N
|
OMBOR
yang tertera pada skrin telefon pintarnya membuatkan dahi Aisyah berkerut. Tak
pernah dilihatnya nombor itu sebelum ini. Entah siapa pemanggilnya? Ada tiga
kali panggilan daripada nombor itu yang menerjah masuk ke telefon pintarnya
sedari tadi.
Selang sesaat, nombor yang sama kelihatan lagi. Kali
ini Aisyah memutuskan mahu menjawab panggilan itu.
“Assalammualaikum….” Suara di hujung sana menyapa.
“Waalaikumusalam.
Siapa ni?” tanya Aisyah tidak dapat mengecam suara lelaki yang menyapanya.
“Aisyah, ini Abang Id.” Lelaki itu memperkenalkan
dirinya sebagai Abang Id.
Dahi Aisyah berkerut. ‘Abang Id mana pulak ni?’ Tanya hatinya. Bagai dengar
pertanyaan Aisyah itu, lelaki di hujung talian bersuara lagi.
“Abang Id anak Mak Su Nin.”
Jantung Aisyah berdegup kencang. Terkedu. Tak pernah
Farid mencarinya, tiba-tiba hari ini lelaki itu menelefonnya. Apa yang dia
mahukan? Kenangan silam menerjah minda. Membuatkan peluh memercik di dahi.
Kenangan malam Farid hampir meragut kehormatannya mula berbayang-bayang depan
mata. Ya Allah, betapa takutnya dia ketika itu berdepan dengan manusia yang
sudah dirasuk syaitan.
“Aisyah?” panggil Farid setelah suara Aisyah tidak
kedengaran.
“Ya. A… ada apa Abang Id telefon Aisyah?” sedikit
gugup Aisyah jadinya. Perasaan takut tak dapat disembunyikan.
Farid menghela nafas. Dia tahu Aisyah takutkan
padanya. Disebabkan nafsu yang beraja di hati, dia hampir merosakkan adik
sepupunya itu. Ketika itu dia terlalu mengikut telunjuk syaitan. Nasib baiklah
Aisyah sempat menyelamatkan diri. Jika tidak, hingga ke hari ini dia tidak
mampu memaafkan dirinya kerana menganiya seorang gadis suci seperti Aisyah.
“Aisyah jangan salah faham. Jangan takut dengan
Abang Id. Abang Id dah berubah. Abang Id telefon Aisyah ni pun sebab nak
bagitau pasal mak.” beritahu Farid.
Aisyah diam sahaja. Tak tahu sama ada dia harus
percaya omongan Farid ataupun tidak.
“Mak sakit tenat, Aisyah. Mak nak jumpa Aisyah.”
beritahu Farid lagi, mengharapkan pengertian Aisyah.
Terkedu Aisyah mendengarnya. Benarkah apa yang Farid
beritahu? Atau itu sekadar permainan Farid agar dia balik ke kampung. Aisyah
keliru. Nak percaya, dia takut bakal terjerat dengan kata-kata Farid.
“Aisyah… Aisyah dengar tak apa abang cakap?” tanya
Farid setelah mendapati Aisyah masih lagi membisu seperti tadi.
“Errr…
Aisyah dengar.”
“Abang Id tahu Aisyah susah nak percaya cakap abang.
Abang Id sedar abang ni bukan abang yang baik untuk Aisyah. Banyak sangat dosa
abang pada Aisyah. Tapi untuk kali ni tolonglah percaya abang, dik. Mak sakit
tenat. Mak nak sangat jumpa Aisyah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Abang
merayu kat Aisyah supaya balik kampung jumpa mak.”
Rayuan Farid kedengaran ikhlas. Membuatkan hati
Aisyah mulai cair.
“Tapi… Aisyah kena bagitau suami Aisyah dulu. Aisyah
tak boleh balik tanpa izin suami.”
“Abang faham. Aisyah cakaplah dengan suami Aisyah.
Tapi abang betul-betul berharap Aisyah sudi balik kampung jumpa mak. Moga
selepas jumpa Aisyah nanti, Allah mempermudahkan urusan mak. Abang kasihan
tengok mak.” ada getar pada suara Farid ketika menuturkan ayat itu. Sebagai
seorang anak, tak sanggup dia melihat penderitaan yang dialami maknya. Cukup
memilukan.
“Insya-Allah, abang.”
“Baiklah kalau macam tu. Jumpa Aisyah dekat kampung
nanti. Assalammualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Setelah talian diputuskan, Aisyah mencari nama
Tengku Iskandar. Nombor telefon suaminya itu didail. Beberapa kali deringan,
barulah panggilannya dijawab.
“Assalammualaikum abang.” Ucap Aisyah.
“Waalaikumusalam.
Sayang, abang tengah meeting ni.
Nanti abang call sayang balik ya. Bye….”
Belum sempat Aisyah menyuarakan apa yang ingin
diperkatakannya, Tengku Iskandar terlebih dahulu memutuskan talian.
Aisyah menghela nafas. Nampaknya dia telah menelefon
pada masa yang salah. Kenalah dia bersabar menunggu suaminya menelefon dia
semula.
TEPAT
pukul lapan malam, barulah Tengku Iskandar pulang ke kondo. Hari pertama
bekerja setelah seminggu bercuti amat memenatkan. Dia kena menghadiri tiga
mesyuarat sepanjang hari ini.
Tubuhnya disandarkan ke sofa. Matanya dipejam rapat.
Dia ingin menenangkan diri. Namun ketenangan yang dicari hanya sementara
setelah ingatannya tumpah pada Aisyah. Baru dia teringat janjinya hendak
menelefon Aisyah siang tadi. Disebabkan sibuk, dia lupa menunaikan janjinya
itu.
Pantas Tengku Iskandar bangun dari duduknya. Mencari
kelibat Aisyah di ruang dapur. Kosong. Aisyah tiada di situ. Kemudian dia naik
pula ke atas.
“Sayang….” Panggilnya sebaik pintu bilik dibuka.
Suasana dalam bilik sunyi. Tiada bayang-bayang
Aisyah di situ. Pantas sahaja dia mencari di segenap ruang rumah.
“Mana pulak dia pergi?” tanyanya pada diri sendiri.
Ketika hati mula risaukan keselamatan Aisyah, mata
Tengku Iskandar mendarat pada sekeping kertas di atas meja solek. Dicapai
kertas kecil itu.
‘Abang,
Aisyah telefon abang
berulang-kali. Tapi telefon abang tak dapat dihubungi. Aisyah terpaksa balik
kampung hari ni jugak. Mak Su Ainin sakit tenat. Maafkan Aisyah sebab tak
tunggu abang balik.
Aisyah’
Tengku Iskandar mengeluarkan telefon pintar di dalam
poket seluar slack yang dipakainya. Diperhati telefon pintarnya itu. Tak sedar
telefon pintarnya kehabisan bateri. Lantas sebuah keluhan terbit dari bibirnya.
Tak sepatutnya dia membiarkan Aisyah balik sendiri. Dia perlu ada bersama
isterinya itu.
Tanpa berlengah, Tengku Iskandar mengecas telefon
pintarnya. Ketika dia membuka telefon pintar, ada beberapa panggilan masuk
menerjah. Semua panggilan daripada Aisyah. Isterinya itu juga sempat
meninggalkan pesanan ringkas. Ayatnya lebih kurang sama dengan nota kecil yang
dia tinggalkan di atas meja solek.
Kerana risaukan Aisyah, Tengku Iskandar segera
mendail nombor telefon pintar isterinya itu. Hanya beberapa saat menunggu,
panggilannya dijawab.
“Assalammualaikum, sayang.” Ucapnya.
“Waalaikumusalam,
abang….” Tak sempat meneruskan kata-katanya, tangisan Aisyah kedengaran.
Dada Tengku Iskandar berdebar hebat. tangisan Aisyah
yang mendayu-dayu membuatkan fikirannya mula tidak menentu. Apa yang terjadi?
“Sayang, kenapa ni? Kenapa sayang menangis?” bertalu
Tengku Iskandar bertanya.
Aisyah tidak menjawab. Hanya tangisannya sahaja yang
kedengaran. Membuatkan Tengku Iskandar bertambah risau.
“Sayang… cakap kat abang kenapa sayang menangis?
Sayang kat mana?” hatinya sudah tak betah mendengar tangisan Aisyah. seolah dia
ingin segera mendapatkan Aisyah dan memeluk isterinya itu seeratnya. Tapi… di
manakah Aisyah?
“Aisyah kat kampung. Mak su dah meninggal.” Jelas
Aisyah dengan suara tersekat-sekat.
“Inalillahwainalillahhirajiun.”
Ucap Tengku Iskandar mendengar berita yang baru diterimanya.
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah
juga kita kembali.
No comments:
Post a Comment