GAGANG
telefon diletakkan di tempatnya. Selesai satu kerja. Zenia hembus nafas lega. Sekarang
boleh fokus pada kerja yang lain pula. Baru saja dia mencapai fail yang
terletak di tepi meja, matanya menangkap kelibat seseorang yang baru masuk ke
dalam ruangan pejabat. Zenia angkat muka. Dari belakang, dia macam kenal siapa
lelaki itu. Takkanlah...?
“Saya nak jumpa Khairil, dia ada?”
Zenia memasang telinga. Sah, memang
Hayyan! Tak berkelip matanya merenung lelaki itu. Apa Hayyan buat kat sini? Nak
jumpa Khairil? Untuk apa? Apa hubungan Hayyan dengan Khairil sebenarnya?
“Ada... Eh, encik ni bukan ke yang
datang wedding Encik Khairil itu?”
Sempat lagi Amira bertanya. Wajahnya pula ceria semacam.
Hayyan tertawa kecil. “Ya, saya.”
“Sekejap ya.” Amira terus menekan
interkom untuk memaklumkan kedatangan lelaki itu kepada bosnya.
Zenia terus memerhati dengan hati
yang makin tak sedap. Apabila Hayyan tiba-tiba menoleh ke arahnya, cepat-cepat
dia menundukkan kepalanya semula, pura-pura fokus pada kerja. Sementara jantung
sedang berdegup pantas, mengepam darah laju ke seluruh tubuh.
Giliran Hayyan pula ralit merenung
Zenia. Tak semena-mena terbit senyuman pada bibir. Gaya Zenia tunduk tu dah
macam nak cium fail aje. Tak berubah lagi rupanya...
“Bos mintak encik masuk bilik dia,”
ujar Amira beberapa minit kemudian.
Perhatian Hayyan teralih. “Thanks.” Kemudian dia terus berlalu ke
arah bilik Khairil.
Zenia terasa perutnya senak ketika
itu. Dia bingkas dari tempatnya untuk mendapatkan tandas. Di depan cermin, dia
merenung wajah sendiri. Otaknya masih tak dapat menerima mesej kenapa Hayyan
ada di sini. Sengaja datang atau memang ada hal penting nak jumpa Encik
Khairil? Tapi takkanlah sengaja pulak? Sengaja sebab nak jumpa dia?
Zenia cepat-cepat geleng kepala.
Jangan fikir jauh, Zenia. Kau tak tahu perasaan dia macam mana sekarang.
Entah-entah dah kahwin ke, dah jadi ayah orang ke... Sempat Zenia mengingatkan
diri sendiri.
Yakin diri sudah semakin bertenang,
Zenia keluar dari tandas. Kelibat Kak Milah yang tiba-tiba meluru ke arahnya
mengundang kerut di dahi.
“Kenapa ni, kak?”
“Nia... Nia tolong buatkan air untuk
bos boleh tak? Dia ada tetamu sekarang ni. Akak dah tak tahan sangat nak masuk
tandas ni. Nia tolong eh? Okey, sayang Nia!” Sempat Kak Milah menepuk lembut
pipi Zenia sebelum terus masuk ke dalam tandas.
Zenia terkebil-kebil seketika. Bos?
Tetamu? Maksud Kak Milah... Hayyan? Alamak! Zenia gigit bibir sambil tangan
menggaru-garu kepala yang tak gatal. Bukan main lagi dia berusaha untuk
mengelak daripada Hayyan, semudah itu Kak Milah ‘menyerahkannya’ kepada lelaki
itu. Memandangkan tiada alasan untuk menolak dan Kak Milah pula sudah
menghilang ke dalam tandas, Zenia bergegas menuju ke arah pantri.
Setelah
membancuh dua gelas Nescafe, dulang dibawa ke arah bilik pejabat Khairil. Pintu
bilik itu diketuk. Degup kencang dalam dadanya cuba dikawal agar tidak terbias
pada riak wajah.
“Masuk!”
Zenia menolak daun pintu dengan
sebelah tangannya. Langkah diatur kemas menuju ke arah Khairil yang sedang
berbual dengan Hayyan di sofa yang sudah tersedia di dalam bilik itu. Ketika
meletakkan dulang di atas meja, dia perasan mata Hayyan yang tak lepas-lepas
merenung ke wajahnya.
“Hah, Riz... kenalkan ni Zenia, staf
kesayangan aku.” Selamba Khairil memperkenalkan Zenia kepada Hayyan Rizqi.
Hayyan masih terus merenung Zenia.
Wajahnya itu nampak pucat sedikit. Bibirnya pula berkali-kali diketap. Mungkin
wanita itu belum bersedia untuk berjumpa dengannya untuk kali kedua, apatah
lagi dalam situasi begini. Kekok benar mungkin. Hayyan membuat andaian sendiri
dalam hati.
“Zenia, kenalkan ni adik ipar I,
Rizqi.” Khairil tersenyum memandang Zenia.
Zenia diam tanpa suara. Memang dia
sudah maklum, keluarga lelaki itu lebih suka memanggilnya dengan panggilan
Rizqi atau Riz. Cuma dia yang lebih senang menggelarkan lelaki itu sebagai
Hayyan... suatu masa dahulu. Tapi apa yang mengejutkannya ketika itu, kenyataan
yang baru keluar dari mulut Encik Khairil. Adik ipar? Bermakna, Khairil
berkahwin dengan kakak Hayyan? Ohh... kebetulan ke apa ni?
“Hai... Hayyan Rizqi.” Hayyan
menghulurkan tangan kepada Zenia. “Nice
to meet you... again...”
Perkataan ‘again’ itu disebut perlahan dan hampir-hampir sahaja tidak
kedengaran. Sengaja menghulur salam perkenalan, kononnya mereka berdua belum
pernah saling mengenali.
Khairil yang mendengar sudah
terangkat sebelah kening. Sementara Zenia merasakan nafasnya semput untuk
seketika. Bibir dipaksa untuk mengukir senyum.
“Zenia,” balasnya perlahan tanpa
menyambut huluran tangan Hayyan. “Hmm... saya keluar dulu ya, bos.” Zenia
meminta diri. Tanpa memandang Hayyan lagi, dia berlalu keluar dari bilik
pejabat bosnya itu.
Zenia duduk di tempatnya semula.
Tangannya menyentuh dada. Ada degupan kencang di situ. Hayyan semakin kacak
pada pandangan matanya. Renungan redupnya yang sentiasa membuai hati Hawa
Zenia, tiada apa yang berubah sejak dulu lagi.
Menyedari
fikirannya sudah jauh menerawang, Zenia pantas sedar diri. Tak mungkin Hayyan
masih menyayanginya, tak mungkin Hayyan masih mencintainya. Dia yang telah
melukakan lelaki itu, dia yang telah menoreh luka pada hati lelaki itu, dia
juga yang telah menghadiahkan duka dalam hidup lelaki itu. Jadi mustahil untuk
Hayyan masih mengharap padanya lagi.
Zenia memejam mata rapat-rapat. Hati
yang terasa pedih cuba dirawat sendiri. Dia tidak mahu lagi terperangkap dengan
kemelut perasaan yang bagai tiada penghujungnya ini. Hayyan bukan lagi Hayyan
yang dulu. Walaupun pahit, kenyataan itu tetap harus ditelan.
“DAH
berapa lama dia kerja sini?”
Khairil pelik dengan pertanyaan
tiba-tiba itu. Tak ada intro, tak ada
apa, terus aje main tanya. Keningnya diangkat tinggi.
“Maksud aku... staf kau tadi tu.
Hmm... Zenia, right?” jelas Hayyan.
Air mukanya nampak tenang saja, namun hati tak setenang itu.
“Ohh Zenia...” Khairil
mengangguk-angguk sebelum tersenyum penuh makna. “Dah lama dah, sejak anak dia
baru lahir lagi.”
Giliran Hayyan pula yang mengangguk.
Anak...
“Kenapa tanya? Berminat?” usik
Khairil. Walaupun Hayyan itu adik iparnya, mereka lebih senang ‘beraku-kau’.
Lagipun dia kenal Hayyan dulu sebelum bertemu Herny.
Hayyan ketawa kecil. “Hisy, kau
ni... takkanlah aku nak minat kat isteri orang.” Kepalanya tergeleng-geleng
menafikan. Isteri orang...
Khairil ketawa besar. “Riz, kalau
kau nak tahu, Zenia tu bukan isteri orang.”
Hayyan kerut kening. Terkejut.
“Maksud kau?”
“Dia dah bercerai. Bercerai mati
atau hidup aku tak pasti, cuma yang aku tahu dia dah menjanda sejak anak dia
lahir lagi,” cerita Khairil. Dia bukannya tahu sangat kisah hidup Zenia. Apa
yang dia tahu, itulah yang dia ceritakan.
Hayyan terdiam tanpa suara. Dia
langsung tak menyangka itu sebenarnya kisah hidup Zenia. Bercerai? Jadi anaknya
itu anak siapa? Adakah anaknya bersama...
“Kalau tak silap aku... umur dia 29
tahun. Kau pun baru masuk 30. Kira okeylah tu!” usik Khairil lagi sambil
tergelak-gelak.
Mungkin pada Khairil itu cuma
sekadar gurauan, tetapi gurauan itulah yang terkesan di hati Hayyan. “Banyaklah
kau! Kau ingat semudah tu?”
Khairil ketawa lagi. Dia faham
maksud Hayyan. Ya, memang bukan semudah itu kerana ada banyak hati yang perlu
dijaga.
Sementara Hayyan diam mengunci
mulut. Dalam pada simpati pada nasib Zenia, jauh di sudut hati, rasa bersyukur
dan gembira tetap menyelit sama. Zenia tak bersuami, jadi itu bermakna peluang
untuknya masih ada. Kan?
JARUM
jam sudah melepasi pukul 5.00 petang. Zenia segera mengemas barang-barangnya.
Selepas menyelesaikan sistem punch card,
dia terus turun ke tapak parkir mendapatkan keretanya. Ketika hujung ibu jari
menekan kunci penggera, Zenia terasa ada seseorang sedang mendekati. Zenia
pantas berpaling.
Hayyan menghulur senyum. Dia
berjalan mendekati Zenia dengan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket
seluar. Sempat Zenia memerhatikan lelaki itu dari atas ke bawah. Masih lagi
segak dengan kemeja hitam dengan tali leher merahnya. Lengan kemejanya itu pula
sudah disingsing hingga ke paras siku. Mukanya nampak penat, tapi masih lagi
kacak tersenyum.
Jadi, macam mana Zenia nak lupakan
lelaki ini walaupun selepas empat tahun tak bertemu?
“Dari tadi saya tunggu awak,” ujar
Hayyan dengan suara lembut. Renungannya lurus ke wajah Zenia.
Zenia membetulkan tali beg
tangannya. “Kenapa awak tunggu saya?” Terasa kekok berada dalam situasi itu,
namun Zenia kuatkan diri. Kalau Hayyan boleh nampak tenang, kenapa tak dia?
“We
need to talk,” kata Hayyan ringkas.
Zenia menggeleng-geleng. “Saya dah
lambat, nak kena ambik Adam kat sekolah dia...”
“So
his name is Adam...” Hayyan terangguk-angguk pula.
Zenia menjatuhkan semula tangannya
yang sudah pun memegang daun pintu kereta tadi. Wajah Hayyan dipandang.
“Ikut saya kejap. Ada benda yang
saya nak cakap dengan awak,” pinta Hayyan. Nada suaranya sudah separuh merayu.
“Apa lagi yang awak nak cakap dengan
saya? Saya tak rasa pun ada benda yang perlu kita cakap atau bincang. So please... jangan ganggu saya.” Zenia
kembali menarik daun pintu kereta. Namun belum sempat dia masuk ke dalam,
Hayyan sudah memegang pintu itu membuatkan Zenia tak dapat menutupnya. Bulat
matanya merenung Hayyan.
“Please?”
Wajah Hayyan masih tenang.
Zenia merengus. “Saya dah lambat!”
“I
won’t take long. Lagi awak cakap tak nak, lagi banyak masa yang kita
habiskan. Jadi apa kata kalau awak ikut aje saya. Senang, kan?” Hayyan masih
tak mahu mengalah. Tak kisahlah Zenia nak marah ke apa, dia tetap dengan
kemahuannya.
“Fine.”
Zenia bersetuju akhirnya. Malas nak bertekak.
Hayyan simpan senyum.
“Tapi kereta asing-asing. Saya ikut
awak kat belakang,” tambah Zenia.
“As
you wish.” Hayyan kemudian berlalu ke keretanya.
No comments:
Post a Comment