Encik
Ben, saya tak nak balik rumah lagi boleh tak?”
“Habis
awak nak ke mana?” Ben kerut kening. Pelik.
“Mana-mana
ajelah. Saya tak nak balik rumah lagi. Nanti kalau saya balik, saya rasa sunyi.
Lepas tu mesti overthinking.” Syarizad mengeluh lagi. Jemarinya bertaut
sesama sendiri.
Ben
tersenyum kecil. Comel sungguh riak wajah Syarizad itu di matanya.
“As
you wish.”
Syarizad
hanya diam apabila Ben melencong ke laluan yang lain daripada jalan ke
rumahnya. Dalam banyak-banyak tempat, Taman Tasik Titiwangsa itu juga yang dipilih.
“Tak
rasa macam awal sangat ke nak lepak kat taman ni?” tanya Syarizad sambil
menoleh ke sebelah.
Ben
ketawa halus.
“Jom
turun.”
Syarizad
hanya menurut. Ben duduk atas bangku, dia juga ikut duduk. Suasana sekeliling
masih gelap. Maklumlah, subuh pun belum.
“Kenapa
awak nampak macam tak happy? Mind sharing?” Ben bertanya lagi.
Syarizad
menggeleng-geleng.
“Tak
adalah, penat aje.” Dia malas cerita lebih. Lagipun Ben tidak perlu tahu apa
yang telah terjadi kepadanya sepanjang dia ada di kampung.
Ben
mengangguk akur.
“Saya
cuma nak awak tahu... kalau awak perlukan kawan untuk luahkan apa aje yang ada
kat dalam hati awak tu, saya ada.”
Barulah
terukir senyuman di bibir Syarizad.
“Encik
Ben ni baik sangatlah, sampaikan kadang-kadang saya lupa yang Encik Ben ni bos
saya.”
“Pernah
ke awak anggap saya ni bos awak?” usik Ben membuatkan Syarizad menyenggol
lengannya. Dia ketawa. “Gurau ajelah.”
“Tak
apa, saya faham. Saya memang selalu buat benda tak fikir dulu, kan? Tapi Encik
Ben tetap baik, tetap layan saya baik-baik.” Puji Syarizad. Dia bukan hendak
membodek, tapi memang betul pun Ben tu baik.
Ben
ketawa kecil. Segan dipuji begitu.
“Tak
adalah. Dah memang saya macam ni sejak azali lagi. Dah tak boleh nak ubah dah.”
Syarizad
tersenyum. Duduk berdua di situ sambil bercerita tentang macam-macam perkara
membuatkan dia lupa masalah yang baru melanda. Dia lupa apa yang baru terjadi
antara dia dan Idlan. Dia lupa yang dia merupakan orang ketiga antara Herdy dan
Liyana. Dia lupa tentang perjanjian yang dibuatnya dengan Datin Hazleena. Yang
dia tahu, berbual dengan Ben mampu buat dia tersenyum dan ketawa.
“Dah
subuh. Saya hantar awak balik.” Ben bangkit berdiri.
Syarizad
ikut bangun. Riak mukanya seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu tetapi tiada
apa pun yang keluar dari mulutnya.
“Fine.
Awak boleh cuti hari ni.” Ben yang faham segera bersuara.
Syarizad
tersenyum lebar.
“Terima
kasih, Encik Ben. Sebab tu saya saaaaayang Encik Ben!”
Ben
membalas dengan tawa kecil.
“Dapat
cuti terus sayang, kan?”
Syarizad
tersengih.
“Tak
adalah. Saya memang sayang Encik Ben pun.”
“Dahlah,
tak habis-habis mengarutlah awak ni,” balas Ben pura-pura tidak dengar sambil
melangkah menghampiri kereta.
“Encik
Ben ingat saya mengarut?” tanya Syarizad.
Ben
tidak menjawab. Hanya senyumannya masih belum surut dari bibir. Sebenarnya
pengakuan Syarizad tadi sangat mengusik hati cuma dia yang malas fikir
jauh-jauh. Takut apa yang dia harapkan tidak sama dengan kenyataan sebenar.
“Tak
apa, nanti Encik Ben akan tahu jugak sama ada saya mengarut atau tak,”
ujar Syarizad masih setia dengan topik yang sama.
“Masuk,”
arah Ben lalu dia sendiri masuk ke dalam kereta.
No comments:
Post a Comment