Wednesday, 16 March 2016

DARIPADA SEKEPING SURAT SAMANMU - BAB 1



Telefon bimbitku tiba-tiba menjerit-jerit minta diangkat.  Aduhai….kenapalah time-time macam nilah kau nak berbunyi?   Beratur sikit punya panjang.  Bila dah sampai turn aku nak dapat autograf pelakon lelaki Korea pujaan hatiku, telefon bimbitku mulalah nak sabotaj aku.  Ingat senang ke nak dapat jumpa face to face dengan Lee Min Ho?  Aku sanggup terbang berpuluh ribu kilometer dari Malaysia semata-mata hendak berjumpa dengan hero pujaan hatiku ini.
            Aku abaikan saja bunyi telefon bimbitku itu.   Kini sampai giliran aku untuk mendapat autograf.  Macam tak percaya, Lee Min Ho di depan aku sekarang.  Aduhai!  Handsomenya….cutenya…tak tahu nak gambarkan dengan perkataan…tapi aku rasa, dia pasti lebih handsome kalau dia kemaskan sikit gaya rambutnya yang serabai itu.  Inilah satu kekurangan ketara kepada pelakon-pelakon korea ni…fesyen rambut.  Entah apa-apa fesyen yang aku boleh katakan, di mataku memang cukup serabai.  Gaya rambut sebiji macam orang baru bangun tidur yang tak sempat bersikat dan berminyak.  Aku rasa macam nak tolong alihkan rambut depan si Lee Min Ho yang sikit lagi dah nak mencucuk biji matanya.  Lama-lama boleh jadi juling hero pujaan hatiku itu akibat dicucuk rambutnya yang panjang berjuntai.
Telefon bimbitku memang tidak memberi kerjasama, atau dengan perkataan lain, memang saja nak sabotaj aku.  Dia berbunyi lagi.  Aku menggagau mencari butang off.  Lee Min Ho dah mula pandang aku semacam aje.  Walaupun pandang semacam, di mataku, dia tetap handsome.  Tiba-tiba Lee Min Ho menegur aku dalam bahasa koreanya.  Walaupun aku tidak faham, tapi aku tahu, dia suruh aku jawap panggilan tu kerana mungkin penting katanya.  Persoalannya, macam mana aku boleh faham?  Entahlah…aku main agak aje.  Dari body languagenya dan agak panjang juga ayatnya, maka aku buat kesimpulan begitu.
            Dengan senyum simpul di hadapan Lee Min Ho, aku menjawab panggilan derhaka itu sementara Lee Min Ho sibuk menyain posternya.  Siapalah yang nak telefon aku sekarang ni?  Seingat-ingat aku, telefon bimbitku ini tiada perkhidmatan roaming.  Jadi, macam mana telefon bimbit aku ni boleh berbunyi, sedangkan aku sekarang ini berada di bumi Korea.  Walaupun agak pelik, aku jawab juga dengan nada yang agak marah!
            “Hello…sape ni?  Nanti call aku balik.  Aku tengah berdiri kat depan Lee Min Ho ni.  Dia tengah nak bagi autograf dia…..”, nada suaraku cuba kukawal walaupun ketika ini aku sedang teramat bengang.
            “Banyaklah kau punya Lee Min Ho!!!”, bagaikan halilintar suara di hujung talian itu menjerit sehingga aku terpaksa menjauhkan seketika telefon bimbit dari telingaku.  Boleh pekak telingaku dibuatnya.
            Lee Min Ho mendongak melihatku.  Maknanya memang suara si hantu di hujung talian itu cukup kuat.  Aku menoleh ke belakang seketika, mata-mata sepet yang lain sudah mula pandang aku semacam.  Dahlah aku seorang yang lain dari yang lain.  Dengan gaya penampilanku ketika itu, sudah tentu mereka tahu aku bukan dari Korea.
            “Yang kau nak jerit-jerit kat aku ni kenapa?  Oklah…oklah.  Nanti call aku balik ye.  I’m busy right now….”, sambungku malas nak melayan dan mula hendak menekan butang off  tapi tidak jadi apabila suara hantu itu menjerit lagi.  Kali ini lebih kuat lagi.
            “Wani!!!!!!!!!!!!!  Please wake up!  Dah-dahlah bermimpi.  Kau tahu tak yang kau dah terlambat ni???”
            Jeritan yang cukup kuat dari suara hantu itu telah berjaya membangunkan aku.  Aku terus terbangun dari tidur sambil di tanganku masih memegang telefon bimbitku.  Otakku sedang mencerna apa yang sedang berlaku sekarang ini.  Apa yang pasti aku bukan berada di Korea tetapi di dalam bilik tidurku sendiri.  Lee Min Ho pun aku tak tahu hilang ke mana.
            Setelah otakku kembali normal, aku baru terfikir.
            “Mak!!”, jeritku.
            “Hah!  Kenapa pulak nak panggil mak kau?  Tulah…tak habis-habis dengan korea kau tu sampai dah terlambat bangun.  Kau tahu tak hari ni kau ada tugas penting??”, suara Izyan sudah mula kedengaran membebel.
            “Ya Allah…..Yan kenapa kau tak kejut aku?  Macam mana ni?  Aku dah terlambat.  Sempat lagi ke?”, aku dah mula nak menangis.  Tubuhku menggeletar apabila teringatkan tugas yang maha penting hari ini.
            “Kau cuma ada 30 minit untuk sampai sini!”, diktaktor Izyan sudah mengeluarkan arahan.
            Tanpa mendengar bebelan Izyan lagi, aku terus mencampakkan telefon bimbitku di atas katil dan melompat turun menuju ke bilik air.  Aku cuma ada setengah jam untuk sampai ke Kompleks Islam, Johor Bahru.  Tempat berlangsungnya sambutan hari guru peringkat negeri Johor di mana aku bertugas sebagai pengacara bersama seorang lagi guru dari sekolah lain.
            Hmmm….mandi P. Ramleelah jawabnya.  Make up pun terpaksa alah kadar saja.  Memang tak sempatlah nak bermaskara bagai.  Sembur minyak wangi setengah botol untuk cover bau akibat mandi ala-ala P.Ramlee tadi.  Nasib baiklah baju dan tudung sudah siap bergosok malam tadi.  Kalau tidak, pasti aku sarung saja baju yang berkedut seribu.
            Aduhai…ini semua gara-gara menonton drama korea lakonan Lee Min Ho sampai lewat malam.  Obsess sangat dah dengan mamat korea seorang tu, sampai dah terbawa-bawa ke dalam mimpi.  Sudahnya, aku juga yang terlambat bangun.  Baru padan dengan muka aku!  Umur dah menjejak ke remaja purba, masih lagi nak terikut-ikut budak-budak remaja yang gilakan sangat dengan K-pop.
            Kalau sebut pasal K-pop, memang langsung tak masuk kepala aku sebab aku cuma minatkan K-drama disebabkan jalan ceritanya yang kerap buat aku menitiskan air mata.  Maklumlah aku nikan berjiwa halus.  Mudah tersentuh!  Bila tengok lakonan romantik hero-hero korea itu, hati mulalah meleleh.  Sudahnya aku pun dah terjerat jadi obsess dengan drama-drama korea.
            Dan pagi ini, aku sudah menerima hukuman pertama kerana terlalu menyanjung sangat dengan drama-drama korea ni.  Aku dah jadi seorang K-drama addict.  Kenapa aku sebut addict?  Sebabnya, bila sudah mula menonton episod pertama, memang amat payah untuk mengoffkan laptopku kerana aku kerap menontonnya secara online.  Sudahnya aku akan tertidur di hadapan laptopku bila jam sudah mencecah pukul dua tiga pagi, waktu yang sepatutnya aku gunakan untuk mengerjakan solat tahajjud, tapi aku ghairah menghadap drama korea yang kerap melaghakan aku itu. 
Aku tahu, tidak ada apa-apa faedah pun bila dah leka menghadap drama-drama korea ni.  Dahlah kerap melambat-lambatkan waktu solat, duit pulak yang banyak terbang.  Rabak jugalah poket aku akibat terpaksa mereload secara online.  Memang tidak berbaloi langsung!  Tapi apakan daya….aku hanya manusia biasa yang serba kekurangan dan kerap kecundang kepada nafsu dunia sendiri kerana walaupun semua hakikat itu aku sedari, tetapi aku tetap jadi hamba kepada drama korea!















No comments:

Post a Comment