DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 -BAB 8




“A
BANG risau sangat sayang takde kat rumah tadi.” Ujar Tengku Iskandar. Waktu itu dia dan Aisyah berada di bilik untuk berehat. Bilik inilah yang pernah Aisyah huni suatu ketika dulu. Banyak yang berubah. Susun atur dan perabot di dalamnya.
“Maafkan Aisyah sebab tinggalkan rumah tanpa mengetahuan abang. Aisyah terpaksa balik kampung sebab mak su dah nazak masa tu.” Rasa bersalah kerana pulang tanpa izin suaminya ini. Tangan Tengku Iskandar diraih lalu dikucup.
Sepanjang menjadi isteri, Aisyah tidak pernah keluar rumah tanpa izin suami. Dia tahu perbuatan itu satu dosa. Cuma kali ini, dia tidak dapat menunggu kepulangan Tengku Iskandar. Mak Su Ainin perlukan dia. Atas dasar itulah dia pulang ke kampung dengan tergesa-gesa.
Mujur Ros ada. Sahabatnya itulah yang menghantar dia ke sini. Kebetulan Ros juga mahu bertemu Mak Su Ainin di saat-saat terakhir hayatnya.
“Abang faham. Abang yang sepatutnya minta maaf sebab tak telefon sayang seperti yang abang janjikan. Banyak sangat kerja kat ofis sampai abang lupa nak telefon sayang semula.”
Aisyah tersenyum nipis. Faham dengan kerja suaminya. Apatah lagi kini suaminya itu telah menggantikan tempat daddy sebagai CEO. Bertambah sibuklah kerjanya.
Aisyah merebahkan kepala ke dada Tengku Iskandar. Ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Dia perlu izin suaminya ini.
“Abang….” Manja suaranya.
Hmmm….” Jawab Tengku Iskandar. Bahu Aisyah dipeluk kejap.
“Aisyah ada sesuatu nak minta dekat abang.”
“Apa dia sayang. Cakaplah.”
Aisyah menarik nafas panjang sebelum dihela perlahan.
“Aisyah nak minta izin abang, duduk kat sini seminggu sepanjang kenduri tahlil arwah mak su. Kasihan kat Kak Lis takde orang tolong dia buat kerja. Lagipun Kak Lis tu dah sarat mengandung. Tak larat nak buat kerja sendiri-sendiri kat rumah ni. Boleh tak bang?”
Tengku Iskandar diam. Cuma menimbang permintaan isterinya. Risau meninggalkan Aisyah sendiri di sini. Dia tahu Farid dan Lilis pasti dapat menjaga isterinya dengan baik. Cuma sebagai suami, dia tidak betah berjauhan dengan Aisyah. Rindu sangat.
Nafasnya dihela. Wajah Aisyah yang begitu mengharapkan pengertiannya dipandang. Kenapalah hati isterinya ini lembut sangat? Dah bermacam kata cacian yang dilemparkan arwah Mak Su Ainin kepada Aisyah. Namun, isterinya itu tidak pernah menyimpan dendam. Malah dengan mudah Aisyah memberi kemaafan atas dosa-dosa arwah Mak Su Ainan terhadapnya. Aisyah memang wanita baik.
Setelah membuat pertimbangan, Tengku Iskandar mengangguk. Tak sampai hati menghancurkan permintaan isterinya itu. Lagipun sudah lama Aisyah tidak balik ke kampung. Biarlah kali ini Aisyah meluangkan masa untuk berada di kampung halamannya ini. Melepaskan rindu yang telah lama dipendam.
Bibir Aisyah terukir senyuman manis. Sebuah ciuman hinggap ke pipi suaminya. Tanda terima kasih dengan izin yang diberikan.
“Terima kasih abang.”
“Sama-sama. Apa saja untuk sayang abang turutkan.” Balas Tengku Iskandar seraya menghadiahkan ciuman ke dahi isteri tercinta. Pelukannya dieratkan.
Aisyah membalas pelukan suaminya. Dia amat bersyukur mempunyai suami seperti Tengku Iskandar. Lelaki itu tidak pernah mengecewakannya. Sering bertolak ansur. Semakin lama mengenali Tengku Iskandar, semakin dalam cinta Aisyah buat lelaki ini.
Tengku Iskandar bukan lagi Tengku Iskandar yang dulu. Suaminya ini sudah berubah menjadi lelaki dewasa yang berfikiran matang. Apabila berlaku perselisihan antara mereka, Tengku Iskandar cepat saja mengalah. Tidak pernah lagi Aisyah mendengar jerkahan-jerkahan kasarnya seperti di awal rumahtangga mereka dulu.
Sungguh, Aisyah amat bersyukur dengan perubahan besar ini. Dan cintanya juga semakin mekar berkembang. Harapannya cuma satu. Semoga rumahtangga mereka ini akan diserikan lagi dengan kehadiran anak-anak satu hari nanti.





No comments:

Post a Comment