DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 7




S
ELESAI sudah upacara pengebumian Mak Su Ainin. Suasana sebak mengiringi pemergiannya. Airmata Aisyah bercucuran membasahi pipi. Walau Mak Su Ainin tak pernah sayangkan dia, tetapi wanita itu satu-satunya ibu saudara yang dia ada. Kini Mak Su Ainin telah pergi buat selama-lamanya.
“Aisyah….”
Teguran itu membuatkan Aisyah mendongak. Airmatanya dikesat.
“Boleh Abang Id duduk?” pinta Farid.
Aisyah mengangguk seraya mengesot sedikit memberi ruang kepada Farid untuk duduk di pangkin menghadap ke taman bunga. Bunga peliharaan Mak Su Ainin yang kembang mekar. Arwah mak su memang gemarkan bunga. Hobi yang dikongsi sama dengan arwah mak Aisyah.
Buat seketika, suasana antara mereka berdua sepi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sebagai anak kepada arwah Ainin, Farid begitu terasa pemergian maknya. Apatah lagi dia merasakan dirinya ini masih belum cukup berbakti kepada maknya sepanjang hayat wanita itu.
Farid sedar, dia bukanlah anak yang baik sebelum ini. Sering menyakiti arwah mak. Sering melawan kata. Allah… betapa banyak dosanya yang tak mampu dihitung.
Nafasnya dihela. Banyak dosa yang dilakukannya. Dosa pada Allah, mak dan Aisyah. Seraya dia berpaling ke arah adik sepupunya itu. Bersyukur Aisyah sempat berjumpa dengan arwah maknya sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. Sekurang-kurangnya hajat arwah mak bertemu Aisyah kesampaian sebelum dia menutup mata.
Sebak dia melihat Aisyah yang luhur mencium dahi maknya. Memberi kemaafan atas segala perbuatan mak terhadap Aisyah selama ini. Ketika kata maaf dilafazkan, barulah arwah mak dapat memejam rapat matanya. Rupanya Aisyahlah yang ditunggu arwah mak.
“Terima kasih Aisyah. Aisyah baik sangat. Abang Id tak mampu balas jasa baik Aisyah. Kalau Aisyah tak datang, mesti arwah mak terseksa sampai ke hari ini. Aisyah mempermudahkan pemergian arwah.” ucap Farid kepada Aisyah yang masih berlinangan airmata.
“Mak su satu-satunya ibu saudara yang Aisyah ada. Macam mana pun layanan mak su pada Aisyah sebelum ini, mak su tetap berjasa sebab jaga Aisyah. Tanpa mak su, mungkin Aisyah dah lama hidup merempat. Aisyah tak pernah berdendam dengan mak su walau sebesar kuman sekali pun.”
Farid menarik nafas dalam. Kemudian dihela perlahan. Betapa luhur hati wanita bernama Siti Aisyah itu. Sekejam mana layanan arwah maknya pada Aisyah, Aisyah tak pernah menyimpan walau sekelumit perasaan dendam. Kenapalah mereka buta mata dan hati menilai kebaikan Aisyah selama ini? Dia malu atas perbuatannya yang dulu.
“Abang Id menyesal atas apa yang terjadi. Maafkan kami Aisyah. Kami anak-beranak tak pernah layan Aisyah dengan baik selama ni. selalu sangat susahkan Aisyah. Sepatutnya kami berterima kasih pada Aisyah sebab semua yang kami ada hari ni adalah harta kepunyaan Aisyah.” Pinta Farid bersungguh. Menyesal atas kejahilan yang dilakukan selama ini.
Takpe. Aisyah dah lama maafkan. Walau apa pun yang pernah terjadi, kita tetap sekeluarga. Harta bukan segala-galanya bagi Aisyah. Apa yang Aisyah harapkan, hubungan kekeluargaan.” Ujar Aisyah cuba tersenyum. Airmatanya dikesat.
Lega hati Farid mendengar kata-kata Aisyah. Kalaulah adiknya Fasha memiliki peribadi seperti Aisyah, alangkah bertuahnya. Fasha jauh berbeza jika hendak dibandingkan dengan Aisyah.
Ketika Farid memaklumkan berita mak mereka sakit tenat, Fasha sempat merengus. Katanya dia sibuk dan tak dapat nak balik awal. Sampai ke saat ini pun, batang hidung Fasha masih tidak kelihatan.
Sejujurnya Farid kesal dengan sikap Fasha. Fasha tak sempat memohon ampun dengan arwah mak. Seolah, pemergian arwah mak tiada erti bagi Fasha. Sedangkan selama hayatnya, mak begitu sayangkan Fasha. Segala kehendak Fasha diturutkan.
“Abang, ini airnya.” Suara seorang perempuan membuatkan tumpuan Farid dan Aisyah berpaling ke suara itu.
Lilis, isteri Farid meletakkan dulang berisi teko dan cawan di atas pangkin. Kemudian punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan Farid. Manis senyumannya. Wanita inilah yang mengubah Farid menjadi Farid hari ini. Perubahan yang cukup menyejukkan hati Aisyah.
“Minum, Aisyah.” pelawa Lilis.
“Terima kasih Kak Lis.” Aisyah mencapai cawan berisi air teh yang Lilis hulurkan. Dihirup sedikit sebelum diletakkan atas pangkin.
“Alhamdulillah, upacara pengebumian dah selesai. Sekarang ni tinggal majlis kenduri tahlil aje lagi. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah mak.” ujar Farid. Sebagai anak sulung, dia berhajat hendak mengadakan majlis kenduri tahlil selama tujuh hari buat arwah maknya.
Aisyah dan Lilis sekadar mengangguk. Bersetuju dengan omongan Farid.
“Aisyah duduk la lama sikit kat sini. Boleh tolong akak sepanjang kenduri arwah mak.” Pinta Lilis kepada Aisyah. Kandungannya yang kian membesar membuatkan pergerakannya makin terbatas. Sekurang-kurangnya dengan adanya Aisyah di sini, ringan juga bebannya.
Aisyah serba-salah. Diturutkan rasa hati, memang dia teringin duduk lama di kampung. Namun memikirkan suami yang ditinggalkan, hatinya jadi tak keruan. Bukan dia tak percayakan Tengku Iskandar. Cuma tak elok dia meninggalkan suaminya lama-lama. Sebagai isteri, dia ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
Sedang mereka bersembang kosong, kelihatan sebuah kereta memasuki halaman rumah. Setelah kereta BMW itu berhenti benar-benar di bawah pokok mangga, barulah Aisyah perasan itu adalah kereta suaminya. Pantas dia bangun dan menghampiri kereta yang sudah terparkir elok.
“Abang….” Aisyah menyambut Tengku Iskandar dan menyalam tangan suaminya itu. Senang hatinya melihat kelibat suaminya berada di sini. Fikirnya Tengku Iskandar tak akan ke mari. Ternyata dia silap.
“Sayang okey?” itu soalan pertama Tengku Iskandar kala Aisyah berada depan mata. Wajah isterinya yang suram dengan mata sembab dipandang.
“Aisyah okey, cuma….” Airmata Aisyah mengalir lagi. Perasaan sedih kehilangan insan terdekat menjengah semula.
Pantas sahaja Tengku Iskandar menarik Aisyah ke dalam pelukan. “Syhhh… dah la. Jangan menangis lagi. Setiap yang hidup pasti akan mati. Sayang banyak-banyak berdoa semoga Allah ampunkan dosa mak su. Itu yang terbaik.”
Ketika ini Aisyah menjadi tenang berada dalam pelukan suaminya. Hilang rasa gundah di hati. Luruh jiwanya mendengar kata-kata semangat Tengku Iskandar. Inilah yang dia harapkan dari seorang suami.
Farid dan Lilis saling berpandangan. Mereka yakin lelaki yang datang memeluk Aisyah pasti suaminya.
“Abang… mari Aisyah kenalkan dengan sepupu Aisyah dan isterinya.” setelah pelukan dileraikan, Aisyah menarik tangan Tengku Iskandar mendekati Farid dan Lilis.
Farid dan Lilis bangun dari duduk. Lebar senyuman mereka suami isteri menyambut kedatangan tetamu dari kota.
“Abang Id, Kak Lis, kenalkan ini suami Aisyah, Tengku Iskandar. Abang, ini Abang Id sepupu Aisyah dan isterinya Kak Lis.”
Tengku Iskandar bersalaman dengan Farid. Manakala dengan Lilis dia sekadar mengangguk sahaja.
“Eh… jemputlah masuk. Kita borak-borak kat atas.” Pelawa Farid. Sejuk hatinya melihat suami Aisyah. Alhamdulillah… lelaki itu menjaga adik sepupunya ini dengan baik meskipun perkahwinan mereka dulu merupakan rancangan jahatnya. Ada hikmah pada setiap kejadian.



No comments:

Post a Comment