Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 5




K
ECOH suasana di banglo Tengku Yusuf dan Tengku Maria malam itu dengan kehadiran anak dan menantu. Tengku Maria pula langsung tak nak berenggang dengan menantu kesayangannya itu. Rindu sangat katanya. Padahal baru seminggu tak bertemu. Itu pun dah buat dia tak tahan menanggung rindu. Sinetron sangat!
“Yang ni untuk mummy….” Aisyah menyerahkan bakul kertas kepada Tengku Maria. “Dan yang ini pulak untuk daddy.” Kemudian satu lagi bakul kertas diberikan kepada Tengku Yusuf.
“Untuk daddy pun ada jugak ka?”
“Mesti la. Kena la adil dua-dua dapat.” Jawab Aisyah senang. Badan disandar ke bahu sofa.
“Wah… cantiknya beg tangan ni. Thanks sayang. Mummy suka sangat.” Ujar Tengku Maria setelah mengeluarkan buah tangan pemberian menantunya itu. Pipi Aisyah dikucup tanda kasih.
Aisyah tersenyum. Bersyukur kerana ibu mentua suka pemberiannya. Jenuh juga dia memikirkan buah tangan apa yang harus diberikan kepada ibu mentuanya itu. Akhirnya dia memilih untuk membelikan sebuah beg tangan berjenama buat ibu mentua kesayangan.
“Aik? Aisyah aje ke yang dapat ciuman? Habis tu Is ni tak dapat ke?” Tengku Iskandar bersuara sekadar bergurau. Senang hatinya melihat layanan mummy pada Aisyah. Sepanjang lima tahun dia dan Aisyah mendirikan rumah tangga, kasih sayang mummy pada Aisyah tak pernah berubah. Alhamdulillah… dia amat bersyukur.
“Dah tua-tua pun nak kena cium jugak ke?” Tengku Maria memulangkan soalan kepada si anak.
Tengku Iskandar sekadar tersengih.
“Malam ni bermalam kat sini ya?” ujar Tengku Maria pada anak dan menantu. Wajah pasangan suami isteri itu dipandang silih berganti.
Aisyah tak menjawab. Segala keputusan diserahkan pada suaminya.
Ermmm… malam ni tak boleh la mummy. Malam ni Is dengan Aisyah kena balik kondo. Dah lama sangat tinggalkan kondo tu.” jawab Tengku Iskandar.
Wajah ceria Tengku Maria bertukar suram. Baru bercadang mahu berbual panjang dengan menantu, anaknya pula mahu pulang ke kondo.
“Apa salahnya tidur kat sini. Esok lusa pulanglah ke sana.” Gumam Tengku Maria. Kesal kerana permintaannya tidak ditunaikan.
Tengku Yusuf menghela nafas. Isterinya ini jika tidak diturutkan kemahuannya, cepat saja tarik muka. Tak bagi peluang langsung pada anak dan menantu. Kasihan Tengku Iskandar dan Aisyah, serba-salah mereka kerana karenah Tengku Maria.
“Awak ni pun Maria… biarlah mereka nak balik kondo. Lagipun betul juga cakap Is tu. Dah seminggu mereka tinggalkan kondo tu macam tu aje. Biarlah mereka balik ke sana dulu kemas apa yang patut. Nanti-nanti mereka bermalam la dekat sini.” Tengku Yusuf mula bersuara. Selagi dia tak masuk campur, selagi itulah isterinya buat perangai.
Tunduk Tengku Maria mendengar teguran suaminya. Tak berani nak bersuara.
Mummy jangan risau. Aisyah janji, esok pagi-pagi Aisyah datang sini jumpa mummy. Kita keluar joging sama-sama ya.” Pujuk Aisyah. Serba-salah jadinya bila mummy dah mendiamkan diri.
Kepala yang tertunduk diangkat. Wajah muram Tengku Maria berubah ceria.
Promise sayang?”
Aisyah mengangguk. “Promise.”
Lebar senyuman Tengku Maria. Tak sabar menunggu hari esok.
Tengku Iskandar dan Tengku Yusuf saling berpandangan. Nasib baiklah Aisyah pandai memujuk Tengku Maria. Baru ceria wajahnya semula. Jika tidak, panjanglah muncung Tengku Maria sepanjang malam.




“TERIMA KASIH, sayang.” Ucap Tengku Iskandar sambil mengucup jemari Aisyah yang berada dalam genggamannya.
“Untuk apa?” tanya Aisyah sedikit hairan. Seingatnya dia tak buat apa-apa sehingga suaminya itu harus berterima kasih padanya.
“Sebab gembirakan hati mummy. Kalau Aisyah tak cakap macam tu tadi, tentu mummy dah merajuk panjang dengan abang.”
Aisyah ketawa kecil. Hal itu rupanya. Ingatkan hal apalah tadi.
“Hal kecil aje bang. Aisyah bahagia tengok mummy gembira..” Ikhlas Aisyah mengakuinya.
Bagi Aisyah tak salah menggembirakan hati ibu mentuanya itu. Tengku Maria sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri. Apatah lagi Aisyah ini anak yatim piatu. Hati siapa lagi yang harus digembirakan jika bukan hati ibu mentua? Lagipun Tengku Maria begitu menyayanginya. Tak salah dia membalas kasih sayang itu dengan melihat kegembiraan ibu mentuanya itu.
Kasih sayang Tengku Maria padanya seluas lautan. Wanita itu tak pernah membezakan dirinya. Dia amat bersyukur diberi ibu mentua seperti Tengku Maria yang ikhlas menyayanginya. Alangkah baiknya jika Mak Su Ainin juga menyayanginya seperti itu?
Mengenangkan Mak Su Ainin, hati Aisyah dipagut sayu. Satu-satunya saudara yang dia ada itu langsung tak mengendahkan dirinya. Bukan Aisyah tak pernah balik ke kampung halamannya menjenguk Mak Su Ainin. Setiap kali datang menjenguk, Mak Su Ainin selalu sahaja menghadiahkan kata caci maki buatnya. Seolah dia ini begitu jijik di mata Mak Su Ainin.
Kadang-kala, terdetik di hati Aisyah. Apa sebenarnya salah yang dia lakukan pada Mak Su Ainin? Sehingga begitu sekali Mak Su Ainin membencinya. Tiada sekelumit rasa sayangkah di hati Mak Su Ainin buat Aisyah? Sampaikan segala kebaikan yang Aisyah berikan langsung tidak dipandang dengan mata hati.
Aisyah mengeluh. Berat sekali bunyinya. Sehingga membuatkan kepala Tengku Iskandar berpaling ke arah isterinya itu.
“Sayang, kenapa mengeluh ni?” tanya Tengku Iskandar yang tenang memandu.
Tersedar Aisyah dari lamunan sedetiknya. Pantas dia menggeleng. Senyuman nipis diukir menyembunyikan apa yang bermain dalam hati. Dia tidak mahu lelaki itu menyedarinya.
“Tak baik bohong. Abang tahu ada yang bermain dalam fikiran sayang. Cuba cakap dekat abang apa yang buat sayang mengeluh. Abang nikan suami sayang. Abang berhak ambil tahu.” Seperti selalu, Tengku Iskandar bijak menafsir isi hati isterinya. Lima tahun mengenali Aisyah, dia sudah masak benar dengan sikap isterinya itu.
Aisyah menghela nafas. Sukar baginya membohongi Tengku Iskandar. Suaminya itu terlalu bijak membaca fikirannya. Sehingga dia tidak mampu menyembunyikan apa-apa dari suaminya ini.
“Aisyah teringatkan mak su.” Jujur Aisyah mengakuinya.
“Buat apa Aisyah nak ingatkan dia? Mak Su Ainin tu langsung tak ingat pun pasal Aisyah.” ujar Tengku Iskandar separuh geram. Ikutkan rasa hati yang baran, mahu dia membalas perbuatan Mak Su Ainin pada Aisyah. Tapi mengenangkan isterinya ini, dia tak sampai hati melakukannya. Sakit hatinya melihat layanan Mak Su Ainin pada Aisyah.
“Entah la bang. Seburuk-buruk layanan mak su pada Aisyah pun, dia tetap mak su Aisyah. Satu-satunya saudara yang Aisyah ada kat dunia ni.”
“Sayang sorang aje anggap dia saudara. Tapi dia? Dia tak anggap pun sayang ni anak saudara.”
Aisyah diam tak berkutik. Ada benar kata suaminya itu. Selama ini memang dia tak pernah merasa kasih sayang Mak Su Ainin. Wanita itu sering menderanya. Buat dia tak ubah seperti orang suruhan.
“Dahlah. Jangan fikir sangat pasal mak su sayang tu.” ujar Tengku Iskandar lagi. Jemari isterinya dicapai lalu digenggam erat.
Aisyah cuba tersenyum. Genggaman suaminya dibalas kejap.
“Terima kasih abang kerana selalu ada di sisi Aisyah.”
“Selagi hayat dikandung badan, selagi itu abang akan berada di samping sayang.”







No comments:

Post a Comment