DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 2



BUNYI SUARA ketawa Liyana memenuhi ruang kafe tengah hari itu. Berair matanya kerana terlalu kuat ketawa. Gelagatnya hanya diperhatikan oleh Azeeza dan Izz.
“Aku tak percaya kau boleh tumbuk muka si Qai tu. Bukan main merah lagi muka dia,” ujar Liyana sambil terus menyambung tawa.
Azeeza hanya tersenyum. Dia menyedut minumannya dengan berhati-hati. Wajah Izz yang berada di hadapannya diperhatikan.
“Aku tak sengaja sebenarnya. Bila aku tengok dia buli Izz tiba-tiba je darah aku naik. Tu tak pasal-pasal dapat penumbuk sulung aku,” balas Azeeza sambil tersengih.
Anyway, thanks sebab kau selamatkan aku. Kalau kau tak ada tadi entah apalah mamat tu buat kat aku. Entah-entah aku kena bogel depan khalayak ramai,” ucap Izz sambil menyapu bedak ke wajahnya.
Opps, don’t thanks to me but thanks to Allah. Dia yang gerakkan hati aku nak tumbuk muka mamat tu. Bukannya aku tak tahu, dia dengan geng dia tu suka buli mat-mat lembut macam kau ni. Itulah, lain kali kalau nampak dia kau pergilah tempat lain. Atau kau dah syok dengan mamat tu?” soal Azeeza sekadar mengusik.
Izz menjengilkan matanya.
Choii betul mulut kau kan. Walaupun aku separuh lelaki separuh perempuan, tapi aku tak teringin dengan mamat macam tu. Harap muka je handsome tapi perangai kalahkan setan!” maki Izz dengan gaya lembut yang tidak berubah.
Azeeza mencebik. Dia berpandangan dengan Liyana.
“Eleh, belakang dia kau beranilah maki-maki tapi bila depan aku rasa mesti kau nak terkencing. Cubalah kau jadi lelaki sejati, Izz. Barulah tak ada yang berani nak usik kau. Aku rasa kalau kau berubah jadi lelaki sejati, tentu lebih kacak dari mamat tu. Kulit kau pun dah macam K-Pop,” ujar Liyana sambil tersengih.
Azeeza ketawa apabila melihat reaksi Izz seolah-olah geli dengan kenyataan Liyana. Tetapi memang tidak dinafikan kulit Izz memang cantik. Putih bersih. Walaupun lelaki itu lembut tetapi wajahnya kelihatan kacak apabila tersenyum.
“Aku memang lelakilah tapi jiwa aku perempuan…” balas Izz sambil tersengih.
“Banyaklah kau perempuan. Dah nama pun lelaki tak payah nak jadi perempuan. Nanti kau masuk tandas pun tandas lelaki bukan tandas perempuan. Aku nak kau berubah, Izz. Jadi diri kau sendiri, kembali pada fitrah kau,” Azeeza bersuara.
Izz terdiam. Apabila Azeeza membuka mulut dia pasti terdiam kerana dia cukup hormatkan gadis di hadapannya ini. Walaupun Azeeza perempuan tetapi gadis itu bukan calang-calang orang. Wajahnya tampak lembut tapi dia mempunyai hati yang cukup kental. Pendirian yang teguh serta prinsip hidup yang tidak mampu digoyahkan oleh sesiapa pun. Sejak semester pertama dia mengenali Azeeza, dia tahu Azeeza memang gadis yang luar biasa.
Izz tahu Azeeza bukanlah seorang  gadis yang senang. Dia masuk ke kolej ini pun atas biasiswa yang diberikan kolej tetapi dengan syarat keputusan Azeeza harus cemerlang. Disebabkan syarat itu Azeeza berusaha sehabis mungkin untuk menamatkan pelajarannya yang berbaki satu semester lagi. Maka tidak hairanlah jika setiap semester Azeeza akan menjadi pelajar terbaik untuk kos mereka.
Dia selalu melihat Azeeza tersenyum dan ketawa malah gadis itu tidak kekok untuk membantu sahabat lain dalam soal pelajaran tetapi tidak siapa tahu keperitan yang ditanggung gadis itu. Menjadi yatim piatu dalam usia muda amat memeritkan untuk gadis remaja seperti Azeeza. Dia adalah ibu dan dia adalah bapa untuk adik perempuannya yang masih bersekolah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tetapi itulah Azeeza, dia tidak minta dikasihani malah jauh lagi menagih simpati.
“Izz, kau dengar tak apa aku cakap ni?” soal Azeeza sambil mengawangkan tangannya di hadapan wajah Izz.
Izz tersentak. Lantas dia tersengih lebar.
“Tak. Kau cakap apa?” soal Izz.
Azeeza menepuk dahi. Susah betul bercakap dengan orang yang kuat berangan ni.
“Tak ada apalah. Kau ni kalau aku nasihat sikit mulalah nak mengelak. Dahlah, aku nak balik dulu. Karang aku nak kerja pulak,” ujar Azeeza lalu bangun.
“Zeeza, tunggu dulu…” panggil Izz lalu dia turut bangun.
Langkah Azeeza terhenti. Dia berpaling pada Izz. Kening dijongketkan.
“Ada apa?” soal Azeeza.
Kelihatan Izz mengeluarkan duit dari poketnya. Lalu dia menghulurkan duit tersebut pada Azeeza.
“Apa ni, Izz?” soal Azeeza pelik.
“Aku tahu kau perlukan duit. Ini tanda terima kasih sebab kau dah selamatkan aku tadi,” ujar Izz sambil anak matanya tidak lepas merenung wajah Azeeza yang manis.
Azeeza menggelengkan kepala beberapa kali.
“Nampaknya kau belum kenal aku lagi, Izz. Tak semua perkara boleh ditukarkan dengan duit walaupun segalanya memerlukan duit sekarang ni. Bantuan aku tadi bukanlah seberapa pun, itu dah jadi tanggungjawab aku sebagai kawan kau. Duit yang kau nak bagi kat aku tu, kau bagilah dekat orang yang lebih memerlukan. Aku masih boleh cari sendiri,” ujar Azeeza bersama senyuman.
Izz mengeluh. Dia sudah agak. Dia menarik kembali hulurannya.
“Tapi macam mana kalau Qai balas balik apa yang kau buat pada dia tadi?” soalan Izz membuatkan Azeeza ketawa kecil.
“Kau kena tolong akulah. Barulah adil kan?” ujar Azeeza sambil mengenyitkan matanya.
Izz tersenyum. Hatinya senang melihat senyuman Azeeza.
“Ana, aku pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Azeeza.
“Waalaikummusalam…” jawab Liyana dan Izz serentak.

BUNYI HENTAKAN di meja membuatkan Zafuan dan Rizwan tersentak. Mereka hanya mampu memandang belakang badan Qaiser yang sedang menahan marah.
“Perempuan tu panggil aku budak tak matang? Berani dia tumbuk aku? Dia fikir dia siapa?” gumam Qaiser sendirian.
“Sayang, you janganlah fikir sangat pasal perempuan tu. Dia sengaja nak tarik perhatian you tu,” ujar Yasmin sambil mendekati Qaiser. Belakang badan Qaiser dielus lembut.
Qaiser merengus. Dia menepis sentuhan Yasmin hingga membuatkan gadis itu menarik mulut muncung.
“You suruh I jangan fikir pasal perempuan tu? Dia dah tumbuk muka I, you tahu tak?!” bentak Qaiser sambil menumbuk meja yang berada di hadapannya.
Zafuan dan Rizwan mati kutu. Kecut juga perutnya melihat Qaiser yang semakin menyinga.
“I tahu tapi you tak payahlah masuk campur, biar Zaf dan Riz je yang uruskan.” Ujar Yasmin masih lembut memujuk.
Arghhh!!” jerit Qaiser sarat dengan rasa amarah yang tidak akan surut.
Gadis bertudung itu sudah mencabar kesabarannya malah dengan beraninya gadis yang hanya dikenali dengan nama Fahima Azeeza itu meletakkan maruahnya dibawah telapak kaki. Dia malu. Ya, dia malu apabila ditertawakan oleh beberapa pelajar yang lalu lalang di tempat itu tadi. Terasa egonya dirobek-robek oleh Azeeza.
“Sabar, Qai. Kami ada dengan kau. Minah tu tak boleh lari ke mana. Kalau tak silap aku dia satu kos dengan kita kan? Bila-bila masa saja kita boleh ajar dia,” sampuk Zafuan. Rizwan hanya menganggukkan kepala tanda setuju.
Qaiser melemparkan pandangan pada kedua sahabat merangkap pengikutnya yang paling setia sebelum anak matanya kembali memandang wajah Yasmin yang cantik.
“I setuju. Tak payah you kotorkan tangan you untuk libatkan diri pasal minah tu. Dia tu macam kuaci je bagi Zaf dan Riz. Sebelum ni pun Zaf dan Riz yang bereskan semua musuh-musuh you,” Yasmin memberi sokongan.
Qaiser terdiam. Kata-kata Yasmin ada benarnya juga tetapi dia dapat rasakan musuh yang bernama Fahima Azeeza ini bukan calang-calang orang. Pertama kali bersua muka pun dia dihamburkan dengan kata-kata pedas, apatah lagi dengan pertemuan seterusnya. Adakah dia akan menang ataupun dia akan tersungkur?
“Baik, kali ini aku bagi kau orang settle masalah ni. Aku nak dia dapat malu sama seperti aku terima. Biar dia sedar yang dia sedang bermain dengan api. Aku nak dia terbakar sendiri,” ujar Qaiser penuh makna.
Zafuan, Rizwan hanya menganggukkan kepala. Jelas di anak mata Qaiser sarat dengan dendam dan mereka telah diamanahkan untuk melunaskan dendam itu.

AZEEZA MELANGKAH masuk ke dalam rumah sewa yang didiami dengan adiknya. Suasana sunyi. Mungkin Fatma belum pulang dari sekolah. Fikir Azeeza. Lantas, dia menuju ke dapur. Kabinet dibuka, sebuah tong untuk mengisi beras dikeluarkan. Namun, satu keluhan terbit dari bibirnya apabila melihat tong tersebut hampir kosong.
“Beras dah nak habis. Gaji pun lambat lagi,” omel Azeeza sendirian.
Dia melangkah pula ke peti sejuk. Pintu peti tersebut ditarik dan diintai ke dalam peti tersebut. Hanya tinggal dua ekor ikan kembung sebesar dua jari saja yang dapat dijadikan lauk untuk tengah hari ini. Dengan rasa sebak, Azeeza mencapai ikan tersebut dan dibawa ke singki.
Ikan tersebut dicuci sebelum digaulkan dengan kunyit dan garam. Sesekali dia menyeka air mata yang hampir menitis.
‘Allah, mengapa ini yang perlu aku tanggung? Terasa berat cubaan Kau kali ini ya Allah. Bantulah aku, kurniakanlah aku rezeki agar aku dapat hidup dengan sempurna.’ Desis hatinya dengan doa yang tidak kesudahan.
Sebaik saja ibunya meninggal dunia, inilah hidup Azeeza. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika dahulu, pelbagai bantuan yang dia terima daripada jiran-jiran dan saudara-mara ibunya tetapi kini dia terpaksa menanggung beban menjadi ayah dan ibu pada Fatma. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi walaupun saudara maranya sendiri.
“Zeeza dan Fatma duduk dengan pak longlah,” ujar Encik Rashid sebaik saja selesai majlis pengebumian Puan Amira.
Azeeza menyeka sisa air matanya. Dia hanya mampu tunduk merenung lantai. Dalam keadaan seperti ini dia tidak dapat berfikir lalu anak matanya dialihkan pada laman wajah Fatma yang sudah terlena di pangkuan mak longnya.
“Eza belum bersedia nak tinggalkan rumah ini, pak long.” Balas Azeeza.
“Pak long tahu Eza masih sedih tapi apa guna Eza ratapi semua itu sedangkan mak Eza sudah tenang di sana. Sekarang ni, Eza masih bersekolah. Siapa yang nak tanggung Eza dan adik Eza kalau Eza pilih nak tinggal dekat sini. Kalau dekat rumah pak long, Eza ada mak long yang boleh jaga Eza dan Fatma.” Ujar Encik Rashid sambil disambut dengan anggukan oleh isterinya.
Satu keluhan terbit dari bibir Azeeza. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ini?
“Tapi Eza tak nak tinggalkan rumah ni, pak long. Macam mana kalau ayah balik cari kami? Kalau kami tak ada tentu ayah risau kan?” Azeeza masih mencari alasan.
Kini giliran Encik Rashid pula yang mengeluh. Dia berpandangan dengan Puan Rosnita.
“Kalau ayah kamu nak balik cari kamu, dah lama dia balik, Eza. Dia dah endahkan kamu. Tak payahlah kamu berharap dia lagi. Sekarang ni masa depan kamu dan adik kamu itu lebih penting. Tak lama lagi kamu nak SPM, adik kamu pula nak UPSR, cubalah fikir pasal tu,” ujar Encik Rashid lagi.
Azeeza terdiam. Setitis air matanya gugur membasahi bumi. Baru kini dia terasa peritnya apabila menjadi anak yatim piatu walaupun dia masih mempunyai seorang ayah yang sentiasa dinanti siang dan malam.
“Eza dah buat keputusan, Eza harap pak long boleh terima. Eza rasa biarlah Eza tinggal kat sini dengan Fatma. Ini rumah ayah dan mak Eza. Eza tak sanggup nak tinggal. Lagipun Eza tak nak menyusahkan pak long dengan mak long. Nanti Eza boleh cari kerja lepas habis sekolah. Duit simpanan mak pun masih ada, cukuplah nak sara Eza dan Fatma sampai Eza habis SPM. Eza bukan tak nak terima pertolongan pak long dengan mak long tapi Eza tak nak menyusahkan keluarga pak long. Pak long dah uruskan semuanya jadi Eza rasa malu nak mintak lebih-lebih,” balas Azeeza dengan penuh sopan.
Encik Rashid dan Puan Rosnita mengeluh panjang. Perlahan-lahan, Puan Rosnita mengenggam tangan Azeeza. Matanya berkaca. Pedih hatinya melihat keperitan yang terpaksa dilalui oleh dua beradik ini.
“Bagi mak long, Eza dan Fatma dan macam anak mak long sendiri. Tiada istilah menyusahkan pada mak long tapi kalau itu yang Eza nak, mak long tak boleh nak paksa cuma mak long nak ingatkan yang Eza masih ada mak long dan pak long. Kalau ada apa-apa, Eza boleh datang jumpa mak long dan pak long. Lepas SPM nanti, mak long nak Eza sambung belajar. Jangan guna alasan kesusahan ini untuk Eza berhenti dari menggapai cita-cita Eza. Mak long nak tengok Eza berjaya,” ucap Puan Rosnita sambil menggosok kepala Azeeza yang beralas tudung.
Azeeza hanya mampu mengangguk. Buat seketika dia membuang pandang pada Fatma yang sedang terlena akibat keletihan.
‘Kakak berjanji, kakak akan jaga adik dengan sebaik mungkin. Hanya adik yang kakak ada sekarang ini. Kakak akan pastikan adik akan berjaya.’ Detik hati Azeeza dengan tekad yang tidak akan bisa dilunturkan.

ASSALAMUALAIKUM,” bunyi suara memberi salam mengejutkan Azeeza daripada lamunannya. Pantas, dia berpaling ke belakang. Satu senyuman diberikan pada seorang gadis yang berusia lingkungan lima belas tahun sedang menuju ke arahnya.
“Waalaikummusalam, baru balik ke, Ma?” soal Azeeza.
Fatma mengangguk dan melabuhkan punggung di atas kerusi bersebelahan dengan Azeeza.
“Lambat balik hari ni. Banyak aktiviti ke kat sekolah?” soal Azeeza lagi. Dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan Fatma. Ikan goreng turut diletakkan juga ke dalam pinggan Fatma.
“Haah, kak. Exam dah nak dekat jadi cikgu banyak buat kelas tambahan lagipun hari ni hari Rabu. Hari kokorikulum jadi memang wajib kena stay dekat sekolah sampai petang. Akak tunggu Ma ke?” soal Fatma sambil memandang wajah kakaknya yang manis.
Azeeza hanya tersenyum nipis.
“Mestilah akak tunggu adik akak yang cantik ni. Lain kali kalau balik lambat, bagitahu akak tau. Nanti akak pergi ambil kat sekolah. Bahayalah balik sorang-sorang macam ni,” ujar Azeeza.
Dia turut menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Tak ada apa-apalah, kak. Ma jalan dengan kawan-kawan Ma. Ramai orang kat sekolah tadi. Akak jangan risau, Ma nak jadi kuat macam akak.” Balas Fatma dengan ceria.
Namun, tidak lama kemudian wajahnya bertukar mendung. Ada sesuatu yang perlu dikhabarkan pada kakaknya.
“Akak….” Panggil Fatma perlahan.
Azeeza mendongak. Wajah adiknya yang kelihatan gelisah dipandang lama.
“Ada apa?” soal Azeeza dengan dahi yang berkerut.
“Cikgu dah tanya. Bila Ma boleh beli pakai pakaian seragam? Cikgu bagi tempoh sampai bulan depan je untuk Ma, kalau Ma tak pakai nanti Ma kena denda,” ucap Fatma berhati-hati.
Suapan Azeeza terhenti. Tiba-tiba saja seleranya mati apabila Fatma membangkitkan soal itu. Namun, dia gagahkan juga untuk tersenyum walaupun hatinya cukup pilu.
“Akak tengah usahakan ni, Ma. Insya-Allah minggu depan gaji jadi bolehlah akak belikan pakaian seragam Ma tu. Buat masa ni Ma cakaplah pada cikgu tentang masalah kita, akak rasa cikgu akan faham…” ujar Azeeza.
Giliran Fatma pula yang menundukkan kepala. Sedih. Sayu dan pilu. Itulah yang dirasakan saat ini. Dia sudah penat hendak menghadapi kerenah kawan-kawan sekelas yang asyik mengejek tentang dirinya. Bukan salahnya menjadi orang susah. Bukan salahnya apabila harus ke sekolah dengan baju yang lusuh. Kasut yang koyak kerana dia tidak punya duit untuk membeli kelengkapan sekolah yang baru. Dia tidak mahu menjadi adik yang hanya tahu menyusahkan kakaknya. Dia mahu menjadi seperti Azeeza. Seorang wanita yang kuat. Tetapi sering kali ejekan dan tohmahan membuatkannya lemah.
“Cikgu mungkin faham tapi orang lain takkan faham, kak. Ma dah penat asyik kena ejek. Kena sindir dengan orang lain. Ma rasa sakit sangat, kak. Kenapa kita harus hidup susah macam ni, kak? Kenapa?” soal Fatma dengan beremosi. Air mata sudah mula menuruni lekuk pipinya.
Azeeza sedikit tersentak dengan kata-kata Fatma. Selama ini belum pernah Fatma mempersoalkan nasib hidup mereka dan hari ini dia dapat mendengar semuanya dari hati Fatma.
“Adik, itu tandanya Allah sayang pada kita. Dia hadiahkan sebuah ujian untuk kita untuk kita sentiasa meminta dan merayu pada-Nya. Adik jangan risau. Ujian yang diberikan takkan berpanjangan buat selamanya. Bila Dia timpakan kita dengan ujian yang berat, nanti nikmat yang diberikan juga besar. Percayalah, selagi kita mampu untuk menghadapi kesusahan ini selagi itulah Dia sentiasa bersama kita. Cuba adik tengok orang-orang Palestine sana, ujian yang diberikan lagi teruk. Kena bom setiap masa. Jadi pelarian dalam negeri sendiri, makan pun macam tak makan je tapi dia orang hadapi semua itu dengan senyuman. Adik nak tahu kenapa?” soal Azeeza dengan lembut. Dia menyentuh lengan Fatma.
Fatma hanya mampu membalas pandangan Azeeza sebagai jawapan.
“Sebab keimanan dia terhadap Allah itu tinggi. Dia yakin hidup, mati dan rezeki itu sudah diaturkan oleh Allah. Satu pun takkan terlepas pandang dari Yang Maha Kuasa, jadi dia orang takkan mengeluh jauh sekali nak menyalahkan takdir sebab percaya pada Qada dan Qadar itu merupakan paksi keimanan kita pada Dia. Setiap orang Allah uji dengan ujian yang berlainan. Kalau kita rasa susah, percayalah pasti ada orang yang lebih susah daripada kita,” nasihat Azeeza panjang lebar.
Tangisan Fatma terhenti. Dia menyeka air mata yang masih bersisa. Pegangan tangan Azeeza diperkemaskan.
“Sebab itulah Ma bersyukur Allah anugerahkan Ma seorang kakak, abang, ibu dan ayah macam akak. Ma tak perlukan sesiapa dalam hidup Ma cukuplah akak sentiasa ada untuk Ma. Akak semangat Ma. Ma janji akan jaga akak sampai bila-bila…” ujar Fatma. Matanya kembali berair.
Azeeza terharu. Lantas dia menarik Fatma ke dalam pelukan. Belakang badan Fatma digosok lembut.
“Inilah baru adik akak. Kekuatan akak adalah Ma. Jangan pernah mengeluh dengan takdir, dik. Allah sedang merencana sesuatu yang terbaik untuk kita cuma belum tiba masanya lagi untuk Dia berikan sesuatu itu pada kita,” ucap Azeeza menuip semangat ke dalam jiwa Fatma.
Fatma menganggukkan kepala. Makin erat dia memeluk tubuh Azeeza.
“Ma sayangkan akak…” ucapnya perlahan.
Azeeza ketawa dalam keharuan. Lantas, pelukan dileraikan. Sedaya upaya ditahan air mata dari mengalih. Air mata tanda kelemahan jadi dia dah haramkan matanya dari menitiskan air mata sebaik saja ibunya meninggal dunia.
“Akak pun sayangkan Ma. Sangat sayangkan Ma. Jangan sedih-sedih tau. Kejap lagi akak nak pergi kerja, Ma tolong bersihkan rumah ya. Lepas tu buat kerja sekolah. Pintu rumah tu kunci. Akak ada bawak kunci jadi tak payahlah Ma tunggu akak,” ujar Azeeza.
Fatma hanya mengangguk tanda faham akan arahan kakaknya.

No comments:

Post a Comment