Ayuni melangkah dengan penuh bersemangat untuk menghadiri walk in interview pagi ini. Dia mempercepatkan
langkahnya. Tidak mahu terlewat
menghadiri temuduga kerana inilah peluang untuk dia berkhidmat di Menara
Holding yang sememangnya telah diakui akan kehebatan empayar perniagaannya yang
dimiliki oleh seorang anak melayu itu.
Melihat saja bangunan yang tersergam gagah, sudah menunjukkan betapa
elitnya syarikat itu. Sudah pasti Ayuni
akan merasa amat bertuah jika berjaya menjadi salah seorang kakitangan syarikat
korporat itu.
Lebih tepat lagi,
sebenarnya Ayuni tidak mahu menghampakan Hanis, teman sekampung yang juga teman
serumahnya. Hanislah yang membuka peluang kepadanya untuk berkhidmat di
syarikat tempat Hanis bekerja itu. Sudah
hampir setahun Ayuni mencuba pelbagai jenis pekerjaan semata-mata hanya untuk
mencari pengalaman. Lepas satu kerja,
satu kerja Ayuni lakukan untuk menunggu sehingga dia mendapat satu pekerjaan
yang benar-benar tetap.
Memegang ijazah perakaunan, bukanlah tiket untuk dia
mudah mendapatkan pekerjaan yang dicita-citakannya. Apatah lagi di luar sana ramai graduan sepertinya yang masih
menganggur. Dia terpaksa bersaing dalam
pasaran pekerjaan. Semuanya perlukan
pengalaman.
Itulah soalan yang ditanya setiap kali dia menghadiri
temuduga.
Pengalaman….pengalaman….pengalaman.
Kadang-kadang hampir saja dia berputus asa, tetapi bila mengenangkan
keadaan keluarga di kampung yang perlu dibantu, digagahkan jua memohon
pekerjaan walaupun kadangkala jawatan yang disandangnya itu tidak sepadan
dengan ijazah yang dimilikinya.
Ayuni
membelek-belek wajahnya di depan cermin bilik air sebelum menuju ke bilik
temuduga. Dia membetulkan duduk tudungnya. Dia mahu kelihatan kemas dan bergaya, sesuai
dengan jawatan yang dipohonnya iaitu pembantu akauntan. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk
mencuba sebaik saja Hanis memberitahunya akan kekosongan jawatan di bahagian
pemasaran syarikat Menara Holding itu.
“Nanti kau tuliskan dalam resume yang kau boleh berbahasa Jepun” saran Hanis.
“Hishh..kau gila apa? Buatnya disuruh aku bercakap
bahasa Jepun kat situ, apa aku nak cakap kalau sepatah haram bahasa tu aku tak
tahu”bantah Ayuni.
“Alah, dia takkan
suruh kau bercakap pun. Kalau dia suruh
pun,kau belasah cakap aje. Bukannya diorang faham pun. Lagipun, Menara Holding tak berurusan dengan
mana-mana syarikat Jepun. Kau jangan
risaulah. Aku suruh kau tulis supaya
penemuduga tu nampak kelebihan kau berbanding saingan kau yang lain. Kau ikut aje cakap aku. Aku bukan pandai-pandai tapi ni pun idea
Encik Taufik” terang Hanis panjang lebar.
“Encik Taufik? Siapa
tu?” Ayuni pelik.
“Encik Taufik tu pembantu peribadi kepada CEO syarikat
ni merangkap personal assistant. Encik
Taufik pernah cakap kat aku yang CEO tu cerewet orangnya. Bukan sebarangan orang nak diambil bekerja apatah
lagi jawatan yang kau nak mohon tu. Yang betul-betul layak saja akan diambilnya
bekerja” tambah Hanis.
Boleh ke buat macam tu?
Ah! ikut sajalah.
Kalau dah pembantu CEO pun suruh macam tu, maknanya memang tiada
masalah.
Tepat jam 9.00
pagi, Ayuni sudah terpacak di bilik temuduga itu. Ramai juga yang hadir untuk sesi temuduga
itu. Kebanyakannya perempuan dan hanya
sebilangan kecil sahaja lelaki. Alahai,
jawatan yang ditawarkan satu saja tapi yang datang untuk ditemuduga cukup
ramai. Hampir 10 orang. Boleh dapat ke? Ayuni mula gusar.
“Hmm…nampak
gayanya, jadi penganggur lagilah aku” bisik Ayuni.
“Hishh…tapi mana
tau kalau memang rezeki aku” Ayuni cuba berfikiran positif.
Pemohon yang duduk di sebelah Ayuni tertoleh-toleh sambil
tersenyum bila melihat Ayuni bercakap seorang diri.
Ah! Pedulikan dia.
Penantian itu memang suatu penyiksaan.
Itulah yang Ayuni rasa. Pelbagai rasa yang dialaminya sementara hendak
menunggu gilirannya ditemuduga. Sakit
perut, seram sejuk bak kata pepatah Inggeris butterflies in the stomach ,semuanya ada. Peluh dingin mula memercik apabila namanya
dipanggil.
“Cik Ayuni Zara
binti Ismail”pembantu penemuduga memanggil Ayuni.
“Ya..saya” jawab
Ayuni seraya mengangkat tangan persis anak murid hendak menjawab soalan
cikgunya.
“Silakan masuk”,
tambah pembantu penemuduga itu lagi.
Ayuni hanya
mengangguk. Melangkah saja ke dalam
bilik temuduga itu, dia terpana apabila
tiga pasang mata merenung tepat ke arahnya.
Dua orang agak berusia tapi masih segak. Maklumlah ahli korporat,
manakala yang seorang lagi masih muda, segak dan bergaya. Ayuni masih sempat menganalisa walaupun dia
di dalam keadaan tidak tentu arah.
“Bismillahirrahmanirrahim…..”bisik Ayuni perlahan untuk
memberi kekuatan kepadanya.
Ya Allah, tolonglah hambamu ini. Aku sangat perlukan pekerjaan ini.
“Cik Ayuni Zara
binti Ismail” salah seorang penemuduga yang agak berusia itu memulakan sesi
temuduga.
“Ya..saya”, jawab
Ayuni sopan.
“Sila kenalkan
diri anda” tambahnya lagi.
“Saya Ayuni Zara
binti Ismail. Berumur 23 tahun. Berasal dari Johor Bahru, Johor. Saya adalah pemegang ijazah sarjana muda perakaunan
dari Universiti Malaya” lancar Ayuni memperkenalkan dirinya dengan penuh
keyakinan.
“Cik Ayuni,
kenapa awak hendak bekerja di syarikat ini?”, tanya seorang lagi penemuduga
yang agak berusia itu.
“Pertama,
akauntan adalah cita-cita dan minat saya sejak kecil lagi. Kedua, saya rasa semua orang berharap dapat
berkhidmat dengan syarikat korporat seperti Menara Holding ini, sebuah syarikat
anak tempatan yang sangat berjaya. Jadi,
begitu juga saya. Ketiga, saya memang
amat memerlukan pekerjaan ini dan saya rasa saya layak memegang jawatan ini
kerana ia selari dengan kelulusan yang saya ada”tambah Ayuni panjang
lebar. Sudah hilang rasa gemuruhnya
tadi.
“Apa pengalaman
yang awak ada? Bukan mudah hendak
memegang jawatan ini tanpa pengalaman” soalan yang keluar dari mulut lelaki
yang berusia itu sudah diagak oleh Ayuni dan dia sejak awal-awal lagi sudah
bersedia.
“Tuan…”
“Panggil saja
saya Datuk Bakri” potong lelaki berusia itu bila Ayuni cuba memanggilnya tuan.
“Err…maaf
Datuk. Sebenarnya sebelum saya
menghadiri temuduga ini, saya sudah melakukan pelbagai kerja yang berkaitan
dengan akaun dari sekecil-kecil jawatan seperti pembantu pejabat sehinggalah
jawatan tertinggi saya sebelum cuba
memohon jawatan ini iaitu kerani akaun.
Semua saya lakukan bertujuan untuk mengutip pengalaman dan saya yakin dengan
pengalaman saya lebih setahun dapat membantu saya dalam pekerjaan saya
kelak. Insya Allah. Lagi satu, saya agak tidak berpuas hati kenapa
kebanyakan syarikat hanya mengutamakan pengalaman. Bagaimana kita hendak mempunyai pengalaman
jika syarikat-syarikat besar seperi Menara Holding tidak memberi peluang kepada
pemohon-pemohon untuk memperolehi pengalaman.
Bagi saya, pengalaman tidak semestinya apa yang telah kita lalui saja
yang dapat membantu kita dalam tugas, tetapi apa yang berlaku semasa kita bertugas
juga dikira pengalaman.” Ayuni semakin berani.
Dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya keberanian itu. Ayuni dapat melihat ketiga-tiga penemuduga
itu agak terpegun bila Ayuni seberani itu.
“Well, Ayuni.
Do you think English is important in order to succeed in this company?”,
tiba-tiba lelaki muda yang segak bergaya bertanya dalam bahasa inggeris setelah
sekian lama menyepi dan hanya menjadi pendengar. Mungkin hendak menguji kefasihan bahasa inggeris
Ayuni
“Of couse English is very important. As a staff of
an international company like Menara Holding, I should know how to
communicate in English because it potrays the image of the corporate company
overall and me cannot deny that English is an international language” jawab
Ayuni tanpa teragak-agak.
“Apart from English, it's written here that you're also
very fluent in Japanese?”, tambah lelaki muda itu.
Tiba-tiba peluh dingin mula memercik
kembali. Dia hampir terlupa tentang resumenya
yang tertulis bahawa dia fasih berbahasa Jepun. Melihat Ayuni yang terdiam
dan kelihatan serba salah, lelaki muda itu terus bersuara setelah menanti agak
lama kerana ingin memberi peluang kepada Ayuni yang mungkin ingin berfikir
terlebih dahulu.
“Next time, don’t you ever try to show
something that you cannot do. It will potray you as a dishonest and an
untrustworthy person. Menara Holding doesn’t employ this kind of person
especially in our account department” tajam suara lelaki muda itu hingga
Ayuni kehilangan kata-kata.
“Err….i’m sorry sir…I just” terang Ayuni
tergagap-gagap. Belum sempat Ayuni
menghabiskan kata-katanya tiba-tiba lelaki muda itu bersuara,
”Ok this interview is over. You may leave
now. Anyway, thank you for joining us in this interview. We will
let you know the results soon”, sambung lelaki muda itu tanpa mempedulikan
kata-kata Ayuni.
Dari kata-kata
lelaki muda itu tadi, Ayuni seolah-olah sudah dapat mengagak akan keputusannya
walaupun belum diberitahu. Harapannya
untuk berkhidmat di syarikat mega itu nampaknya semakin terkubur. Ini semua gara-gara Hanis yang hendak sangat
dia mengaku fasih berbahasa Jepun.
Nak tolong aku konon!
Sudahnya aku juga yang terkena. Dari pengamatan Ayuni, seolah-olah lelaki
muda itu pula yang menjadi ketua penemuduga kerana dia yang memutuskan untuk
memberhentikan sesi temuduga sekiranya dia tidak berpuas hati, sementara dua
lelaki yang agak berusia itu hanya menurut kata-kata lelaki muda itu. Siapakah dia?
“Ah! Malas aku
nak fikir. Lantaklah, bukan aku dapat
pun kerja ni!” Ayuni merungut seorang diri.
Dia terus melangkah longlai menuju ke lif. Sedang dia menunggu pintu lif terbuka,
tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.
Segera dia melihat ke skrin telefonnya dan tertera nama Hanis. Malas rasanya hendak menjawab panggilan
itu. Kalau tidak disebabkan idea bodoh
Hanis, mungkin dia sudah berjaya menjawat jawatan yang diidam-idamkan itu, tapi
bila mengenangkan yang Hanis sebenarnya cuba untuk menolongnya, serta-merta
api kemarahannya terpadam.
Tak apalah. Bukan
rezeki aku agaknya.
“Hello…Ayu..kenapa
lambat angkat telefon ni? Macamana temuduga kau? Dah habis? Dapat tak?” suara Hanis yang terlebih excited
“Aku baru je habis interview ni” jawab Ayuni malas.
“Kau kat mana
sekarang ni? Aku tengah rehat ni. Lunch
hour. Aku tunggu kau kat lobi ye”
tambah Hanis.
“Ok…” jawab Ayuni
pendek. Sebenarnya mood dia sudah hilang disebabkan insiden semasa sesi temuduga tadi.
Tidak disangkanya, sesi temuduga itu mengambil masa yang
agak lama juga. Sejak jam 9.00 pagi tadi
hingga masuk waktu makan tengahari.
Apa yang lama sangat tadi? Seingat Idayu sesi temuduganya hanya sekitar
lima belas minit.
Hmmm….lama menunggu giliran aje!
No comments:
Post a Comment