“AKU TAK
percaya kau boleh satu kumpulan dengan singa jantan tu. Kau tukar ajelah,
Zeeza. Aku tak nak dia buli kau pulak nanti. Kelas pun dia tak pernah datang,
inikan pula nak jadi ketua. Jahanam kumpulan kau nanti,” omel Izz sambil
menyedut minuman yang terhidang di depan mata.
Suasana bising di kafe langsung tidak membantutkan
mereka untuk menjamu selera. Izz memandang wajah Azeeza yang sedikit muram.
Namun, keayuan sahabatnya itu tetap tidak pudar walaupun tanpa solekan yang
tebal.
“Kau dengar kan apa yang ustaz cakap tadi. Dia tak
nak dalam kumpulan nanti ada sleeping
partner. Bukan aku tak nak tukar, ustaz yang tak bagi.” Balas Azeeza. Dia
melepaskan keluhan.
“Tapi kenapa mesti dengan mamat tu? Kalau dengan
abang aku pun okey juga,” sampuk Liyana.
“Yang aku tak boleh terima, kenapa kumpulan kita
harus berpecah dan bergabung dengan geng-geng mamat sewel tu.” Bebel Izz lagi.
Liyana dan Azeeza mengeluh lagi. Mana mereka tak
bengang, keputusan Ustaz Mustakim memang tak masuk akal. Liyana digandingkan
dengan Firman, Izz digandingkan Yasmin dan Azeeza diletakkan dalam satu
kumpulan dengan Qaiser. Mana mungkin kucing dan tikus boleh bersahabat baik
inikan pula mereka.
“Tapi kan Zeeza, aku tengok….” Izz tidak dapat
menghabiskan bicara apabila kedengaran ruang kafe yang sunyi sepi itu bertukar.
Serentak, mereka bertiga memanggungkan kepala.
Kelihatan kumpulan Qaiser melangkah masuk ke dalam
kafe. Memang sudah menjadi kebiasaan, jika kumpulan Qaiser masuk ke dalam kafe,
sesiapa yang berada di dalam kafe harus keluar jika tidak, teruklah mereka
dikerjakan. Ada yang ditolak keluar dari kafe, ada yang dibuang makanannya,
malah ada yang dimandikan dengan kuah kari akibat tidak mahu keluar dari kafe.
Kebanyakkannya adalah pelajar-pelajar baru yang masih belum mengenali kumpulan
Qaiser.
“Jomlah kita keluar, aku tak nak cari pasal dengan
orang tak betul macam geng Qaiser tu,” ujar Izz sambil bangkit dari tempat
duduk.
“Buat apa kita nak keluar? Kafe ni bukan bapak dia
orang punya pun.” Tegah Liyana dengan muka selamba.
Azeeza hanya menganggukkan kepala. Dia meneruskan
suapan sehinggalah dia terasa seperti ada orang yang berdiri di sebelahnya.
Tidak lama kemudian, pinggan nasi Azeeza ditarik. Suapan Azeeza terhenti.
Pantas, dia mendongak.
“Kau ni memang degil kan? Berapa kali aku pesan,
kalau Qai dengan kita orang datang, kau orang kena keluar dari sini!” suara
Yasmin memecah gegendang telinga Azeeza.
Liyana mencebik. Izz menayang muka meluat. Azeeza
mendengus marah. Dia cukup pantang kalau waktu makannya diganggu.
“Perut kau boleh pecah ke kalau aku makan dekat
sini? Aku tak kacau kau jadi kau jangan kacau aku!” Azeeza bersuara tegas.
Sedikit pun dia tidak memandang wajah Yasmin.
Liyana dan Izz tersenyum sinis.
“Kau jangan nak berlagak sangat, Zeeza. Aku tahu
sengaja nak tarik perhatian Qai kan? Sebab itu kau suka sangat satu kumpulan
dengan Qai untuk kem tu nanti. Tak sangka, nampak alim tapi gedik!” hambur
Yasmin lagi. Dia memeluk tubuh.
Mana Yasmin tak bengang, lelaki pujaan hatinya
digandingkan dalam kumpulan yang sama sedangkan dia digandingkan dengan mamat sotong. Bantahannya pada Ustaz
Mustakim langsung tidak diendahkan malah Qaiser sendiri hanya mendiamkan diri.
Sedikit pun tidak melenting ataupun bersuara dengan keputusan ustaz.
Berdesing telinga Azeeza mendengar tohmahan Yasmin.
Dia ingat aku hadap sangat si Qaiser tu. Bagi percuma pun belum tentu dia nak.
Desis hati Azeeza.
“Kau ingat aku kebulur sangat ke dengan buah hati
kau tu? Yang kau nak jealous tak
tentu pasal ni kenapa? Dia kekasih kau, tiap-tiap hari kau berkepit dengan dia.
Aku dengan dia cuma satu kumpulan itu sebab terpaksa. Kau faham tak, TERPAKSA.
Aku tengok dia tak berbunyi pun, kau aje yang lebih-lebih. Entah-entah kau ni
yang terhegeh-hegeh!” balas Azeeza selamba. Kata-katanya cukup berbisa.
Sekilas dia mengerling ke arah Qaiser dan kumpulan
lelakinya yang lain. Lelaki itu hanya memandang ke arah dia dan Yasmin tanpa
bertindak apa-apa.
“Mulut kau ni memang kurang ajar!” Marah Yasmin. Dia
mengangkat tangan ingin menampar namun perbuatannya terhenti apabila ada suara
yang memanggil.
“Yasmin, you jangan buat kecoh boleh tak? Serabut tahu
tak?” Suara Qaiser menghentikan tindakan Yasmin yang hampir menampar pipi
Azeeza.
Qaiser menghampiri Yasmin dan Azeeza. Dia memandang
Azeeza seketika sebelum pandangannya beralih pada Yasmin yang sudah mencebikkan
bibir.
“Qai, kenapa dengan you ni? Patutnya you ajar
perempuan tak guna ni. Dia tak ikut arahan kita. Dia ganggu waktu kita makan.
Dia memang patut ditampar!” marah Yasmin lagi kali ini seakan merengek pada
Qaiser.
Liyana dan Izz menutup mulut. Menahan rasa loya
melihat kegedikkan Yasmin dengan Qaiser. Siap berpeluk lengan lagi.
“I nak makan, I lapar. Tak ada masa I nak layan
benda-benda sampah macam ni. Kalau you nak ikut I, better you pergi oder dan duduk dekat meja kita. Kalau tak, you
makanlah dengan octopus ni,” ujar
Qaiser sambil memandang Izz dengan tajam.
Mata Izz membulat. Dia panggil aku octopus? Sungguh menyakitkan hati singa
jantan ni! Marah Izz cuma dalam hati. Dia tidak berani untuk meluahkan, bimbang
dikerjakan oleh Qaiser seperti tempoh hari. Sudahnya dia hanya mampu merengus.
“You ni kan….” Yasmin berlalu sambil
menghentak-hentak kakinya tanda protes terhadap keputusan Qaiser.
Qaiser berpaling pada Azeeza. Wajah gadis manis itu
dipandang lama.
“Petang ni jumpa aku dekat court bola keranjang pukul lima. Ada benda yang aku nak bincang
pasal kem ibadah tu.” Ujar Qaiser dengan suara yang serius.
Azeeza memberanikan diri membalas pandangan Qaiser.
“Kenapa tak bincang sekarang je? Tak ada masa aku
nak jumpa kau karang,” balas Azeeza malas.
“Aku ada kelas selepas ni. Lagipun senarai nama tu
masih ada dengan ustaz. Kalau bukan sebab pelajaran mati hidup balik pun aku
tak nak menghadap muka kau tu,” balas Qaiser kasar. Dia tersenyum sinis sambil
memandang Azeeza yang berbaju kurung dari atas hingga ke bawah.
Azeeza memicingkan matanya. Rasa ingin ditumbuk saja
wajah Qaiser saat ini.
“Berlagak!” hambur Azeeza tiba-tiba.
Qaiser tidak membalas sebaliknya dia memusingkan
badan membelakangi Azeeza. Segaris senyuman kecil terukir di bibirnya.
MATA
AZEEZA melilau-lilau memandang kawasan gelanggang bola
keranjang yang sangat luas. Waktu petang merupakan kelaziman pelajar-pelajar
kolej beriadah setelah penat memeras otak di dalam kelas. Cuma Azeeza sahaja
yang tidak minat bersukan.
“Mana pula mamat ni?” soal Azeeza sambil
memanjangkan tengkuknya mencari kelibat Qaiser yang masih belum kelihatan.
Liyana yang berada di sebelah turut sama mencari.
Mata Liyana terhenti pada laman wajah Firman yang duduk di tepi gelanggang
sambil membaca buku. Liyana tersenyum sendirian. Memang itulah tabiat abangnya.
Lelaki itu lebih gemar menghabiskan masa dengan membaca buku daripada turut
serta bermain bola keranjang.
“Aku rasa kat sana…” ujar Liyana sambil menuding
jari ke arah Firman.
Azeeza mengalih pandangan. Tepat. Kelihatan Qaiser
dan kumpulannya sedang bermain. Kedengaran riuh rendah suara mereka menjerit.
Tidak kurang juga ada pelajar wanita yang turut berkerumun untuk menyaksikan
kumpulan mereka bermain. Azeeza mencebik. Macamlah bagus sangat! Getus hatinya.
“Kita nak kena pergi sana ke? Ramai betul lelaki kat
situ. Aku seganlah…” balas Azeeza. Wajahnya sedikit cuak. Dia memang tidak
gemarkan keadaan yang dipenuhi dengan lelaki. Cukup merimaskan.
“Kalau kau tak pergi, macam mana singa jantan tu nak
nampak kau? Nanti lambat pula kita balik.” Ucap Liyana.
Azeeza mengeluh. Dia tiada pilihan. Lantas, langkah
kaki diorak menuju ke arah gelanggang tempat Qaiser bermain. Dia berdiri di
satu sudut sambil menunggu lelaki itu menamatkan permainannya.
“Ana, buat apa kat sini?” tegur satu suara
mengejutkan mereka berdua.
Liyana dan Azeeza berpaling. Kelihatan Firman sedang
berdiri di belakang mereka dengan senyuman manis mekar di bibirnya. Anak mata
Firman memandang wajah Liyana dan Azeeza silih berganti.
“Ni hah, Qaiser nak jumpa Zeeza dekat sini. Tapi dia
boleh asyik je main bola tu.” Terang Liyana sambil menjuihkan bibir ke arah
Qaiser yang sedang melontarkan bola pada kawannya yang lain.
“Oh, sekejap. Abang tolong panggilkan,” ujar Firman
lantas berlalu. Azeeza hanya mendiamkan diri. Namun, anak matanya tetap
mengekori langkah kaki Firman yang sudah melangkah masuk ke dalam gelanggang
bola keranjang.
Kelihatan lelaki itu memanggil nama Qaiser sebelum
Qaiser berpaling pada Azeeza dan Liyana yang sedang menunggu di luar
gelanggang.
“Patutlah ramai sangat student perempuan tengok Qaiser ni sampai tak berkelip, memang dia
hensem pun.” Puji Liyana sambil anak matanya berkelip-kelip memandang Qaiser
yang sedang mengelap peluh.
Azeeza mencebikkan bibir. Hensem tang mana pun aku
tak tahulah Ana ni. Kekacakan ataupun kecantikan itu akan terserlah jika hati
pun cantik. Detik hati Azeeza.
“Kau tu semua lelaki kau cakap hensem. Izz pakai
singlet pun kau cakap hensem,” gurau Azeeza sambil ketawa kecil.
Liyana membeliakkan matanya. Serentak, satu tamparan
halus hinggap di lengan Azeeza. Dia turut ketawa melihat wajah Azeeza yang
berkerut.
“Hoi, bukan main seronok nampak.” Tegur satu suara
menyebabkan tawa Azeeza terhenti. Dia mendongak.
“Hoi aje yang kau pandai panggil. Ingat kami ni tak
ada nama ke?” marah Liyana sambil berpeluk tubuh.
Qaiser tersenyum sinis. Pandangannya beralih pada
Azeeza yang hanya mendiamkan diri. Begitulah keadaan Azeeza jika berhadapan
dengannya. Tidak seperti dahulu. Pantang berjumpa pasti gadis itu akan
menjeling benci.
“Panggilan hoi je sesuai untuk perempuan macam kau
orang ni. Kawan kau ni dah bisu ke?” soal Qaiser pada Liyana.
Liyana berpandangan dengan Azeeza. Azeeza menayang
muka benci.
“Aku cakap bila perlu je. Mana senarai nama yang kau
nak bagi tu?” soal Azeeza dengan suara mendatar. Wajah Qaiser tidak dipandang
sebaliknya dia hanya menghulurkan tangannya.
Qaiser mencebik. Dia membuka beg galas lalu
mengeluarkan fail berwarna biru. Sehelai kertas diambil lalu dicampakkan ke
Azeeza. Dia tersenyum sinis melihat wajah Azeeza yang terpempan. Baru kau kenal
siapa Qaiser. Detik hatinya.
‘Kurang ajar!’ Jerit hati Azeeza namun dia cuba
bersabar. Dia sudah penat bergaduh dan bertikam lidah dengan Qaiser. Tidak
mendatangkan apa-apa faedah pun.
“Kau ni tak reti sopan sikit ke?” marah Liyana
sambil mengetap bibir.
“Tak!” jawab Qaiser spontan.
Azeeza hanya diam dan menundukkan badannya untuk
mengutip kertas yang jatuh di atas lantai sebelum dia kembali berdiri tegak.
Satu persatu nama yang tertulis di atas kertas tersebut dibaca. Dia hanya
membiarkan saja Liyana yang bertikam lidah dengan Qaiser yang jelas tidak mahu
mengalah.
“Ini je ke ustaz bagi?” soal Azeeza sambil memanah
tepat ke mata Qaiser.
Qaiser terkedu seketika. Mati terus bicaranya
apabila bertentangan mata dengan Azeeza. Dia menelan air liur yang terasa lekat
di kerongkong. Kenapa pula dengan aku ni? Getus hatinya.
“Qaiser…” panggil Azeeza sambil mengawang-awangkan
tangannya.
Qaiser tersentak. Kemudian dia mengangguk. Entah apa
yang dianggukkannya pun Qaiser tak pasti.
“Ustaz nak kita belikan barang-barang untuk memasak
semasa kem. Modal ustaz hanya beri RM150 aje. Kita kena beli barang-barang
kering, barang-barang basah yang lain ustaz akan sediakan. Pastikan setiap ahli
kumpulan sampai di kem sebelum pukul tujuh. Kalau ada seorang pun yang lambat,
semua ahli kumpulan akan didenda.” Terang Qaiser mengikut apa yang telah
diucapkan oleh Ustaz Mustakim.
Azeeza hanya mendengar tanpa sedikit pun mencelah.
“Macam mana kita nak pastikan setiap ahli kumpulan
kita sampai tepat pada waktunya?” keluh Azeeza. Dia memandang Liyana. Berharap
agar sahabatnya itu membantu.
“Sebelum bertolak, kita kena pastikan kita call semua ahli kumpulan kita. Tak pun
sehari sebelum itu kita kena meeting
dengan mereka dulu. Yelah, bila dah ramai ni, masing-masing ada perangai
masing-masing. Jadi kita kena terangkan pada mereka.” Ujar Liyana. Lupa
seketika mereka pada Qaiser yang masih terpacak di hadapan mereka.
“Aku nak call
dia orang macam mana? Aku tak ada handphone.”
Ujar Azeeza. Satu keluhan dilepaskan. Itulah perkara yang amat dikesali oleh
Azeeza. Kesempitan hidup menyebabkan Azeeza tidak berpeluang untuk memiliki
telefon bimbit sendiri.
Liyana terdiam seketika. Dia mengalih pandangan pada
Qaiser yang asyik memerhatikan Azeeza walaupun sahabatnya itu tidak memandang
dirinya.
“Apa gunanya kau ada ketua kan? Biar ajelah Qaiser
yang call setiap ahli kumpulan kau.
Kem ibadah ini kerja berkumpulan bukannya letak atas bahu kau seorang,” ucap
Liyana dengan suara yang meninggi. Bertujuan untuk mengejutkan Qaiser yang
kelihatan termenung jauh.
Qaiser tersentak. Sepantas kilat dia melarikan
pandangan ke tempat lain.
“Aku tak ada masa untuk buat kerja remeh-temeh macam
ni. Kau orang fikir aku banyak masa sangat ke nak telefon setiap nama kat dalam
senarai tu. Ini bukan kerja aku, ini kerja perempuan!” sanggah Qaiser. Dia
melantun-lantunkan bola yang berada di tangannya di atas lantai.
“Kau memang pentingkan diri, Qai. Cuba kau fikir
pasal orang lain juga. Ini kerja berkumpulan bukan Zeeza seorang je yang kena
buat. Kau selaku ketua kena ambil berat pasal hal ni,” bebel Liyana. Geram
dengan sikap pentingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh Qaiser.
Muka aje hensem tapi perangai kalahkan penyangak.
Berlagak, pentingkan diri sendiri dan kejam itulah Qaiser Hafiy. Macam manalah
ramai perempuan boleh tergila-gilakan lelaki macam Qaiser ni. Desis hati
Liyana.
“Suka hati akulah, aku nak pentingkan diri ke tidak.
Kau jangan nak menyibuk. Aku nak pergi kem itu pun dah kira satu rahmat untuk
kau, Azeeza. Kalau tidak bersiap-sedialah kau untuk gagal dalam subjek ustaz
ni,” ujar Qaiser dengan lagaknya yang tidak pernah hilang.
Liyana melepaskan keluhan. Azeeza hanya mampu
mengumpul kesabaran. Kini, semua tugas berkumpulan diletakkan di atas pundaknya.
“Sudahlah, Ana. Bergaduh dengan mamat ni macam
bergaduh dengan cermin. Semuanya terlontar pada kita semula. Selagi aku mampu,
aku buat. Kalau tidak aku mintak tolong dengan ahli kumpulan yang lain. Dia
orang kaya, pelajaran itu tak penting pun tapi aku tak sekaya dia. Aku perlu
lulus semua subjek untuk tamatkan pengajian aku. Jadi jomlah kita balik. Banyak
assignment kena buat,” ujar Azeeza
mengalah.
Liyana hanya menganggukkan kepala. Satu jelingan
penuh benci dihadiahkan pada Qaiser yang beriak selamba. Memang hati batu! Maki
Liyana dalam hati.
Qaiser hanya mencebik. Dia berpura-pura tidak
mendengar kata-kata Azeeza padahal kata-kata itu menusuk jauh ke dalam hatinya.
Sejak dia melihat sendiri kehidupan Azeeza, sedikit sebanyak rasa benci pada
Azeeza menghilang dengan sendirinya. Tetapi melihat wajah Azeeza yang merona
merah menahan kemarahan cukup menghiburkan hati Qaiser.
Lantas, dia memandang bola yang berada di dalam
genggamannya sebelum dia melontarkan pandangan pada Azeeza yang sudah mula
melangkah pergi. Dia tersenyum sendirian. Kemudian, dengan sengaja dia
melemparkan bola tersebut tepat mengenai belakang badan Azeeza.
“Aduhhhh!” jerit Azeeza lantas berpaling.
Qaiser ketawa kuat.
“Kau ni memang tak guna!” jerit Azeeza sambil
menghentak kakinya di atas lantai.
Qaiser hanya ketawa melihat gelagat Azeeza yang
kelihatan bengang. Namun, sedang asyik dia ketawa tiba-tiba…
Bukkkk!
Qaiser dapat rasakan kepalanya berdengung. Serentak
dia memandang sebiji bola bergolek di atas lantai. Kedengaran suara yang sedang
mentertawakan dirinya. Qaiser berpaling. Kelihatan Azeeza dan Liyana yang
ketawa. Qaiser mendengus.
“Padan muka!” jerit Azeeza. Lalu dia berlari
meninggalkan kawasan gelanggang sambil mengheret tangan Liyana yang
terbahak-bahak ketawa.
No comments:
Post a Comment