Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 13




Malam itu, seperti yang dijanjikan, kami berjumpa di Café Banaffe.  Sebuah restoren yang agak eksklusif yang terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru kepunyaan bapa kepada aktres Betty Banaffe.  Kami tiba agak lewat disebabkan kami terpaksa memandu kereta secara berasingan sewaktu bertolak dari kampung tadi memandangkan aku akan terus pulang ke rumah sewaku, manakala ayah dan ibuku pula akan terus pulang ke kampungku sebaik sahaja selepas pertemuan ini kerana keesokan harinya, kami semua bekerja.  Kami bertambah lewat apabila ayah dan ibuku terpaksa singgah di rumah sewaku untuk menghantar keretaku.  Aku menaiki kereta bersama ayah dan ibuku menuju ke tempat pertemuan itu.
Kehadiran kami disambut oleh Encik Megat Tajuddin dan Puan Maznah.  Bukan main mesra lagi keempat-empat mereka.  Berpeluk cium sakan, sementara aku hanya menjadi pemerhati setia.  Ketika itu, aku dapat melihat, Tuan Megat juga sepertiku, menjadi pemerhati kepada adegan peluk memeluk kedua-dua orang tua kami.
Aku dapat merasakan Tuan Megat tersenyum memandangku di saat kedua-dua orang tua kami yang riuh bertanya khabar bagaikan berpuluh-puluh tahun tidak berjumpa sedangkan baru sahaja kelmarin orang tua Tuan Megat datang bertandang ke rumahku.  Dia begitu asyik merenungku.  Aku sendiri tidak faham maksud renungan dan senyumannya itu.  Adakah senyuman itu ikhlas atau senyuman untuk menyindirku.  Apataknya, aku yang cukup dikenalinya sebagai seorang yang berhati batu, tiba-tiba sahaja malam ini, aku boleh berdiri terpacak bersama orang tua kami.  Aku menghadiahkan jelingan maut kepadanya tetapi apa yang menggeramkan aku, jelinganku itu dibalasnya dengan kenyitan matanya.  Huh!  Menyampah betul aku!
“Eh, Wani…sila….sila…duduk.  Kenapa pulak terpacak kat situ?  Irfan…kenapa tak ajak Wani duduk sekali?”, tiba-tiba Puan Maznah riuh menegurku dan Tuan Megat setelah melihat kami hanya saling membalas renungan dari jauh.
Irfan?  Erkk…itukah panggilan untuk Tuan Megat?  Hishh!!  Aku rasa tak sesuai langsung nama itu.  Langsung tak sepadan dengan empunya nama kerana padaku Irfan itu layak dimiliki oleh seorang lelaki yang penuh dengan budi bahasa bukan seperti lelaki brutal ini!
Aku mengambil tempat di sebelah ayahku, sekali gus berhadapan dengan Tuan Megat.  Tempat yang memang nampaknya sudah ditempah khas untuk enam orang.  Sementara menunggu makanan yang dipesan sampai, mereka semua berbual-bual mesra kecuali aku dan Tuan Megat.  Aku rasa seperti hendak beralih tempat kerana tidak sanggup rasanya duduk setentang dengannya kerana aku merasakan kedudukan itu sengaja memberi ruang untuknya mengenakan aku dengan pandangan matanya.  Kami tidak perlu berbicara kerana dari pandangan mata kami sudah cukup untuk kami bertengkar dalam diam.  Aku pura-pura sibuk membelek telefon bimbitku kerana tidak mahu berlaga pandangan mata dengannya.
Tiba-tiba kedengaran mesej masuk.  Aku terus membacanya.
Wani nampak cantik malam ni…
Aku mengangkat wajahku dan memandangnya sekilas.  Sempat pulak dia nak bermesej denganku.  Aku balas juga mesejnya.
Mcm ni pn cantik??!!  Dah takde benda lain nk puji ke?(smiley penumbuk)
Aku dapat mendengarnya ketawa.  Ketawa yang cuba ditahan.  Mesej masuk lagi.
Aduh!  Sakitnya….boleh tahan penumbuk…(smiley kenyit mata)
Tau takpe!  Itu belum penumbuk betul lagi.  Silap haribulan mahu lebam biji mata aku kerjakan!  Aku hantar pula mesej tidak puas hati kepadanya.
Ini semua awak punya idea kan?  Nk makan malam bagai….tau x esok saya sekolah?
Aku mengangkat wajahku sedikit untuk melihat reaksinya tetapi entah kenapa malam itu dia sungguh murah dengan senyuman.
Ingat Wani sorg saje ke kerja??  Saya ni? (smiley flying kiss)
Memang dia sengaja nak provok aku!
Dah tu yg gatal2 ajak makan malam jauh2 mcm ni kenapa?? (smiley muka merah padam)
Dia balas lagi.
Rindu kat Wani….(smiley love berderet-deret)
Aku tak terkata.  Baru saja aku ingin membalas mesejnya, tiba-tiba kami ditegur.
“Ehem!  Takkanlah nak main mesej-mesej aje kot?  Kenapa pulak nak bermesej-mesej?  Kan dah duduk berdepan tu….berbual ajelah….”, tiba-tiba Encik Megat Tajuddin bersuara.
Hampir terlepas telefon bimbitku sebaik sahaja mendengar suara ayah Tuan Megat.  Tidak ku sangka mereka begitu asyik memerhatikan kami kerana aku sangkakan mereka begitu khusyuk berbual.  Maklumlah berpuluh-puluh tahun tak jumpa!
“Hmmm….Din…Zaimah…nampaknya kita ni tak payahlah susah-susah nak kenalkan anak-anak kita ni….mereka lagi advance dari kita.  Dah berkenalan sakan rupa-rupanya!”, tiba-tiba ibu Tuan Megat pula mencelah.
“Itulah….tapi tadi nak ajak si Wani ni keluar bukan main susah lagi.  Gayanya macam langsung tak kenal dengan si Irfan, rupa-rupanya bukan main mesra lagi…”, ibuku pula mengiakan kata-kata Puan Maznah.
Ewah!  Bukan main sedap lagi ibu mengata aku.  Padahal semasa di dalam kereta tadi, bukan main lagi dia warning padaku agar jaga tingkah laku.  Jangan berkata apa-apa sehingga ditanya kerana katanya dia tahu sangat mulutku ini pantang terkena cepat sahaja menjawab, tetapi nampaknya sekarang ini ibu yang lebih-lebih.  Bila pulak aku bermesra dengan Tuan Megat?  Apa mereka tidak boleh tengok ke reaksi aku terhadap Tuan Megat?
“Alhamdulillah…..nampaknya tak sia-sia ya bang kita datang jauh-jauh ke sini….tak sangka kerja kita ni jadi mudah.  Ingatkan nak kenalkan si Irfan ni dengan Wani, tak sangka pulak mereka dah berkenalan dulu…dulu bukan main lagi, bila saya bagi gambar si Wani pada Irfan, beria menolak.  Tak mahu saya carikan jodoh untuk dia….yelah nak cari sendiri konon katanya….dalam diam rupa-rupanya dah berkenalan dulu…..”, panjang lebar Puan Maznah bercerita segala perkara yang aku sendiri tidak tahu sebelum ini.
Aku tiba-tiba terfikir, agak-agaknya apa yang Tuan Megat ceritakan tentang diriku kepada ibunya?  Adakah dia menceritakan perihal tingkah laku aku yang kasar kepadanya?  Apa rahsia yang telah dikorek oleh ibunya dari ibuku?  Apa pula yang ibuku telah ceritakan kepada ibunya kerana apa yang kulihat, segalanya mengenai perkenalan aku dan Tuan Megat seolah-olah telah diatur dengan cantik.  Kesemua soalan-soalan itu berlegar-legar di fikiranku. 
Seolah-olah sudah ada skripnya dan Tuan Megat hanya perlu melakonkan sahaja.  Aku dapat merasakan mereka yang ada di sekelilingku ini seolah-olah sudah tahu akan rancangan untuk memperkenalkan kami, nampaknya cuma aku sahaja yang tidak tahu.  Aku betul-betul tidak sangka, sejauh ini sekali rancangan mereka.
“Kalau Wani nak tahu, si Irfan ni bukan main beria lagi nak tahu fasal Wani.  Boleh katakan tiap-tiap malam dia akan call makcik untuk bertanya fasal Wani.  Mula-mula makcik memang agak pelik juga, sebab seingat-ingat makcik dah lama sangat makcik bagi gambar Wani pada dia tapi lepas tu takde apa-apa respon dari Irfan.  Makcik faham sangat perangai si Irfan ni…..kalau dah diam aje tu, maknanya memang dia tak berminatlah.  Makcik pun malas nak paksa-paksa sangat….tapi tup-tup, kalau tak silap makcik dalam dua tiga minggu lepas, dia sibuk bertanya fasal Wani.  Makcik nak cerita lebih-lebih fasal Wani, makcik pun tak tahu sangat.  Makcik terpaksa banyak bertanya pada ibu Wani…..rasanya tak puas pulak berbincang di telefon.  Terus saja kami ke mari jumpa ayah dan ibu Wani…..lagi pun, sejak si Irfan ni ditransfer ke JB ni, memang makcik dan pakcik memang belum pernah melawat dia di sini…..agaknya memang dah jodoh dia nak dapat orang Johor…..”, begitu bersemangat Puan Maznah bercerita tentang anak bujangnya kepadaku.
Jodoh?  Awalnya nak bercakap fasal jodoh.  Aku rasa telingaku tegak mendengar bait-bait ayat di hujung kata-katanya tadi.
Aku tidak tahu hendak menunjukkan reaksi apa sepanjang ibu Tuan Megat itu bercerita.  Tuan Megat pula sesekali kulihat seperti menghalang ibunya dari bercerita kesemua mengenainya kepadaku tapi malangnya, memang ibunya dan ibuku sefesyen!  Lagi ditegah lagi seronok dibuatnya.
Oh!  Itu rahsianya rupa-rupanya.  Jika aku fikir-fikirkan semula, ini bermakna Tuan Megat sibuk ingin tahu mengenai aku dari ibunya semenjak insiden aku disamannya dahulu.  Kenapalah aku cuai sangat hari itu hingga disaman olehnya.  Jika tidak, hidup aku pasti tidak akan serumit sekarang ini tapi siapalah aku untuk menidakkan takdir tuhan.  Sememangnya semua ini telah ditakdirkan untukku.  Walaupun aku cukup masak akan hakikat itu, tetapi kedegilan hatiku tetap ingin menidakkan kehadirannya dalam hidupku.
“Wani….makcik nak beritahu perkara yang sebenarnya.  Irfan ni memang betul-betul sukakan Wani….tapi katanya dia tak tahu macam mana nak cakap dengan Wani sebab dia nampak memang Wani langsung tak sukakannya.  Kalau Wani tanya kenapa dia suka sangat pada Wani, makcik pun tak tahu jawapannya.  Hanya Irfan yang tahu jawapannya.  Makcik masak sangat dengan perangai anak bujang makcik ni…..kalau dia kata suka bermakna dia memang benar-benar suka….begitu juga sebaliknya….kalau dia diam seribu bahasa, bermakna memang dia tak suka.  Jadi di kesempatan ni, makcik dan pakcik ambil peluang untuk merisik-risik tentang Wani dari ibu dan ayah Wani….makcik harap Wani tak salah faham dengan Irfan lagi mengenai perkara ni…..”, sambung Puan Maznah lagi.   Dialah yang paling banyak bercakap dari yang lain.
Nampaknya Tuan Megat telah melantik ibunya sebagai jurucakapnya kerana aku dapati dia langsung tidak bersuara.  Hanya sesekali mataku dan matanya berlaga pandangan apabila aku ingin mencari kebenaran akan kata-kata ibunya itu.  Apa yang lebih merimaskan aku, bibirnya tidak lekang dengan senyuman.  Sebaliknya aku yang bengang kerana langsung tidak berpeluang untuk menyatakan perasaanku terhadap Tuan Megat pula.  Memang Puan Maznah bersungguh-sungguh mempromosikan anak bujangnya kepadaku.
Mulutku ringan saja ingin menyatakan apa yang kurasa tetapi renungan ibu cukup memberi amaran kepadaku agar tidak melakukannya.  Demi menghormati perasaan kedua-dua pasangan suami isteri itu dan juga ayah dan ibuku, aku cuba mengawal perasaanku, apatah lagi aku teringat akan amarannya semasa di dalam perjalanan ke sini tadi.
Aku benar-benar rimas berada di dalam situasi ini.  Di zaman yang serba moden, peralatan serba canggih, media sosial begitu berleluasa, masih wujudkah jodoh yang diaturkan?  Kalau dilihat pada rupa paras Tuan Megat, aku tidak nampak sebab yang munasabah hingga ibu bapanya terpaksa mencarikan jodoh untuknya.  Aku memang terlalu sukar untuk percaya akan kata-kata ibunya kerana baru sebentar tadi aku mendengar dari mulut ibunya sendiri, yang dia langsung tidak berminat denganku pada awalnya.  Bukan sahaja dari mulut ibunya, malah Tuan Megat juga pernah memberitahu aku sendiri dahulu, tapi kenapa pula tiba-tiba sahaja dia berubah suka kepadaku?  Kalau difikirkan secara logik, aku tidak nampak sebab yang munasabah untuk dia ‘terlalu’ menyukai aku seperti dakwaan ibunya tadi.  Mustahil dengan sikap kasarku dia boleh bertambah suka.  Hanya mereka yang kepalanya tidak berapa betul yang akan berperasaan begitu.  Ini bermakna memang ada something wrong dengan Tuan Megat!
“Jadi, macam mana dengan Wani?  Wani setuju dengan rancangan kami ni?”, soal Puan Maznah lagi setelah melihat aku hanya mendiamkan diri.
Aku agak tersentak dengan soalan itu.  Adakah aku sedang dilamar sekarang ini?  Aku rasa inilah detik yang aku tunggu-tunggu sejak tadi, iaitu bertanyakan pendapatku pula.  Sungguh tidak adil apabila aku tidak diberi ruang untuk berbicara.  Aku nekad untuk menyatakan perasaanku kerana aku sedar, aku akan hanya melukakan perasaanku sendiri sekiranya aku terlalu ingin menjaga perasaan orang lain sedangkan aku yang bakal melalui kehidupan itu.  Oleh kerana itu, aku lebih berhak untuk menyatakan apa yang kurasa.
Seolah-olah boleh membaca apa yang ada di dalam fikiranku, baru sahaja aku ingin membuka mulut, tiba-tiba sahaja ibuku telah menjawab bagi pihak diriku hinggakan aku sudah terkunci mulut untuk berbicara.
“Kalau tanyakan pada empunya diri, saya rasa sudah tentulah dia malu nak menjawab.  Sebagai ibu, saya masak sangat dengan sikapnya.  Kalau Irfan tengok sikap Wani sebelum ini, apa yang boleh makcik katakan, semua itu bersebab.  Dia ada sebab kenapa dia bersikap begitu.  Jadi, makcik harap Irfan boleh faham dan bersabar sikit dengan perangai Wani….sebab sebenarnya dia anak yang cukup baik….”, ibu menjawab bagi pihak diriku.  Aku dapat mendengar nada sebak di hujung kata-katanya itu.
Aku yang pada mulanya cukup marah dengan tindakan ibu yang ku anggap memandai-mandai, tersentuh juga sebaik dia mengatakan aku anak yang baik kerana aku akui, memang semenjak aku dikecewakan dahulu, sikapku banyak menguji kesabarannya.  Api kemarahanku yang sedang marak disebabkan ibuku cuba mengaitkan kisah silamku, terasa tiba-tiba sahaja terpadam.  Sentuhan tangan ayahku menyejukkan lagi perasaanku.  Dari nadanya tadi, aku dapat merasakan betapa dia begitu mengharapkan aku menemui kebahagiaan setelah dia melihat sendiri bagaimana aku dikecewakan dahulu.  Mungkin cara ibuku yang agak agresif selama ini, menyebabkan aku tidak pernah sedar akan apa yang ibuku rasa selama ini.
“Ya tak ya juga….apalah awak ni Maznah….dah tentulah si Wani ni malu nak menjawab….apatah lagi bertanya di depan si Irfan pulak tu….kalau saya jadi dia, saya pun malu nak jawab….”, Encik Megat Tajuddin menyokong kata-kata ibuku. 
Dari gaya percakapan pasangan suami isteri itu, aku dapat merasakan yang mereka langsung tidak tahu bahawa aku memang tiada sebarang perasaan terhadap anak mereka.  Mungkin disebabkan tindakan ibuku yang mereka-reka cerita seolah-olah aku terlalu menyukai anak bujangnya itu, menyebabkan mereka tidak menyedari akan hal itu.

No comments:

Post a Comment