Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 12



Aku sudah tidak sabar-sabar dan aku tidak boleh menunggu lagi.  Sebaik sahaja tetamu-tetamu orang tuaku tadi beredar, aku terus sahaja bertanya.
“Ayah….ibu….apa hal sebenarnya ni?  Wani tengok ayah dan ibu macam cuba sorokkan sesuatu dari Wani aje….siapa sebenarnya mereka tu tadi?”, soalku tidak puas hati. 
Sedari tadi aku hanya menahan hati.  Apa yang pelik, kedua-dua tetamu ibuku itu galak bertanya berbagai-bagai soalan yang berkisar hanya mengenai diriku secara terbuka sedangkan ibuku pula seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu.  Aku terpaksa juga menjawab soalan-soalan mereka, walaupun aku semakin pening tentang apa yang sedang berlaku ketika itu.
Kadang-kadang aku merasakan situasi tadi seolah-olah sesi temuduga dan suaikenal.  Cuma bezanya aku ditemuduga di rumahku sendiri.  Dari soalan-soalan yang diajukan kepadaku tadi, semakin menguatkan firasatku.
Aku dapat melihat ibu dalam keadaan serba salah.  Belum pernah aku melihat ibu berkeadaan begitu denganku.  Selalunya perbualan mesraku dengan ibuku akan diakhiri dengan leteran ibu apabila perbualan itu mula menyentuh soal pasangan hidupku.  Ayah pula seperti biasa kelihatan tenang.  Mungkin ayahku juga tersepit antara keinginannya untuk melihatku berumahtangga dan juga rasa hormat terhadap pendirianku mengenai soal jodohku selama ini.
“Mah…saya rasa elok aje awak berterus terang dengan si Wani tu….kenapa pulak kita nak sorokkan benda yang baik?  Lagi pun anak dara awak ni bukannya budak-budak lagi…”, tiba-tiba ayah bersuara setelah suasa agak hening tadi apabila masing-masing hanya membisu.
Kata-kata ayah membuatkan jantungku agak bergegup kencang.  Ternyata mereka memang ada merancang sesuatu di belakangku.  Apa yang ayah maksudkan dengan ‘benda baik’?  Aku semakin tidak keruan dengan sikap membisu ibu.
Ya Allah….apa yang sebenarnya  cuba dilakukan kedua orang tuaku ini?
“Ibu…kenapa ibu diam aje dari tadi?  Ibu tau tak, sikap ibu macam ni buatkan Wani makin takut.  Apa sebenarnya yang ayah dan ibu cuba buat ni?  Tolonglah….cuba beritahu Wani….”, rayuku hampir menangis.  Aku langsung tidak menyangka ibu tergamak memperlakukan aku begitu. 
Setelah sekian lama membisu, akhirnya ibu bersuara juga setelah puas didesak olehku dan juga pujukan ayah.
“Mereka berdua datang tadi tu sebenarnya untuk merisik….”, ucap ibu perlahan.  Mungkin sudah bersedia dengan reaksiku.
“Hah??  Apa?  Merisik? Merisik siapa?”, soalku panik. 
Tiba-tiba sahaja seluruh badanku seram sejuk.  Rupa-rupanya apa yang berlaku lebih teruk dari yang aku sangkakan.
“Siapa lagi?  Ada sesiapa lagi ke anak dara di rumah ni?”, balas ibu sinis.
Aduh!  Aku rasa nak pitam.  Cepat-cepat aku mencari tempat duduk kerana bimbang aku akan terjelepok sebaik mendengar penjelasan ibu nanti.
“Kenapa pulak mereka nak risik Wani?  Nak merisik Wani untuk siapa?”, soalku masih dengan nada tinggi. 
Aku cuba mengawal diriku.  Aku bimbang aku dengan tidak sengaja bersikap biadap terhadap ibuku kerana ketika itu aku memang cukup marah dengan tindakan ibuku itu.
“Merisik kamu untuk jadikan menantu mereka….isteri kepada anak bujang mereka…”, sambung ibu lagi.
Tanpa kusedari, air mataku mula bergenang di kelopak mata.  Sampainya hati ibu buat aku begini.  Langsung tidak berbincang apa-apa denganku.
“Kenapa ibu buat macam ni?  Ibu langsung tak bincang apa-apa dengan Wani….nasib baik hari ni Wani tergerak nak balik kampung, kalau tak mungkin Wani langsung tak tahu apa-apa….”, luahku sebak.
“Nak berbincang dengan kamu?  Boleh ke kamu tu diajak berbincang?  Pantang ibu sebut soal jodoh, mulalah nak mengelak.  Ada saja alasan kamu bagi….apa kamu ingat kamu tu makin muda ke?  Si Wardah tu dah nak masuk dua dah anak dia…..kamu tu bila lagi?  Kamu ingat ibu dan ayah ni suka-suka nak buat macam ni?  Kami buat macam ni sebab kami nak tengok kamu berumahtangga…macam perempuan normal yang lain!  Kami ni tertunggu-tunggu bila kamu nak kenalkan bakal suami kamu tu pada kami…..tapi nampaknya sampai kami mati pun, memang tak adalah nampaknya….”, leter ibu panjang lebar. 
Seperti biasa, keadaan akan jadi terbalik bila sebut soal jodohku.  Aku yang sepatutnya marah, tapi sebaliknya pula dimarahi.
“Ibu tak percaya soal jodoh ke?  Belum sampai jodoh Wani….nak buat macam mana?  Bila dah ada jodoh, tak payah ibu nak susah-susah macam ni…Wani sendiri akan bawa bakal suami Wani pada ibu!”, balasku juga tidak mahu kalah.
Aku melihat ibu ketawa.  Mentertawakan kata-kataku tadi.
“Bila?  Bila masanya kamu nak bawa bakal suami kamu tu jumpa ayah dan ibu?  Bukannya ibu tak tahu….sikap kamu tu kalau dengan lelaki yang sukakan kamu memang tak ubah macam singa….lelaki mana yang nakkan perempuan macam ni?  Tengok aje apa yang kamu dah buat pada anak Ustazah Fauziah tu?  Jangan sebut soal jodoh kalau kamu tak tahu apa itu jodoh…..jodoh tu bukan datang bergolek….harus diusahakan juga.  Kalau dengan gaya hidup kamu yang macam ni, sampai bila-bila pun jodoh tu takkan datang! Apa kamu nak tunggu si Fauzan tu datang meminang kamu lagi?  Tak payah beranganlah!  Kalau si Fauzan tu berani datang, memang ibu halau dia cukup-cukup!”, pedas sungguh kata-kata ibu itu hingga mengguris perasaanku.
Tersentak aku di saat ibu menyebut nama lelaki durjana itu.  Seboleh-bolehnya aku tidak mahu sesiapa pun menyebut nama lelaki itu lagi.  Aku sudah malas hendak bertekak dengan ibu apatah lagi dia mulai menyebut nama itu.  Memang aku takkan menang bila sebut soal ini.  Aku beralih memandang ayah yang sedari tadi hanya menjadi pendengar.  Kelipan mata ayah cukup untuk memujuk aku agar mengalah.
“Baiklah….kalau ibu nak tengok sangat Wani kahwin, ibu terima sajalah pinangan sesiapa pun yang ibu suka.  Wani ikut aje dan takkan membantah lagi….”, luahku akhirnya seraya bangun meninggalkan kedua-dua orang tuaku menuju ke bilikku.
Aku langsung tidak memandang wajah ibuku.  Aku sendiri tidak tahu apa reaksi ibuku terhadap kata-kataku itu.  Adakah dia gembira dengan apa yang telah ku putuskan tadi?  Atau dia sedar yang aku langsung tidak ikhlas dengan kata-kataku tadi.
Di dalam bilik, aku menangis sepuas-sepuasnya.  Aku dapat merasakan yang aku sudah tidak mampu untuk melakukan apa-apa lagi apatah lagi untuk membantah rancangan ibu.  Aku sendiri tidak sempat bertanya, mereka yang datang tadi merisik aku untuk siapa dan aku memang tidak mahu tahu.  Aku tidak peduli siapa pun, asalkan ibu suka, aku akan turutkan saja.  Aku sudah puas dikatakan sebagai anak yang tidak tahu mengenang jasa bila aku kerap menolak permintaan ibu.  Biarlah aku mengalah kali ini.  Biarlah aku berkorban jika itu dapat menggembirakan hati ibuku.

AKU langsung tidak bercakap semasa menolong ibu menyediakan hidangan makan malam.  Tidak sampi pula hatiku untuk terus memerap di dalam bilikku sedangkan tujuan aku balik ke kampungku, adalah untuk melepas rindu kepada kedua-dua orang tuaku dan menolong apa yang patut, tetapi setelah apa yang berlaku petang tadi, kepulanganku kali ini agak hambar kerana ibu juga seakan-akan tidak mahu mengalah kali ini.  Dia berlagak seperti tiada pertengkaran yang berlaku antara kami.
Ayah yang menyedari perubahan sikapku, cuba untuk mewujudkan suasana ceria di meja makan walaupun ianya kelihatan agak janggal tetapi ibuku tetap ibuku, apabila tanpa rasa bersalah dia terus menyampaikan sesuatu kepadaku.
“Malam esok pakcik Megat dan makcik Maznah ajak kita keluar makan malam….mereka nak kenalkan anak bujang mereka pada ayah dan ibu…..”, ucap ibu selamba tanpa rasa bersalah.
“Ayah dan ibu pergilah…..”, balasku malas.
“Kamu pun kena pergi sekali!”, arah ibu tegas.
“Nak buat apa pulak Wani pergi….mereka kan nak kenalkan anak bujang mereka dengan ayah dan ibu…..”, sambungku lagi sengaja ingin mengenakan ibu.
“Memanglah….tapi yang penting, mereka nak kenalkan bakal suami kamu tu dengan kamu!”, balas ibuku pula langsung tidak mempedulikan reaksi aku.
Wah!  Nampaknya ibu sudah berani menyebut perkataan bakal suami kepadaku.  Adakah ini bermakna ibu juga tidak akan mengalah lagi dengan sikapku?
“Tak payahlah nak kenalkan…..Wani dah kenal sangat pun!”, balasku selamba.  Walaupun ibu langsung tidak menyebut siapa lelaki yang bakal dipertemukan denganku, tetapi aku memang sudah tahu.  Siapa lagi kalau bukan Tuan Megat?
“Hah!  Dah bagus sangatlah tu…tak payah susah-susah nak buat surprise pada kamu.  Kalau betul pun kamu dah kenal dia, itu kenal secara tak rasmi….sekarang mereka nak kenalkan anak mereka tu secara rasmi pada kami….dan juga kamu tu…”, sambung ibuku lagi.
“Tapi esoknya Wani sekolah….Wani memang malas nak keluar kalau malam hari bekerja…..”, aku memberi alasan.
“Bukan nak suruh berkenalan sampai subuh!”, balas ibu selamba.  Memang ibuku seorang yang brutal!
Terasa pahit makanan yang ku telan.  Seperti tadi, aku malas hendak bersoal jawab dengan ibu kerana apa yang pasti hatiku yang bertambah sakit!  
Sudah terbayang-bayang  wajah Tuan Megat yang akan tersenyum sinis saat diperkenalkan kepadaku nanti.  Pasti dia seronok sangat mentertawakan aku nanti.  Apataknya, selama ini aku secara terang-terang menolak dirinya dari cuba mendekatiku, tetapi tiba-tiba aku terpaksa akur kepada kehendak kedua orang tuaku terutama ibuku dan kedua orang tuanya.
Sungguh aku tidak menyangka begini pengakhiran kisah kami.  Kenapalah perkara yang paling aku tidak mahu, tetapi itulah yang kerap datang kepadaku.  Kenapakah aku diuji sebegini rupa?  Aku terlalu mengangankan keadaan di mana aku secara rela jatuh hati pada seorang lelaki dan terus sahaja mengkhabarkan berita gembira itu kepada kedua-dua orang tuaku terutama ibu tetapi malangnya saat itu tidak muncul-muncul dalam hidupku.  Mungkin sudah tersurat, aku terpaksa melalui perkara ini semua….

No comments:

Post a Comment