M
|
ALAM
itu sekali Tengku Iskandar mengajak Aisyah ke Eiffel Tower sebelum mereka
berangkat pulang ke Malaysia pagi esok. Walaupun letih, keseronokan jelas
terpampang pada wajah Aisyah ketika kakinya menjejak halaman Eiffel Tower yang
dihiasi cahaya lampu neon.
Kesejukan yang melanda kerana salji yang turun
langsung tidak diendahkan. Apa yang penting dia puas dapat melihat kemegahan
Eiffel Tower di waktu malam. Memang cantik sekali! Seperti apa yang dia
gambarkan sebelum ini.
Sedang Aisyah ralit memerhati pemandangan indah di
depan mata, terasa ada benda terkena di belakangnya. Aisyah berpaling. Sebiji
bola plastik mendarat di depannya. Diambil bola tersebut. Kemudian datang
seorang anak perempuan kecil ke arahnya dengan muka bersalah. Takut andai dia
dimarahi.
Aisyah tersenyum. Wajah comel itu mengamit kalbunya.
Pantas dia melutut menyamai tinggi kanak-kanak itu. Pasti bola yang dipegangnya
ini milik anak comel itu.
“This is your
ball?” tanya Aisyah kepada anak kecil itu.
Anak kecil itu tidak menjawab. Hanya matanya yang
kebiruan itu saja memandang tepat ke wajah Aisyah. Takut hendak mengaku bola
itu adalah kepunyaannya.
“Oh my god!
Forgive my daughter. She really very
naughty.” Tiba-tiba datang seorang wanita hampir sebaya dengan Aisyah
menghampiri mereka.
Aisyah sekadar tersenyum. “It’s okey, maam. Small matter.” Aisyah cuba berbahasa inggerish
serba sedikit. Bercakap apa yang dia tahu sahaja. Nak borak panjang-panjang,
dia memang tak pandai sangat.
“Carol… say
sorry to auntie.” Wanita itu mengarahkan anak perempuannya meminta maaf
kepada Aisyah. Sudah ditegah anaknya agar jangan bermain bola di situ. Namun
anak itu degil tak mendengar kata. Sehingga bolanya terkena seorang wanita
muslim bertudung.
“Ermmm… I’m
sorry.” Perlahan saja suara Carol dengan kepala menunduk kerana rasa takut.
Sekali lagi Aisyah tersenyum. “It’s okey.” Jawabnya seraya mengusap rambut keperangan milik anak
kecil itu. Wajahnya persis anak patung. Comel sangat. Membuatkan Aisyah suka
melihat wajah comel itu.
Setelah berpamitan, Carol dan ibunya pun berlalu
pergi. Mereka mendapatkan seorang lelaki dan bergurau senda dengan bahagia.
Aisyah meneka, pasti lelaki itu adalah ayah kepada Carol memandangkan warna
rambut mereka yang sama.
Melihat kegembiraan keluarga itu, hati Aisyah
tiba-tiba menjadi sebak. Alangkah indahnya andai dia juga mempunyai anak
seperti gadis comel itu. Pasti rumahtangganya ini bertambah ceria.
Namun percaturan Allah itu tiada siapa yang tahu.
Biarpun telah lima tahun mendirikan rumahtangga, mereka masih belum dikurniakan
cahaya mata. Bukan Aisyah tidak mencuba. Sudah puas dia berusaha. Sudah banyak
tempat dia pergi untuk berubat secara tradisional mahupun moden, tetapi ampai
ke hari ini rezeki yang satu itu masih belum menyebelahi mereka suami isteri.
Bohonglah andai tidak terdetik rasa cemburu dihati
Aisyah melihat orang lain bahagia bersama anak-anak. Tapi apakan daya. Dia
hanya hamba Allah. Berusaha dan bertawakal. Selebihnya serahkan pada Yang Maha
Mencipta. Dia yakin ada hikmah disetiap pemberian Allah.
“Sayang, nak naik ke atas tak?” tanya Tengku
Iskandar kepada Aisyah yang termenung. Dia yang baru sampai menghulurkan
sebungkus popcorn kepada Aisyah.
Aisyah berpaling. Wajah Tengku Iskandar dipandang.
Rasa sebak menerjah kembali. Bergenang air matanya. Jiwanya mudah saja menjadi
rapuh bila memikirkan soal ini.
“Abang… maafkan Aisyah.” tak semena-mena tangan
Tengku Iskandar diraih dan dikucup. Airmata juga tanpa segan silu mengalir
dengan laju.
Terkesima Tengku Iskandar melihat perubahan tingkah
laku Aisyah. Tadi bukan main seronok lagi isterinya itu. Tiba-tiba pula
sekarang Aisyah menangis di hadapannya. Apa sebenarnya yang telah terjadi?
“Sayang… kenapa ni?” tanya Tengku Iskandar sambil
mengangkat dagu Aisyah supaya memandangnya. Kelopak mata isteri yang sedang
berair membuatkan hatinya menjadi sayu.
“Aisyah minta maaf sebab Aisyah tak mampu bagi abang
zuriat. Dah lima tahun kita kahwin, tapi Aisyah….”
Pantas sahaja jari telunjuk Tengku Iskandar mendarat
ke bibir mungil Aisyah. Kepalanya digeleng perlahan. Dia tak sanggup mendengar
Aisyah meneruskan kata-katanya lagi. Dia tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja
isterinya boleh memikirkan persoalan itu. Sedangkan selama ini tak pernah
terlintas dalam benaknya mahu menimbulkan soal anak pada Aisyah. Dia menerima
Aisyah seadanya. Soal anak mereka telah berusaha dan biarlah Allah yang
menentukan segalanya.
“Jangan cakap macam tu. Soal anak, soal rezeki semua
di tangan Allah. Kita dah berusaha sedaya upaya kita. Sayang sendiri dah puas
berusaha. Abang tak pernah salahkan sayang. Apa yang terjadi kehendak Allah.
Lagipun abang yakin satu hari nanti kita pasti ada anak. Cuma kita kena
bersabar dengan ujian Allah.” Lembut Tengku Iskandar memujuk. Air mata yang
gugur di pipi sang isteri dikesat.
“Kalau ditakdirkan Aisyah masih tak mampu berikan
abang zuriat, Aisyah izinkan abang cari isteri lagi.” Ikhlas Aisyah memberi
kebenaran walaupun hatinya bagai disiat sembilu kala mengungkap ayat itu.
Isteri mana sanggup bermadu? Namun demi cintanya pada suami, dia rela.
“Apa sayang merepek ni? Bila masa abang nak kahwin
lain?” Terperanjat Tengku Iskandar mendengar pengakuan Aisyah. Memang dia
berkemampuan untuk berkahwin lagi seorang, malah dua atau tiga orang tetapi itu
bukan keinginannya. Hati dan perasaannya hanya pada Aisyah. Mustahil baginya
menduakan cinta isterinya itu.
“Dah… abang tak nak dengar sayang merepek lagi. Apa
pun yang jadi, abang tetap tak akan menduakan sayang. Sayang segala-galanya
bagi abang. Soal anak, kita serahkan pada Allah. Hanya Dia Yang Maha Memberi.”
Aisyah angguk. Dia juga yakin Allah merancang
sesuatu yang indah untuk mereka berdua.
“Cuma Aisyah cinta hati abang. Datanglah walau
seribu jelitawan, hati abang tetap milik Aisyah seorang.” Jemari Aisyah yang
digenggam erat dibawa ke mulut. Lalu dikucup penuh kasih. Biar ada yang mengata
rumah tangga mereka kosong tanpa cahaya mata, baginya cukuplah kasih Aisyah
dimiliki. Dia cukup yakin satu masa nanti Allah akan memakbulkan doa mereka.
“Sayang jangan sedih-sedih tau. Abang tak nak tengok
sayang menangis lagi. Dah, jom kita naik ke atas. Abang nak bawa sayang tengok
pemandangan Paris waktu malam. Kan kita datang ke sini untuk berhibur. Bukannya
nak bersedih.”
Aisyah sekadar mengangguk. Air matanya dikesat.
Benar kata suaminya itu. Mereka ke sini untuk bersuka ria. Meraihkan ulang tahun
perkahwinan mereka. Bukannya untuk dia berduka lara.
Menyaksikan keindahan Kota Paris di waktu malam di
tempat yang tinggi, cukup menyeronokkan Aisyah. Terubat seketika rasa sedihnya.
Apatah lagi tubuh Tengku Iskandar tak lepas dari memeluk hangat tubuhnya.
Membuatkan mereka bagaikan pasangan pengantin baharu sahaja.
Tepat pukul 9.00 malam, pertunjukan cahaya
dimulakan. Sekali lagi Aisyah menjadi teruja. Pertunjukan yang dimainkan
membuatkan pelancong-pelancong yang mengunjungi tempat menarik itu bersorak
gembira. Aisyah turut sama bersorak. Begitu juga dengan Tengku Iskandar. Lega
rasa hatinya melihat semula wajah ceria Aisyah. Benarlah kata orang, Kota Paris
memang Kota Cinta yang menghiburkan.
Pukul 11.00 malam, barulah Tengku Iskandar mengajak
Aisyah pulang ke hotel. Esok mereka perlu bersiap seawal pukul 5.00 pagi untuk
ke lapangan terbang dan pulang ke Malaysia. Percutian kali ini merupakan
percutian paling indah buat mereka berdua.
No comments:
Post a Comment