Tuesday, 8 March 2016

GEMALAI KASIH - BAB 6




Mail sering merasa janggal berada di rumah kedua orang tuanya ini. Terlalu banyak kenangan pahit yang masih tidak dapat dinyahkan daripada fikiran. Dia lemas di sini. Terasa dirinya begitu terasing. Tetapi yang paling memeritkan ialah perasaan terbuang yang masih dirasakannya, walaupun setelah sekian lama peristiwa hitam itu berlalu. Mungkin ayah dan ibunya tidak sedar perlakuan mereka sendiri yang membuat Mail rasa jauh dan tersisih daripada keluarga, atau mungkin mereka menyedarinya tetapi tidak dapat merubah layanan mereka terhadap dirinya.

Mail tidak menyalahkan mereka. Mungkin jika dia berada di tempat mereka, dia juga akan berkelakuan begitu. Namun bagaimana sekali layanan mereka terhadap dirinya serta rasa janggal yang dirasakan ketika bersama mereka, sebagai anak yang sulung, dia masih mempunyai tanggungjawab terhadap kedua orang tuanya. Walaupun hatinya berat untuk berada di sini, dia terpaksa jua menjenguk mereka. Walaupun dia sedar ayah dan ibunya tidak tahu bagaimana untuk berbicara dengannya, dia gagahkan jua diri untuk menyapa mereka, kerana dia tidak akan putus-putus berusaha mendapatkan kembali rasa kasih dan sayang mereka terhadapnya.

Mail sanggup terima apa sahaja hukuman dan layanan dingin mereka terhadapnya, kerana mungkin itu yang selayaknya diterima. Hati mereka yang pernah dia calarkan, bukannya sedikit. Kesakitan yang dipalitkannya begitu dalam, Mail sedar akan semua itu. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk memenangi hati mereka kembali, walau hatinya sendiri sering menangis. Apa mereka masih tidak dapat memaafkan dirinya? Apa mereka masih berdendam? Tidak cukupkah dengan segala ucapan maaf yang telah diucapkan kepada mereka selama ini? Tidak ikhlaskah mereka menerima dirinya kembali? Atau penerimaan maafnya selama ini hanya di bibir sahaja dan tidak sampai ke hati? Entahlah…dia pun tiada jawapan bagi semua persoalan ini.

Lamunan Mail terhenti tatkala menyedari kehadiran adiknya, Lia, yang melangkahkan kaki masuk melalui pintu pagar.  Entah dari mana Lia berjalan. Tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pintu pagar. Mail lihat Lia langsung tidak menyedari kehadirannya. Fikirannya melayang entah ke mana. Mail menegur Lia. Lia sedikit tersentak. Barulah dia sedar bahawa abang sulungnya berada di hadapannya. Lia tersenyum dan lantas duduk di atas buai di sebelah Mail. Sejuk hati Mail melihat kegembiraan yang jelas terpancar dari wajah adiknya ketika melihatnya.

“Lia dari mana ni?” tegur Mail.

“Lia keluar kejap tadi. Lepas tu Lia balik naik bas. Tu yang berjalan balik dari bus-stop ni. Bila Along sampai?” soal Lia.

“Adalah dalam sejam” jawab Mail mesra.

“Dah sejam? Eh, kenapa Along dok kat luar pulak ni? Mak dengan abah tak de kat rumah ke?”

“Alaah, macam Lia tak tau. Mak dengan abah mana boleh duduk lama berbual dengan Along. Diaorang kan tak selesa bila Along ada. Biasalah kan…” Mail mengalihkan pandangan dari wajah Lia. “Duduk kat sini pun best jugak…berangin, macam nak hujan…” Mail berdalih.

Lia hanya mampu terdiam. Sesungguhnya Mail sedar akan dilema yang dihadapi Lia. Perasan berbelah bahagi antara kasihnya kepada Mail dengan sayangnya terhadap ayah dan ibu, sering membuatnya buntu. Walaupun Mail tidak pernah meminta Lia memilih satu antara keduanya, Mail seolah-olah menarik tangan kanan Lia sementara ayah dan ibu pula menarik tangan kirinya. Lia sering tersepit. Mail tahu Lia telah banyak kali cuba menjernihkan hubungan Mail bersama kedua orang tua mereka dan acap kali mempertahankan Mail mana yang terdaya. Mail akan sentiasa berasa terhutang budi kepada adik perempuannya seorang ini. Jasanya begitu banyak kepada dirinya.

“Lia pergi mana tadi?” soal Mail, ingin melarikan ingatannya daripada kesedihan yang dirasakannya. Biarlah dia seorang menanggungnya.

Lia kelihatan tidak selesa dengan soalan Mail. “Errr…Lia…Lia keluar tadi...” jawabnya tergagap-gagap. Seperti menyembunyikan sesuatu.

“Along taulah Lia keluar. Lia pergi mana?” Mail cuba mendesak Lia berterus-terang.

Dengan nada yang perlahan, Lia menceritakan kepada Mail akan pertemuannya dengan seorang lelaki bernama Asrul Effendi petang tadi. Lia menceritakan bagaimana pertemuan mereka diatur oleh ibu mereka bersama ibu Effendi dan bagaimana Lia tiada pilihan melainkan mengikut kehendak ibu. Mail tergamam mendengar cerita Lia. Perasaan hampa berbaur kesal yang tidak terhingga melanda hatinya. Mail menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia meletakkan tangan di atas tangan Lia lalu digenggamnya erat. “Maafkan Along, Lia.”

Lia memandang Mail kehairanan. “Kenapa Along mintak maaf dengan Lia?”

“Sebab semua ni takkan terjadi pada Lia kalau bukan sebab Along. Along yang bersalah. Sebab Along, Lia tak putus-putus jadi mangsa keterlanjuran dosa-dosa Along…” Suara Mail lirih, penuh kekesalan.

Lia memandang Mail dengan sinaran mata dilimpahi kasih dan simpati. Lia senyum dan cuba menenangkan perasaan abangnya. “Along, Lia tak berdendamlah dengan Along. Walaupun Lia rasa mak dan abah seakan melepaskan geram diaorang pada Lia, Lia rasa Lia ni mangsa keadaan je. Memang sebab Along dengan Angahlah buat Lia jadi macam ni, tapi yang Lia terkilan bukan pada Along dengan Angah tapi pada mak dengan abah. Lia pun tak tau sampai bila Lia kena turutkan semua kemahuan diaorang ni.”

Suara Lia diulit kehampaan walau dia cuba menyembunyikannya di sebalik senyumannya yang tawar serta hambar. “Lia nak Along pujuk mak?” tanya Mail cuba menghulurkan apa sahaja bantuan kepada Lia.

Lia menggelengkan kepalanya. “Tak payahlah Along. Macamlah mak akan dengar cakap Along…”

Mail mengangguk tanda setuju walaupun masih tidak berpuas hati. “Tapi takkan Lia nak ikutkan je cakap mak tu?” bantah Mail.

Lia menghela nafas berat, seolah-olah amat terbeban dengan segalanya. “Lia tak cakap macam tu. Yang Lia tau, Lia belum bersedia nak kahwin dengan sesiapa pun buat masa ni. Biarlah Lia cakap sendiri dengan mak, Along. Lia harap mak takkan paksa…”

“Lia ada teman lelaki istimewa?” Walaupun Lia agak rapat dengan Mail, dia jarang sekali mahu berkongsi hal-hal peribadi dengan abangnya itu. Mungkin dia segan untuk bercerita soal perasaan dan hal berkaitan dengan cinta dengan Mail. Dia tahu Lia pernah berpasangan dengan Azim ketika masih menuntut dulu tetapi mengapa hubungan mereka putus tidak pula diceritakan. Mail juga tahu dia hanya menceritakan segala hal peribadinya kepada teman rapatnya, Nisha. Nisha pula terlalu taksub menyimpan segala rahsia Lia dan sekali-kali tidak akan memungkiri kepercayaan Lia kepadanya untuk sesiapa pun. Walaupun dipujuk dan dirayu.

Soalan Mail seolah-olah menggelikan hati Lia. “Semua orang nak tau Lia dah ada boyfriend ke tak. Along pun sama!” Lia menjeling dan memuncungkan sedikit bibirnya. Sifat Lia yang manja, yang hanya dipamerkan kepada orang yang rapat dengannya, terserlah. “Kalau Lia dah ada boyfriend, tak delah mak susah-susah nak matchmake Lia macam ni. Eeeee…rimaslah…Macamlah Lia ni dah terlajak sangat. Macamlah dah lebih tiga puluh tahun. Kenapa mak nak risau sangat pun Lia tak tahu!” Nada Lia berbaur geram. “Mak pun bukannya muda sangat masa kahwin dulu. Sibuk pulak hal Lia tak kahwin lagi…” Lia membebel.

Geli hati Mail melihat riak wajah Lia. “Si Azim tu apa jadi?” soal Mail dengan nada ceria, tidak terlalu serius. Tidak mahu Lia terasa sentap dengan soalannya.

Wajah Lia berubah muram seketika, sebelum kembali tersenyum. “Tak de jodohlah, Long….” Balasnya ringkas. Tidak mahu bercerita secara terperinci kepada Mail dan Mail tidak mahu mendesaknya. Biarlah.

Lia dan Mail diam sejenak, membiarkan sahaja perbualan itu berlalu. Mereka masih duduk di atas buaian, sambil melayani perasaan masing-masing. Petang yang semakin melabuhkan tirainya tiba-tiba sahaja terasa kelam dan suram. Angin yang berhembus lembut mencecah ke pipi, langsung tiada nyamannya. Suara nyanyian burung pulang petang, langsung tiada merdunya. Langit yang beransur jingga, langsung tiada serinya. Perasaan rasa bersalah Mail menyelubungi segenap jiwanya…hingga menyesakkan aliran nafasnya.

‘Aku mesti lakukan sesuatu untuk selamatkan Lia,’ fikir Mail sendirian. Dia tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, tetapi dia tidak sanggup membiarkan ibu dan ayah mereka melakukan Lia sedemikian rupa. Lia tidak bersalah! Lia tidak berdosa! Salah Lia hanyalah kerana dia seorang anak yang tidak mampu melawan kehendak orang tuanya. Salah Lia hanyalah kerana mempunyai abang-abang yang suatu ketika dulu terlalu muda, rapuh dan rakus dalam membuat keputusan.

“Along,” suara Lia perlahan menusuk ke telinga. “Lia tau apa yang Along tengah fikirkan sekarang ni. Lia tak nak Along cakap apa-apa pun pada mak atau abah pasal ni. Lia tak nak hubungan Along dengan mak abah nanti jadi buruk balik.”

Mail terkejut kecil pabila Lia dapat meneka dengan begitu tepat sekali apa yang sedang difikirkan ketika itu. Niat Lia begitu murni tidak mahu melihat Mail kembali bertelagah dengan ibu dan ayah mereka. Mail kagum dengan adiknya itu. Tidak ternilai pengorbanan Lia kepada keluarga mereka selama ini.

Mail mengangguk perlahan tanda dia memahami permintaan Lia. Dia harus memikirkan cara yang lain untuk melepaskan Lia daripada belenggu ini, tanpa mengeruhkan lagi hubungannya dengan orang tua mereka. Mail harus berusaha…demi Lia. Tapi bagaimana?

“Bila Along nak bagi tau mak dengan abah pasal Along sambung study?” soal Lia cuba mengalihkan topik perbualan mereka. “Along terlalu berahsia. Kalau diaorang tau, mungkin taklah diaorang berperangai macam ni.” Lia membuat rumusan. “Mungkin hati mak dan abah akan terpujuk dengan perkara ni, manalah tau?”

Mail merengus kecil. “Biarlah diaorang tak tau, Lia. Along takut sangat kalau-kalau Along gagal ke, atau tak dapat grad…nanti lagi teruk. Biarlah Along lulus dulu baru Along bagi tau diaorang. Sekurang-kurangnya, diaorang takkan kecewa lagi sekali kalau Along sekadar hangat-hangat tahi ayam je…” kata Mail cuba berjenaka. Biarlah rahsia ini menjadi rahsia antara dirinya dengan Lia sahaja dulu.

Lia tergelak kecil dan mengangguk. “Betul jugak cakap Along tu. Tapi Lia harap Along takkan putus asa. Lia nak sangat tengok Along grad masa konvo nanti. Tak sabar rasanya nak tengok reaksi mak dan abah nanti…Mesti diaorang bangga dengan Along…”

“Insya-Allah.” Mail membalas senyuman Lia.

Walaupun Mail bakal menamatkan pengajiannya enam bulan lagi, dia takut untuk menceritakan perihal pembelajarannya kepada kedua orang tua mereka. Sejak Mila meninggalkannya, duit gajinya banyak boleh disimpan di bank dan akhirnya, dia mampu menyambung pelajarannya secara separuh masa demi menggenggam segulung ijazah. Mail mengambil kelas malam setiap hari, lima hari seminggu dan walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan pengajiannya, dia tidak kesal. Kini tinggal lebih kurang enam bulan sahaja lagi untuk dirinya bergelar seorang ‘graduan’. Betulkah ibu dan ayah akan merasa bangga dengannya nanti?

Lia seorang sahaja yang tahu mengenai hal ini. Mail tidak berani menceritakan kepada Syam, takut-takut dia akan terlepas menceritakan kisahnya yang melanjutkan pelajaran kepada ibu bapa mereka. Lagipun, entah mengapa tapi Mail berasa segan untuk bercerita kepada Syam. Mail tidak mahu Syam menganggap dirinya menunjuk-nunjuk, walhal dia sedar betapa Syam terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupannya sekeluarga. Mail yakin Lia akan berpegang pada janjinya. Dia pasti Lia akan menyimpan rahsia ini hanya antara mereka berdua.

Sebenarnya, Mail menunggu Lia sejak awal petang tadi semata-mata kerana niatnya untuk bercerita kepada Lia mengenai Mila yang baru-baru ini telah datang bertemu dengannya. Tetapi pada saat Lia berhadapan dengan isu perkahwinan dengan Effendi ini, Mail tidak mahu membebankan lagi fikirannya dengan masalahnya. Biarkanlah dipendamkan sahaja ketika ini. Lia sudah banyak terbeban. Tidak henti-henti dia diduga ayah dan ibu sendiri.

Lia meminta diri untuk masuk ke dalam rumah. Mail kembali berseorangan duduk di atas buaian kayu di hadapan rumah sambil mengimbas kembali pertemuan antara dirinya dengan Mila tempoh hari.

Memang kedatangan Mila tidak disangka-sangka. Tiba-tiba sahaja dia datang ke tempat kerja Mail. Mila sekarang kini hidup bersendirian di pinggir kota sejak kematian suaminya. Sejak Mila meninggalkan Mail, dia masih tidak diterima oleh kedua orang tuanya akibat perbuatannya yang telah menconteng arang ke muka keluarganya. Mila sanggup meninggalkan Mail serta keluarganya demi mengejar janji kesenangan hidup oleh kekasihnya. Mila leka dibuai janji yang ditaburkan oleh bosnya sendiri…seorang lelaki berpangkat pengurus yang jauh lebih tua daripada Mila.

Mail mengakui bahawa Mila merupakan gadis yang paling diminati di sekolah mereka dulu. Parasnya yang jelita dan perwatakannya yang manja sering menjadi igauan bukan sahaja bagi pelajar-pelajar lelaki dari sekolah mereka, tetapi juga lelaki-lelaki daripada pelbagai lapisan, guru sekolah, pelajar-pelajar dari sekolah lain dan juga jiran-jiran tetangga, sama ada yang bujang mahupun yang telah berumah tangga.
                   
Mail menganggap dirinya orang yang paling bertuah kerana Mila memilihnya antara ribuan lelaki lain yang cuba mendekatinya. Akibat terlalu takut akan kehilangannya ke tangan orang lain, Mail turuti segala kemahuan Mila, sehingga sanggup melupakan segala pengorbanan kedua orang tuanya terhadapnya selama ini. Mail sanggup menghampakan dan mencalar perasaan mereka. Dia sisihkan mereka daripada hidupnya, demi Mila.

Sehingga kini, Mail tidak tahu mengapa Mila memilih dirinya…atau mungkin dia tidak mahu tahu. Dia bangga menjadi lelaki pilihan gadis itu. Gadis yang menjadi idaman semua lelaki, menjadi miliknya. Mail hanyut dalam buih-buih cinta yang ditaburkan Mila. Namun di usia mudanya, dia tidak dapat menilai erti cinta yang sebenar-benarnya. Dia percaya akan semua ungkapan cinta Mila kepadanya. Tiada langsung rasa ragu-ragu di hati. Betapa bodohnya dia…menjadi hamba kepada segala kerenah dan kemahuan Mila.

Mail sedar bahawa ibunya tidak menyenangi Mila. Pernah sekali dia terdengar ibu mengadu kepada bapanya tentang Mila yang tidak tahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan bagaimana jeliknya dia melihat perangai Mila yang manja dan terkadang mengada-ada. Mail langsung tidak menghiraukan rungutan ibu dan tidak sampai hati untuk menegur Mila. Kasihnya yang teramat dalam terhadap Mila tidak membenarkan dirinya melukakan perasaan isterinya, walau sekelumit sekali pun. Maka dengan sifat diamnya, tanpa disedari, dia semakin menyakiti hati ibu. Berdosanya dia!! Sedangkan ibulah yang patut dia dahulukan dalam segala hal…

Mila pula bijak memainkan peranan manjanya di hadapan Mail. Mail tewas setiap kali Mila membelai dirinya dan membisikkan kata-kata sayang, sambil meminta itu dan ini daripada Mail. Mail sanggup mengikat perut asalkan dia dapat menyempurnakan permintaan Mila. Mila pada mulanya meminta barangan yang biasa-biasa sahaja seperti baju, kasut, tas tangan, alat solek dan sebagainya. Mail rasakan sebagai seorang suami, memang dia bertanggungjawab menyediakan semuanya itu. Maka permintaan Mila itu tidak terasa membebankan atau pun keterlaluan. Mail ikutkan sahaja.

Tetapi apalah baju, kasut, tas tangan dan alat solek sekiranya dia boleh menerima intan dan permata daripada lelaki lain yang jauh lebih berharta daripadanya? Tidak mungkin dengan gajinya sebagai seorang tukang perabot, dia bisa menaburkan kemewahan sebegitu…

Mila mula bosan tinggal berseorangan di bilik sewa mereka semasa ketiadaan Mail. Mila mula merengek-rengek meminta izinnya untuk bekerja di kilang berhampiran. Kata Mila untuk membantu mencari rezeki, demi keluarga mereka pada masa hadapan. Kata Mila lagi, dia ingin meringankan beban Mail. Mila melemparkan harapan ingin menimang anak dalam masa terdekat dan bagi mencapai hasrat itu, status kewangan mereka harus lebih kukuh. Mila bijak berkata-kata. Mail cair dengan permintaan Mila, yang dirasakan begitu realistik. Maka sekali lagi, Mail akur dengan permintaan Mila.

Beberapa bulan selepas Mail membenarkan Mila bekerja, isterinya itu mula berubah. Mila tidak lagi meminta itu dan ini daripada Mail. Dia sangkakan yang Mila mungkin boleh membeli barangan itu semua dengan gajinya sendiri. Ataupun, dia sudah sedar akan nilai wang bulanan, hasil daripada penat lelahnya bekerja. Mail langsung tidak bersangka buruk terhadap isterinya. Malah dia gembira dengan perkembangan ini. Sangka Mail, Mila benar-benar mahu menyimpan, untuk keperluan mereka pada masa hadapan. Terutama sekali ketika menimang cahaya mata nanti.

Lama-kelamaan, Mila sering mengadu penat setiap kali Mail cuba merapatinya. Tiada lagi layanan seorang isteri yang didambakannya. Mila juga tidak lagi mesra seperti selalu. Tiada lagi kata-kata manja dari bibirnya. Mail percaya Mila memang benar-benar penat bekerja di kilang membuat sarung tangan tidak jauh dari kedai perabot di mana dia bekerja. Mail langsung tidak kisah menyempurnakan kerja-kerja rumah yang ditinggalkan Mila seperti membasuh dan memasak di dapur yang dikongsi bersama penyewa-penyewa yang lain. Bilik kecil yang disewa menjadi semakin sempit dengan timbunan baju-baju yang tidak disimpan. Mail biarkan sahaja.

Sehinggalah Mail menemui seutas rantai emas berloketkan hati di dalam almari baju mereka secara tidak sengaja. Mail terkejut kerana dia tidak pernah melihat rantai itu sebelum ini. ‘Mungkin dia beli sendiri menggunakan duit gajinya,’ fikir Mail. Daripada cuba mendapatkan penjelasan daripada Mila, Mail diamkan sahaja dan mula memerhatikan segala tingkah laku isterinya.

Pada suatu pagi, Mila meminta izin untuk keluar bersama rakan-rakan kerjanya bersiar-siar di Kuala Lumpur kerana mereka mendapat cuti pada hari itu. Gembira betul Mila pada pagi itu ketika Mail membenarkannya keluar walaupun dengan syarat dia perlu balik sebelum terbenamnya matahari. Mila bersetuju.

Walaupun Mail berasa tidak berapa sedap hati pada pagi itu, dia biarkan sahaja perasaan itu berlalu. Dia teruskan dengan pekerjaannya. Tepat pukul 1.00 tengah hari, Mail menumpang motor rakan kerjanya untuk membeli nasi buat makan tengah hari. Di kedai makan Mak Jenab, Mail terserempak dengan dua teman kerja Mila, juga sedang membeli makanan tengah hari. Mail menegur dan berbual-bual dengan mereka. Tiba-tiba mereka menanyakan sama ada Mila masih sakit perut dan sedang berehat di rumah. Barulah Mail tahu Mila sebenarnya tidak diberikan cuti oleh majikannya tetapi Mila telah menipu untuk mengambil surat cuti daripada sebuah klinik atas alasan sakit perut.

Mail pura-pura mengatakan bahawa Mila semakin pulih daripada sakit perutnya dan berlalu dari kedai makan tersebut. Suatu perasaan yang tidak pernah dia rasakan menyelinap ke sepelusuk tubuhnya. Bermacam-macam fikiran berlegar di fikiran Mail ketika itu, mengenangkan Lia yang telah berbohong kepadanya. Apa lagi yang pernah dilakukan Mila tanpa pengetahuannya sebagai suami? Mail mula mencurigai isterinya sendiri. Perasaan marah dan cemburu meluap-luap di dalam dada, menunggu masa untuk diledapkan.

Selepas sampai di tempat kerjanya, Mail meminta izin daripada majikannya agar dia boleh mengambil cuti pada petang itu. Dia ingin mencari Lia dan mendengar penjelasannya dengan segera. Mail tidak suka perasaan yang sedang melanda jiwanya ketika itu, yang semestinya lebih memihak kepada syaitan.

Selepas permintaan Mail diluluskan, dia bergegas ke tempat kerja Mila. Mail memohon untuk bertemu dengan pengurus Mila tetapi dia diberitahu Encik Lokman bercuti tergempar pada hari itu. Mail berasa sedikit curiga mendengar penjelasan pekerja tersebut. Encik Lokman bercuti pada hari yang sama dengan Mila? Adakah ia cuma suatu kebetulan? Atau suatu yang telah dirancangkan? Hati yang sememangnya sudah sedia panas, menjadi semakin membara.

Mail cuba mendapatkan alamat rumah Encik Lokman tetapi tidak berjaya. Polisi syarikat tidak membenarkan maklumat peribadi mana-mana pekerjanya diberitahu kepada sesiapa jua. Dia pulang dengan perasaan hampa.

Pada mulanya, dia bercadang untuk menunggu sahaja kepulangan Mila di bilik sewa mereka dan ‘menyerang’ isterinya itu, tetapi dia bertukar fikiran selepas beberapa ketika. Dia nekad untuk kekal bersabar dan mengambil pendekatan berhati-hati. Mail tidak mahu tersilap langkah. Dia perlu bukti yang kukuh untuk menjerat Mila. Mengapa Mila menipu? Apa yang cuba diselindungkannya?

Mila pulang sebelum Maghrib, seperti yang dijanjikan. Mila begitu ceria sambil bernyanyi-nyanyi kecil ketika menyalin pakaiannya. Dia langsung tidak menegur Mail, apa lagi menghiraukan suaminya itu. Langsung tidak menanyakan hal makan minum suaminya sendiri. Terus sahaja dia keluar untuk mandi. Mail menyimpan sementara perasaan marah dan geram yang terbuku di hati. Dia harus bersabar!

Sejak hari itu, Mila mula pulang lewat atas alasan mengambil kerja lebih masa untuk menambah pendapatan keluarga. Mail berasa amat curiga tetapi berkelakuan seperti biasa agar Mila tidak mengesyaki sebarang kelainan daripada tingkah lakunya. Mail biarkan sahaja Mila pulang lewat selama lebih kurang seminggu, dan Mila semakin selesa dengan perlakuannya, mungkin kerana disangkakan Mail percaya akan semua kata-katanya. Mila langsung tidak mengesyaki apa-apa.

Pada suatu hari Mail menyatakan hasratnya untuk pulang menziarahi ibu dan bapanya berserta cadangan untuk bermalam di sana. Mail mengajak Mila bersama tetapi bermacam-macam alasan diberikan agar dia dapat tinggal berseorangan di bilik sewa mereka. Mail setuju dan Mila kelihatan begitu lega tatkala dia pergi meninggalkannya. 

Perangkap Mail menjadi pada malam itu. Riak gembira di wajah Mila ketika mengetahui Mail hanya akan pulang keesokan harinya, benar-benar melukakan perasaannya. Perasaan syak terhadap kecurangan isterinya sendiri semakin nyata. Mail hanya perlu menunggu…dan penantiannya malam itu akhirnya membuka mata dan mengetuk pintu hati Mail…Inilah wanita yang dipuja selama ini…yang diagung-agungkan melebihi ibunya sendiri…Matanya yang buta kini kembali celik…telinganya yang tuli kini mendengar kembali…Mail bersyukur semuanya sudah berakhir.

Walaupun sudah bertahun-tahun malam itu berlalu, Mail masih tidak dapat melupakannya. Peristiwa malam itu masih menggores hati dan perasaannya. Lalu dia memejamkan mata dan menghela nafas panjang sambil mencuba untuk menghalang kenangan pahit itu daripada menerjah masuk ke ingatan.

Kedatangan Mila tempoh hari telah mengembalikan semua kenangan itu…semua kedukaan yang pernah dirasakannya. Walaupun dia tahu langkah seterusnya yang perlu diambil, namun kali ini, biarlah dia mendengar pandangan daripada orang lain pula. Biarlah keputusannya ini mendapat tempat di hati keluarga. Dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbicara dengan Lia dahulu. Nanti sahaja bila semuanya sudah kembali reda, Mail akan ke sini kembali. Buat masa ini, dia tidak akan terburu-buru mengambil sebarang keputusan. Dia sudah belajar daripada kesilapan lalu…

No comments:

Post a Comment