Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 5



Sesi pengajaran dan pembelajaran pada setiap hari rabu akan tamat setengah jam lebih awal dari hari-hari yang lain.  Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk makan dan solat zohor sebelum meneruskan aktiviti ko-kurikulum sehingga jam 4.30 petang.  Aku cukup sibuk hari ini kerana ceramah mengenai keselamatan jalan raya akan disampaikan hanya kepada pelajar-pelajar tingkatan enam di dewan sekolahku sebentar lagi.
Sejak dari semalam aku sudah mula sibuk menyediakan persiapan untuk ceramah hari ini.  Aku perlu mempastikan back drop siap dipasang.  Susun atur kerusi juga perlu disediakan secukupnya kerana bilangan pelajar tingkatan enam atas dan bawah melebihi tiga ratus orang.  Semalam juga beberapa kali aku cuba menghubungi lagi Tuan Megat untuk mempastikan dia tidak lupa mengenai sesi ceramah hari ini.  Walaupun aku tidak dapat bercakap terus dengannya, tetapi keraninya yang mengesahkan akan kehadirannya.
Aku solat zohor lebih awal kerana aku perlu bersiap sebelum jam dua petang.  Ceramah akan bermula jam 2.30 petang.  Aku perlu menyambut kehadiran Tuan Megat di pintu pagar utama dan membawanya berjumpa dengan pengetuaku seketika sebelum aku membawanya ke dewan pula untuk memulakan sesi ceramah.
Tepat jam 2.00 petang, aku sudah terpacak di hadapan pintu agar utama sekolahku.  Aku menumpang berteduh di bilik pengawal keselamatan yang terletak bersebelahan dengan pintu pagar utama.  Cuaca agak panas hari itu.  Mahu rentung aku dibuatnya jika aku terus setia terpacak di hadapan pintu pagar.  Peluh sudah mula membasahi baju kurung suteraku.  Make up aku pun dah mula cair dek kepanasan cuaca di luar.  Mujurlah ada juga kipas di dalam bilik pengawal keselamatan.  Dapatlah menyejukkan badanku sedikit.  Sebagai tuan rumah, dan untuk menghormati tetamu, aku haruslah menunggu kedatangan Tuan Megat.  Aku tidak mahu penceramah undanganku terpinga-pinga mencari tempat ceramah apabila dia sampai nanti.
Jam sudah melewati jam 2.20 petang.  Namun, kelibat Tuan Megat masih tidak kelihatan lagi.  Setahu aku, jarak di antara balai polis trafik Taman Ungku Tun Aminah dan sekolahku tidaklah jauh mana.  Aku pernah mengambil masa hanya lapan minit dari area Taman Ungku Tun Aminah ke sekolahku apabila aku memandu dengan gaya pemanduan mengikut kepala sengalku.  Maksud aku, jika aku sudah terlambat ke sekolah dan kebetulan jalan agak tidak sibuk ketika itu.  Jadi, aku tidak nampak sebab mengapa Tuan Megat harus lewat.  Adakah dia tersesat?  Beberapa kali aku cuba menghubungi balai polis trafik itu, dan menurut kata keraninya, Tuan Megat sudah bergerak lima belas minit yang lalu. 
“Ke mana pulak perginya Tuan Megat ni?  Silap aku juga….patutnya aku ambil nombor telefon bimbit dia….kalau apa-apa hal, aku boleh call dia direct….”, aku mula merungut-rungut akibat resah menanti.  Dengan cuaca yang begitu terik, aku bertambah bengang.
Tiba-tiba, dari jauh aku mendengar deruman motor berkuasa besar.  Aku menjengokkan kepala ku ke pintu pagar utama.  Kelihatan seorang polis trafik berhelmet full face  sampai lengkap dengan motor trafiknya.
Aikk??  Dia datang sorang-sorang?  Naik motor trafik aje?  Aku ingatkan Tuan Megat datang siap berescort?
Aku lihat Tuan Megat dengan confident masuk ke dalam kawasan sekolahku.  Dari gayanya macam dia dah biasa datang ke sekolahku.  Aku yang berdiri di tepi pintu pagar pun tidak dipedulinya.  Dia terus memakirkan motornya di kawasan parkir yang dikhaskan untuk kereta pelawat tetapi dia dengan selamba memakirkan motor trafiknya di situ.  Sebaik sahaja dia mematikan enjin motornya, dia mula turun dari motor dan membuka sarung tangannya.  Helmetnya masih setia di kepala.
Aku berlari-lari anak menuju ke arah Tuan Megat.  Hishh!!  Apa dia tak perasankan aku ke?  Silap aku juga.  Aku sendiri tidak kenal siapa itu Tuan Megat apatah lagi dia.  Sudah tentu dia menyangkakan aku adalah di antara guru-guru yang bertugas di sekolah ini.
Aku menghampirinya.  Dia yang masih lengkap dengan full face helmetnya berpaling ke arahku.  Lama dia merenung aku.
Tak aci betul!  Dia tengok aku tapi aku tak dapat tengok muka dia.  Name tag pun dia tak pakai.  Terlupa kot?  Mungkin dia pun kelam-kabut tadi.
“Assalamualaikum….ini Tuan Megat ke?”, aku mula menyapanya setelah hampir seminit dia berdiri seperti patung merenungku.
Dia tidak menjawab sebaliknya hanya mengangguk.
“Err…Tuan tak panas ke tak buka helmet tu?”, soalku pelik.  Takkanlah dia nak beri ceramah dengan berhelmet.  Nanti pelajar-pelajarku sangkakan aku menjemput Robocop untuk beri ceramah.  Baru betul!
Tuan Megat seperti baru tersedar.  Lambat-lambat dia cuba menanggalkan helmetnya.  Dari gayanya, aku lihat dia seolah-olah keberatan hendak menanggalkan helmetnya.  Dia cacat ke?  Sebaik sahaja dia menanggalkan helmetnya, aku terkesima.  Macam nak pengsan pun ada.  Beberapa kali aku cuba menggeleng-gelengkan kepalaku.  Mataku kukelipkan beberapa kali.  Adakah aku bermimpi lagi?
Dia dengan selamba menyeluk poket seluar belakangnya dan mengeluarkan sikat.  Kemudian, dia membongkokkan badannya sikit sambil bersikat dengan bercerminkan cermin motor trafiknya.  Kemudian, dia menyeluk pula poket baju hadapannya.  Mengeluarkan name tag dan memakainya.  IRFAN WAFIY.
Sikit lagi aku hampir nak pitam.  Ya Allah…drama apa pulak ni?  Kenapa pulak mamat sengal ni yang berada di hadapanku sekarang ini.  Ke mana perginya Tuan Megat?
“Kita nak berdiri di sini aje ke?”, soalnya selamba seolah-olah tidak terkejut langsung melihat aku di situ.  Berbeza dengan aku yang sudah pucat lesi.
“Err….mana Tuan Megat?”, soalku pula tanpa mempedulikan sindirannya.
“Berdiri di depan awak sekarang ni…”, jawabnya selamba.
“Eh, tapi nama tuan kan….”, kata-kataku terhenti apabila dia memotong.
“Saya Megat Irfan Wafiy….kebanyakan anggota-anggota panggil saya Tuan Megat saja….”, balasnya dengan senyuman yang aku boleh tafsirkan hendak mentertawakan aku.
“Oh….”, aku mula memicit-micit kepalaku.  Tiba-tiba terasa hendak migraine pulak.
Anyway nice to meet you cikgu Puteri Salwani….”, dia sengaja menekan suaranya apabila menyebut nama penuhku.  Dia memang sudah lama tahu namaku disebabkan dialah orangnya yang menulis surat saman untukku dua minggu lepas.
Aku hanya mampu tersenyum kelat.  Kalau diikutkan hatiku yang sudah tidak tentu arah ini, mahu saja aku lari balik ke rumah tetapi apahal pulak dengan sesi ceramah yang telah kuaturkan untuk pelajar-pelajarku?
“Di mana saya nak bagi ceramah?”, soalannya menyedarkan aku kembali yang telah hanyut seketika tadi.
“Err…Tu…Tuan boleh ikut saya….”, penyakit gagapku datang kembali akibat perasaanku yang tidak menentu itu.
Aku jeling jam tanganku.  Aku sudah terlewat sepuluh minit dari waktu yang sepatutnya.  Ini semua disebabkan insiden yang tidak ku sangka-sangkakan tadi.  Setelah membawa Tuan Megat berjumpa dengan pengetuaku, aku bersama-sama dengan pengetuaku mengiringi Tuan Megat ke dewan sekolahku tempat di mana ceramah akan diberikan. 
Dewan yang hanya mengambil masa dua minit berjalan dari pejabat sekolahku, terasa begitu jauh sekali.  Di sepanjang perjalanan, Tuan Megat kulihat begitu ramah berbual dengan pengetuaku tanpa mempedulikan aku.  Aku merasakan diriku seolah-olah tidak wujud di situ.  Aku pun tidak kisah.  Lagi bagus kalau dia tidak kacau hidup aku lagi.
Sesampainya kami di dewan, aku terus sahaja memulakan majlis dengan memperkenalkan penceramah yang dijemput.  Aku membacakan serba sedikit biodata Tuan Megat yang baru sahaja aku perolehi darinya tadi.  Aku sekadar membacakan latar belakang perkhidmatannya sahaja kerana aku sama sekali tidak berminat ingin tahu mengenai dirinya.  Teringat akan mesej-mesej yang memualkan darinya yang dihantarkan kepadaku, membuatkan aku semakin meluat dengannya.

MASA dua jam yang diperuntukkan untuk sesi ceramah itu dirasakan begitu pantas berlalu.  Ini disebabkan cara penyampaian Tuan Megat yang begitu bersahaja telah dapat menarik perhatian pelajar-pelajarku yang kulihat begitu bersemangat sekali.  Penyampaian ceramah yang dibuat secara dua hala siap dengan simulasi lagi, benar-benar telah menarik minat pelajar-pelajarku.  Begitu juga dengan sesi soal jawab, semua pelajar-pelajarku berebut-rebut ingin bertanyakan soalan.  Satu situasi yang agak asing bagiku.  Langsung tidak sama dengan situasi bagi ceramah-ceramah motivasi yang pernah diadakan di sini.
Jauh di sudut hatiku, aku agak mengagumi cara Tuan Megat mengendalikan ceramahnya.  Dia pandai menarik perhatian audien.  Dengan cuaca yang agak panas, dan menyampaikan ceramah dalam waktu-waktu begini, biasanya pelajar-pelajarku lebih rela tidur dari mendengar, tetapi itu tidak berlaku semasa beliau menyampaikan ceramahnya.  Aku dapati, arahan-arahan tegas disampaikan dalam bentuk santai.  Kesalahan-kesalahan trafik yang kerap dilakukan oleh golongan remaja seperti pelajar-pelajarku, disampaikan dalam bentuk lawak, namun aku masih boleh merasakan ketegasannya.  Cuma, satu perkara yang aku perasan, dia banyak menyindirku dalam ceramahnya.  Banyak contoh yang diberikan akan menjurus kepada insiden yang berlaku sehingga aku disamannya dua minggu lepas dan ayatnya yang paling tidak dapat aku lupa,
“Kalau anda ditahan polis trafik, berhentikan kenderaan anda di tepi jalan.  Pertama, minta maaf terlebih dahulu kerana polis trafik hanya akan menahan mereka yang melakukan kesalahan.  Belum pernah terjadi dalam sejarah, polis trafik suka-suka nak tahan pengguna jalan raya.  Kalau ya pun nak argue dengan pihak polis, buatlah secara berhemah.  Janganlah sengaja nak provok pihak polis sedangkan sudah terang-terang anda melakukan kesalahan.  Sebenarnya anda boleh dicharge menghalang penjawat awam menjalankan tugas jika anda berkelakuan begitu.  Kalau disuruh tandatangan, tandatangan betul-betul.  Walaupun rasa tak puas hati dan nak protes, tak payahlah nak buat simbol-simbol love atau apa-apa pun.  Lastly, kalau dah kena saman tu, pergilah bayar saman.  Jangan tangguh-tangguh….”, ujarnya dengan panjang lebar sambil sesekali matanya menjeling kepadaku beserta dengan senyuman sinisnya.
  Aku diam tidak terkata dengan sindiran pedasnya.  Aku bertambah jengkel dengannya.  Namun, aku masih juga berterima kasih kepadanya.  Apa yang pasti, memang aku tidak silap memilih penceramah.  Dari satu sudut yang berbeza dari pandangan peribadiku mengenainya, aku bersyukur kerana memilih penceramah yang tepat.

No comments:

Post a Comment