Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 3



MERIAH. Satu perkataan yang dapat menggambarkan majlis persandingan Khairil bersama pilihan hatinya, Herny. Kalau dah itu jodoh dan ketentuan yang Allah SWT tetapkan, tetap tak akan mampu terlawan oleh sesiapa pun.
            Dalam keriuhan itu, Zenia hanya duduk di kerusi sambil memerhati. Senyuman pada wajah kedua-dua mempelai perlahan-lahan meruntun jiwa. Dia cuba untuk tak terlalu mengikut perasaan dan berlagak tenang, tapi jauh di sudut hati rasa itu tetap bergolak hebat. Entah bila dia akan dapat merasai semua itu. Hidup gembira bersama pilihan hati dan membina keluarga yang bahagia.
            Ketika berpaling, Zenia terkejut mendapati Adam tiada di kerusi sebelah. Dia panik tiba-tiba. Ya Allah... mana Adam? Dalam hati Zenia mengutuk diri sendiri. Terlalu asyik melayan perasaan sampaikan dia tak sedar bila masa Adam turun dari kerusi.
            Zenia mengatur langkah sambil melilaukan mata mencari Adam. Dalam lautan tetamu yang hadir, dia memanjangkan leher, mengintai kelibat Adam di mana-mana. Tiada. Zenia semakin cemas.
            Adam... mana Adam, sayang? Jangan buat mama macam ni. Hati Zenia merintih sendiri.
            “Itu mama!”
            Suara itu menarik perhatian Zenia untuk berpaling. Terpandangkan saja Adam bersama seorang lelaki di sebelahnya, Zenia menghembus nafas lega. Anaknya itu dihampiri pantas.
            “Adam! Adam pergi mana? Kenapa tinggal mama, sayang? Mama risau...” Zenia menarik Adam ke dalam pelukannya. Mata yang basah dikesat dengan hujung jari. Sungguh dia hampir putus nyawa ketika menyedari kehilangan Adam tadi.
            “Adam saja pergi jalan-jalan. Lepas tu Adam terserempak dengan uncle ni...”
            Kata-kata Adam itu menghantar tanda tanya dalam fikiran Zenia. Pelukan dileraikan sebelum dia mendongakkan kepala memandang lelaki yang masih berdiri di sebelah Adam. Mata bertemu mata. Saat itu, Zenia terasa aliran darahnya bagai dipam laju ke seluruh tubuh. Jantung berdegup pantas, nadi berdenyut jauh dari rentak normal. Serta-merta Zenia bangkit berdiri. Sepasang mata lelaki itu menatap lembut ke wajahnya. Hati Zenia rasa bergetar. Lelaki itu...
            “Zenia...” Namanya meniti lembut di bibir lelaki itu. Ada senyuman manis terukir pada wajah itu.
            Zenia terdiam tanpa kata. Senyuman itu bagaikan mencarik-carik sekeping hatinya, membawa fikirannya melayang mengingati kisah silam. Benarkah apa yang sedang berlaku ini bukan mimpi? Zenia sendiri tak tahu bagaimana harus memberi reaksi. Gembira? Sedih? Entah...
            “Mama!”
            Panggilan itu menyentakkan Zenia. Tersedar bahawa dunia sekeliling kini adalah realiti, bukan fantasi dan bukan kisah lampau. Dia menunduk memandang Adam. Tangan kecil anaknya itu erat dalam genggamannya.
            “Adam lapar...” Adam merengek perlahan sambil tangan  menggosok-gosok perut.
            Zenia memaksa bibir untuk tersenyum. Sempat hujung matanya mengerling ke arah lelaki yang masih berdiri di depannya dan Adam. Terasa berat mulut hendak menghulur ucapan terima kasih. Lalu tanpa berkata apa-apa, Zenia menarik tangan Adam untuk meninggalkan lelaki itu.
            Bye, bye, uncle!” Adam sempat melambai sebelum berlalu mengikut mamanya.
            Jiwa Zenia rasa bergetar tak semena-mena. Tak berani lagi untuk berpaling melihat reaksi lelaki itu. Hati yang pedih menyebut satu nama.
            Hayyan Rizqi... Benarkah dia?


SEPANJANG majlis berlangsung, Zenia tak dapat duduk tenang. Dia tahu ada sepasang mata yang asyik memerhatikannya dari tadi. Setiap apa yang dia lakukan terasa serba tidak kena. Nasib baiklah tiada antara rakan-rakannya yang perasan ketidakselesaannya itu. Mujur juga Adam tak bertanya macam-macam tentang siapa uncle yang menolongnya tadi. Zenia tahu Adam juga perasan lelaki itu masih tak habis-habis merenung ke arah mereka berdua cuma tiada suara yang keluar dari mulut comelnya itu.
            “Nia, jom ambik gambar!” Suara Zatie kuat mencelah di dalam keriuhan suasana.
            “Tak naklah.” Zenia pantas menolak. Tengah-tengah mood tunggang-langgang ni memang tak ada hati langsung nak bergambar. Nak senyum pun dah tak mampu rasanya. Bibir terasa lumpuh semacam.
            “Alah... tak sportinglah kau ni. Jomlah ambik gambar.” Alief pula yang menyampuk. Tak semena-mena, dia dan Zatie berpandangan seketika. Mungkin masing-masing tidak menyangka pendapat mereka sama, buat pertama kalinya dalam sejarah perkenalan mereka.
            “Ambik gambar Kak Milah sekali. Nak perasan muda jugak sekali-sekala.”
            Kata-kata Kak Milah itu spontan memecahkan tawa mereka semua.
            Come on, Nia! Kamera dah standby tu.” Amira menggesa sambil jarinya menuding ke arah Arman yang sudah sedia dengan kamera di tangan.
            “Adam pun nak ambik gambar!” Adam menyampuk tiba-tiba. Laju saja dia melompat turun dari kerusi.
            “Boleh, sayang! Jom!” sahut Zatie seronok.
            Kalau Adam dah masuk campur, Zenia tahu dia tiada ruang untuk menolak lagi. Selamba saja Zatie menarik tangannya untuk bergambar bersama. Makin bertambah riuh apabila Khairil bersama isterinya turut sama menyertai mereka semua. Tanpa Zenia sedar, ada bibir yang sedang tersenyum memerhatikan dari jauh.


HAYYAN RIZQI menyandar di pintu kereta sambil mendongak ke dada langit yang suram tanpa taburan bintang. Suasana jalan raya yang bising dan hingar-bingar dengan berbagai-bagai jenis kenderaan langsung tidak mengganggu menungannya. Seolah-olah terbayang-bayang di cakerawala itu seraut wajah seorang wanita.
            Nur Iris Zenia... Perlahan nama itu disebut dalam hati. Tak sangka, setelah empat tahun berlalu dia ditakdirkan bertemu semula dengan wanita itu. Bertemu untuk alasan apa dia sendiri tak tahu. Yang pasti kenangan lama yang telah jauh dicampak dalam kotak memori bagaikan kembali tertayang di ruang mata. Setiap momen indah mereka bersama, setiap gelak tawa, setiap bisikan kata cinta... tak pernah sekali pun semua itu luput dari ingatan. Hayyan tahu biarpun dia sudah berusaha sekuat hati untuk melupakan Zenia, bayang-bayang wanita itu tetap menghantuinya hingga kini.
            Buat beberapa ketika, Hayyan teringatkan pertemuan ringkas di majlis Khairil tadi. Sungguh dia tidak menyangka anak kecil yang dibantu kerana ‘tersesat’ di tengah lautan tetamu ketika majlis itu rupa-rupanya anak Zenia.
            Anak? Benarkah? Adakah Zenia sudah berkahwin? Tapi... dengan siapa? Di majlis tadi, langsung dia tak nampak Zenia bergandingan dengan mana-mana lelaki. Kalau kawan kat tempat kerja tu adalah beberapa orang. Itu pun dia tahu sebab Khairil yang perkenalkan. Jadi... mana suami Zenia?
            Air yang masih berbaki dalam tin di tangan dihirup sehingga habis. Kemudian dengan selamba tin itu dicampak ke tepi. Kedua-dua tapak tangannya diraup ke muka. Zenia... Zenia... Zenia... Sebaris nama itu masih tidak dapat dipadamkan dari kotak fikiran.
            Fikiran Hayyan serabut ketika itu. Dia cuma mahu merehatkan otaknya dan berhenti berfikir tentang Zenia. Hayyan masuk ke kereta. Telefon pintar dikeluarkan dari poket seluar sambil menghidupkan enjin.
            ’Sup, bro?” Suara ceria Safwan menjawab. Kemudian tertawa kecil sendiri. Kalau dah Hayyan telefon malam-malam buta macam ni, sah ada benda yang nak dikongsi.
“Kau free tak?” tanya Hayyan.
Free tak free aku cuma nak tidur aje sekarang. Kenapa, ada hal kau nak cakap dengan aku ke? Tak boleh tunggu jumpa kat ofis?”
“Tempat biasa.” Hayyan matikan talian. Sekejap saja, kereta Honda itu sudah dipecut laju membelah kepekatan malam.


ZENIA duduk di atas katil di tepi tingkap. Matanya lurus merenung ke luar. Entah apa yang direnung, dia sendiri tidak tahu. Segala-galanya terasa gelap dan kosong. Jiwanya hambar. Terbayangkan wajah Hayyan Rizqi, mengundang mutiara jernih di sepasang matanya.
            Ya Allah... apa maksud pertemuan itu? Sungguh, seraut wajahnya yang masih lagi tenang dan kacak seperti dulu benar-benar menghantar rasa getar dalam hatinya. Masih marahkah lelaki itu kepadanya atas apa yang berlaku dulu? Atau... masih adakah rasa cinta dalam hati lelaki itu buat dirinya?
            “Mama...”
            Suara lembut itu membubarkan lamunan Zenia. Pantas tangannya diangkat untuk menyapu air mata sebelum air itu tumpah ke pipi. Dia menoleh ke arah Adam yang sedang tercegat di depan pintu biliknya.
            “Adam nak tidur dengan mama malam ni boleh tak?” Adam bertanya polos. Matanya yang layu itu sudah semakin terkatup rapat.
            “Sini kat mama, sayang.” Zenia menggamit lembut. Adam menghampirinya lalu baring di sebelahnya di atas katil itu. Zenia turut sama merebahkan badan. Paha Adam ditepuk-tepuk lembut, mahu mendodoikan anak kesayangannya itu. Memang begitulah keadaannya selalu. Adam tiada sesiapa lagi di dunia ini melainkan dirinya. Kerana itulah dia perlu kuat menghadapi apa saja dugaan demi anaknya itu.
            Melihat Adam mula lena, satu kucupan penuh kasih dihadiahkan pada dahi anak kecil itu. Rambut Adam dibelai-belai. Kolam matanya kembali bergenang.
            Sayang... maafkan mama. Maafkan mama kerana telah menyebabkan hidup Adam jadi begini. Mama yang salah, mama yang berdosa. Maafkan mama, sayang...
            Akhirnya Zenia terlena dengan air mata di pipi.


“KISAH cinta kau ni berbelitlah, Riz. Makin aku dengar makin sarat kepala otak aku ni. Kalau aku tulis novel best jugak ni. Tajuk dia, Cintaku Yang Dulu Hilang Kini Muncul Kembali. Confirm laris!” Safwan melawak lalu ketawa sendiri.
            Hayyan menghela nafas panjang. “Tak lawak langsung.”
            Serta-merta Safwan berhenti gelak. Duduknya dibetulkan. “So?”
            Hayyan angkat bahu. “Aku tak sangka aku akan jumpa dia lagi. Seriously, Wan... Dia masih cantik macam dulu, tak pernah berubah di mata aku,” ujarnya perlahan. Seraut wajah Zenia masih tak mahu padam dari kotak fikiran. Gunalah apa juga jenis pemadam mengalahkan Exam Grade sekali pun, tetap wajah itu tak mahu pergi.
            “Kau jangan buat kerja gila, Riz. Kau sendiri yang cakap yang dia tu dah ada anak. Itu maksudnya dia dah kahwin. Takkan kau nak kacau bini orang pulak?” Safwan jelas tak setuju dengan apa juga yang ada di fikiran Hayyan ketika itu. Bertahun-tahun hidup sebumbung di perantauan, semua kisah lelaki itu sudah tersimpan kemas dalam poketnya. Bukan setakat poket seluar, baju, kemeja, malah sweater sekali.
            Hayyan menggeleng-geleng. Gelas yang masih berisi separuh air diteguk rakus. “Kalau bukan jodoh aku dengan dia, kenapa perlu aku jumpa dia lagi?”
            Soalan itu ternyata tak mampu dijawab Safwan. Betul juga, kalau bukan jodoh Hayyan dan Zenia, kenapa mesti mereka ditemukan lagi? Mesti ada maksud yang tersembunyi yang hanya Allah SWT yang tahu.
            I need to find her,” tekad Hayyan. Gelas itu diletakkan semula di atas meja.
            “Ikut sukalah kau nak buat apa pun, Riz. Cuma satu aku nak pesan, jangan buat kerja gila. Aku tak nak tengok kau patah hati lagi hanya sebab Zenia tu,” pesan Safwan. Sampai bila-bila pun dia tak akan lupa macam mana kecewanya Hayyan selepas hubungannya dengan Zenia berakhir empat tahun yang lalu. Sebagai sahabat, dia tak mahu Hayyan melalui fasa itu sekali lagi, lebih-lebih lagi kerana seorang perempuan yang sama.
            Hayyan termenung panjang. Walau apa pun, dia akan tetap menjejaki Zenia. Kepastian tentang gadis itu perlu dicari tahu. Misi pertama akan berjalan hari isnin ini, iaitu ke pejabat Khairil. Jawapannya pasti ada di sana.

No comments:

Post a Comment