Tuesday, 8 March 2016

GEMALAI KASIH - BAB 7



Intan Marliana

Hiruk pikuk yang menyelubungi segenap rumahku sangat-sangat melemaskanku. Suara terjerit-jerit daripada makcik-makcik yang sibuk memberi arahan itu dan ini serta bunyi tukul melanggar paku bagai jarum-jarum yang menusuk ke dalam telingaku. Aku rasa ingin menjerit sahaja, melepaskan segala yang terbuku di hati agar segalanya akan berubah kaku dan semuanya akan kembali ke sedia kala.

Aku memencilkan diri di dalam bilik kecilku. Sedikit pun aku tidak terasa mahu melibatkan diriku dalam semua kesibukan yang langsung tidak membawa sebarang erti kepadaku.

Bagaimana ini semua boleh terjadi? Mengapa mereka tidak mahu mendengar rintihan hatiku ini? Mengapa perasaanku langsung tidak dipedulikan? Bagaimana lagi harus aku tunjukkan pemberontakan hati naluriku ini? Bagaimana?

Berdosakah aku sekiranya aku merasa benci terhadap orang tuaku sendiri? Derhakakah aku sekiranya aku bertekad untuk tidak akan memaafkan mereka atas desakan ini?

Ya Allah…aku tahu Kau mendengar segala rayuan dan doaku…Bagaimana harus aku meredai segalanya ini, ya Allah? Bagaimana?

Mungkin aku harus lari sahaja daripada semuanya ini…lari meninggalkan apa yang telah dirancangkan untukku. Sanggupkah aku menjadi seorang yang bakal mencontengkan arang ke muka ibu dan bapaku? Sanggupkah aku percikkan api-api malu ke wajah tua mereka, yang kian menampakkan keceriaan sejak ibu dan bapa Effendi datang meminangku?

Aku sememangnya seorang pengecut! Mengapa aku terlalu ingin menjaga hati kedua orang tuaku? Mengapa harus aku kisah apa yang bakal terjadi kepada mereka sekiranya aku lari meninggalkan rumah ini?

Tetapi…memang aku kisah…dan memang aku tidak sanggup sekiranya aku menerima nasib dan layanan yang sama seperti abang-abangku. Aku anak yang sentiasa patuh kepada perintah ibu dan bapanya…aku anak yang tidak pernah melukakan hati dan perasaan mereka…anak yang menjadi kebanggaan mereka selama ini. Mahukah aku sia-siakan sahaja tanggapan mereka terhadapku selama ini? Pastinya tidak!

Namun hati kecilku tidak mampu menidakkan kekecewaan yang kurasakan kini. Tiada pernah kuduga begini caranya aku akan menamatkan zaman bujangku. Seperti wanita lain, aku juga impikan suatu perkahwinan yang terbina dek perhubungan yang bertatahkan kasih dan sayang. Bukan secara paksaan begini. Apakah aku tidak mempunyai hak untuk mencari kebahagiaan ku sendiri?

Pernah suatu ketika dahulu, aku berangan untuk membina sebuah keluarga bahagia dengan lelaki yang pertama pernah bertakhta di hatiku, Azim. Seorang lelaki yang romantik dan penyayang. Yang cekal dan tidak mengenal erti putus asa. Dia berjaya menembusi kekebalan hatiku dengan kata-kata manis bak madu bersama surat-surat cinta penuh puitis. Dari Tahun Pertama lagi dia cuba mendekatiku. Tetapi aku teramat menjual mahal ketika itu. Hanya ketika aku berada di Tahun Dua, aku mula membuka pintu hati untuknya. Aku tewas akhirnya setelah sekian lama dia memujuk dan merayu…

Manis betul saat mula-mula menjalinkan talian kasih dan ikatan sayang. Semuanya indah belaka. Meniti hari-hari bak berjalan di awang-awangan…aku dibuai mimpi penuh fantasi…menyulam impian indah bersama jejaka yang tekad menabur janji untuk sehidup semati bersamaku…namun akhirnya terkubur ke bumi…

Sejak perpisahan aku dan Azim, tiada lagi ruang untuk hati ini menyambut panggilan cinta daripada mana-mana lelaki. Bukan kerana kasihku yang masih utuh terhadapnya…jauh sekali aku merinduinya…Namun kegagalan masa lalu masih menghantui setiap langkahku. Terkadang terasa baru semalam aku menutup buku dan mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihku itu. Kini, aku bakal melangkahkan kakiku ke alam rumah tangga bersama seorang lelaki yang tidak kukenali…tidak kucintai…

Bagaimana aku boleh jadi begini? Memang Effendi ada memberitahuku tentang niatnya untuk berterus-terang dengan orang tuanya akan keputusannya bersetuju untuk mengahwiniku. Namun aku tidak sangka begitu pantas mereka datang meminangku. Tatkala aku masih mencari waktu yang sesuai untuk memujuk ibuku untuk tidak meneruskan dengan rancangannya, Auntie Hamidah dan Uncle Razali datang ke rumah membawa ‘perkhabaran gembira’! Gembira buat ibuku tetapi begitu perit buat diriku sendiri. Aku tidak berdaya melakukan apa-apa memandangkan pinangan diterima tanpa mendapatkan kata putus dari mulutku sendiri. Kejam! Ibu dan ayah amat kejam…

Sememangnya ibu ada bertanyakan keputusanku sebaik sahaja aku pulang daripada berjumpa dengan Effendi. Aku berterus terang dengan ibu bahawa aku belum bersedia untuk berkahwin dengan Effendi, atau sesiapa pun jua. Aku tidak mahu berkahwin dengan orang yang tidak aku kenali. Ibu antara endah tidak endah mendengar pendirianku. Dia langsung tidak mahu mendengar penjelasanku dengan lebih lanjut lagi.

Aku bertekad untuk tidak berputus asa dan terus cuba memujuk ibu, tetapi aku terlambat. Pinangan daripada Effendi diterima ibu dan ayahku tanpa banyak bicara. Cincin tanda, merangkap cincin tunang disambut mesra, walaupun tanpa kehadiranku. Cincin tunang emas putih bertatah berlian dengan potongan princess disarungkan sendiri oleh ibuku ke jari manisku. Aku tergamam melihat keindahan cincin yang nampak begitu elegan dan eksklusif. Kilauannya menusuk masuk ke anak mataku yang tiba-tiba sahaja digelinangi air mata yang mengalir ke pipi.

Ibu cuba memberi kata semangat kepadaku. “Lia, ni takdir dan jodoh, kau. Mak nak kau terima dengan hati yang terbuka dan reda dengan ketentuan Allah untuk kau. Kau diterima dan disayangi bakal mentua sendiri! Perkahwinan ni direstui kedua-dua keluarga, nak. Hati mak yakin, inilah yang terbaik untuk kau, Lia.”

Sedikit pun kata-kata ibu tidak memberi sebarang kesan kepadaku. Ibu tidak bisa memujuk hatiku yang walang. Aku pasrah menerima cincin di jari tanda aku kini bergelar tunangan kepada Effendi.

Terdetik di fikiran untuk menghubungi Effendi sahaja, tetapi aku tidak berani. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Sehinggalah Effendi sendiri yang menghubungiku, seperti dia tahu sahaja dilema yang sedang menyelubungiku. Masih aku teringat perbualan kami setelah kami secara rasmi dianggap telah mengikat tali pertunangan.

“Lia, Lia pakai tak cincin pemberian Fendi?” soal Effendi sebaik sahaja salam diterima dan dibalas.

Terdetik di hati untuk membohonginya dan mengatakan bahawa aku telah pun mencampakkan cincin itu ke dalam tong sampah, tetapi aku tidak sampai hati berbuat demikian. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku tidak sanggup menipu Effendi. Yang pasti, ibu sentiasa memerhatikan jariku dan akan menegurku sekiranya cincin itu tidak tersarung di jariku.

“Pakai,” jawabku perlahan. Dingin.

Terdengar keluhan kecil Effendi di talian. “Fendi tahu apa yang Lia fikirkan sekarang ni, tapi percayalah, Fendi tahu apa yang Fendi lakukan…” ujarnya. “Lia mungkin rasa tertekan dengan semua ni tapi Fendi akan jelaskan semuanya pada Lia lepas kita kahwin nanti…”

“Kenapa Fendi tak boleh jelaskan sekarang? Fendi faham tak yang Lia belum bersedia nak kahwin? Lia masih mencari kerja. Lia nak kumpul duit dulu. Kenapa cepat sangat kita kena kahwin?” suara ku sedikit keras dan meninggi akibat perasaan hampa dan amarahku. Aku buntu mencari jalan keluar. Effendi yang kuharapkan untuk tidak meneruskan hajatnya turut membuatku rasa hampa.

Aku cuba mengendurkan suaraku. “Fendi, boleh tak kita tangguh dulu perkahwinan kita ni? Kita baru je jumpa sekali. Kita tak pernah saling mengenali pun sebelum ni. Dua minggu lepas tu kita dah bertunang. Sekarang mak kata kenduri kahwin dalam masa dua bulan. Kenapa macam terburu-buru sangat sedangkan dengan anak Fendi pun Lia tak pernah jumpa lagi?”

“Fendi minta maaf tapi perkahwinan ni mesti diteruskan. Fendi tak akan batalkan perkahwinan ni. Lia sekarang dah jadi tunangan Fendi. Fendi tak akan putuskan ikatan ni!” Tegas nada suaranya.

Aku tertekan. Sungguh tertekan. “Fendi, please…” Aku mencuba lagi namun kata-kataku terhenti di situ. Aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan lagi.

“Lia, don’t worry. Nothing bad is going to happen to you.” Suaranya lembut, seolah-olah memujukku. “Apa yang Lia risaukan sebenarnya?”

Aku terdiam sejenak. Aku cuba berterus-terang dengannya. “Lia…Lia sebenarnya belum bersedia menggalas tanggungjawab seorang isteri. Banyak yang Lia tak tahu…”

Ku dengar Fendi tertawa kecil di hujung talian, membuat hati bertambah nanar.

“Tu je ke yang Lia risaukan? Fendi rasa tu masalah kecik je. Kita ada banyak masa untuk mengenali diri masing-masing lepas kita kahwin nanti. Lagipun, Fendi faham yang Lia mungkin perlukan sedikit masa untuk jadi isteri Fendi sepenuhnya…Hanya satu yang Fendi nak mintak daripada Lia….”

“Apa dia?”

“Masa majlis akad nikah dan kenduri nanti, Fendi mintak sangat Lia tunjuk pada semua yang Lia happy dengan perkahwinan ni. Fendi nak Lia senyum selalu dan tak tunjukkan rasa sedih pada khalayak ramai. Orang lain tak perlu tahu apa sebenarnya yang tersirat di hati kita masing-masing. Itu bukan soal diaorang untuk ambik tau. Yang penting, Fendi nak keluarga kita rasa bahagia dengan perkahwinan kita.” Fendi menyambung lagi. “Lagipun, takkan Lia nak gambar-gambar Lia nanti semuanya muka masam mencuka, kan? Apa pulak kata famili kita nanti…”

Lawak Fendi tidak menjadi. Aku kekal diam membisu. ‘Nak mintak aku berlakon bagai! Banyak cantik??!!’ gerutu hatiku. ‘Ingat aku ni siapa? Lisa Surihani?’

Aku dengar Fendi mengeluh lagi di talian dan berkata lagi, “Lia, kalau Lia sanggup turuti permintaan Fendi ni, Fendi janji akan tunaikan satu permintaan Lia pada Fendi nanti. Apa-apa je. Anything you want…any time…

Aku mengalah dan akhirnya bersetuju dengan permintaan Fendi. Ketika itu, aku tahu bahawa aku telah tewas. Tiada siapa yang akan membatalkan perkahwinan yang telah diatur oleh kedua orang tua kami, melainkan campur tangan daripada Yang Maha Esa. Tiada siapa yang mampu menolongku sekiranya aku seorang sahaja yang tidak mahu meneruskannya.

Tidak ku sangka masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Segala persiapan tersedia untukku tanpa sebarang bantahan. Panggilan telefon daripada Effendi tidak lagi kuterima. Segala rancangan diutarakan melalui ibunya, ataupun ibuku. Pilihan warna, baju, barang hantaran, perhiasan dan sebagainya, tidakku ambil peduli. Semuanya dibereskan tanpa sedikit pun bertanya akan pendapatku.

Namun aku tidak dapat lagi memekakkan telingaku. Persiapan-persiapan akhir makin rancak dilaksanakan. Setiap bilik di rumahku kini dipenuhi sanak saudara yang datang dari jauh ataupun dekat. Langsir lama diturunkan dan yang baru dipasangkan. Setiap ruang lantai di tingkat bawah rumahku diselimuti dengan permaidani indah lagi tebal. Lampu kelip-kelip digantung memenuhi segenap dinding ruang tamu, terutamanya di tempat pelamin didirikan.

Esok bakal berlangsung majlis akad nikahku. Jurunikah akan datang tepat jam 11.00 pagi untuk mejadikan aku isteri Effendi yang sah. Mampukah aku melaluinya?

Ketukan kecil di pintu bilikku tidak ku endahkan. Persetankan mereka di luar itu. Aku tiada lain, cuma punya rasa marah dan benci pada semua mereka itu. ‘Pergi semua dari sini,’ jerit hatiku. Biarkan aku berseorangan!

Namun ketukan di pintu masih belum berhenti. Aku masih diam menyepi. “Lia, Lia…ni Nisha ni…bukaklah pintu…” suara Nisha membuatku bergegas bangun dan berlari ke muka pintu. Pantas aku membuka pintu dan menarik Nisha masuk ke dalam bilik, lalu mengunci pintu kembali. Aku memeluk Nisha tanda terharu dengan kedatangannya. Mataku berkaca.

“Eh! Kenapa ni?” Nisha jelas kaget melihat reaksiku yang tidak semena-mena.

“Kau datang jugak Nisha. Aku ingatkan kau tak datang!” Aku menelan tangis. Terasa amat payah sekali.

Nisha tersenyum sambil berkata, “Hei! Akukan pengapit! Takkan aku tak datang pulak, kan?”

Aku membalas senyuman Nisha dan memeluknya sekali lagi. “Aku bersyukur sangat kau datang…”

Nisha menarikku duduk bersamanya di birai katil. “Hei! Orang nak kahwin muka berseri-seri. Kau ni lain macam je aku tengok!” kata Nisha mengusikku. Padahal Nisha mengetahui sepenuhnya mengapa aku gelisah menantikan hari esok. “Macam mana ni, Lia? Takkan kau nak muka kau sembap esok…pucat semacam je aku tengok? Kau ni tak cukup rehat ke apa?”

Aku mendengus geram. “Sikit pun aku tak rasa macam sorang pengantin, Nisha. Macam mana muka aku nak berseri-seri? Aku benci dengan semua ni!!”

Nisha menggeleng-gelengkan kepalanya. “Sudahlah, Lia. Kau sepatutnya dah terima ni semua sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk kau. Ni jodoh kau, Lia. Aku sentiasa doakan kau, Lia…”

Aku mengangguk perlahan. “Cumanya, aku akan jadi ibu segera kepada anak Fendi nanti. Aku risau sebab aku tak pernah jumpa pun anak dia. Sekali dia benci pada aku ke, apa ke, apa aku nak buat?” Gusar hati memikirkannya.

“Budak tu baru lima tahun, kan? Bukannya dia tahu buat apa pun. Sudahlah kau ni. Fikir yang bukan-bukan je…” Nisha cuba mententeramkan perasaanku. “Kau ni janganlah ikutkan sangat dengan cerita kat TV tu semua…”

Memang aku berasa risau tentang Ina, anak Effendi. Risau dia tidak dapat menerima kehadiranku sebagai ibu tirinya. Macam-macam berlegar di fikiranku mengenai layanan Ina terhadapku nanti. Walaupun aku tidak pernah bertemu dengannya, aku bersimpati akan nasibnya yang terpisah dengan ibu kandungnya akibat perceraian ayah dan ibunya. Anak kecil yang tidak berdosa sering menjadi mangsa.

“Eh! Macam mana dengan offer kerja yang kau dapat tu?” suara Nisha menyedarkan aku dari lamunan. “Aku lupa nak tanya kau hari tu.”

Wajahku berubah muram. “Aku tak boleh acceptlah, Nisha…” balasku meleret. Kesal. “Dah dapat tawaran kerja, tapi aku tak boleh nak terima pulak…Punyalah lama aku tunggu…” gumamku.

“Laaa…Kenapa pulak?” soal Nisha.

Aku tatap wajah Nisha yang terpinga-pinga. “Sebab dia nak aku mula kerja immediately. Maknanya, dia nak aku mula minggu lepas lagi. Mana boleh, kan? Dengan aku nak kahwin ni, dengan kenduri lagi. So aku terpaksa tolak. Aku harap dapat tawaran yang lainlah, Nisha. Dah banyak interview dah aku pergi ni…Penat tau!” Aku mengadu kepada teman baikku.

“Oh…macam tu. Eh, kau jangan risaulah, Lia. Insya-Allah, mesti ada tawaran yang lain nanti. Aku pun dah dapat tempat dah nak buat chambering, tau? Aku mula dua minggu lagi…” Wajah ceria Nisha membuat aku turut rasa gembira.

“Alhamdulillah, Nisha. Aku gembira kau dah dapat tempat. Kau doakanlah untuk aku pulak, ya lepas ni?”

Aku berasa teramat lega ketika Effendi menyatakan bahawa dia tidak akan melarang aku bekerja selepas berkahwin nanti. Aku masih ingin berdikari dan mencari duit perbelanjaanku sendiri dan tidak ingin bergantung sepenuhnya kepadanya nanti. Lagipun, niat aku ingin meringankan perbelanjaan ayah dan ibu masih tidak berubah.

Walaupun jurusan undang-undang ini bukanlah menjadi pilihanku, namun aku tetap mahu berjaya dalam lapangan ini. Aku mahu tengok sejauh mana aku boleh pergi dalam bidang ini.

Kehadiran Nisha sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepadaku. Jenakanya membuat aku tertawa dan untuk seketika, aku dapat lupakan kegelisahanku. Aku tahu dia sengaja cuba mengalihkan perhatianku daripada asyik mengenangkan hari pernikahanku esok. Kami ketawa menceritakan kisah-kisah lama ketika di kampus. Aku rasa seperti sudah lama aku tidak ketawa begitu.

Lama juga Nisha menemaniku sehingga aku tidak sedar matahari sudah tegak di atas kepala. Aku mengajaknya keluar untuk makan tengah hari semata-mata ingin menjauhkan diri daripada ahli keluargaku yang semakin ramai mengunjungi rumahku. Aku tidak ada hati dan perasaan untuk mempamerkan senyumanku kepada sanak saudara yang bertandang dan berlakon kononnya aku amat gembira dengan perkahwinan ini.

Aku sangkakan pemergian kami tidak akan disedari memandangkan betapa sibuknya suasana di rumahku ketika itu. Namun, ibuku yang menyedari kelibatku yang cuba meninggalkan rumah, memanggilku dari jauh.

“Lia nak ke mana tu?” soal ibu dari muka pintu.

“Nak keluar makan dengan Nisha jap, mak…” balasku secara lewa. Malas!

Ibu mengangguk sambil mengingatkan aku agar segera pulang ke rumah supaya aku mempunyai waktu yang cukup untuk bersedia untuk majlis berinai malam nanti. Aku mengangguk kecil dan pantas berjalan menuju ke kereta Kancil milik Nisha. Nisha memandu meninggalkan rumah menuju ke Restoran Delima, sebuah restoran eksklusif di ibu kota.

“Eh! Kenapa kita pergi makan kat tempat yang mahal ni?” tanyaku kepada Nisha.

“Jangan risau, Lia. Aku belanja. Lagipun aku dah dapat kerja ni. Lepas ni entah bila lagi aku dapat jumpa dengan kau pun aku tak tau, Lia…”

Wajah muram Nisha menjadi tatapan mataku. “Alaaa….takkan kau tak nak jumpa aku lagi lepas ni…” balasku. Tak sanggup rasanya.

“Aku okey, Lia. Engkau tu yang dah jadi isteri orang lepas ni. Mestilah susah sikit nak bergerak kan? Kaki kau akan kena ikat nanti…” Nisha berjenaka.

Sedih aku mendengar kata-kata Nisha. “Janganlah cakap macam tu Nisha. Kau seoranglah sahabat aku. Aku tak percaya dengan sesiapa pun melainkan kau. Mestilah kita akan terus bersahabat lepas ni, kan?” Takkanlah Effendi akan menyekat pergerakanku begitu sekali?

Nisha menggenggam tanganku sambil mengukirkan senyuman. “Insya-Allah, Lia. Persahabatan kita akan kekal selamanya…Kita masih boleh berhubung macam biasa. Call, e-mel, chatting…tak kisahlah…”

Aku lega mendengar jawapan daripada Nisha. Tidak dapat aku bayangkan hidup ini tanpa Nisha. Dialah seorang teman yang aku perlukan dalam hidupku. Sokongan dan nilai persahabatannya selama ini, tidak mungkin dapat kucari ganti.

Sementara menunggu makanan yang dipesan, Nisha banyak berceritakan perihal dirinya yang baru berkenalan dengan seorang jejaka yang dianggapnya cukup istimewa. Aku hanya mampu tersenyum tanda aku benar-benar gembira dengan perkembangan Nisha ini. Aku berharap Nisha akan menemui sinar kebahagiaan dalam hidupnya. Nisha pun dah lama single.

“Kau jumpa dia kat mana?” soalku teruja ingin tahu.

Nisha tersenyum segan. “Kat rumah sepupu aku…Dia kawan baik abang sepupu aku. Tau-tau, abang sepupu aku kata, dia mintak nombor telefon aku…”

“Amboi…dah dating belum?”

“Kau gila? Kau nak aku kena sembelih dengan bapak aku nak dating bagai? Hish! Setakat telefon-telefon jer…” Nisha tersipu.

“Takkan tak jumpa? Camna nak tau serasi ke tak? Ajaklah sesiapa temankan kau…takkan bapak kau tak bagi jugak…” cadangku.

“Aku seganlah, Lia. Setakat ni, dia tak pernah pun ajak aku keluar lagi…Takkan aku pulak yang berlebih-lebih?” bidas Nisha.

“Hmmm…betul jugak tu…” Aku mengangguk.

Sedang asyik berbual, kedengaran seseorang memberi salam dari tepi kanan meja kami. Aku menjawab salam yang diberi dan lantas mendongak. Aku tergamam melihat Effendi tersenyum sambil mendukung seorang kanak-kanak kecil, yang kukira anaknya, Ina. Sejak pertemuan kami yang pertama di Hotel Istana, inilah kali kedua aku berjumpa dengan Effendi. Tiba-tiba sahaja jantungku berdebar apabila bertentangan mata dengannya dan aku terus hilang dalam renungan lembut matanya.

Nisha menguis tanganku, lantas menyedarkanku.

“Errr…Fendi. Fendi buat apa kat sini? Eh, kenalkan, ni kawan Lia, Nisha. Nisha, ni tu…tunang aku, Fendi…” Kata-kataku tersekat-sekat. Payah betul untuk menyebut perkataan ‘tunang’ itu. ‘Apa dah jadi dengan aku ni? Kenapa aku bagaikan hilang kawalan diri bila berada dekat dengannya?’ marahku pada diri sendiri.

Effendi mengangguk kecil pada Nisha tanda hormat dan kembali memandangku. “Fendi datang sini bawak Ina makan. Dia baru je baik demam, jadi tak de selera nak makan sangat. Inilah anak Fendi, Marina. Panggil Ina, je…” Effendi mengenalkan anaknya buat pertama kali kepadaku.

Ina yang sedari tadi asyik memaut leher Effendi sempat membalas senyumanku, malu-malu. Sungguh comel anaknya. Tembam dan gebu. Ku yakin apabila dewasa kelak, Ina akan mempunyai paras rupa yang sungguh jelita. Matanya yang bulat masih memandangku, mungkin hairan dengan diriku yang begitu asing baginya. Aku cuba menegurnya tetapi lidahku kelu tidak terkata. Sudahnya aku hanya menghulurkan tanganku dan Ina menyambutnya mesra.

Tiba-tiba Nisha mengajak Effendi duduk bersama di meja kami. Aku kaget. Mataku mencerlung memandang Nisha. Effendi yang seperti bisa meneka perasaanku menolak dengan baik. “Terima kasih, tapi tiba-tiba Ina tak nak makan kat sini pulak. Dia nak makan kat McDonalds. Fendi pergi dulu, ya? Nice meeting you, Nisha.

Effendi menoleh pula ke arahku. Renungannya cukup dalam, seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu. Dia kemudian mengukirkan senyuman. “I’ll see you tomorrow, Lia. Have a good rest,” lalu meninggalkan kami.

Senyumannya bagai mentertawakanku. Garisan di pipi kanannya seolah-olah mengejekku. ‘Mesti dia tau aku tak selesa bila dekat dengannya. Saje dia usik aku. Geramnya!’ bisik hatiku. Renungan dan pesanannya tadi cukup jelas. Seolah-olah memberi amaran, ‘jangan cuba nak lari esok!’ Cis! Aku melihat kelibatnya yang masih mendukung Ina keluar dari Restoran Delima dengan ekor mata.

“Wow, Lia! Hensemnya...Macam hero filem Hollywood! Jealousnya aku!” jerit Lia sebaik sahaja Effendi keluar dari Restoran Delima. “Kau kata sekadar okay je bila aku tanya. Rupa-rupanya tunang kau ni gila punya hensem! Kalah Aaron Aziz!” Nisha menampar lenganku.

Aku hanya mendengarkan sahaja Nisha memuji-muji ketampanan Effendi. Memang aku akui kata-kata Nisha benar belaka, tetapi aku tidak mahu menyatakannya. Bagiku, paras muka yang tampan tidak menjanjikan hati yang tulus lagi ikhlas. Tiada jaminan hidupku akan bahagia hanya dengan mempunyai suami yang tampan dan menawan.

Aku sengaja mengambil masa yang lama untuk menghabiskan makananku, untuk melengahkan waktu pulangku. Namun akhirnya, Nisha memaksaku untuk pulang ke rumah. Aku tiada alasan lagi dan akur dengan paksaannya.

Nisha menghantarku hingga ke pintu pagar rumahku. “Esok pagi aku datang, Lia. Malam ni aku tidur rumah makcik aku kat Cheras. Kalau apa-apa, kau boleh telefon aku, ya?”

Aku menggangguk dan mengatur langkah menuju ke pintu rumahku. Abang Mail dan abang Syam sedia menunggu kepulanganku. Mereka memanggilku naik ke atas untuk berbicara denganku.

‘Apa lagi ni?’ fikirku tatkala mengekori mereka masuk ke bilikku. Aku benar-benar tak de mood!

Apabila pintu bilikku ditutup rapat, abangku Mail, mula berbicara. “Lia, Along dengan Angah ada benda nak cakap dengan Lia ni. Err…kitaorang sebenarnya nak berterima kasih dengan Lia. Kitaorang berdua tak tau macam mana nak balas jasa Lia pada kitaorang…”

“Betul Lia,” celah abang Syam. “Angah tak pernah tengok mak dan abah sehappy ni. Nampak sangat diaorang ceria dan asyik ketawa je kebelakangan ni. Mesti sebab diaorang happy Lia nak kahwin dengan pilihan hati diaorang sendiri.”

Aku tunduk lemah. Aku tahu mereka gembira. Aku tahu pengorbananku yang satu ini membawa seribu makna kepada mereka. Juga, seakan berbaloi melihat ibu dan ayahku kembali mesra dengan abang-abangku. Itulah yang aku harap-harapkan selama ini. Sewajarnya, bukankah aku juga patut berasa gembira dengan penyatuan kembali keluargaku kini?

Aku mengangguk tanda setuju dengan kata-kata abang-abangku. Tanpa kusedari, air mataku mengalir di pipi. Aku terharu abang-abangku menyedari pengorbananku selama ini. Akhirnya aku sedar. Tiada yang lebih utama bagi seorang anak daripada berbakti kepada orang tuanya…Dapat memberikan kebahagiaan kepada ayah dan ibunya. Dan kini, aku telah melakukannya. Aku telah memberikan kebahagiaan yang mereka harapkan daripada seorang anak. Walaupun dengan mengorbankan kebahagianku sendiri!

“Along percaya, walaupun Lia tak mencintai Fendi dan tak mahu berkahwin dengan dia, dengan restu mak dan abah, pasti hidup Lia akan bahagia. Manalah tau, perkahwinan Lia ni akan kekal selamanya, kerna dilimpahi restu dan doa mak dan abah. Bukan macam kita orang dulu, kan Syam?” Along seolah-olah memujukku.

Abang Syam mengangguk. “Along dengan Angah pun akan sentiasa doakan Lia. Janganlah marah sangat dengan mak tu. Dari dulu, mak hanya nak yang terbaik untuk kita semua. Bila Angah dah ada anak-anak sendiri, barulah Angah sedar pengorbanan mak dan abah membesarkan kita. Tapi Angah respect betul dengan apa yang Lia buat ni. Angah berdoa yang anak-anak Angah esok akan jadi anak-anak yang taat pada ibu bapa macam Lia…”

Kata-kata abang Syam menusuk ke kalbuku. Terharu! Ku lihat air mata tergenang di kelopak matanya membuatkan air mataku mengalir semakin laju.

“Maafkanlah Along dengan Angah atas semua kesalahan kita yang dulu-dulu,” pinta abang Mail kepadaku. “Kalau Along boleh putarkan waktu, pasti Along tak akan ulangi kesilapan yang telah Along lakukan…tapi nak menyesal sekarang pun dah tak guna lagi. Along pernah lukakan hati mak dan abah…dan rupanya luka tu terlalu dalam untuk dihapuskan dengan hanya kata maaf semata-mata…” suara abang Mail melirih. Penuh kekesalan.

“Lia dah lama maafkan,” kataku teresak-esak. “Lia reda ini semua takdir Lia. Along pun janganlah terasa hati sangat dengan mak dan abah tu, ya? Insya-Allah, Lia yakin diaorang akan dapat terima Along semula…Angah pun...”

Abang Mail mengusap airmataku dan cuba memujukku. “Lia, pergilah mandi, solat. Kejap lagi dah nak masuk Asar. Lia dah Zohor ke belum?”

Aku menggelengkan kepalaku. Aku mengukirkan senyuman kepada kedua-dua abangku sambil memerhatikan mereka meninggalkan kamarku. Di muka pintu, Along berhenti dan memusingkan badannya untuk menghadapku. Dia melemparkan sekuntum senyuman untuk menutupi sinar kesedihan di matanya. Aku tahu dia menyesali nasibku ini tetapi dengan tidak semena-mena, aku merasa sangat lega! Entah mengapa gundah yang kurasakan untuk sekian lamanya, tiba-tiba hilang entah ke mana. Amarahku kepada orang tuaku, serta kegelisahanku, semakin menipis. Perbualan dengan abang-abangku sebentar tadi menyedarkanku, lantas memberikanku suatu sinar harapan yang kini semakin menyerap ke dalam jiwaku.

Mengapa harus aku merasa sedih? Allah kan bersamaku??!! Sekiranya aku menerima takdirku dengan hati yang terbuka, nescaya Allah akan membalasnya dengan seribu kebaikan. Aku hanya perlu bertawakkal kerana Allah sentiasa di sampingku dalam meniti hari-hari yang mendatang.

Aku mengesat airmataku dan bingkas bangun untuk menunaikan tanggungjawabku kepada Ilahi. Syukur, Ya Allah kerana Kau telah bangkitkan semula semangatku untuk berhadapan dengan dugaan-Mu ini.


No comments:

Post a Comment