Wednesday, 16 March 2016

PILIHAN TAKDIR - BAB 1



LANGKAH DIPERCEPATKAN menuju ke tingkat dua. Sesekali mata bundarnya melirik jam yang kemas melingkari pergelangan tangannya. Dia menggigit bibir. Lewat! Hatinya menjerit. Ini bukan kali pertama dia terlewat ke kelas malah berhari-hari. Sudah tebal mukanya menghadap pensyarah.
Langkahnya terhenti di R1, bilik kuliah pagi ini. Dia mengetuk pintu dengan penuh tertib. Tudungnya dibetulkan beberapa kali.
“Assalamualaikum,” salam diberikan dengan wajah yang cuak.
“Waalaikummusalam, masuklah.” Encik Fazli meletakkan marker pen di atas meja sambil matanya tidak lepas memandang gadis yang berada di muka pintu.
Azeeza melangkah masuk dengan perlahan. Kepalanya ditundukkan.
“Dah pukul berapa sekarang?” soal Encik Fazli dengan suara yang mendatar.
Azeeza menelan liur. Habis aku kali ini!
“Saya tanya pukul berapa sekarang?” ulang Encik Fazli lagi.
Azeeza mengerling jam di tangan.
“Dah pukul sebelas, encik.” Jawab Azeeza perlahan.
Encik Fazli menganggukkan kepala. Dia duduk di atas meja sambil menyilangkan tangannya.
“Kelas mula pukul berapa?” soalnya lagi.
“Pukul sembilan, encik.” Balas Azeeza.
“Oh, pukul sembilan. Kelas habis pukul berapa?” Encik Fazli masih meneruskan soalan.
Azeeza mula keresahan. Jelas wajah Encik Fazli merah. Mungkin menahan marah barangkali.
“Pukul sebelas, encik.” Jawab Azeeza tergagap-gagap.
“Habis tu kalau tahu kelas habis pukul sebelas, buat apa datang?!” tengking Encik Fazli membuatkan Azeeza tersentak.
Wajah ditundukkan. Sedaya upaya dia menahan air mata daripada tumpah.
“Saa..saya..saya mintak maaf…” ucap Azeeza perlahan.
“Maaf? Ini bukan pertama kali awak lewat Azeeza. Hampir setiap kali kelas saya, awak lewat. Apa nak jadi dengan awak ni? Awak nak belajar ke tak nak belajar? Kalau awak rasa nak main-main, lebih baik awak berhenti. Pergi kahwin!” bentak Encik Fazli.
Kedengaran pelajar-pelajar lain berbisik sesama sendiri. Tidak kurang juga ada yang tersenyum sinis. Malu hanya Allah saja yang tahu.
 “Yang lain, boleh keluar. Kelas dah habis…” ujar Encik Fazli. Matanya kembali tertancap pada wajah Azeeza yang masih menundukkan wajah. Satu keluhan dilepaskan.
“Apa kena dengan awak ni, Azeeza? Cuba awak ceritakan saya masalah awak. Mungkin saya boleh bantu…” suara Encik Fazli kembali mengendur.
Azeeza memberanikan diri untuk mengangkat wajahnya. Kelihatan wajah Encik Fazli sudah kembali tenang.
“Saya tak ada apa-apa, encik. Semua okey. Saya mintak maaf sebab selalu datang lewat tapi percayalah saya akan berubah. Saya akan siapkan assignment encik secepatnya.” Balas Azeeza dengan penuh yakin.
“Sampai bila awak nak simpan masalah awak, Azeeza. Awak budak pandai. Kalau tidak, takkan awak dapat biasiswa penuh tapi kalau perangai awak berterusan macam ni saya tak jamin kolej akan taja biasiswa awak lagi. Awak kena ubah perangai awak, Azeeza. Walau apa pun masalah awak, tolong jangan campur adukkan dengan pelajaran. Nanti akan bagi kesan buruk pada prestasi awak,” nasihat Encik Fazli lagi.
Azeeza hanya mampu menganggukkan kepala. Tiada sesiapa tahu apa yang berlaku dalam hidupnya. Tiada sesiapa tahu keperitan yang dialami. Jadi biarlah dia simpan segala keperitan dan kepedihan itu jauh dalam lubuk hatinya.

ZEEZA!” laung satu suara mengejutkan Azeeza yang sedang mengelamun. Pantas, dia memusingkan kepala ke belakang. Dia tersenyum tipis melihat tubuh gempal milik Liyana menghampirinya.
“Hah, ada apa, Ana?” soal Azeeza sambil meneruskan perjalanan.
“Kenapa kau lambat hari ni? Kesian aku tengok kau kena marah dengan Encik Faz tadi,” ujar Liyana sambil menatap wajah Azeeza yang kelihatan pucat.
“Aku bangun lambat.” Jawab Azeeza dengan senyuman hambar.
“Kau kerja sampai malam ke?” soal Liyana lagi.
Azeeza tidak menjawab sebaliknya dia menganggukkan kepala. Memang itulah rutinnya. Balik dari kelas dia akan segera ke Restoran Makmur untuk bekerja. Bekerja sebagai pelayan separuh masa memang memenatkan tetapi itulah kehidupan Azeeza. Semua kerja separuh masa dilakukan semata-mata untuk menyara adiknya yang masih bersekolah.
“Nak buat macam mana, Ana. Dah tanggungjawab aku. Kalau aku tak kerja, macam mana adik aku nak sekolah. Dahlah sekolah sekarang ni banyak nak pakai duit. Aku tak nak adik aku rasa kekurangan waktu dia bersekolah ni. Biarlah aku penat kerja asalkan dia dapat yang terbaik,” ujar Azeeza dengan senyuman tipis terukir di bibirnya.
Liyana tersentuh mendengar kata-kata Azeeza. Betapa besar pengorbanan Azeeza semata-mata untuk melihat adiknya berjaya.
“Tapi kalau kau kerja kuat sangat nanti pelajaran kau terjejas. Final exam lagi dua bulan. Bila masa kau nak belajar? Bila masa kau nak kerja pulak?” tambah Liyana.
Azeeza menundukkan kepala. Bibirnya diketap.
“Siang aku belajar, malam aku kerja. Allah bagi kita masa 24 jam, insya-Allah cukup untuk aku belajar dan kerja. Lagipun kalau nak harapkan duit biasiswa je mana cukup untuk aku. Nak makan lagi, nak bayar duit sewa rumah lagi. Kau lainlah, Ana.”
“Apa yang lainnya? Aku sama je macam kau…” balas Liyana.
“Kau tu kaya tapi buat-buat susah pulak,” balas Azeeza sambil berpaling memandang wajah temannya.
Liyana mencebik.
“Yang kaya tu mak ayah aku. Aku tak kaya lagi,” jawab Liyana tidak mahu mengalah.
Azeeza ketawa kecil.
“Eh, Ana. Kalau kau ada tahu mana-mana tempat yang perlukan part timer macam aku ni, kau bagitahu tau. Aku nak tambah duitlah. Nak beli pakaian seragam untuk adik aku,” ujar Azeeza.
Liyana melepaskan keluhan. Dia memeluk bahu Azeeza. Wajah Azeeza yang manis bertudung ditenung lama.
“Berapa yang kau perlukan? Aku boleh bagi pinjam.”
Pantas Azeeza menggelengkan kepala.
“Kau tahu kan prinsip aku, aku takkan pinjam duit dengan orang lain selagi aku mampu untuk cari duit tu. Aku tak nak berhutang dan aku tak nak orang kasihankan aku,” balas Azeeza.
“Tapi aku kawan kau…” ujar Liyana.
Azeeza tersenyum. Dia menghentikan langkah dan berdiri berhadapan dengan Liyana. Kedua belah bahu sahabatnya itu dipegang kejap. Satu senyuman dihadiahkan.
“Aku tahu. Sebab kau kawan aku, aku nak kau tolong carikan kerja untuk aku dan bukan biarkan aku ambil kesempatan terhadap kebaikan kau ni. Faham?” soal Azeeza.
Liyana mencebik lagi. Ada saja alasan yang diberikan oleh Azeeza jika dia ingin menolong.
“Yelah,”
“Zeeza, Ana, cepat Izz kena kacau!”
Panggilan daripada Nurul mengejutkan Azeeza dan Liyana. Lantas, kepala mereka berputar mencari raut Nurul yang berada di belakang mereka. Kelihatan Nurul terkocoh-kocoh berlari mendapatkan mereka berdua.
“Izz kena kacau? Siapa yang kacau dia?” soal Azeeza turut panik.
Nurul menghentikan langkah. Dia cuba mengambil nafas kerana penat berlari. Wajahnya berkerut menahan letih.
“Takkan kau tak tahu, mamat tulah. Mamat yang selalu buli orang tu. Tadi aku nampak dia buli Izz. Macam nak menangis si Izz tu. Cepatlah, Zeeza, Ana. Kita kena selamatkan Izz,” ujar Nurul lagi.
Azeeza dan Liyana berpandangan, akhirnya mereka menganggukkan kepala. Jelas terbayang di mata Azeeza wajah Izz yang lembut. Bukan saja wajah malah perwatakan lelaki itu juga lembut.
“Baiklah, kat mana kau nampak Izz tu?” soal Azeeza.
“Korang ikut aku,”

IZZ CUBA menepis tangan Zafuan yang cuba menyentuh dadanya. Dia cuba melarikan diri tetapi dia dikepung. Air liur ditelan terasa tersekat di kerongkong. Satu persatu wajah yang berada di hadapannya dipandang.
“Kau orang nak apa dengan aku? Aku tak kacau kau orang, kau orang janganlah kacau aku,” ujar Izz dengan suara yang lembut. Dia hampir menangis.
Zafuan menyerengai. Dia memberi isyarat mata pada Rizwan yang sudah tersengih.
“Kami ni memang suka kacau mat kepit macam kau ni. Tuhan bagi kau jadi lelaki, kau sibuk nak jadi perempuan. Tak takut mati ke?” soal Rizwan sambil memandang Izz dari atas hingga ke bawah.
“Suka hati akulah nak jadi apa pun. Aku tak susahkan kau!” balas Izz berani.
“Memanglah kau tak susahkan kami, tapi mata aku ni serabut tengok spesis kau kat kolej ni!” sampuk Zafuan.
Izz lemas. Anak matanya mengekori setiap pergerakan Zafuan dan Rizwan. Dia bimbang dua lelaki itu akan bertindak ganas. Jauh dalam hatinya dia berdoa agar ada orang yang datang menyelamatkannya.
“Alah, takkan itu pun nak marah kut. Kita orang nak main-main je,” sampuk satu suara dari arah belakang membuatkan Izz berpaling.
Senyuman sinis terukir di bibir lelaki itu. Di sisi kanan, kelihatan seorang wanita yang agak cantik berdiri dengan wajah bangga manakala di sisi kiri lelaki itu kelihatan seorang lelaki bercermin mata sedang memandang ke tempat lain. Seolah-olah tidak sanggup melihat Izz dibuli.
“Banyak benda yang kau orang boleh main. Jangan kacau akulah!” bentak Izz sambil menghentak kakinya.
Kedengaran ketawa tiga lelaki itu bergema melihat wajah Izz yang merah. Seronok betul melihat wajah mangsanya hampir menangis.
“Kau ni lelaki ke perempuan, hah? Baru gertak sikit dah menangis,” usik Qaiser lalu menghampiri Izz.
Dia berdiri betul-betul berhadapan dengan Izz. Wajah Izz yang cuak ditenung lama bersama senyuman sinis.
Izz hanya mampu mendiamkan diri. Saat ini dia benar-benar takut. Bukan dia tidak kenal dengan Qaiser Hafiy, pembuli  nombor satu kolej mereka dan sekarang dia tidak sangka, dia akan menjadi mangsa buli lelaki itu.
“Geng, aku rasa lebih baik kita check sama ada dia ni lelaki ke perempuan. Apa kata kau orang?” soal Qaiser sambil memandang Zafuan dan Rizwan yang berada di belakang Izz.
“Aku setuju!” jerit mereka berdua termasuk perempuan yang berada di belakang Qaiser.
“Qai, janganlah buat aku macam ni. Aku tak kacau kau pun. Kau nak apa sebenarnya ni?!” soal Izz terketar-ketar.
“Aku tak nak apa-apa. Aku bosan jadi aku nak cari hiburan sikit. Alah, aku cuma nak pastikan jantina kau je. Takkan itu tak boleh?” soal Qaiser bersama tawa yang cukup menyakitkan hati.
“Janganlahh…” rayu Izz. Air mata sudah pun merembes keluar.
Namun, Qaiser tetap memberi isyarat mata pada Zafuan dan Rizwan. Lalu kedua lelaki itu memegang lengan Izz. Sementara Qaiser berjalan menghampiri Izz. Dia tersenyum jahat sambil tangannya menyentuh baju Izz.
Izz meronta-ronta untuk melepaskan diri. Dia takut. Jantungnya juga berdegup pantas.
“Qai, sudahlah tu,” tegur Firman. Sakit pula matanya melihat kelakuan Qaiser yang agak keterlaluan.
Namun Qaiser tidak mengendahkan arahan Firman. Sebaliknya dia semakin seronok melihat Izz yang sudah menangis. Terasa dirinya berkuasa. Perlahan-lahan, dia cuba membuka tali pinggang yang melingkari tubuh Izz, dia ketawa apabila Izz meronta. Saat dia cuba menarik tali pinggang tersebut tiba-tiba…
Bukkk!!
Satu tumbukan hinggap tepat di wajahnya membuatkan Qaiser terdorong ke belakang. Dia menjerit kesakitan. Pipinya terasa pijar malah ada darah yang keluar daripada celah bibirnya. Siapa pula yang nak cari pasal dengan aku ni?! Bentak hatinya. Lantas, kepala didongakkan.
“Kau tak apa-apa, Izz?” soal Liyana sambil mendapatkan Izz yang sudah menangis.
“Qai, kau okey ke?” soal Zafuan dan Rizwan lantas terus medapatkan Qaiser yang hampir tersungkur akibat ditumbuk oleh seseorang.
Qaiser berdiri tegak. Terasa hatinya panas tiba-tiba. Dia meludah sisa-sisa darah yang memenuhi ruang mulutnya. Pandangannya tuntas pada sebujur wajah yang kelihatan garang. Dia tersenyum sinis. Perempuan?
“Kau yang tumbuk aku?” soal Qaiser.
Azeeza berpeluk tubuh. Keningnya dijongketkan.
“Kau rasa?” soalan dibalas soalan.
Qaiser mengetap bibir. Dia memandang wajah Azeeza dengan tajam. Kecil saja Azeeza di matanya saat ini.
“Kau memang sengaja cari pasal dengan aku, kan? Kau tak kenal aku siapa,” balas Qaiser sambil menahan sabar.
“Cari pasal? Aku tak cari pasal dengan kau. Aku cari Izz. Memandangkan aku ternampak kau buli Izz jadi aku dengan tak sengaja tumbuk kau. Alah, apalah sangat tumbukkan seorang perempuan macam aku ni. Takkan sakit kut. Malulah jadi lelaki kalau sakit,” tempelak Azeeza dengan senyuman sinis.
“Zeeza, sudahlah tu. Izz pun dah selamat. Jom kita blah dari sini,” Ajak Liyana sambil berbisik.
Azeeza mengangkat tangannya meminta supaya Liyana diam. Liyana, Izz dan Nurul hanya mendiamkan diri memerhati pertembungan antara Azeeza dan Qaiser.
“Oh, nak tunjuk lagak pulak. Eh, perempuan. Kau dengar sini. Aku tak suka cari masalah dengan perempuan tetapi memandangkan kau yang mulakan dulu jadi kau tunggulah balasan daripada aku. Aku akan pastikan kau takkan tenang dalam kolej ni,” ujar Qaiser sarat dengan dendam.
Azeeza ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala beberapa kali.
“Kau ni Tuhan ke? Tak pun malaikat maut? Sesuka hati nak bagi balasan kat aku. Yang kau buli Izz tu, kau tak takut balasan Allah. Kau ingat kau bagus sangat? Kalau perangai macam kau ni, lebih baik tak payah masuk kolej, menyusahkan pensyarah je nak mengajar orang macam kau. Dasar budak tak matang!” tempelak Azeeza lagi.
Qaiser terpempang. Zafuan dan Rizwan tercengang. Hanya Firman saja yang tersenyum nipis. Buku dah bertemu dengan ruas!
Dada Qaiser berombak kencang. Terasa kesabarannya dicabar oleh gadis bertudung di hadapannya ini. Siapa dia ni? Soal hati Qaiser.
“Kau…”
“Argh, dahlah. Buang masa aku menghadap muka kau ni. Kalau handsome tak apalah juga. Ni menyerabutkan je. Lebih baik aku blah…” ujar Azeeza selamba. Dia berpaling pada Izz, Liyana dan Nurul yang kelihatan terpaku.
Namun, langkahnya terhenti. Dia seperti memikirkan sesuatu. Lantas, dia menghampiri Izz.
“Kau ada duit tak? Sepuluh ringgit ke? Bagi aku…” pinta Azeeza sambil menghulurkan tangannya.
Izz menganggukkan kepala. Lantas, mengeluarkan not sepuluh ringgit daripada dompetnya dan menyerahkan pada Azeeza.
“Kau nak buat apa duit ni, Zeeza?” soal Izz pelik. Dahinya berkerut.
Azeeza hanya tersenyum penuh makna dan mengenyitkan mata pada Izz sebelum dia berpaling dan menghampiri Qaiser.
“Maaflah pasal tadi. Kesian, berdarah mulut kau. Itulah bak kata orang, kerana mulut badan binasa. Nah, kau ambil duit ni, kau beli ubat. Ini bukan duit aku tapi duit Izz, duit mat kepit yang kau buli tu. Dalam hidup kita ni kan, jangan rasa kita paling kuat sebab ada lagi yang lebih kuat dan berkuasa dari kita. Okey, please take note ya. Bye!” ujar Azeeza bersahaja.
Dengan selamba dia mencampakkan duit tersebut ke wajah Qaiser yang kelihatan tergamam sebelum berlalu meninggalkan lelaki itu.
“Siapa perempuan tu?” soalan daripada Zafuan mengejutkan Qaiser ke dunia realiti. Jantungnya bagaikan ingin pecah menahan sabar. Penumbuk dikepalkan.
“Tak guna! Siapa perempuan tu?!” bentak Qaiser geram.
“Dia Fahima Azeeza, budak Business Management. Dean list student untuk setiap semester.” Suara Firman mencelah. Ada senyuman menghiasi bibir lelaki itu.
Qaiser terdiam. Nafasnya turun naik menahan sabar.
“Aku tak kisah dia budak dean list ke budak apa ke, aku nak kau bereskan dia. Aku nak tengok sejauh mana dia boleh bertahan. Dia dah cabar aku dan aku akan pastikan dia takkan tenang hidup dalam kampus ni!” tekad Qaiser.
Zafuan dan Rizwan hanya menganggukkan kepala sedangkan Firman hanya mampu menjongketkan bahu.


No comments:

Post a Comment