Monday, 29 February 2016

MY SOULMATE- BAB 2



Sebaik sahaja Ayuni melangkah keluar dari lif, kelihatan Hanis sudah tersenyum lebar menunggunya.  Di sebelahnya kelihatan seorang lelaki yang tidak dikenali.  Melihatkan Ayuni yang berjalan lambat-lambat, Hanis segera berlari anak mendapatkan Ayuni.  Dia terus memaut lengan Ayuni dan dibawanya ke ruang duduk yang terdapat di lobi Menara Holding.  Lelaki itu  terus tersenyum memandang Ayuni. 
Cantik!  Memang dia cantik! Dalam diam lelaki itu memuji kecantikan Ayuni dalam hati.  Ternyata wajahnya jauh lebih cantik berbanding dengan wajahnya di dalam gambar yang pernah dilihat tempoh hari.
 “Kenalkan, nilah Encik Taufik, pembantu peribadi CEO Menara Holding” Hanis memperkenalkan lelaki itu kepada Ayuni. 
Mendengar nama Taufik, Ayuni segera teringatkan kata-kata Hanis tempoh hari yang mengatakan Encik Taufik yang menyuruhnya menulis di dalam resumenya bahawa dia fasih berbahasa Jepun. 
“Hai, saya Taufik.  Macam Hanis cakap tadi, saya ni pembantu kepada CEO syarikat ni merangkap PA…” Taufik berbasa-basi sambil menghulurkan tangannya. 
Dengan teragak-agak Ayuni menyambut huluran tangan Taufik.  Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu menyambut salam lelaki itu.  Dia tak tahu ke? Bukan muhrim mana boleh bersalaman tetapi untuk mengelakkan Taufik malu jika huluran tangannya tidak disambut, Ayuni memaksa dirinya bersalam juga dengan Taufik.  Cepat-cepat Ayuni menarik tangannya bila dirasakan lelaki itu cuba menggenggam tangannya.  Ayuni juga melarikan pandangan matanya apabila renungan beserta senyuman lelaki itu melekat di wajahnya.
 “Apa kata kita pergi lunch sekarang?” pelawa lelaki itu kepada Ayuni.  
Lunch?  Lunch apa waktu sekarang ni?  Ayuni menjeling jam tangannya.  Hampir jam sebelas pagi. 
             “Err..takpelah Encik Taufik.  Sebenarnya saya ada hal yang hendak diuruskan lepas ni.  Takpelah, Encik Taufik pergi sajalah lunch dengan Hanis” Ayuni menolak lembut pelawaan Taufik.     
            “Alah…janganlah macam ni Ayuni.  Jomlah kita makan sama-sama.  Lagipun, kau mana kerja lagi kan?  Balik awal pun, asyik terperap kat rumah.  Aku tahu kau belum makan lagi.  Jomlah.  Encik Taufik nak belanja ni….” gesa Hanis sambil matanya mengenyit pada Taufik menandakan dia meminta Taufik belanja mereka makan tengahari. 
Taufik hanya tersenyum sambil mengangguk tanda setuju untuk membelanja Hanis dan Ayuni makan tengahari.  Nak tak nak terpaksalah Ayuni bersetuju walaupun dia sudah kehilangan selera untuk makan, ditambah lagi dia rimas bila asyik ditenung oleh Taufik. 
Di pihak Taufik pula, kata-kata Hanis seolah-olah membuka ruang dan peluang kepadanya.
Wah, ada peluang ni! 
Senyum Taufik semakin lebar apabila akhirnya Ayuni bersetuju untuk makan tengahari bersama-sama.
            Ayuni lebih banyak mendiamkan diri.  Dia hanya menjadi pendengar perbualan antara Hanis dan Taufik.  Hanya sesekali dia menjawab apabila Taufik bertanya.  Itu pun, sepatah ditanya sepatah yang dijawab. Sebenarnya hanya jasad Ayuni berada di situ sedangkan fikirannya menerawang entah ke mana.  Masih terngiang-ngiang kata-kata lelaki muda yang menemuduganya tadi.  Dia cukup malu apabila disindir begitu.  Terasa maruah dan harga dirinya diinjak-injak sedangkan dia bukanlah penipu seperti yang didakwa tadi.
            Namun, dia terpaksa berbuat begitu disebabkan keinginan untuk mendapatkan pekerjaan itu begitu tinggi sekali, walaupun dia sedar, cara yang dilakukannya itu salah.  Jauh di sudut hatinya, dia agak kesal kerana terlalu mengikut kata-kata Hanis.  Tambah kesal apabila dia sendiri tidak berfikir panjang.
 “Hei, Ayu…kau dengar tak aku cakap ni?” sergahan Hanis serta-merta mematikan lamunannya.  Ayuni terpinga-pinga. 
“Hah, confirmlah tu memang kau tak dengar.  Kau ni kenapa?  Lepas temuduga tadi, aku tengok kau ni semacam aje.  Apa dah berlaku masa interview tu?  Ada apa-apa yang tak kena ke?”pertanyaan Hanis menambah serabut kepalanya. 
Serta-merta riak wajahnya berubah.  Ayuni memang hendak meluahkan segala apa yang dirasanya semasa sesi temuduga tadi, malahan dia juga hendak menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Hanis di atas idea bodoh rakan baiknya itu, tetapi kehadiran lelaki asing yang ada bersama-sama mereka, menyebabkan Ayuni hanya memendamkan hasrat hatinya.
 “Hishh…kau ni.  Kalau ye pun nak tahu, tak boleh ke kau tanya satu-satu.  Dah macam polis pencen!” balas Ayuni tidak puas hati.  Taufik hanya tersenyum melihatkan kedua-dua gadis di hadapannya itu ‘bertekak’.
 “Ok…ok…kalau kau segan nak cerita sebab ada Encik Taufik ni, kita cerita kat rumah ajelah nanti.  Sekarang ni kita nak makan.  Aku dah lapar ni.  Dah penat aku tanya, kau nak order apa?” potong Hanis pantas.
Memang tak tahu malu si Hanis ni!
 “Hanis…kau order ajelah.  Aku makan aje apa yang  kau order” balas Ayuni yang malas nak melayan kerenah Hanis apatah lagi dia perasan yang Taufik asyik merenungnya sedari tadi.
 Hishh! Rimas betullah.  Apa yang tak kena dengan muka aku ni?  Tengok orang macam nak telan!
  Ayuni merungut di dalam hati.
 Sebaik sahaja hidangan yang dipesan sampai, mereka terus menikmati hidangan.  Berselera sungguh si Hanis makan, sedangkan Ayuni dan Taufik seolah-olah terpaksa menelan makanan itu kerana di dalam hati masing-masing sedang bermonolog.  
Bagi Taufik, gadis yang sedang duduk di hadapannya itu cukup istimewa.  Walaupun dia sendiri belum mengenali gadis itu sepenuhnya, tetapi entah kenapa jauh di sudut hatinya, dia dapat merasakan ada sesuatu yang istimewa mengenai gadis itu.  Kali pertama terpandang gambar Ayuni yang tersenyum manis bersama Hanis, hatinya sudah mula berdebar-debar.  Belum pernah lagi dia merasa suatu perasaan yang halus sebaik terpandang gambar mana-mana gadis pun, tetapi berbeza dengan Ayuni.  Hatinya terus tertarik walaupun dengan hanya melihat sekeping gambar.
Bermula dari situ, hatinya mula meronta-ronta ingin mengenali Ayuni dengan lebih dekat lagi dan kerana itu dia tidak teragak-agak untuk menawarkan peluang pekerjaan di Menara Holding kepada Ayuni dan kerana terlalu mengharapkan Ayuni akan diterima berkhidmat di Menara Holding, dia sanggup memberikan idea gila lagi berisiko kepada Ayuni dengan mengaku fasih berbahasa Jepun.
Bagi Ayuni pula, harapannya untuk menamatkan zaman menganggurnya hampir berkubur, setelah berlaku insiden yang amat memalukan tadi.  Kadangkala dia hampir berputus asa.  Kenapalah susah sangat untuk mendapatkan kerja yang baik sekarang ini?  Kerja yang sesuai dengan kelulusan yang dimilikinya.  Belajar sikitlah punya susah!  Berhempas pulas siang malam dia mentelaah pelajaran kerana course perakaunan yang diambilnya bukan calang-calang course.  Ramai teman-teman sekuliahnya dahulu menggelarkan course yang diambilnya itu adalah killer course.
Syukur Alhamdulillah.  Berkat usahanya yang tidak mengenal erti penat itu membuahkan hasil apabila dia dikurniakan ijazah kelas pertama dan yang lebih manis lagi apabila dia dianugerahkan dengan ‘anugerah dekan’ semasa majlis konvokesyennya dahulu.  Rasa bangga dan terharu tidak dapat dibendung kerana dia adalah diantara beberapa anak melayu yang memperolehi keputusan secemerlang itu kerana biasanya ia didominasi oleh bangsa-bangsa lain.
Tetapi tidak disangkanya, keputusan cemerlang yang diperolehinya itu, bukanlah satu laluan mudah untuk menyandang jawatan yang telah menjadi cita-citanya sejak dahulu lagi.  Betullah kata seorang temannya dahulu.  Keputusan yang cemerlang tidak cukup untuk menjamin seseorang itu mudah untuk mendapatkan pekerjaan tetapi perlu juga dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran dalam berkomunikasi dan bagaimana seseorang itu menyesuaikan diri dengan khalayak.  Seseorang itu perlu bijak mengadaptasikan diri dengan suasana dan persekitaran kerja yang secara totalnya amat berbeza dengan teori yang dipelajari.
Dan apa yang berlaku semasa sesi temuduga tadi, secara dasarnya sudah menunjukkan dia gagal dari segi sahsiah diri dengan menonjolkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan PENIPU seperti yang didakwa oleh lelaki muda yang entah siapa namanya tadi!

           


No comments:

Post a Comment