DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 4




M
ALAM itu sekali Tengku Iskandar mengajak Aisyah ke Eiffel Tower sebelum mereka berangkat pulang ke Malaysia pagi esok. Walaupun letih, keseronokan jelas terpampang pada wajah Aisyah ketika kakinya menjejak halaman Eiffel Tower yang dihiasi cahaya lampu neon.
Kesejukan yang melanda kerana salji yang turun langsung tidak diendahkan. Apa yang penting dia puas dapat melihat kemegahan Eiffel Tower di waktu malam. Memang cantik sekali! Seperti apa yang dia gambarkan sebelum ini.
Sedang Aisyah ralit memerhati pemandangan indah di depan mata, terasa ada benda terkena di belakangnya. Aisyah berpaling. Sebiji bola plastik mendarat di depannya. Diambil bola tersebut. Kemudian datang seorang anak perempuan kecil ke arahnya dengan muka bersalah. Takut andai dia dimarahi.
Aisyah tersenyum. Wajah comel itu mengamit kalbunya. Pantas dia melutut menyamai tinggi kanak-kanak itu. Pasti bola yang dipegangnya ini milik anak comel itu.
This is your ball?” tanya Aisyah kepada anak kecil itu.
Anak kecil itu tidak menjawab. Hanya matanya yang kebiruan itu saja memandang tepat ke wajah Aisyah. Takut hendak mengaku bola itu adalah kepunyaannya.
Oh my god! Forgive my daughter. She really very naughty.” Tiba-tiba datang seorang wanita hampir sebaya dengan Aisyah menghampiri mereka.
Aisyah sekadar tersenyum. “It’s okey, maam. Small matter.” Aisyah cuba berbahasa inggerish serba sedikit. Bercakap apa yang dia tahu sahaja. Nak borak panjang-panjang, dia memang tak pandai sangat.
Carol… say sorry to auntie.” Wanita itu mengarahkan anak perempuannya meminta maaf kepada Aisyah. Sudah ditegah anaknya agar jangan bermain bola di situ. Namun anak itu degil tak mendengar kata. Sehingga bolanya terkena seorang wanita muslim bertudung.
Ermmm… I’m sorry.” Perlahan saja suara Carol dengan kepala menunduk kerana rasa takut.
Sekali lagi Aisyah tersenyum. “It’s okey.” Jawabnya seraya mengusap rambut keperangan milik anak kecil itu. Wajahnya persis anak patung. Comel sangat. Membuatkan Aisyah suka melihat wajah comel itu.
Setelah berpamitan, Carol dan ibunya pun berlalu pergi. Mereka mendapatkan seorang lelaki dan bergurau senda dengan bahagia. Aisyah meneka, pasti lelaki itu adalah ayah kepada Carol memandangkan warna rambut mereka yang sama.
Melihat kegembiraan keluarga itu, hati Aisyah tiba-tiba menjadi sebak. Alangkah indahnya andai dia juga mempunyai anak seperti gadis comel itu. Pasti rumahtangganya ini bertambah ceria.
Namun percaturan Allah itu tiada siapa yang tahu. Biarpun telah lima tahun mendirikan rumahtangga, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata. Bukan Aisyah tidak mencuba. Sudah puas dia berusaha. Sudah banyak tempat dia pergi untuk berubat secara tradisional mahupun moden, tetapi ampai ke hari ini rezeki yang satu itu masih belum menyebelahi mereka suami isteri.
Bohonglah andai tidak terdetik rasa cemburu dihati Aisyah melihat orang lain bahagia bersama anak-anak. Tapi apakan daya. Dia hanya hamba Allah. Berusaha dan bertawakal. Selebihnya serahkan pada Yang Maha Mencipta. Dia yakin ada hikmah disetiap pemberian Allah.
“Sayang, nak naik ke atas tak?” tanya Tengku Iskandar kepada Aisyah yang termenung. Dia yang baru sampai menghulurkan sebungkus popcorn kepada Aisyah.
Aisyah berpaling. Wajah Tengku Iskandar dipandang. Rasa sebak menerjah kembali. Bergenang air matanya. Jiwanya mudah saja menjadi rapuh bila memikirkan soal ini.
“Abang… maafkan Aisyah.” tak semena-mena tangan Tengku Iskandar diraih dan dikucup. Airmata juga tanpa segan silu mengalir dengan laju.
Terkesima Tengku Iskandar melihat perubahan tingkah laku Aisyah. Tadi bukan main seronok lagi isterinya itu. Tiba-tiba pula sekarang Aisyah menangis di hadapannya. Apa sebenarnya yang telah terjadi?
“Sayang… kenapa ni?” tanya Tengku Iskandar sambil mengangkat dagu Aisyah supaya memandangnya. Kelopak mata isteri yang sedang berair membuatkan hatinya menjadi sayu.
“Aisyah minta maaf sebab Aisyah tak mampu bagi abang zuriat. Dah lima tahun kita kahwin, tapi Aisyah….”
Pantas sahaja jari telunjuk Tengku Iskandar mendarat ke bibir mungil Aisyah. Kepalanya digeleng perlahan. Dia tak sanggup mendengar Aisyah meneruskan kata-katanya lagi. Dia tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja isterinya boleh memikirkan persoalan itu. Sedangkan selama ini tak pernah terlintas dalam benaknya mahu menimbulkan soal anak pada Aisyah. Dia menerima Aisyah seadanya. Soal anak mereka telah berusaha dan biarlah Allah yang menentukan segalanya.
“Jangan cakap macam tu. Soal anak, soal rezeki semua di tangan Allah. Kita dah berusaha sedaya upaya kita. Sayang sendiri dah puas berusaha. Abang tak pernah salahkan sayang. Apa yang terjadi kehendak Allah. Lagipun abang yakin satu hari nanti kita pasti ada anak. Cuma kita kena bersabar dengan ujian Allah.” Lembut Tengku Iskandar memujuk. Air mata yang gugur di pipi sang isteri dikesat.
“Kalau ditakdirkan Aisyah masih tak mampu berikan abang zuriat, Aisyah izinkan abang cari isteri lagi.” Ikhlas Aisyah memberi kebenaran walaupun hatinya bagai disiat sembilu kala mengungkap ayat itu. Isteri mana sanggup bermadu? Namun demi cintanya pada suami, dia rela.
“Apa sayang merepek ni? Bila masa abang nak kahwin lain?” Terperanjat Tengku Iskandar mendengar pengakuan Aisyah. Memang dia berkemampuan untuk berkahwin lagi seorang, malah dua atau tiga orang tetapi itu bukan keinginannya. Hati dan perasaannya hanya pada Aisyah. Mustahil baginya menduakan cinta isterinya itu.
“Dah… abang tak nak dengar sayang merepek lagi. Apa pun yang jadi, abang tetap tak akan menduakan sayang. Sayang segala-galanya bagi abang. Soal anak, kita serahkan pada Allah. Hanya Dia Yang Maha Memberi.”
Aisyah angguk. Dia juga yakin Allah merancang sesuatu yang indah untuk mereka berdua.
“Cuma Aisyah cinta hati abang. Datanglah walau seribu jelitawan, hati abang tetap milik Aisyah seorang.” Jemari Aisyah yang digenggam erat dibawa ke mulut. Lalu dikucup penuh kasih. Biar ada yang mengata rumah tangga mereka kosong tanpa cahaya mata, baginya cukuplah kasih Aisyah dimiliki. Dia cukup yakin satu masa nanti Allah akan memakbulkan doa mereka.
“Sayang jangan sedih-sedih tau. Abang tak nak tengok sayang menangis lagi. Dah, jom kita naik ke atas. Abang nak bawa sayang tengok pemandangan Paris waktu malam. Kan kita datang ke sini untuk berhibur. Bukannya nak bersedih.”
Aisyah sekadar mengangguk. Air matanya dikesat. Benar kata suaminya itu. Mereka ke sini untuk bersuka ria. Meraihkan ulang tahun perkahwinan mereka. Bukannya untuk dia berduka lara.
Menyaksikan keindahan Kota Paris di waktu malam di tempat yang tinggi, cukup menyeronokkan Aisyah. Terubat seketika rasa sedihnya. Apatah lagi tubuh Tengku Iskandar tak lepas dari memeluk hangat tubuhnya. Membuatkan mereka bagaikan pasangan pengantin baharu sahaja.
Tepat pukul 9.00 malam, pertunjukan cahaya dimulakan. Sekali lagi Aisyah menjadi teruja. Pertunjukan yang dimainkan membuatkan pelancong-pelancong yang mengunjungi tempat menarik itu bersorak gembira. Aisyah turut sama bersorak. Begitu juga dengan Tengku Iskandar. Lega rasa hatinya melihat semula wajah ceria Aisyah. Benarlah kata orang, Kota Paris memang Kota Cinta yang menghiburkan.
Pukul 11.00 malam, barulah Tengku Iskandar mengajak Aisyah pulang ke hotel. Esok mereka perlu bersiap seawal pukul 5.00 pagi untuk ke lapangan terbang dan pulang ke Malaysia. Percutian kali ini merupakan percutian paling indah buat mereka berdua.

No comments:

Post a Comment