Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 14



Selepas pertemuan antara dua buah keluarga tempoh hari, aku lebih banyak menyepikan diri terutamanya daripada ibuku dan Tuan Megat sendiri.  Aku tidak tahu, adakah itu sebagai satu bentuk protes dariku atau apa.  Ternyata sikap kedua-dua mereka, ibuku dan Tuan Megat seolah-olah senada apabila mereka juga sepertiku, menyepikan diri.  Mungkin mereka cuba memberi ruang untukku berfikir.
Kata-kata ibuku sewaktu menghantar aku pulang ke rumah sewaku cukup tegas dan sehingga saat ini ianya cukup terkesan di hatiku.
“Kalau Wani cuba juga untuk memalukan ayah dan ibu, ibu takkan masuk campur lagi dalam urusan jodoh Wani.  Wani bebas nak buat apa sahaja selepas itu.  Cuma satu, jangan cari ibu lagi”, tegas sungguh kata-kata ibu kepadaku malam itu.
“Mah….tak baik cakap macam tu!  Wani tu kan anak kita…..takkan disebabkan hal ni, sampai awak nak berpatah arang pulak dengan dia….”, ayahku cuba untuk menenangkan ibu yang ternyata cukup berbeza sekali sikapnya kali ini.  Walaupun ayahku sentiasa bersikap cool, tapi kadang kala dia juga bersikap lebih tegas.  Sesuai dengan statusnya sebagai ketua keluarga.
“Wani….fikirlah baik-baik.  Jangan hampakan ayah dan ibu lagi….”, ringkas sahaja kata-kata ayahku sebelum dia bertolak pulang ke kampungku.  Walaupun ringkas, tetapi cukup dalam maknanya.  Aku dapat merasakan ketegasan ayahku di dalam lembutnya.
Perasaanku yang semakin tidak keruan, menyebabkan aku terus sahaja mengambil wuduk.  Aku ingin menunaikan solat hajat.  Memohon pada ilahi agar diberikan petunjuk tentang apa yang harus aku lakukan.  Aku juga ingin memohon agar Allah mempemudahkan segala urusanku.
“Ya Allah ya tuhanku…..aku hamba yang lemah….aku tidak mampu melakukan sesuatu di luar izinmu Ya Allah….aku memohon Kau berilah petunjuk kepadaku apa yang harus aku lakukan kerana segala apa yang ada pada diriku ini adalah hakMu semata-mata.  Aku langsung tidak berhak walaupun ke atas diriku sendiri…..Kau berilah aku ketenangan dalam melalui liku-liku kehidupan ini dan Kau permudahkanlah segalanya.  Sesungguhnya hanya Engkaulah yang berkuasa….mohon Kau makbulkanlah doaku ini Ya Allah….Sesungguhnya Engkau maha pengampun dan maha mengasihani…..”, aku merintih di dalam doaku.  Aku memanjatkan doa dengan sesungguh hati agar segala kekusutan ini akan segera terlerai.  Air mataku yang gugur tanpa dipaksa-paksa membuatkan aku begitu tenggelam di dalam doaku.
Terasa jiwaku tiba-tiba sahaja menjadi tenang sebaik selesai doaku.  Mungkin dengan hati yang ikhlas dan penuh tawadduk, aku dapat merasakan kesannya dalam solatku tadi.  Sesungguhnya Allah itu maha mendengar.  Padaku, di saat-saat hatiku yang tidak keruan ini, dapat merasa ketenangan ini adalah suatu anugerah yang tidak terhingga dariNya.  Sesungguhnya ketenangan itu tidak boleh dijual beli.  Baru kini akau merasakan nikmatnya ketenangan itu.
Aku terus masuk tidur sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat hajat.  Hati yang telah beroleh ketenangan, menyebabkan mataku terus sahaja terasa mengantuk walaupun tadi puas aku cuba melelapkan mata, tetapi malangnya aku gagal.  Terasa dada begitu sempit sekali.  Terlalu banyak perkara yang aku fikirkan.
Baru sahaja aku ingin melelapkan mataku, kedengaran mesej masuk.  Aku memeriksa mesej yang masuk kerana aku agak pelik siapa yang hendak menghantar mesej dini hari begini.
-Assalamualaikum….Wani, apa khabar?  Dah tidur ke?  Boleh saya call?
Mesej dari Tuan Megat rupa-rupanya.  Aku fikirkan dia akan terus menyepikan diri dariku.
-W’slm….alhamdulillah sihat….ada hal penting ke?
-Ya…saya call sekarang…
Belum habis mesej itu aku baca, telefon bimbitku sudah pun berdering.
“Assalamualaikum….”, Tuan Megat memberikan salam.
“Waalaikumsalam….”
“Dah tidur ke?”,soal Tuan Megat lagi.
“Kalau dah tidur, siapa pulak yang sedang bercakap sekarang ni….”, jawabku selamba.
Aku dapat mendegar Tuan Megat ketawa dengan jawapan selamba derk aku itu.
“Bukan cikgu Puteri Salwani namanya kalau tak menjawab kan?”, soalnya lagi.
“Dah orang soal….kenalah jawab!”
“Maksud saya, kenapa tidur lewat?   Dah hampir pukul 2 pagi ni…..”
“Memang nak tidur, tapi dah awak call….kalau tak jawab nanti cakap yang bukan-bukan pulak!”, tempelakku.
“Awak tak nak tanya soalan yang sama pada saya?”, soal Tuan Megat lagi.
“Tanya soalan apa pulak?”, soalku pelik.  Mengada-ngada betullah dia ni!
“Kenapa saya tak tidur lagi?”
“Hmmm…..hah!  kenapa tak tidur lagi?”
“Tak boleh nak tidur…..”
“Kalau rasa tak boleh nak tidur, pergi ambil wuduk dan buat solat sunat….”, balasku.
Ewah!  Pandai pulak aku menyuruh Tuan Megat menunaikan solat sunat.  Maklumlah aku kan baru selesai tunaikan solat hajat!
“Ya….saya dah buat macam-macam solat sunat…..masalahnya makin kuat saya tak boleh tidur….nak tahu kenapa?”, soalnya mengada-ngada.
Hishh!!  Mengada-ngada betul.  Kalau nak cerita tu cerita ajelah…tak payahlah nak soal-soal bagai!  Letih aku nak menyoal dia.
“Ya….kenapa pulak?”
“Saya rindukan Wani….rinduuuu sangat-sangat…”, balas Tuan Megat dengan menyebut perkataan rindu bukan main panjang lagi.
“Kenapa pulak awak nak rindu pada saya?  Rindulah kat girl friend awak tu…..tak pun lebih baik awak rindukan ayah dan ibu awak.  Tanyakan khabar mereka di Ipoh….”
“Dah betullah tu….saya rindukan girlfriend saya….nak tahu siapa?”
Kali ini aku malas hendak menyoal.  Aku diamkan sahaja.
“Orang yang sedang bercakap dengan saya sekarang nilah girlfriend saya!”
Lawak apa pulaklah aku dengar di pagi yang hening ini?
“Sejak bila saya declare jadi girlfriend awak?”
“Bukan ke semalam kita secara rasmi dah declare jadi pasangan kekasih?”, soal Tuan Megat dengan gelaknya.  Entah kenapa di telingaku kedengaran jahat sungguh gelaknya itu.
“Ah!  Apa kelas suruh orang lain tolong cakapkan bagi pihak awak?”
“Apa kurangnya Wani?  Orang lain juga bercakap bagi pihak Wani….”
“Saya tak berpeluang dan diberi peluang untuk bercakap apa yang saya rasa!”, nada suaraku mula hendak meninggi tetapi entah kenapa tiba-tiba sahaja aku teringatkan kata-kata ibuku semalam.  Jika aku terus bersikap begini, aku bimbang apa yang disebutkan oleh ibu semalam akan menjadi kenyataan.
“Apa yang Wani rasa?”, soal Tuan Megat dengan nada yang agak terkilan.
Aku terdiam seketika.  Keliru sama ada harus berterus terang apa yang ku rasa atau aku pendamkan sahaja perasaanku itu.  Terasa begitu sukar sekali apabila aku tidak menjadi diriku sendiri.
“Wani….saya tanya ni…apa yang Wani rasa?”, ulang Tuan Megat lagi setelah aku tidak memberikan sebarang jawapan kepada soalannya itu tadi.
“Saya rasa…kenapa kita dipertemukan dengan cara yang begini?….”, akhirnya itu yang terluah dari mulutku.  Lain yang hendak diucapkan lain pula yang keluar.
“Wani menyesal?”
“Ya…err…maksud saya cara kita dipertemukan agak dikesalkan….”, aku masih cuba meluahkan apa yang ku rasa secara beralas.
“Wani tak percaya pada takdir?”
“Siapalah saya untuk tidak percaya kepada takdir?”
“Dah tu…kenapa Wani nak persoalkan takdir tuhan?  Dah tersurat kita dipertemukan dengan cara begini….dan sepatutnya kita bersyukur kerana orang tua kita yang jadi perantara kita….Wani tak terfikir ke restu orang tua tu membawa keberkatan….”
“Sebab saya rasa….awak pengecut!”
“Pengecut?  Apa maksud Wani saya pengecut?”
“Pengecut sebab menggunakan orang lain untuk kepentingan awak!”
“Gunakan orang lain?  Siapa?  Orang tua saya?  Orang tua Wani?  Mereka bukan orang lain tetapi ahli keluarga kita sendiri Wani….ya saya mengaku saya gunakan orang tua saya dan orang tua Wani untuk kepentingan saya….tapi macam saya katakan tadi, restu orang tua akan membawa keberkatan dalam hidup kita….saya tak mahu membelakangkan mereka….”
“Tapi kenapa baru sekarang?  Kenapa tidak dari dulu?”
“Wani…setiap orang ada kisah di dalam hidup mereka….seperti Wani, saya juga begitu….”
“Kisah apa?  Apa yang awak tahu fasal saya?”, aku sudah mula panas apabila aura-aura untuk mengaitkan dengan kisah silamku sudah dapat aku rasakan.  Adakah dia tahu kisah silamku?
“Wani…kenapa harus melenting bila kisah silam kita disebut semula….bukan ke hari ini akan jadi lebih baik dari semalam bila kita jadikan kisah silam yang pahit itu sebagai pengajaran untuk kita…..”
Aku semakin keliru apa yang cuba Tuan Megat sampaikan.  Apa yang pasti aku tidak suka ‘orang luar’ pandai-pandai hendak mengulas kisah silamku kerana mereka semua tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. 
“Awak tak berhak untuk cakap soal kisah silam saya!  Awak tak tahu apa-apa pun….kalau awak tahu pun mungkin ianya tidak tepat langsung!”, tegasku.
Takpelah….tak penting untuk saya tahu apa sebenarnya berlaku….Cuma apa yang boleh saya katakan, Wani tak boleh menghukum diri Wani atau pun orang-orang di sekeliling Wani hanya kerana kisah silam Wani itu….life must go on….
“Bercakap memang mudah!”
“Saya tak tahu apa yang harus dan patut saya katakan…..sebab saya bukanlah orang yang selayaknya untuk menasihati Wani….yelah dengan keadaan saya yang dianggap orang asing…jadi saya tak layak mengulas….”
“Tahu takpe!
“Oklah Wani….rasanya tak patut nak bertelagah malam-malam buta begini….sebenarnya tujuan saya telefon ni sebab saya nak jumpa Wani….ada perkara yang hendak saya bincangkan….”
“Bukan ke kita tengah berbincang sekarang ni?”
“Saya tak puas bercakap di telefon….saya hendak bercakap terus dengan Wani….please saya nak jumpa Wani.  Tolong jangan tolak permintaan saya kali ini sebab saya rasa kita memang perlu duduk berbincang secara dewasa….bukannya kebudak-budakan.  Wani kena ingat, hal kita sekarang ni bukan hanya melibatkan kita berdua saja tapi tapi juga kedua-dua orang tua kita.  Jadi kita tak boleh ambil ringan…..”
Aku terdiam mendengar permintaan Tuan Megat yang ku anggap sungguh berat kerana perkara yang paling hendak aku elakkan adalah bertemu secara empat mata dengannya tetapi mendengar kata-katanya, ada benarnya juga.  Aku tidak boleh memikirkan perasaanku sahaja kerana perkara kami ini telah menjadi semakin rumit dengan campur tangan kedua-dua orang tua kami.  Aku juga memikirkan apakah implikasi kepada hubungan baik kedua-dua orang tuaku dan orang tua Tuan Megat jika apa yang mereka rancangkan untuk kami tidak menjadi.
“Ok…bila dan di mana?”, akhirnya aku mengalah.
“Alhamdulillah…..saya akan maklumkan kepada Wani nanti….terima kasih banyak-banyak Wani….”, ucap Tuan Megat dengan nada riang.
Apakah akan berlaku dalam hidupku selepas ini?  Apa yang pasti, I’ll just go with the flow.  Aku hanya berserah kepada takdir.  Aku akan cuba menjadi hamba yang redha kepada ketentuanNya.

No comments:

Post a Comment