BUNYI
SUARA ketawa Liyana memenuhi ruang kafe tengah hari itu.
Berair matanya kerana terlalu kuat ketawa. Gelagatnya hanya diperhatikan oleh
Azeeza dan Izz.
“Aku tak percaya kau boleh tumbuk muka si Qai tu.
Bukan main merah lagi muka dia,” ujar Liyana sambil terus menyambung tawa.
Azeeza hanya tersenyum. Dia menyedut minumannya
dengan berhati-hati. Wajah Izz yang berada di hadapannya diperhatikan.
“Aku tak sengaja sebenarnya. Bila aku tengok dia
buli Izz tiba-tiba je darah aku naik. Tu tak pasal-pasal dapat penumbuk sulung
aku,” balas Azeeza sambil tersengih.
“Anyway,
thanks sebab kau selamatkan aku. Kalau kau tak ada tadi entah apalah mamat
tu buat kat aku. Entah-entah aku kena bogel depan khalayak ramai,” ucap Izz
sambil menyapu bedak ke wajahnya.
“Opps, don’t
thanks to me but thanks to Allah. Dia yang gerakkan hati aku nak tumbuk
muka mamat tu. Bukannya aku tak tahu, dia dengan geng dia tu suka buli mat-mat
lembut macam kau ni. Itulah, lain kali kalau nampak dia kau pergilah tempat
lain. Atau kau dah syok dengan mamat tu?” soal Azeeza sekadar mengusik.
Izz menjengilkan matanya.
“Choii
betul mulut kau kan. Walaupun aku separuh lelaki separuh perempuan, tapi aku
tak teringin dengan mamat macam tu. Harap muka je handsome tapi perangai kalahkan setan!” maki Izz dengan gaya lembut
yang tidak berubah.
Azeeza mencebik. Dia berpandangan dengan Liyana.
“Eleh, belakang dia kau beranilah maki-maki tapi
bila depan aku rasa mesti kau nak terkencing. Cubalah kau jadi lelaki sejati,
Izz. Barulah tak ada yang berani nak usik kau. Aku rasa kalau kau berubah jadi
lelaki sejati, tentu lebih kacak dari mamat tu. Kulit kau pun dah macam K-Pop,”
ujar Liyana sambil tersengih.
Azeeza ketawa apabila melihat reaksi Izz seolah-olah
geli dengan kenyataan Liyana. Tetapi memang tidak dinafikan kulit Izz memang
cantik. Putih bersih. Walaupun lelaki itu lembut tetapi wajahnya kelihatan
kacak apabila tersenyum.
“Aku memang lelakilah tapi jiwa aku perempuan…”
balas Izz sambil tersengih.
“Banyaklah kau perempuan. Dah nama pun lelaki tak
payah nak jadi perempuan. Nanti kau masuk tandas pun tandas lelaki bukan tandas
perempuan. Aku nak kau berubah, Izz. Jadi diri kau sendiri, kembali pada fitrah
kau,” Azeeza bersuara.
Izz terdiam. Apabila Azeeza membuka mulut dia pasti
terdiam kerana dia cukup hormatkan gadis di hadapannya ini. Walaupun Azeeza
perempuan tetapi gadis itu bukan calang-calang orang. Wajahnya tampak lembut
tapi dia mempunyai hati yang cukup kental. Pendirian yang teguh serta prinsip
hidup yang tidak mampu digoyahkan oleh sesiapa pun. Sejak semester pertama dia
mengenali Azeeza, dia tahu Azeeza memang gadis yang luar biasa.
Izz tahu Azeeza bukanlah seorang gadis yang senang. Dia masuk ke kolej ini pun
atas biasiswa yang diberikan kolej tetapi dengan syarat keputusan Azeeza harus
cemerlang. Disebabkan syarat itu Azeeza berusaha sehabis mungkin untuk
menamatkan pelajarannya yang berbaki satu semester lagi. Maka tidak hairanlah
jika setiap semester Azeeza akan menjadi pelajar terbaik untuk kos mereka.
Dia selalu melihat Azeeza tersenyum dan ketawa malah
gadis itu tidak kekok untuk membantu sahabat lain dalam soal pelajaran tetapi
tidak siapa tahu keperitan yang ditanggung gadis itu. Menjadi yatim piatu dalam
usia muda amat memeritkan untuk gadis remaja seperti Azeeza. Dia adalah ibu dan
dia adalah bapa untuk adik perempuannya yang masih bersekolah. Berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tetapi itulah Azeeza, dia tidak minta
dikasihani malah jauh lagi menagih simpati.
“Izz, kau dengar tak apa aku cakap ni?” soal Azeeza
sambil mengawangkan tangannya di hadapan wajah Izz.
Izz tersentak. Lantas dia tersengih lebar.
“Tak. Kau cakap apa?” soal Izz.
Azeeza menepuk dahi. Susah betul bercakap dengan
orang yang kuat berangan ni.
“Tak ada apalah. Kau ni kalau aku nasihat sikit
mulalah nak mengelak. Dahlah, aku nak balik dulu. Karang aku nak kerja pulak,”
ujar Azeeza lalu bangun.
“Zeeza, tunggu dulu…” panggil Izz lalu dia turut
bangun.
Langkah Azeeza terhenti. Dia berpaling pada Izz.
Kening dijongketkan.
“Ada apa?” soal Azeeza.
Kelihatan Izz mengeluarkan duit dari poketnya. Lalu
dia menghulurkan duit tersebut pada Azeeza.
“Apa ni, Izz?” soal Azeeza pelik.
“Aku tahu kau perlukan duit. Ini tanda terima kasih
sebab kau dah selamatkan aku tadi,” ujar Izz sambil anak matanya tidak lepas
merenung wajah Azeeza yang manis.
Azeeza menggelengkan kepala beberapa kali.
“Nampaknya kau belum kenal aku lagi, Izz. Tak semua
perkara boleh ditukarkan dengan duit walaupun segalanya memerlukan duit
sekarang ni. Bantuan aku tadi bukanlah seberapa pun, itu dah jadi tanggungjawab
aku sebagai kawan kau. Duit yang kau nak bagi kat aku tu, kau bagilah dekat
orang yang lebih memerlukan. Aku masih boleh cari sendiri,” ujar Azeeza bersama
senyuman.
Izz mengeluh. Dia sudah agak. Dia menarik kembali
hulurannya.
“Tapi macam mana kalau Qai balas balik apa yang kau
buat pada dia tadi?” soalan Izz membuatkan Azeeza ketawa kecil.
“Kau kena tolong akulah. Barulah adil kan?” ujar
Azeeza sambil mengenyitkan matanya.
Izz tersenyum. Hatinya senang melihat senyuman
Azeeza.
“Ana, aku pergi dulu ya. Assalamualaikum,” ucap
Azeeza.
“Waalaikummusalam…” jawab Liyana dan Izz serentak.
BUNYI
HENTAKAN di meja membuatkan Zafuan dan Rizwan tersentak.
Mereka hanya mampu memandang belakang badan Qaiser yang sedang menahan marah.
“Perempuan tu panggil aku budak tak matang? Berani
dia tumbuk aku? Dia fikir dia siapa?” gumam Qaiser sendirian.
“Sayang, you janganlah fikir sangat pasal perempuan
tu. Dia sengaja nak tarik perhatian you tu,” ujar Yasmin sambil mendekati
Qaiser. Belakang badan Qaiser dielus lembut.
Qaiser merengus. Dia menepis sentuhan Yasmin hingga
membuatkan gadis itu menarik mulut muncung.
“You suruh I jangan fikir pasal perempuan tu? Dia
dah tumbuk muka I, you tahu tak?!” bentak Qaiser sambil menumbuk meja yang
berada di hadapannya.
Zafuan dan Rizwan mati kutu. Kecut juga perutnya
melihat Qaiser yang semakin menyinga.
“I tahu tapi you tak payahlah masuk campur, biar Zaf
dan Riz je yang uruskan.” Ujar Yasmin masih lembut memujuk.
“Arghhh!!”
jerit Qaiser sarat dengan rasa amarah yang tidak akan surut.
Gadis bertudung itu sudah mencabar kesabarannya
malah dengan beraninya gadis yang hanya dikenali dengan nama Fahima Azeeza itu
meletakkan maruahnya dibawah telapak kaki. Dia malu. Ya, dia malu apabila
ditertawakan oleh beberapa pelajar yang lalu lalang di tempat itu tadi. Terasa
egonya dirobek-robek oleh Azeeza.
“Sabar, Qai. Kami ada dengan kau. Minah tu tak boleh
lari ke mana. Kalau tak silap aku dia satu kos dengan kita kan? Bila-bila masa
saja kita boleh ajar dia,” sampuk Zafuan. Rizwan hanya menganggukkan kepala
tanda setuju.
Qaiser melemparkan pandangan pada kedua sahabat
merangkap pengikutnya yang paling setia sebelum anak matanya kembali memandang
wajah Yasmin yang cantik.
“I setuju. Tak payah you kotorkan tangan you untuk
libatkan diri pasal minah tu. Dia tu macam kuaci je bagi Zaf dan Riz. Sebelum
ni pun Zaf dan Riz yang bereskan semua musuh-musuh you,” Yasmin memberi
sokongan.
Qaiser terdiam. Kata-kata Yasmin ada benarnya juga
tetapi dia dapat rasakan musuh yang bernama Fahima Azeeza ini bukan
calang-calang orang. Pertama kali bersua muka pun dia dihamburkan dengan
kata-kata pedas, apatah lagi dengan pertemuan seterusnya. Adakah dia akan
menang ataupun dia akan tersungkur?
“Baik, kali ini aku bagi kau orang settle masalah ni. Aku nak dia dapat
malu sama seperti aku terima. Biar dia sedar yang dia sedang bermain dengan
api. Aku nak dia terbakar sendiri,” ujar Qaiser penuh makna.
Zafuan, Rizwan hanya menganggukkan kepala. Jelas di
anak mata Qaiser sarat dengan dendam dan mereka telah diamanahkan untuk
melunaskan dendam itu.
AZEEZA
MELANGKAH masuk ke dalam rumah sewa yang didiami dengan
adiknya. Suasana sunyi. Mungkin Fatma belum pulang dari sekolah. Fikir Azeeza.
Lantas, dia menuju ke dapur. Kabinet dibuka, sebuah tong untuk mengisi beras
dikeluarkan. Namun, satu keluhan terbit dari bibirnya apabila melihat tong
tersebut hampir kosong.
“Beras dah nak habis. Gaji pun lambat lagi,” omel
Azeeza sendirian.
Dia melangkah pula ke peti sejuk. Pintu peti
tersebut ditarik dan diintai ke dalam peti tersebut. Hanya tinggal dua ekor
ikan kembung sebesar dua jari saja yang dapat dijadikan lauk untuk tengah hari
ini. Dengan rasa sebak, Azeeza mencapai ikan tersebut dan dibawa ke singki.
Ikan tersebut dicuci sebelum digaulkan dengan kunyit
dan garam. Sesekali dia menyeka air mata yang hampir menitis.
‘Allah, mengapa ini yang perlu aku tanggung? Terasa
berat cubaan Kau kali ini ya Allah. Bantulah aku, kurniakanlah aku rezeki agar
aku dapat hidup dengan sempurna.’ Desis hatinya dengan doa yang tidak
kesudahan.
Sebaik saja ibunya meninggal dunia, inilah hidup
Azeeza. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika dahulu, pelbagai
bantuan yang dia terima daripada jiran-jiran dan saudara-mara ibunya tetapi
kini dia terpaksa menanggung beban menjadi ayah dan ibu pada Fatma. Dia tidak
mahu menyusahkan sesiapa lagi walaupun saudara maranya sendiri.
“Zeeza dan Fatma duduk dengan pak longlah,” ujar
Encik Rashid sebaik saja selesai majlis pengebumian Puan Amira.
Azeeza menyeka sisa air matanya. Dia hanya mampu
tunduk merenung lantai. Dalam keadaan seperti ini dia tidak dapat berfikir lalu
anak matanya dialihkan pada laman wajah Fatma yang sudah terlena di pangkuan
mak longnya.
“Eza belum bersedia nak tinggalkan rumah ini, pak
long.” Balas Azeeza.
“Pak long tahu Eza masih sedih tapi apa guna Eza
ratapi semua itu sedangkan mak Eza sudah tenang di sana. Sekarang ni, Eza masih
bersekolah. Siapa yang nak tanggung Eza dan adik Eza kalau Eza pilih nak tinggal
dekat sini. Kalau dekat rumah pak long, Eza ada mak long yang boleh jaga Eza
dan Fatma.” Ujar Encik Rashid sambil disambut dengan anggukan oleh isterinya.
Satu keluhan terbit dari bibir Azeeza. Apa yang
perlu dia lakukan sekarang ini?
“Tapi Eza tak nak tinggalkan rumah ni, pak long.
Macam mana kalau ayah balik cari kami? Kalau kami tak ada tentu ayah risau
kan?” Azeeza masih mencari alasan.
Kini giliran Encik Rashid pula yang mengeluh. Dia
berpandangan dengan Puan Rosnita.
“Kalau ayah kamu nak balik cari kamu, dah lama dia
balik, Eza. Dia dah endahkan kamu. Tak payahlah kamu berharap dia lagi.
Sekarang ni masa depan kamu dan adik kamu itu lebih penting. Tak lama lagi kamu
nak SPM, adik kamu pula nak UPSR, cubalah fikir pasal tu,” ujar Encik Rashid lagi.
Azeeza terdiam. Setitis air matanya gugur membasahi
bumi. Baru kini dia terasa peritnya apabila menjadi anak yatim piatu walaupun
dia masih mempunyai seorang ayah yang sentiasa dinanti siang dan malam.
“Eza dah buat keputusan, Eza harap pak long boleh
terima. Eza rasa biarlah Eza tinggal kat sini dengan Fatma. Ini rumah ayah dan
mak Eza. Eza tak sanggup nak tinggal. Lagipun Eza tak nak menyusahkan pak long
dengan mak long. Nanti Eza boleh cari kerja lepas habis sekolah. Duit simpanan
mak pun masih ada, cukuplah nak sara Eza dan Fatma sampai Eza habis SPM. Eza
bukan tak nak terima pertolongan pak long dengan mak long tapi Eza tak nak
menyusahkan keluarga pak long. Pak long dah uruskan semuanya jadi Eza rasa malu
nak mintak lebih-lebih,” balas Azeeza dengan penuh sopan.
Encik Rashid dan Puan Rosnita mengeluh panjang.
Perlahan-lahan, Puan Rosnita mengenggam tangan Azeeza. Matanya berkaca. Pedih
hatinya melihat keperitan yang terpaksa dilalui oleh dua beradik ini.
“Bagi mak long, Eza dan Fatma dan macam anak mak
long sendiri. Tiada istilah menyusahkan pada mak long tapi kalau itu yang Eza
nak, mak long tak boleh nak paksa cuma mak long nak ingatkan yang Eza masih ada
mak long dan pak long. Kalau ada apa-apa, Eza boleh datang jumpa mak long dan
pak long. Lepas SPM nanti, mak long nak Eza sambung belajar. Jangan guna alasan
kesusahan ini untuk Eza berhenti dari menggapai cita-cita Eza. Mak long nak
tengok Eza berjaya,” ucap Puan Rosnita sambil menggosok kepala Azeeza yang
beralas tudung.
Azeeza hanya mampu mengangguk. Buat seketika dia
membuang pandang pada Fatma yang sedang terlena akibat keletihan.
‘Kakak berjanji, kakak akan jaga adik dengan sebaik
mungkin. Hanya adik yang kakak ada sekarang ini. Kakak akan pastikan adik akan
berjaya.’ Detik hati Azeeza dengan tekad yang tidak akan bisa dilunturkan.
“ASSALAMUALAIKUM,”
bunyi suara memberi salam mengejutkan Azeeza daripada lamunannya. Pantas, dia
berpaling ke belakang. Satu senyuman diberikan pada seorang gadis yang berusia
lingkungan lima belas tahun sedang menuju ke arahnya.
“Waalaikummusalam, baru balik ke, Ma?” soal Azeeza.
Fatma mengangguk dan melabuhkan punggung di atas
kerusi bersebelahan dengan Azeeza.
“Lambat balik hari ni. Banyak aktiviti ke kat
sekolah?” soal Azeeza lagi. Dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan Fatma. Ikan
goreng turut diletakkan juga ke dalam pinggan Fatma.
“Haah, kak. Exam
dah nak dekat jadi cikgu banyak buat kelas tambahan lagipun hari ni hari Rabu.
Hari kokorikulum jadi memang wajib kena stay
dekat sekolah sampai petang. Akak tunggu Ma ke?” soal Fatma sambil memandang
wajah kakaknya yang manis.
Azeeza hanya tersenyum nipis.
“Mestilah akak tunggu adik akak yang cantik ni. Lain
kali kalau balik lambat, bagitahu akak tau. Nanti akak pergi ambil kat sekolah.
Bahayalah balik sorang-sorang macam ni,” ujar Azeeza.
Dia turut menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Tak ada apa-apalah, kak. Ma jalan dengan
kawan-kawan Ma. Ramai orang kat sekolah tadi. Akak jangan risau, Ma nak jadi
kuat macam akak.” Balas Fatma dengan ceria.
Namun, tidak lama kemudian wajahnya bertukar
mendung. Ada sesuatu yang perlu dikhabarkan pada kakaknya.
“Akak….” Panggil Fatma perlahan.
Azeeza mendongak. Wajah adiknya yang kelihatan
gelisah dipandang lama.
“Ada apa?” soal Azeeza dengan dahi yang berkerut.
“Cikgu dah tanya. Bila Ma boleh beli pakai pakaian
seragam? Cikgu bagi tempoh sampai bulan depan je untuk Ma, kalau Ma tak pakai
nanti Ma kena denda,” ucap Fatma berhati-hati.
Suapan Azeeza terhenti. Tiba-tiba saja seleranya
mati apabila Fatma membangkitkan soal itu. Namun, dia gagahkan juga untuk
tersenyum walaupun hatinya cukup pilu.
“Akak tengah usahakan ni, Ma. Insya-Allah minggu
depan gaji jadi bolehlah akak belikan pakaian seragam Ma tu. Buat masa ni Ma
cakaplah pada cikgu tentang masalah kita, akak rasa cikgu akan faham…” ujar
Azeeza.
Giliran Fatma pula yang menundukkan kepala. Sedih.
Sayu dan pilu. Itulah yang dirasakan saat ini. Dia sudah penat hendak
menghadapi kerenah kawan-kawan sekelas yang asyik mengejek tentang dirinya.
Bukan salahnya menjadi orang susah. Bukan salahnya apabila harus ke sekolah
dengan baju yang lusuh. Kasut yang koyak kerana dia tidak punya duit untuk
membeli kelengkapan sekolah yang baru. Dia tidak mahu menjadi adik yang hanya
tahu menyusahkan kakaknya. Dia mahu menjadi seperti Azeeza. Seorang wanita yang
kuat. Tetapi sering kali ejekan dan tohmahan membuatkannya lemah.
“Cikgu mungkin faham tapi orang lain takkan faham,
kak. Ma dah penat asyik kena ejek. Kena sindir dengan orang lain. Ma rasa sakit
sangat, kak. Kenapa kita harus hidup susah macam ni, kak? Kenapa?” soal Fatma
dengan beremosi. Air mata sudah mula menuruni lekuk pipinya.
Azeeza sedikit tersentak dengan kata-kata Fatma.
Selama ini belum pernah Fatma mempersoalkan nasib hidup mereka dan hari ini dia
dapat mendengar semuanya dari hati Fatma.
“Adik, itu tandanya Allah sayang pada kita. Dia
hadiahkan sebuah ujian untuk kita untuk kita sentiasa meminta dan merayu
pada-Nya. Adik jangan risau. Ujian yang diberikan takkan berpanjangan buat
selamanya. Bila Dia timpakan kita dengan ujian yang berat, nanti nikmat yang
diberikan juga besar. Percayalah, selagi kita mampu untuk menghadapi kesusahan
ini selagi itulah Dia sentiasa bersama kita. Cuba adik tengok orang-orang
Palestine sana, ujian yang diberikan lagi teruk. Kena bom setiap masa. Jadi
pelarian dalam negeri sendiri, makan pun macam tak makan je tapi dia orang
hadapi semua itu dengan senyuman. Adik nak tahu kenapa?” soal Azeeza dengan
lembut. Dia menyentuh lengan Fatma.
Fatma hanya mampu membalas pandangan Azeeza sebagai
jawapan.
“Sebab keimanan dia terhadap Allah itu tinggi. Dia
yakin hidup, mati dan rezeki itu sudah diaturkan oleh Allah. Satu pun takkan
terlepas pandang dari Yang Maha Kuasa, jadi dia orang takkan mengeluh jauh
sekali nak menyalahkan takdir sebab percaya pada Qada dan Qadar itu merupakan
paksi keimanan kita pada Dia. Setiap orang Allah uji dengan ujian yang
berlainan. Kalau kita rasa susah, percayalah pasti ada orang yang lebih susah
daripada kita,” nasihat Azeeza panjang lebar.
Tangisan Fatma terhenti. Dia menyeka air mata yang
masih bersisa. Pegangan tangan Azeeza diperkemaskan.
“Sebab itulah Ma bersyukur Allah anugerahkan Ma
seorang kakak, abang, ibu dan ayah macam akak. Ma tak perlukan sesiapa dalam
hidup Ma cukuplah akak sentiasa ada untuk Ma. Akak semangat Ma. Ma janji akan
jaga akak sampai bila-bila…” ujar Fatma. Matanya kembali berair.
Azeeza terharu. Lantas dia menarik Fatma ke dalam
pelukan. Belakang badan Fatma digosok lembut.
“Inilah baru adik akak. Kekuatan akak adalah Ma.
Jangan pernah mengeluh dengan takdir, dik. Allah sedang merencana sesuatu yang
terbaik untuk kita cuma belum tiba masanya lagi untuk Dia berikan sesuatu itu
pada kita,” ucap Azeeza menuip semangat ke dalam jiwa Fatma.
Fatma menganggukkan kepala. Makin erat dia memeluk
tubuh Azeeza.
“Ma sayangkan akak…” ucapnya perlahan.
Azeeza ketawa dalam keharuan. Lantas, pelukan
dileraikan. Sedaya upaya ditahan air mata dari mengalih. Air mata tanda
kelemahan jadi dia dah haramkan matanya dari menitiskan air mata sebaik saja
ibunya meninggal dunia.
“Akak pun sayangkan Ma. Sangat sayangkan Ma. Jangan
sedih-sedih tau. Kejap lagi akak nak pergi kerja, Ma tolong bersihkan rumah ya.
Lepas tu buat kerja sekolah. Pintu rumah tu kunci. Akak ada bawak kunci jadi
tak payahlah Ma tunggu akak,” ujar Azeeza.
Fatma hanya mengangguk tanda faham akan arahan
kakaknya.
No comments:
Post a Comment