Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 14




T
ENGKU ISKANDAR tersenyum seorang diri. Masih teringat saat romantik antara dia dan Aisyah malam tadi. Terasa haruman Aisyah melekat ke tubuhnya sehingga pagi ini. Jika diturutkan kata hati, malas rasanya mahu datang ke pejabat. Rasa nak duduk dekat kondo dan terus memeluk isterinya. Tak puas menghabiskan masa bersama Aisyah.
Ketukan di muka pintu langsung tidak dihiraukan. Asyik benar dia mengenang keindahan malamnya bersama Aisyah. Apatah lagi saat itu irama lagu Mewangi nyanyian Akim berkumandang dari telefon pintarnya. Semakin angaulah dia dibuatnya.
Macamlah kejadian malam tadi itu merupakan pengalaman pertama. Sedangkan sudah lima tahun Aisyah berada dalam dakapannya. Namun dia tak pernah merasa bosan. Setiap malam yang dilalui, dirasakan seperti malam pertama. Aisyah benar-benar buat dia terpukau!
Ehemehem… melamun jauh nampak. Sampai aku ketuk pintu pun kau tak hiraukan.”
Tengku Haziq melangkah masuk ke dalam dan menegur abang sepupunya yang kelihatan ralit mengenang sesuatu. Sempat telinganya menangkap nyanyian kecil Tengku Iskandar. Lelaki itu kelihatan cukup bahagia sejak berkahwin dengan Aisyah. Alhamdulillah. Dia tumpang gembira.
Tengku Iskandar mengalihkan pandangan matanya ke wajah Tengku Haziq. Kemudian senyumannya terkoyak lebar.
“Nanti kau dah kahwin, tahulah apa yang buat aku tersenyum. Seronok!” Otak Tengku Iskandar sudah bertukar warna. Dengan Tengku Haziq, dia memang suka lepas cakap. Tapi itu bukan bererti dia menceritakan hal dalam selimutnya bersama Aisyah. Itu adalah rahsia mereka berdua. Tak mungkin diceritakan pada sesiapa.
“Ceh! Pasal tu rupanya. Takde benda lain!” Dengus Tengku Haziq. Dia sudah cukup faham dengan otak 18sx Tengku Iskandar itu. Tak sudah-sudah!
“Sekarang ni memanglah kau cakap macam tu Ziq. Esok lusa kau dah kahwin dengan Ros, entah-entah kau lagi teruk dari aku. Mahu sebulan agaknya kau tak keluar bilik. Asyik nak peluk bini kau aje.” Perli Tengku Iskandar berserta senyuman sumbing.
Memori kali pertama memiliki Aisyah terlintas di benaknya. Angau dia asyik memikirkan kehangatan isterinya ketika itu. Disebabkan egonya yang tinggi melangit, dia buat sombong. Konon tak pandang wanita kampung seperti Aisyah. Bukan citarasanya.
Tapi sekarang, dia juga yang tewas dengan ego sendiri. Aisyah juga yang sering dicari setiap malam. Jika ‘bantal peluknya’ itu tiada, tidurnya jadi tak lena.
“Kau jangan nak samakan aku dengan kau. Aku ni bukannya macam kau yang asyik fikir perkara tu aje.” Balas Tengku Haziq. Tak suka bila Tengku Iskandar cuba menyamakan mereka berdua.
Tertawa besar Tengku Iskandar mendengar kata-kata Tengku Haziq itu. Seronok dapat menyakat Tengku Haziq pagi ini. Itu belum adik sepupunya ini berkahwin lagi. Jika dah kahwin nanti, memang lagi kaw-kaw dia kenakan. Biar berasap telinga Tengku Haziq mendengar gurauannya.
“Dahlah! Aku ada perkara nak bagitau kau ni.”
“Apa dia? Kau dah nak kahwin ke?” Usik Tengku Iskandar.
Mata Tengku Haziq membutang. Dari mana Tengku Iskandar tahu? Baru semalam dia melamar Ros untuk dijadikan ratu hidupnya. Belum seorang pun dimaklumkan hal itu. Sejak bila sepupunya ini ada ilmu menilik? Pelik!
Tengku Iskandar memetik jari di hadapan Tengku Haziq. “Kenapa? Betul ke?”
“Macam mana kau tahu?”
“Eleh… aku hidup dengan kau dah lama la Ziq. Aku dah tahu luar dalam kau. Tengok muka kau yang dah mula miang tu, aku tahu kau nak kahwin.” Selamba Tengku Iskandar kata Tengku Haziq miang. Membuatkan bibir Tengku Haziq mencemik.
Anyway, congrat’s! I’m happy for you.” Tengku Iskandar menghulurkan tangan. Sungguh dia tumpang gembira mendengar berita itu. Kahwin juga adik sepupu kesayangannya ini. Ingatkan nak membujang sampai ke tua.
Salam yang dihulurkan disambut. Bibir Tengku Haziq mengulum senyum. Insya-Allah dia bakal menemui orang tua Ros untuk memberitahu perkara itu. Sudah tiba masa untuk dia mendirikan rumahtangga. Ros merupakan pilihan yang tepat.



“BETUL ke ni Ros?” Aisyah bertanya sekali lagi. Matanya bersinar-sinar. Dia inginkan kepastian yang pasti dari teman baiknya itu. Berita yang disampaikan itu membuatkan dia jadi begitu teruja.
Ros mengangguk dengan kepalanya tunduk ke bawah kerana rasa malu. Aisyah merupakan orang pertama yang diberitahu akan hal itu. Hujung minggu ini dia bercadang balik ke kampung bagi memaklumkan hal itu kepada orang tuanya. Sudah tiba masanya dia menamatkan zaman solo dan mengikut jejak langkah Aisyah membina rumahtangga.
“Tahniah!!! Aku happy untuk kau dan Abang Haziq. Akhirnya… jodoh tu milik korang.” Berita itu amat menggembirakan Aisyah. Lantas dia memeluk tubuh sahabatnya itu dengan erat.
“Terima kasih Aisyah.”
“Sama-sama.” Balas Aisyah setelah pelukan terlerai. Jemarinya dengan Ros bertaut erat.
“Tak sia-sia aku kenalkan korang berdua. Akhirnya korang bersatu juga. Abang Haziq tu baik orangnya Ros. Tak salah kau pilih dia sebagai pasangan hidup. Aku yakin kau pasti bahagia hidup di samping Abang Haziq.”
Tersenyum Ros mendengar celoteh temannya itu. Teringat kembali bagaimana Aisyah beria-ia memperkenalkan dia kepada Tengku Haziq. Hubungan yang pada awalnya berlangsung sebagai kawan biasa itu akhirnya bertukar menjadi teman tapi mesra. Rasa rindu yang cuba disembunyikan, rasa cinta yang terpendam akhirnya terluah juga. Tiga bulan bercinta, semalam Tengku Haziq melamarnya untuk dijadikan teman hidup.
“Mak ayah kau dah tahu ke hal ni?” Aisyah bertanya lagi. Di Kuala Lumpur ini, hanya dia yang Ros ada. Mereka saling memerlukan.
“Tu yang aku nak balik kampung. Harap-harap big bos luluskan cuti aku hari jumaat ni. Aku nak bagitau mak ayah aku hal ni.” ujar Ros. Borang cuti telah diisi, cuma perlu menunggu kelulusan saja lagi. Sejak bekerja di TG Holdings ini, susah benar dia hendak mengambil cuti. Sibuk memanjang.
“Kau dah isi borang cuti ke?”
Ros angguk.
“Okey takpe, yang tu kau takyah risau. Anggap aje cuti kau dah lulus.”
Hisy, kau ni Aisyah. Pepandai je kata dah lulus. Selagi big bos tak reply borang cuti aku tu, selagi tulah aku tak boleh bercuti sesuka hati.”
“Kau ni Ros, macamlah tak tahu big bos kau tu laki kesayangan aku. Nanti aku pandai-pandai la pujuk dia supaya luluskan cuti kau. Apa yang penting sekarang, kau kena balik kampung bagitau mak ayah kau berita gembira ni. Aku dah tak sabar nak makan nasi minyak kau dengan Abang Haziq.” Teruja benar Aisyah dengan berita gembira itu. Tidak sabar mahu melihat sahabatnya ini naik pelamin.
Ros sekadar tersenyum. Dia ini rasa berdebar tak habis lagi, Aisyah sudah sibuk berceloteh pasal nasi minyak. Nampak sangat Aisyah begitu gembira. Sepatutnya dia mengucapkan terima kasih pada temannya ini. Jika bukan kerana Aisyah, tentu saja dia tak mengenali Tengku Haziq. Lelaki yang membuatkan dia merasa nikmat cinta buat kali pertama.
Hmmm… kau dah tempah mak andam ke? Pelamin? Baju pengantin?” Bertubi-tubi Aisyah menyoal.
Tak semena-mena, Ros tergelak besar. Kelakar mencengkam jiwa.
“Aisyah! Aku baru kena lamar. Takkan dah fikir pasal tu semua. Kau ni… kalau iye pun agak-agak la sikit.”
Aisyah tayang sengih. “Ngeee… aku teruja sangat Ros. Tu yang sampai dah ke situ aku berfikir. Maklumlah… kaulah satu-satunya sahabat aku. Bila tahu kau nak kahwin, aku pulak yang terlebih excited.”
“Aisyah… terima kasih ya.” Ucap Ros lalu mencapai jemari Aisyah dan digenggamnya erat.
“Terima kasih pasal apa pulak?”
“Sebab kau baik sangat dekat aku. Kalau bukan sebab kau yang kenalkan Abang Haziq dekat aku, tentu semua ni takkan terjadi.”
Genggaman Ros dibalas. “Ros, aku ni cuma kenalkan korang aje. Soal jodoh tu semua kerja Allah. Apa yang aku buat tu hanya penyebabnya aje. Lagipun Ros, aku memang nak tengok kau bahagia.”
“Nanti aku kahwin, kau jadi pengapit aku ya?” Ros sudah berura-ura hendak menjadikan Aisyah sebagai pengapitnya bila bersanding nanti.
“Aku jadi pengapit kau?” Aisyah menunding jari ke batang hidung sendiri. Ros pula sekadar mengangguk.
Aisyah ketawa. Gelihati mendengar permintaan Ros yang satu itu. “Baik kau cari orang lain aje la Ros. Aku ni dah jadi isteri orang. Dah basi pun. Tak sesuai rasanya jadi pengapit lagi.”
“Apa pulak tak sesuainya? Tak kisahlah isteri orang ke tidak. Yang penting, aku nak kau jugak yang jadi pengapit.”
“Kalau aku jadi pengapit, sah Tengku Iskandar tak kasi. Kau faham-faham ajelah laki kesayangan aku tu. Cemburunya boleh tahan tahap petala.”
Ketawa Ros mendengar Aisyah mengumpat Tengku Iskandar. Memang Tengku Iskandar itu boleh tahan cemburu orangnya. Pantang ada mata lelaki menjeling pada Aisyah, mulalah dia nak peluk Aisyah kuat-kuat. Isyarat nak bagitahu, Aisyah itu adalah miliknya.
Takpelah… kau jadi pengapit aku, Tengku Iskandar pulak jadi pengapit Abang Haziq. Kira adil dan saksama la kan?” Ros dapat idea baik punya!
Aisyah ketawa lagi. Ada-ada saja idea sahabatnya itu. Boleh pula nak jadikan dia dan suaminya sebagai pengapit.
“Boleh la Aisyah….” Ros merayu dengan suara merengek. Berharap sangat agar Aisyah menerima cadangannya itu. Hanya Aisyah sahabatnya. Sudah tentulah dia mahu Aisyah yang berada dekat dengannya ketika dia bersanding nanti.
Ye la… nanti aku tanyakan Abang Is dulu.”
Horrey!”
“Eh, jangan nak horrey dulu. Big bos belum bagi kelulusan.”
Takpe… anggap aje big bos dah luluskan.” Ros memulangkan cakap Aisyah yang tadi.
Serentak itu, mereka berdua ketawa riang.


No comments:

Post a Comment