Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 4



Minggu ini merupakan minggu persekolahan yang paling sibuk bagiku.  Apataknya, selain sibuk dengan kelasku, aku juga sibuk menguruskan kelab dan persatuanku, iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Pra-Universiti (MPPPU).  Kalau difikirkan secara teliti, aku tidak nampak sebarang point yang mengatakan tugas guru ini mudah.  Mana ada pekerjaan di dalam dunia ini yang rencam seperti tugas seorang guru.  Bukan setakat tertakluk kepada tugas mengajar dan mendidik di dalam bilik darjah, malah tugas guru boleh melangkaui tugas hakiki itu.   Seorang guru boleh jadi apa saja.  Boleh jadi kerani, boleh jadi tukang kebun, boleh jadi penjaga kepada pelajarnya yang sakit menggantikan tugas ibu bapa dan banyak lagi.  Kalau aku senaraikan semua, nanti mereka yang bukan dari kalangan guru mengatakan aku mereka-reka cerita.  Mereka yang sealiran dengan tugasku sahaja yang akan memahami.  Walau apapun orang di luar sana kata mengenai kerjayaku ini, aku tetap bangga berada di dalam profesion ini.  Malah aku sudah terlalu mencintai kerjayaku ini.  Alhamdulillah….
Mengajar subjek Pengajian Am, membuatkan aku harus mengambil tahu apa sahaja yang berlaku di dunia luar kerana aku tidak mahu menjadi seorang pendidik yang setakat terikat kepada sukatan pelajaran yang harus dihabiskan.  Aku kerap berkongsi sesuatu yang luar dari sukatan pelajaran dengan pelajar-pelajarku ketika mengajar,  satu kepuasan buat diriku kerana aku mahu mereka menjadi seorang pelajar yang boleh berfikir luar dari kotak pemikiran yang biasa.  Malah, aku terasa anak-anak didikku ini seperti rakan-rakanku.  Mungkin disebabkan faktor umur kami yang tidak jauh berbeza.  Apataknya, aku sudah diarahkan mengajar subjek ini semenjak aku mula posting ke sekolah ini dan tahun ini adalah tahun ke lima aku mengajar di sekolah ini. 
Di awal-awal tahun pengajaranku dahulu, ada juga dalam kalangan pelajar-pelajarku yang memanggil ku ‘kak Wani’ sahaja disebabkan faktor perbezaan umur ini.  Aku tidak kisah kerana padaku, panggilan itu bukan bermakna mereka tidak menghormatiku, tetapi aku rasa lebih mesra dengan mereka.  Sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung dalam suasana santai dan mesra lebih berkesan berbanding dalam situasi formal dan tertekan, dan itulah yang aku aplikasikan setiap kali aku mengajar.  Syukur Alhamdulillah, hingga setakat ini keputusan peperiksaan pengajian am dalam peperiksaan STPM tidak pernah mengecewakan.
Waktu aktiviti ko-kurikulum minggu ini, aku harus menguruskan satu ceramah mengenai keselamatan jalan raya.  Tajuk ceramah ini dipilih kerana, ramai dalam kalangan pelajar-pelajar tingkatan enam yang membawa kenderaan ke sekolah.  Jadi, sudah semestinya aspek keselamatan jalan raya harus dititikberatkan.  Sebagai ketua guru penasihat MPPPU, aku yang harus menguruskan segala hal yang berkaitan dengan ceramah ini.
Pertama, aku harus mencari penceramah yang sesuai.  Penceramah itu mestilah pakar dalam aspek undang-undang jalan raya.  Kedua, penceramah itu mestilah berpersonaliti menarik kerana personaliti yang menarik boleh menarik perhatian audien untuk terus mendengar dan yang ketiga penceramah itu mestilah ada unsur-unsur kecindan.  Jadi, tidaklah pelajar-pelajarku seperti burung belatuk yang terangguk-angguk mengiakan kata-kata penceramah tanpa mendengar ceramahnya. 
Aku menetapkan ketiga-tiga aspek ini berdasarkan diriku sendiri yang menjadi penanda arasnya.  Jika aku boleh membuka mata dan fokus selama dua jam semasa mendengar ceramah, bermakna penceramah itu pasti hebat dan kerana itu aku harus mencari seorang penceramah dengan ciri-ciri yang ku sebutkan tadi.  Cuma persoalannya, di mana harusku cari penceramah sebegitu?  Hendak memanggil pakar dalam undang-undang jalan raya, aku tidak fikir kewangan persatuanku mampu untuk membayar harga ceramahnya.  Dengan bajet yang ciput, di mana aku boleh dapatkan seorang penceramah yang super power?
Teringat pula kepada pegawai polis yang ditugaskan menjaga sekolahku.  Setiap sekolah akan dijaga oleh seorang pegawai polis yang sekurang-kurangnya berpangkat inspektor yang juga digelar sebagai pegawai perhubungan awam.  Mereka bertanggungjawab memantau tahap disiplin para pelajar di sekolah-sekolah.  Jika ada berlaku sesuatu yang melibatkan disiplin para pelajar, merekalah yang akan mengendalikannya dengan kerjasama pihak sekolah tetapi setakat aku berada di sekolah ini, belum ada lagi kes-kes disiplin yang serius hingga memerlukan campur tangan pihak polis.  Setakat kes-kes disiplin yang kecil dan boleh ditangani oleh guru disiplin di sekolahku sahaja.
Aku menghubungi pegawai perkhidmatan awam sekolahku, Tuan Sukhairi untuk bertanyakan mengenai prosedur untuk mendapat penceramah mengenai undang-undang jalan raya.  Gembira tidak terkata kerana tanpa perlu melalui banyak prosedur, aku hanya diarahkan untuk pergi terus ke balai polis trafik Taman Ungku Tun Aminah dan menemui seorang pegawai di sana.  Aku tidak membuang masa lagi, aku terus menuju ke balai polis berkenaan dalam perjalananku pulang ke rumah sebaik sahaja tamat bertugas tadi.  Kebetulan balai polis itu terletak dalam arah yang sama perjalanan balik ke rumah sewaku.
Aku membawa sama surat permohonan yang telah siap ditandatangani oleh pengetuaku.  Aku melangkah masuk ke balai polis trafik yang agak sibuk itu.  Kelihatan beberapa anggota polis trafik yang sedang melayan orang awam yang berhadapan dengan masalah trafik.  Aku memberanikan diri bertanya.
“Assalamualaikum cik…”, sapaku kepada seorang anggota polis wanita.
“Waalaikumsalama….ya cik…ada apa-apa yang boleh saya bantu?”, soalnya sopan dengan senyuman yang menambahkan semangatku untuk berurusan dengannya kerana kebiasaannya aku kerap dilayan oleh seorang anggota polis yang aku boleh kategorikan agak kekwat!
“Err…boleh saya berjumpa dengan Tuan Megat?”
“Tuan Megat?  Atas urusan apa ye?”
“Saya ingin sampaikan surat permohonan dari sekolah saya….”
“Surat permohonan?  Permohonan untuk apa?”
Hishh!!  Banyak pula soal polis ni.
“Permohonan untuk mendapatkan seorang penceramah mengenai keselamatan jalan raya…”, jawabku sambil menunjukkan surat permohonanku itu.
Dia menyambutnya dan mula membaca surat permohonanku.  Dari raut wajahnya, dia seolah-olah pelik apabila membaca kandungan suratku itu.
“Macam mana awak kenal dengan Tuan Megat?”, soalnya setelah habis membaca suratku.
“Sebenarnya, pegawai perhubungan awam sekolah saya iaitu Tuan Sukhairi dari balai polis central yang mencadangkan nama ini….”
“Oooo…..cik tunggu sekejap ye?”, dia mengangguk-anggukkan kepalanya sebaik sahaja nama Tuan Sukhairi disebut.  Dia melangkah meninggalkan aku.  Aku sendiri tidak tahu ke mana dia pergi.
Aku duduk di kaunter sementara menunggu anggota polis itu menguruskan surat permohonanku.  Aku sempat memerhatikan keadaan sekeliling yang agak sibuk itu.  Mungkin banyak berlaku kes-kes kemalangan.  Tidak kurang juga mereka yang berurusan membayar saman.  Menyebut mengenai saman, tiba-tiba sahaja aku teringatkan insiden aku disaman lebih kurang dua mingu yang lalu.  Hingga kini, aku belum lagi menjelaskan saman berkenaan.  Nantilah, tunggu aku gaji dulu atau tunggu pihak polis trafik buat promosi potongan harga saman! 
Sedang aku melayan perasaanku, tiba-tiba aku terpandangkan polis trafik boroi yang menyamanku dua minggu lepas melangkah masuk ke dalam balai polis trafik itu.  Encik Selamat!  Aku cepat-cepat mengalihkan pandanganku dan cuba menyembunyikan sedikit wajahku dari penglihatannya dengan harapan dia tidak nampak aku dan tidak mengenaliku….tetapi aku tidak cukup bernasib baik apabila tiba-tiba dia dengan ramahnya menegurku.
“Err…kalau tak silap kita pernah berjumpa…tapi di mana ya?”, soalnya sinis dengan gaya watak Yassin dalam filem Senario The Movie.
Aku hanya mampu tersengih tidak sedap.  Habislah aku!  Macam mana dia masih ingatkan aku? Aku mulalah nak cover line.
“Pernah jumpa?  Err…Encik Selamat silap orang kot?”, soalku cuba berdalih.
“Ye ke?  Kita memang tak pernah jumpa ya?  Tapi macam mana awak tahu nama saya?”, soalnya pula yang membuatkan aku terperangkap tapi macam biasa aku mana pernah nak kalah.
“Tu…”, balasku pendek sambil memuncungkan ke arah tanda namanya.
Dia menunduk melihat tanda namanya dan kemudian menghadiahkan senyuman sinisnya.
“Ye tak ye juga….ada kat sini nama saya.  Tak apalah kalau awak tak kenal saya tapi mesti awak kenal Tuan Irfan kan?  So, buat apa kat sini?  Nak bayar saman ke?”, soalnya sinis sambil berlalu meninggalkan aku yang termalu sendiri.
Bila Encik Selamat menyebut nama Tuan Irfan, aku mula berdebar-debar.  Jangan-jangan pegawai itu juga bertugas di balai polis trafik yang sama.  Aku sudah mula kecut perut bila mengingatkan mesej-mesej balasan yang aku hantar kepada pegawai itu apabila tindakannya untuk bercakap di telefon denganku gagal kerana aku tidak pernah menjawab panggilannya sejak dari insiden aku disaman dua minggu lalu dan kerana itu dia kerap menghantar mesej-mesej yang menggambarkan perasaan tidak puas hatinya kepadaku.
Aduhai…apalah nasib.  Lain yang aku nak buat lain pula yang jadi.  Aku mula resah menunggu anggota polis wanita yang menguruskan surat permohonanku itu.  Kenapa lambat sangat?  Aku mula panas punggung bila memikirkan kemungkinan terserempak dengan Tuan Irfan pula.  Nampaknya, ini adalah kali pertama dan terakhir aku pijakkan kaki ke balai polis trafik ini.  Aku sanggup ke balai polis trafik yang lain jika aku terpaksa berurusan lagi dengan pihak polis.  Jauh pun takpe!
Lebih kurang sepuluh minit menunggu, anggota polis wanita itu keluar semula dan menemuiku.
“Tuan Megat dah luluskan dan dia sudah bersetuju untuk memberi ceramah berdasarkan tarikh, tempat dan waktu yang telah cik nyatakan dalam surat permohonan tersebut…”, dia menghulurkan salinan surat permohonanku yang telah diperakui terima oleh Tuan Megat.
“Macam tu aje?  Saya tak perlu berjumpa Tuan Megat sendiri?”, soalku pelik kerana merasakan prosedurnya terlalu mudah tidak seperti kebiasaannya.
Anggota polis trafik wanita itu hanya tersenyum dan mengangguk.
“Ya…itu sahaja..”, balasnya mengiakan.
“Err…maknanya dah confirmlah ya yang Tuan Megat setuju untuk bagi ceramah di sekolah saya hari rabu ini?”, soalku lagi untuk kepastian.
“Ya…confirm…”, balasnya lagi.
Aku meninggalkan balai polis trafik itu dengan hati yang girang.  Terlupa seketika insiden aku ditegur Encik Selamat tadi.  Tidakku sangka begitu mudah urusanku kali ini.  Syukur Alhamdulillah kerana aku tidak terserempak dengan manusia yang paling aku geruni walaupun wajah dan personalitinya tidak wajar ditakuti, malah sepatutnya digilai….takpelah sebab aku pun belum gila lagi.  Aku bersyukur sangat kerana tak perlu bersusah payah untuk mencari penceramah yang lain.

No comments:

Post a Comment