Tuesday, 8 March 2016

GEMALAI KASIH - BAB 8



Tiba-tiba ada sepasang tangan yang memeluk Puan Seri dari belakang. Lia! Terkejut Puan Seri lalu dia memusingkan badan untuk memandang wajah Lia.

“Cantik tak, mak?” Lia melepaskan pelukannya dan berpusing-pusing di hadapan ibunya, memperagakan persalinannya lagak seperti seorang model.

Puan Seri mengamati Lia yang dilengkapi indah dengan jubah moden berwarna ungu muda, bersulamkan bunga-bunga kecil di bahagian leher dan pergelangan tangan. Sulaman yang bertemankan manik-manik kecil menambahkan lagi keunikan busana yang dikenakan Lia ketika ini. Senyuman kecil Lia pada Puan Seri yang sekian lama dirindukan membuatkan Puan Seri kembali memeluknya.

“Cantik sangat, Lia,” ujar Puan Seri sebak. Dia mengusap pipi anak gadisnya yang gebu dan mencium dahinya. “Mak tak pernah tengok Lia secantik ni. Jom, Lia. Orang semua dah tunggu tu.”

Puan Seri memimpin tangan Lia menuju ke ruang tamu yang sudah dipenuhi sanak saudara. Majlis berinai dimulakan dengan meriah dan penuh gelak ketawa. Puan Seri seakan tidak percaya mendengar gelak ketawa daripada Lia apabila diusik tanpa henti oleh sepupu dan juga makcik-makciknya. Sudah agak lama dia tidak melihat keceriaan di wajah anaknya ini. Dia seakan sukar mempercayainya.

Sejak Lia ditunangkan, Puan Seri perasan yang anaknya itu kelihatan murung dan banyak termenung. Lia juga dirasakan semakin jauh dari dirinya. Dia banyak memencilkan dirinya di dalam bilik dan tidak banyak menceritakan halnya kepada sesiapa pun. Di dalam diamnya, Lia masih tekun mencari pekerjaan di firma-firma yang dirasakan sesuai baginya dan kerap dipanggil untuk temu duga. Ada juga tawaran yang diterima tetapi ditolak Lia dengan alasan tidak sesuai untuknya. Sukar untuk Puan Seri memahami anaknya kebelakangan ini. Ada tembok yang didirikannya, membuat dia sukar mendekati Lia.

Puan Seri tahu selama ini Lia menyimpan rasa marah dan dendam terhadap dirinya serta suami. Tingkah lakunya begitu ketara mencerminkan amarahnya. Pada mulanya, Puan Seri berpura-pura tidak merasainya kerana dia tahu lambat laun Lia akan kembali kepada mereka. Lia tidak akan pernah dapat membenci ibu bapanya sendiri.

Namun Puan Seri hampir-hampir tewas! Kerana tidak sanggup lagi menatap kesedihan di mata Lia dan kesuraman di wajahnya, Puan Seri hampir sahaja akur kepada permintaan Lia untuk membatalkan sahaja perkahwinan dengan Effendi. Dia tidak mahu dibenci anaknya sendiri! Nasihat Encik Zulkifli turut menerjah ke telinga. Lia sudah banyak berkorban untuk keluarga.

Namun mimpi aneh yang dialaminya mengenai Lia dan Effendi, merubah segalanya. Puan Seri bermimpi Lia meriba seorang anak sambil ketawa. Di sisinya, Effendi berdiri tampan sambil membelai rambut dan wajah Lia. Sesekali Effendi mencium mesra ke dahi Lia. Mereka ketawa dan bergurau senda.

Mimpi itu ibarat isyarat yang dinantikannya selama ini. Doanya selama ini seolah-olah mendapat petunjuk dan restu Ilahi. Maka diteruskan jua dengan persiapan perkahwinan dan ditabahkan segala kerisauan di hati. Puan Seri tidak henti-henti berdoa agar Lia kembali kepadanya. Lia merupakan anak perempuan tunggal keluarga. Dan senyuman serta pelukannya sebentar tadi memberi seribu satu kemanisan kepada Puan Seri. ‘Syukur pada-Mu, ya Allah!’ doa Puan Seri di dalam hati.

Mata Puan Seri liar mencari Encik Zulkifli. Apabila dia melihat Encik Zulkifli juga sedang asyik memerhatikan gelagat Lia ketika itu, Puan Seri percaya suaminya juga berperasaan sepertinya. Encik Zulkifli mengalihkan pandangannya dan mencari isterinya. Apabila mereka saling berpandangan, masing-masing mengukirkan senyuman penuh makna. Inilah anak yang mereka banggakan selama ini…Anak yang tidak putus-putus memberi kegembiraan buat mereka berdua. ‘Mak bangga dengan kau, sayang,’ bisik hatinya.

Air mata kegembiraan yang mengalir di pipi Puan Seri diseka lembut. Mail menghampiri dan menyentuh bahu Puan Seri. Dia menoleh dan memandang ke wajah Mail. Tiba-tiba sahaja rasa kasih dan sayang yang teramat dalam terhadap Mail menyelinap ke seluruh ruang hatinya. Walaupun dia sudah lama memaafkan kesalahan Mail, inilah kali pertama dia dapat memandang anak sulungnya itu tanpa rasa sakit di hati. Dia kesal kerana terlalu lama menyimpan dendam terhadap Mail. ‘Masakan seorang manusia tidak pernah melakukan kesilapan? Bukankah dia masih anakku? Tidak dapatkah aku menerimanya seperti dulu?’ fikir Puan Seri sendirian.

Puan Seri menyambut tangan Mail yang berpaut di bahunya lalu menggenggamnya erat. Dia mengusap pipi Mail dengan lembut. Mail memejamkan matanya seolah-olah ingin merasakan kasih sayang yang mengalir dari tangan ibunya ke wajahnya. Pilu melihat Mail berperang dengan emosinya. ‘Sudah lama mak mengetepikan dan menyisihkan mu, sayang. Tidak lagi, anakku!’ bisik Puan Seri di dalam hati. ‘Along anak mak…Along tetap anak mak…’

Mail membuka matanya dan memandang ibunya. Sayu. Puan Seri seakan tahu daripada senyuman yang tersungging di bibir Mail bahawa dia memahami kata maaf yang diucapkan oleh Puan Seri walau tidak diucapkan secara langsung kepadanya. Puan Seri kembali memandang Lia yang ketika itu terpaku melihat perlakuan Puan Seri serta Mail. Lia memandang mereka berdua dengan penuh rasa kasih. Dia seakan menyedari apa yang baru berlalu antara Puan Seri dengan Mail. Lia kelihatan amat lega sekali dan matanya memancarkan suatu sinaran yang tentunya akan mewarnakan kembali kehidupan mereka sekeluarga.

Puan Seri bersedia membuang jauh-jauh segala keperitannya yang lalu. Inilah masanya memulakan langkah baharu. Tiada guna lagi dia memandang ke masa lalu. Sudah bertahun-tahun peristiwa yang menggores hatinya itu berlalu. Sudah lebih sepuluh tahun pun…

Esok, anaknya, Lia akan memulakan hidup baharu. Restu dan kasihnya terhadap Lia tidak akan putus selagi nyawa dikandung badan. Dan kini, Puan Seri dapat menerima sepenuhnya Mail kembali dalam hidupnya. Dia nekad untuk menerima anaknya itu seadanya. Juga dengan diri Syam serta anak isterinya.

Puan Seri terima apa yang baik dan buruk mereka, kerana mereka anak-anaknya. ‘Ya Allah! Aku ampunkan semua dosa anak-anakku yang lalu. Kau permudahkanlah kehidupan mereka, Ya Allah’. Puan Seri memaut lengan Mail. Kuat.

Jari-jemari Lia siap diinai. Isteri Syam, Suhaila, kini sibuk meletakkan inai ke jari anak sulungnya, Rima yang baru berusia enam tahun. Sesekali terdengar Lia mengusik Rima yang tidak mahu duduk diam ketika berinai. Sungguh meriah suasana di rumah Encik Zulkifli ketika ini. Puan Seri yakin kebahagiaan akan menjadi milik keluarganya semula.

Dan Puan Seri yakin Effendi merupakan orang yang paling cocok dengan Lia. Di hati kecilnya, dia tahu mereka berdua akan bahagia. Puan Hamidah telah pun menceritakan segala-galanya tentang anaknya Effendi kepada Puan Seri. Entah mengapa, perasaan hati Puan Seri begitu menebal mengatakan bahawa Effendilah orangnya yang akan dapat menjaga Lia dengan sempurna. Mimpi yang dialaminya sebelum ini juga bagai mengesahkan lagi perasaannya ini. Lia bagaikan permata dalam hidupnya. Maka dia amat berhati-hati dalam melepaskan Lia kepada sesiapa pun jua. Puan Seri tidak peduli status Effendi sebagai duda beranak satu. Yang penting, dia tahu Effendi sahajalah yang boleh menjaga dan menerima Lia seadanya.

Sebagai ibu, Puan Seri kenal sangat dengan budi pekerti Lia. Walaupun dia anak yang bongsu, tetapi dia bukanlah seorang yang manja tidak bertempat. Lia menjadi matang dengan begitu pantas, mungkin kerana dia terpaksa menggalas tanggungjawab abang-abangnya daripada usia muda lagi. Lia seorang yang lembut tetapi amat berdikari. Tidak suka meminta-minta. Lia akan patuh menurut segala permintaan mereka berdua walaupun akan membantah pada mulanya. Puan Seri tahu Lia tidak akan dapat bermasam muka terlalu lama dengannya. Akhirnya, Lia akan mengalah demi menjaga hati dan perasaannya.

Lia juga seorang yang amat setia di mata Puan Seri. Setia terhadap abang-abangnya, juga setia kepada sebarang ikatan perhubungan, termasuk ikatan persahabatan. Dengan didikan yang diberikan kepadanya, serta kejelitaannya, dia yakin Effendi akan jatuh cinta kepada Lia. Ya! Lia pasti dapat membuka kembali hati Effendi dan mencairkan segala prasangka buruk lelaki itu terhadap wanita. Memang Effendi pernah dilukai. Dan tidak hairanlah mengapa dia memandang sepi akan saranan ibunya untuk beristeri selama ini. Tidak hairan juga mengapa dia terlampau memilih. Bukan senang mencari seorang perempuan yang boleh menerima seorang anak tiri. Tapi Puan Seri yakin Lia bukan perempuan sebegitu. Lia lain…

Puan Seri sebenarnya kagum dengan sifat Lia yang selama ini bermasam muka dengan mereka sekeluarga kerana memaksanya berkahwin dengan orang yang tidak dikenalinya, tetapi malam ini, dia bangkit dengan suatu semangat yang baharu. Apa yang menyebabkan dia berubah begini? Apa pun sebabnya, Puan Seri bersyukur…amat bersyukur…

Puan Seri menghela nafas panjang. Inilah permulaan baharu bagi mereka sekeluarga. Dia dapat merasakan di sepelusuk jiwanya, bagai darah yang mengalir di dalam urat tubuhnya, betapa semua yang kelam akan menjadi riang…dan semua yang suram akan kembali bercahaya.




No comments:

Post a Comment