H
|
ARI
ini merupakan hari ke lima Tengku Iskandar dan Aisyah berada di Kota Paris.
Sepanjang tempoh itu, telah banyak tempat yang mereka lawati. Hari pertama di
Paris, Tengku Iskandar mengajak Aisyah ke Eiffel Tower. Betapa terujanya Aisyah
bila diajak ke sana.
Bagi Aisyah dia sudah cukup gembira dapat melihat
Eiffel Tower yang mempunyai ketinggian 275 meter itu sambil duduk lepak bersama
insan tersayang. Mungkin inilah yang dimaksudkan paris ini Kota Cinta. Hanya
dengan duduk lepak sambil memandang Eiffel Tower sahaja rasa itu mengundang
bahagia di hati.
Setelah menghabiskan masa di Eiffel Tower, mereka
bergerak pula Musee d’orsay. Galeri seni kedua terbesar
di Paris ini mempamerkan karya-karya seni pelukis Perancis yang dibuat sejak
tahun 1848 hingga tahun 1915. Bentuk seni yang dipamerkan lukisan, foto, patung
dan sebagainya. Sesekali melihat patung-patung yang diukir, seram sejuk juga
Aisyah dibuatnya. Bagaikan patung-patung itu mempunyai roh di dalamnya.
Hari kedua bercuti, mereka memulakan perjalanan ke
Arc de Triumphe yang terletak di tengah-tengah bulatan jalan raya. Bangunan ini
terkenal sebagai sebuah arca tanda kemenangan yang dibina oleh Napolean
pada tahun 1800. Tengku Iskandar dan Aisyah langsung tak melepaskan peluang
bergambar di tengah-tengah jalan untuk diabadikan sebagai kenangan mereka di
sini.
Selepas itu mereka ke Place de la Concorde. Tempat wisata yang merupakan alun-alun terluas di
Paris ini, dibangun pada 1755 di lahan seluas 86,400 meter. Ciri khas tempat
ini adalah monumen dan air pancur. Tempat
terakhir yang dilawati sebelum mereka pulang ke hotel di hari ke dua adalah
Notre Dame Cathedral. Notre Dame Catheral adalah gereja gothic pertama yang di
bina di dunia ni. Bangunannya cantik dengan lorekan patung-patung.
Memasuki hari ketiga bercuti, mereka ke The Lourve
Museum seawal pukul 9.00 pagi. Kata Tengku Iskandar mereka perlu datang awal
memandangkan muzium ini begitu terkenal dan dibanjiri ramai pelancong.
Di sinilah terletaknya potret wanita tercantik
bernama Monalisa. Aisyah nampak begitu teruja memuji kecantikan Monalisa. Entah
di mana cantiknya si Monalisa itu? Tengku Iskandar sendiri tidak mengerti.
Baginya Aisyah lagi cantik jika hendak dibandingkan dengan Monalisa yang tak
berkening. Namun dalam banyak-banyak dewan pameran, dewan pameran yang
menempatkan potret Monalisa inilah yang paling ramai pengunjungnya.
Di hari ke empat pula Tengku Iskandar dengan
bermurah hati mengajak Aisyah berbelanja sakan di Champs de Elysees.
Barang-barang di sini semuanya mahal-mahal belaka. Aisyah pula bukanlah jenis
perempuan kaki shopping. Dia hanya
beli apa yang perlu dan sedikit cenderamata untuk keluarga dan teman-teman di
Malaysia. Buat Ros, sebuah beg tangan berjenama LV dibelikan khas buat teman
baiknya itu. Dia tahu Ros gemar mengumpul koleksi beg tangan.
Siang tadi pula mereka sekali lagi ke Champs de
Elysees. Menyambung semula aktiviti membeli belah yang masih belum selesai.
Ikutkan Aisyah, dia tak larat nak berjalan jauh-jauh semata-mata nak
membeli-belah barangan berjenama sepanjang perjalanan. Tapi memandangkan
suaminya telah mengajak, dia turutkan saja kehendak suaminya itu. Lagipun tak
semestinya dia harus membeli di situ. Sekadar cuci mata dan bergambar pun sudah
memadai. Dapat dijadikan sebagai kenang-kenangan.
Aisyah tersenyum. Mengenang hari-hari bersama suami
tersayang di Kota Cinta ini, hatinya semakin mekar berbunga cinta. Kasih sayang
semakin dalam di lubuk hati. Dia tahu betapa kuatnya cinta Tengku Iskandar
padanya. Percutian di musim salji ini menjadi hangat dek cinta mereka berdua.
Kesejukan bukanlah penghalang untuk mereka memadu asmara.
“Sayang, are
you ready?” suara Tengku Iskandar mengejutkan Aisyah dari lamunan. Segera
dia menoleh.
Di hadapannya, Tengku Iskandar kelihatan segak
dengan kameja lengan panjang warna hitam yang sengaja dilipat lengannya hingga
ke paras siku dipadankan dengan slack
juga daripada warna senada. Butang bajunya dibiarkan terbuka sedikit di
bahagian atas. Membuatkan penampilan suaminya itu kelihatan menggoda. Dah
serupa pelakon latin pula dia tengok suaminya bergaya begitu.
“Abang hensem
sangatkah sampai mata sayang tak berkerdip pandang muka abang?” tanya Tengku
Iskandar seraya melangkah menghampiri Aisyah yang bergaya kasual dengan gaun
labuh gabungan warna hitam dan berbunga putih.
Serta-merta Aisyah mencebik. Meluat dengan sikap
perasan suaminya itu.
Cup! Satu ciuman hinggap ke bibirnya. Mata Aisyah
membulat.
“Tu la… buat la lagi bibir macam tu. Kali ni kalau
abang cium, abang tak nak bagi lepas.” Ugut Tengku Iskandar bernada usikan.
“Hisy…
abang ni! Gatal!”
Ketawa besar Tengku Iskandar bila Aisyah mengatakan
dia gatal. Ya! Memang dia lelaki gatal. Tapi gatalnya hanya pada isterinya yang
cantik dan comel ini.
“Sayang dah siap ke?” sekali lagi pertanyaan
pertamanya diulang.
Aisyah mengangguk. Sedari tadi lagi dia telah
bersiap. Cukuplah dengan penampilannya ini. Tak perlu nak sarat sangat. Lagipun
mereka sekadar nak keluar makan malam sahaja. Tak perlulah nak over sangat.
“Ok… jom.”
Tengku Iskandar menghulur tangannya kepada Aisyah.
Dengan senang hati, Aisyah menyambut huluran tangan itu.
Di pintu keluar, sebuah kereta mewah telah siap
menanti kedatangan mereka berdua. Terpegun Aisyah melihat kereta besar yang
mereka naiki. Sekadar nak makan malam sahaja, buat apa suaminya bersusah-payah
menempah kereta mewah ini? Setakat naik teksi kan jimat.
Namun tidak pula disuarakan rasa hatinya itu. Dia
hanya mengikut sahaja rentak suaminya. Beginilah suaminya setiap kali menjelang
tarikh ulang tahun perkahwinan mereka. Pasti ada saja kejutan yang diberikan.
Dia sendiri tak tahu apa lagi kejutan yang bakal diterimanya nanti.
“Kita nak makan malam kat mana ni bang?” tanya
Aisyah setelah kereta yang dinaiki memecut dalam kadar kelajuan yang sederhana.
“Ada la. Sayang ikut aje.” Jawab Tengku Iskandar
bersama senyuman manis di bibir.
Aisyah tak banyak soal. Dituruti saja ‘permainan’
suaminya itu.
Sampai di tempat yang dituju, Tengku Iskandar keluar
dari perut kereta. Jemari Aisyah masih digenggam erat.
“Wah… cantiknya.” Terpegun Aisyah melihat tempat
cantik itu. Dia tak pernah lagi ke sini. Apakah nama tempat cantik ini?
“Sayang suka?”
Aisyah angguk kepala. Sungguh, dia suka tempat itu.
“Jom…” jemari Aisyah diraih agar mengikutnya.
“Abang, kita nak makan kat sini ke? Tak nampak pun
restoren.”
“Kita nak makan kat situ.” Lurus telunjuk Tengku
Iskandar ditunding ke arah sebuah boat.
Bulat mata Aisyah memandangnya. Bagaikan tak
percaya. Bagaikan mimpi dia bakal menikmati makan malam ulang tahun
perkahwinannya yang ke lima di boat secantik itu. Ingatkan mereka hanya makan
malam di restoren-restoren biasa saja seperti sebelum ini. Tak sangka mereka
berada di sini. Sesuatu yang tak terjangkau dek akal fikirannya.
Masuk ke dalam boat, ada sebuah meja kecil lengkap
dengan hidangan makan telah tersedia. Tengku Iskandar dengan bermurah hati
menarik sebuah kerusi dan mempersilakan isterinya duduk di situ. Lagak dah tak
ubah bagai putera dan puteri.
Aisyah yang dah tak mampu berkata apa-apa hanya mendiamkan
diri. Terasa dirinya ini begitu dihargai. Hanya pada Allah dia memanjat rasa
syukur kerana memberi dia peluang merasai kebahagian ini.
Sesekali mereka mengimbau kembali kenangan silam
bagaimana hubungan ini mula-mula terjalin. Bagaimana takutnya Aisyah pada suami
yang digelar ‘Tengku Harimau’. Dan bagaimana bencinya Tengku Iskandar pada
perempuan kampung yang dirasakan merimaskan hidupnya. Namun kini, ‘Tengku
Harimau’ yang garang ini telah menjadi jinak dan menjadi harimau kesayangan
Aisyah. Dan perempuan kampung yang rimas ini pula menjadi wanita teragung dalam
hidup Tengku Iskandar. Itulah yang dinamakan kuasa cinta.
Usai menjamu selera, Tengku Iskandar mengajak Aisyah
ke hujung boat. Memerhati keindahan malam sepanjang Seine River cukup mendamaikan
hati mereka berdua.
“Sayang….” Lembut dan romantik suara Tengku Iskandar
menyapa telinga Aisyah.
“Hmmm….”
Aisyah tak nak mengalah. Disahutnya panggilan Tengku Iskandar dengan nada manja
menggoda. Rugilah kalau dia tak beromantika di Seine River ini. Ramai orang
suka suasana romantik di sini termasuklah bintang-bintang Hollywood.
“Abang ada hadiah nak bagi sayang.”
“Apa dia?”
Banyak sangat hadiah kejutan daripada Tengku
Iskandar. Ingatkan ini saja kejutannya.
“Sebelum tu sayang kena pejam mata dulu.” Pinta sang
suami.
“Laaa… kenapa nak pejam-pejam mata pulak?” Balas Aisyah sedikit membantah.
“Pejam aje la.”
Aisyah menghela nafas. Matanya dipejam seperti apa
yang dikehendaki suaminya.
Melihat isteri yang akur, Tengku Iskandar tersenyum.
Kotak baldu yang dibawa dalam bakul kecil tadi dibuka. Memancar kilauan emas
putih berloket berlian sebesar duit lima puluh sen dari kotak cantik itu.
Kemudian ditarik keluar dan dipasang ke leher Aisyah yang dibaluti shawl warna hitam.
“Dah! Sekarang sayang boleh buka mata.” Suruh Tengku
Iskandar.
Aisyah meraba rantai yang berada di lehernya. “Apa
ni bang? Abang kan tahu Aisyah tak berapa suka barang kemas. Lagipun Aisyah tak
nak semua ni. Kasih sayang abang pada Aisyah dah cukup buat Aisyah bahagia.”
Inilah yang membuatkan cinta Tengku Iskandar pada
Aisyah semakin mendalam. Isterinya itu bukan seperti wanita yang pernah
didampinginya sebelum ini. Aisyah bukan jenis perempuan mata duitan. Aisyah tak
pernah merengek minta dibelikan barang kemas harga beribu-ribu. Apa yang diberinya,
itulah yang diterima.
“Sebab sayang tak pernah minta la abang belikan.
Abang tahu sayang tak berapa suka barang kemas. Tapi untuk ulang tahun kita
kali ni, abang nak hadiahkan sayang sesuatu yang berharga. Bukan harga menjadi
ukuran, tapi nama pada loket ni. Isya” jari Tengku Iskandar mendarat ke loket
di leher Aisyah.
“Terima kasih abang.” Tanpa dapat ditahan, air mata
Aisyah mengalir ke pipi. Cukuplah kasih sayang suaminya itu. Namun pemberian
ini begitu besar maknanya bila Tengku Iskandar menggabungkan nama mereka
berdua.
Sebagai seorang suami, hati Tengku Iskandar begitu
rapuh melihat air mata isterinya. Pantas diseka air mata itu dengan jarinya.
“Jangan menangis sayang. Abang nak tengok sayang gembira bukannya menangis
depan abang. Abang cintakan Aisyah. Terlalu cintakan Aisyah.”
Kemudian tubuh itu diraih erat ke dalam pelukannya.
“Aisyah pun cintakan abang.” Balas Aisyah. Pelukan
hangat Tengku Iskandar dibalas dengan rasa syukur yang tak terhingga. Semoga
bahagia ini milik mereka hingga ke akhir hayat.
No comments:
Post a Comment