Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 13




“I
 LOVE YOU!”
Serentak ucapan itu, satu ciuman mendarat ke pipi Aisyah. Membuatkan Aisyah terkejut dan termelatah.
“Opocot… lap! Lap! Jangan tak lap!” Ringan saja kain lap yang digunakan mengelap pinggan mangkuk dilap ke muka Tengku Iskandar. Bukan sekali, malah berkali-kali. Seperti orang mengelap pinggan pula lagaknya.
Sebaik sedar dari perbuatannya itu, Aisyah membuang kain lap ke lantai. Bibirnya diketap. Tak sangka dia sudah melampaui batas. Mengelap muka suaminya dengan kain yang diguna mengelap pinggan. Aduh… perutnya mula rasa memulas melihat wajah Tengku Iskandar yang sudah bertukar rupa.
Errrerrrsorry. Aisyah… Aisyah….” Gagap Aisyah jadinya.
Inilah padah bila dia sudah melatah. Sampai tak kenal orang sekeliling. Suaminya itu juga satu hal! Dah tahu isteri ada penyakit latah, lagi nak buat kejutan. Tu nasib baik kain lap, kalau pisau macam mana? Tak ke haru biru jadinya!
Melihat air muka Aisyah yang sudah seperti orang mahu menangis itu, hati Tengku Iskandar dicuit rasa lucu. Lantas dia ketawa terbahak-bahak. Tentu isterinya itu takut dengan wajah garangnya tadi.
Namun, tawa Tengku Iskandar tak lama bila telinganya menangkap suara tangisan Aisyah. Dahinya berkerut. Jemari Aisyah diraih. Erat jemari itu berada dalam genggamannya.
“Kenapa sayang menangis?” Tengku Iskandar bertanya.
Tiada jawapan. Sebaliknya Aisyah terus menangis. Terhenjut-henjut bahunya. Dia benar-benar rasa takut saat itu. Takut kena marah dengan suami yang garang macam harimau.
“Sayang….” Mendengar tangisan Aisyah yang semakin menjadi, Tengku Iskandar mula kalut. Tiada sekelumit rasa marah bermukim di hati. Jadi, untuk apa isterinya ini menangis?
“Abang boleh tak jangan buat macam tu lagi? Jangan takutkan Aisyah.” Pinta Aisyah. Esak tangisnya masih kedengaran.
“Nak takut kenapa pulak? Abang tak marah sayang pun. Sikit pun tak marah. Sumpah!” Tangannya diangkat bagaikan orang sedang melafaz ikrar.
“Memanglah abang tak marah, tapi Aisyah takut Aisyah cederakan abang. Cuba bayangkan andai tadi Aisyah pegang benda tajam. Pisau ke… gunting ke… tak ke lain jadinya. Aisyah takut sangat Aisyah cederakan abang sebab penyakit latah Aisyah ni.”
Jujur, Aisyah takut sangat hal buruk itu menimpa suaminya hanya kerana penyakit yang diwarisi dari arwah maknya ini. Mungkin orang sekeliling menganggap penyakit latah bukanlah satu penyakit yang serius. Namun bagi seorang pesakit latah seperti Aisyah, penyakit ini amat digeruni. Penyakit latah bukannya boleh dibawa main-main. Tersilap langkah, buruk padahnya.
Takpelah… abang rela cedera di tangan sayang. Mati sekali pun abang tak kisah.” Ketakutan Aisyah dipandang enteng. Malah selamba sahaja Tengku Iskandar berseloroh dengan senyuman terukir di bibir.
“Abang!” Aisyah menarik muka. Wajahnya dipaling ke arah lain. Dia sedang ketakutan, suaminya pula main-main. Langsung tidak memandang serius penyakitnya yang satu ini. Malah boleh pula suaminya berseloroh.
“Okey la… okey la… abang mintak maaf.” ujar Tengku Iskandar.
Namun, Aisyah hanya mendiamkan diri. Airmatanya masih lagi mengalir. Nampak sangat Aisyah begitu risaukan penyakit latahnya yang semakin menjadi-jadi.
Bahu Aisyah dipaut. Lalu perlahan-lahan dia memalingkan tubuh Aisyah agar berpusing ke arahnya. Jarinya mencari dagu Aisyah. Lantas diangkat memandangnya. Airmata yang mengalir ke pipi mulus itu dikesat.
“Sayang… jangan la menangis lagi. Abang janji takkan buat sayang terkejut lagi.” Tengku Iskandar mengukir janji.
Aisyah angkat anak matanya. “Promise?”
Tengku Iskandar angguk. “Promise!”
Mendengar janji itu, barulah bibir Aisyah mahu mengukir senyum. Dia berharap suaminya takkan memungkiri janji yang dikota.
Tengku Iskandar menarik nafas lega. Senyuman Aisyah merupakan penawar hidupnya. Tanpa senyuman itu, hari yang dilalui seakan suram dan tiada serinya lagi. Aisyah adalah segala-galanya.
“Sayang….” Tengku Iskandar bersuara romantik. Pinggang Aisyah yang ramping dipeluk kejap.
Hmmm….” Aisyah tidak mahu mengalah. Suaranya dilunakkan dengan bunyi yang begitu gemersik dan menggoda.
“Sayang tahu tak?”
Laju Aisyah menggeleng dengan bibir muncung buat muka comel. Comel la sangat!
“Sayang cantik sangat petang tadi. Sampaikan, abang langsung tak pandang sesiapa lagi masa tu. Mata abang ni, asyik pandang sayang sorang aje. Kalau boleh, nak peluk sayang tak nak lepas masa tu jugak.” Masih terbayang kecantikan isterinya ketika sesi photografi tadi. Cukup menawan, cukup memukau!
Aisyah ketawa kecil. Bukan dia tidak sedar pandangan mata suaminya pada dia ketika sesi photografi tadi. Cuma dia malas hendak memberi respons. Segan dengan usikan yang bertubi-tubi dihadiahkan kepada mereka.
“Tapi tu la… ada orang tu sombong sangat. Langsung tak pandang abang. Sibuk melayan orang lain….” Nada Tengku Iskandar bertukar. Merajuklah kononnya…….
“Mana ada Aisyah sombong.” balas Aisyah dengan suara manja.
“Habis tu yang sayang langsung tak nak pandang abang tadi, kenapa? Buat-buat sibuk borak dengan jurusolek tu. Kecik hati abang tau…….”
Wajah cemberut suaminya membuatkan Aisyah ketawa suka. Comel pula suaminya buat muka macam tu. Pantas tangannya melekat ke pipi Tengku Iskandar.
“Aisyah bukan tak nak pandang abang. Tapi….”
“Tapi apa?” Tak menyempat-nyempat Tengku Iskandar memotong cakap Aisyah.
“Aisyah malu. Abang tu la… nakal sangat! Waktu tu jugak nak kenyit-kenyit mata bagai. Semua orang usik Aisyah. Malu tau.”
“Oh… malu.”
Aisyah angguk.
“Habis tu kalau berdua dengan abang sayang malu jugak ke?” Tengku Iskandar bertanya.
Penuh yakin Aisyah menggeleng.
Ye ke…?” Tengku Iskandar bersuara seolah tak yakin dengan jawapan tanpa suara isterinya itu.
Kali ini Aisyah angguk pula. Berkeyakinan sungguh. Sedangkan dia tak tahu, keyakinannya ini membawa padah. Minda Tengku Iskandar sudah merancang sesuatu.
“Ok, kalau macam tu abang nak sayang buktikan dekat abang yang sayang tak malu bila berdua dengan abang. Jom!”
Sebaik menghabiskan kalimahnya, Tengku Iskandar terus mencempung tubuh Aisyah. Terjerit Aisyah dibuatnya kerana tak sangka suaminya akan berbuat begitu. Mujur dia tak melatah lagi seperti tadi.
“Abang! Apa ni? Turunkanlah Aisyah. Masih ada pinggan yang belum kena lap tu.” Aisyah meminta. Dadanya mula berdebar dengan tingkah Tengku Iskandar.
Arahannya tidak dihiraukan. Tengku Iskandar terus sahaja mengangkat tubuh Aisyah dan dibawa naik ke atas. Ada perkara lagi penting yang perlu Aisyah tunaikan daripada mengelap pinggan mangkuk.
Perlahan-lahan tubuh Aisyah diletakkan di atas katil. Tubuhnya yang sasa menindih tubuh Aisyah. Tak mungkin disakiti wanita kesayangannya itu.
Aisyah ketap bibir. Panahan mata Tengku Iskandar membuatkan jantungnya seolah ingin terloncat keluar. Menyesal rasanya mengeluarkan kata-kata tadi. Tak pasal-pasal, dia berada di sini. Atas katil yang sering menjadi saksi cinta mereka berdua.
“Abang nak sayang buktikan yang sayang dah tak malu dekat abang lagi.” Lembut suara Tengku Iskandar menampar pendengaran Aisyah.
Dada Aisyah bagai mahu pecah. Buktikan? Adoi… tak mungkin! Rasa itu tak pernah menghilang. Biarpun mereka suami isteri yang sah. Namun sebaik berada di katil ini, automatik perasaan malu itu datang menyerbu.
Melihat isterinya terkebil-kebil, Tengku Iskandar mengherot senyuman di bibir. Dia tahu isterinya ini tidak pernah membuang rasa malunya itu. Kerana sifat malu isterinya adalah sifat semulajadi. Pantas, dia menghampiri wajah Aisyah. Mencari bibir isterinya itu lalu mendaratkan ciumannya di situ.
Hmmm… nampaknya, dia jugalah yang tak tahu malu!


No comments:

Post a Comment