Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 6




N
OMBOR yang tertera pada skrin telefon pintarnya membuatkan dahi Aisyah berkerut. Tak pernah dilihatnya nombor itu sebelum ini. Entah siapa pemanggilnya? Ada tiga kali panggilan daripada nombor itu yang menerjah masuk ke telefon pintarnya sedari tadi.
Selang sesaat, nombor yang sama kelihatan lagi. Kali ini Aisyah memutuskan mahu menjawab panggilan itu.
“Assalammualaikum….” Suara di hujung sana menyapa.
Waalaikumusalam. Siapa ni?” tanya Aisyah tidak dapat mengecam suara lelaki yang menyapanya.
“Aisyah, ini Abang Id.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Abang Id.
Dahi Aisyah berkerut. ‘Abang Id mana pulak ni?’ Tanya hatinya. Bagai dengar pertanyaan Aisyah itu, lelaki di hujung talian bersuara lagi.
“Abang Id anak Mak Su Nin.”
Jantung Aisyah berdegup kencang. Terkedu. Tak pernah Farid mencarinya, tiba-tiba hari ini lelaki itu menelefonnya. Apa yang dia mahukan? Kenangan silam menerjah minda. Membuatkan peluh memercik di dahi. Kenangan malam Farid hampir meragut kehormatannya mula berbayang-bayang depan mata. Ya Allah, betapa takutnya dia ketika itu berdepan dengan manusia yang sudah dirasuk syaitan.
“Aisyah?” panggil Farid setelah suara Aisyah tidak kedengaran.
“Ya. A… ada apa Abang Id telefon Aisyah?” sedikit gugup Aisyah jadinya. Perasaan takut tak dapat disembunyikan.
Farid menghela nafas. Dia tahu Aisyah takutkan padanya. Disebabkan nafsu yang beraja di hati, dia hampir merosakkan adik sepupunya itu. Ketika itu dia terlalu mengikut telunjuk syaitan. Nasib baiklah Aisyah sempat menyelamatkan diri. Jika tidak, hingga ke hari ini dia tidak mampu memaafkan dirinya kerana menganiya seorang gadis suci seperti Aisyah.
“Aisyah jangan salah faham. Jangan takut dengan Abang Id. Abang Id dah berubah. Abang Id telefon Aisyah ni pun sebab nak bagitau pasal mak.” beritahu Farid.
Aisyah diam sahaja. Tak tahu sama ada dia harus percaya omongan Farid ataupun tidak.
“Mak sakit tenat, Aisyah. Mak nak jumpa Aisyah.” beritahu Farid lagi, mengharapkan pengertian Aisyah.
Terkedu Aisyah mendengarnya. Benarkah apa yang Farid beritahu? Atau itu sekadar permainan Farid agar dia balik ke kampung. Aisyah keliru. Nak percaya, dia takut bakal terjerat dengan kata-kata Farid.
“Aisyah… Aisyah dengar tak apa abang cakap?” tanya Farid setelah mendapati Aisyah masih lagi membisu seperti tadi.
Errr… Aisyah dengar.”
“Abang Id tahu Aisyah susah nak percaya cakap abang. Abang Id sedar abang ni bukan abang yang baik untuk Aisyah. Banyak sangat dosa abang pada Aisyah. Tapi untuk kali ni tolonglah percaya abang, dik. Mak sakit tenat. Mak nak sangat jumpa Aisyah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Abang merayu kat Aisyah supaya balik kampung jumpa mak.”
Rayuan Farid kedengaran ikhlas. Membuatkan hati Aisyah mulai cair.
“Tapi… Aisyah kena bagitau suami Aisyah dulu. Aisyah tak boleh balik tanpa izin suami.”
“Abang faham. Aisyah cakaplah dengan suami Aisyah. Tapi abang betul-betul berharap Aisyah sudi balik kampung jumpa mak. Moga selepas jumpa Aisyah nanti, Allah mempermudahkan urusan mak. Abang kasihan tengok mak.” ada getar pada suara Farid ketika menuturkan ayat itu. Sebagai seorang anak, tak sanggup dia melihat penderitaan yang dialami maknya. Cukup memilukan.
“Insya-Allah, abang.”
“Baiklah kalau macam tu. Jumpa Aisyah dekat kampung nanti. Assalammualaikum.”
Waalaikumusalam.”
Setelah talian diputuskan, Aisyah mencari nama Tengku Iskandar. Nombor telefon suaminya itu didail. Beberapa kali deringan, barulah panggilannya dijawab.
“Assalammualaikum abang.” Ucap Aisyah.
Waalaikumusalam. Sayang, abang tengah meeting ni. Nanti abang call sayang balik ya. Bye….”
Belum sempat Aisyah menyuarakan apa yang ingin diperkatakannya, Tengku Iskandar terlebih dahulu memutuskan talian.
Aisyah menghela nafas. Nampaknya dia telah menelefon pada masa yang salah. Kenalah dia bersabar menunggu suaminya menelefon dia semula.




TEPAT pukul lapan malam, barulah Tengku Iskandar pulang ke kondo. Hari pertama bekerja setelah seminggu bercuti amat memenatkan. Dia kena menghadiri tiga mesyuarat sepanjang hari ini.
Tubuhnya disandarkan ke sofa. Matanya dipejam rapat. Dia ingin menenangkan diri. Namun ketenangan yang dicari hanya sementara setelah ingatannya tumpah pada Aisyah. Baru dia teringat janjinya hendak menelefon Aisyah siang tadi. Disebabkan sibuk, dia lupa menunaikan janjinya itu.
Pantas Tengku Iskandar bangun dari duduknya. Mencari kelibat Aisyah di ruang dapur. Kosong. Aisyah tiada di situ. Kemudian dia naik pula ke atas.
“Sayang….” Panggilnya sebaik pintu bilik dibuka.
Suasana dalam bilik sunyi. Tiada bayang-bayang Aisyah di situ. Pantas sahaja dia mencari di segenap ruang rumah.
“Mana pulak dia pergi?” tanyanya pada diri sendiri.
Ketika hati mula risaukan keselamatan Aisyah, mata Tengku Iskandar mendarat pada sekeping kertas di atas meja solek. Dicapai kertas kecil itu.
‘Abang,
Aisyah telefon abang berulang-kali. Tapi telefon abang tak dapat dihubungi. Aisyah terpaksa balik kampung hari ni jugak. Mak Su Ainin sakit tenat. Maafkan Aisyah sebab tak tunggu abang balik.
Aisyah’
Tengku Iskandar mengeluarkan telefon pintar di dalam poket seluar slack yang dipakainya. Diperhati telefon pintarnya itu. Tak sedar telefon pintarnya kehabisan bateri. Lantas sebuah keluhan terbit dari bibirnya. Tak sepatutnya dia membiarkan Aisyah balik sendiri. Dia perlu ada bersama isterinya itu.
Tanpa berlengah, Tengku Iskandar mengecas telefon pintarnya. Ketika dia membuka telefon pintar, ada beberapa panggilan masuk menerjah. Semua panggilan daripada Aisyah. Isterinya itu juga sempat meninggalkan pesanan ringkas. Ayatnya lebih kurang sama dengan nota kecil yang dia tinggalkan di atas meja solek.
Kerana risaukan Aisyah, Tengku Iskandar segera mendail nombor telefon pintar isterinya itu. Hanya beberapa saat menunggu, panggilannya dijawab.
“Assalammualaikum, sayang.” Ucapnya.
Waalaikumusalam, abang….” Tak sempat meneruskan kata-katanya, tangisan Aisyah kedengaran.
Dada Tengku Iskandar berdebar hebat. tangisan Aisyah yang mendayu-dayu membuatkan fikirannya mula tidak menentu. Apa yang terjadi?
“Sayang, kenapa ni? Kenapa sayang menangis?” bertalu Tengku Iskandar bertanya.
Aisyah tidak menjawab. Hanya tangisannya sahaja yang kedengaran. Membuatkan Tengku Iskandar bertambah risau.
“Sayang… cakap kat abang kenapa sayang menangis? Sayang kat mana?” hatinya sudah tak betah mendengar tangisan Aisyah. seolah dia ingin segera mendapatkan Aisyah dan memeluk isterinya itu seeratnya. Tapi… di manakah Aisyah?
“Aisyah kat kampung. Mak su dah meninggal.” Jelas Aisyah dengan suara tersekat-sekat.
Inalillahwainalillahhirajiun.” Ucap Tengku Iskandar mendengar berita yang baru diterimanya.
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah juga kita kembali.




No comments:

Post a Comment