Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 1




Urusan imigresen sudah selesai.  Bagasi juga sudah diambil.  Sekadar dua bagasi besar yang memuatkan pakaiannya dan sedikit buku-buku.  Barang-barang lain sudah dijual kepada pelajar junior kerana tidak perlu dibawa balik, di Malaysia pun ada.  Samirah mengatur langkah dengan laju, hatinya penuh dengan keterujaan, matanya meliar mencari wajah-wajah kesayangan yang amat dirindui.  Semakin mendekati balai ketibaan langkah diperlahankan sedikit, agar tidak terlepas pandang wajah-wajah mereka.  Pastinya mereka juga menanti dengan penuh keterujaan, setelah dua tahun tidak berjumpa.  Dua tahun lepas dia pulang sebentar ketika cuti musim panas.  Hari ini dia pulang untuk selamanya, bersama segulung ijazah yang diperjuangkan selama empat tahun.

“Ira!”

Samirah menoleh ke kiri.  Aidid melambai kegirangan.  Papa turut melambai dengan senyuman melebar di wajahnya.  Pantas Samirah menolak troli bagasi ke arah kiri.  Sampai depan papa, troli dilepaskan.  Terus kedua tangannya mendepa dan kemudian memeluk erat papa yang dirindui.  Kemudian barulah tangan papa disalami dan dicium.  Berkalih pula kepada satu-satunya saudara kandung yang ada.  Dialah tempat meluahkan masalah, dia juga kawan bergaduh.  Dua tahun tidak bertemu, tidak tertanggung rindu kepada abang yang tuanya hanya setahun dari Samirah.  Aidid membalas pelukan dan merangkul erat adiknya.  Kemudian mereka bersalaman.

Congratulations Ira.  Papa bangga dengan kejayaan kamu.”

“Alhamdulillah.  Ira berterima kasih banyak-banyak kepada papa.  Tanpa doa dan sokongan papa, Ira tak akan dapat kejayaan ini.”  Samirah paut lengan papanya.  Kegembiraan yang terpancar di wajah papanya mendamaikan hati.

Congrats Sis.  Macam nilah adik aku, baru best!”  Aidid pantas mencubit kedua belah pipi Samirah dan digoyang-goyangkannya. 

“Adoi!  Sakitlah Did.  Macam ni ke sambut orang balik dari oversea?”

Aidid ketawa.  Pipi Samirah dilepaskan.  Kegembiraan dan kebanggaan seorang abang jelas terpancar di wajahnya.  Pantas pula dia menyambar bahu Samirah dan dirangkul erat.

“Empat tahun tak ada orang bergaduh dengan aku tau!  Aku rindu giler dengan kau!”

“Kau rindukan aku sampai gila Did!  Ha ha ha!”  Samirah ketawa besar.  Seronok mendengar pengakuan abangnya.  Dia juga rindukan Aidid.  Walaupun kecanggihan teknologi membolehkan mereka berhubung melalui skype, perbezaan masa antara dua benua di timur dan barat membataskan penggunaan medium komunikasi tersebut.  Di kala Samirah sibuk menghadiri kuliah, Aidid diulit mimpi dan ketika Aidid punya masa senggang di penghujung hari, Samirah pula harus tidur agar dia cukup rehat untuk menghadiri kuliah esoknya.

Baharin turut ketawa melihat gelagat kedua-dua anaknya.  Dalam kedukaan dan kegelisahan, hatinya merasa gembira.  Kepulangan Samirah amat dinanti-nantikan, setelah empat tahun anak gadisnya itu bersendirian di tanah asing demi untuk mengejar cita-cita.  Kepulangan seorang anak dengan segulung ijazah pastinya sesuatu yang amat membanggakan bagi seorang ayah.  Namun di sudut hati Baharin terselit kerisauan.  Bagaimana reaksi Samirah nanti apabila berita itu disampaikan kepadanya?  Bolehkah gadis manis yang masih mentah dalam ranjau kehidupan itu menerima berita tersebut dengan hati terbuka?  Baharin yakin Samirah tidak akan mudah menelan kepahitan.

“Dah jom, kau tunggu kat tepi pintu dengan papa.  Aku pergi ambil kereta.” Aidid berlalu pergi.  Baharin pantas menolak troli bagasi.  Samirah memaut lengan papanya dan mereka berjalan bersama, sambil senyuman tidak lekang dari bibirnya.

“Ira rindu sangat dengan papa,” katanya sambil menoleh ke arah papanya.  Baharin membalas senyuman anaknya, sambil di dalam hati berdoa agar Samirah tabah dengan ujian hidup yang bakal diketahuinya nanti.

“Papa, mana mama?”

Soalan yang amat ditakuti oleh Baharin akhirnya meletus dari bibir Samirah.  Tadi Samirah terlalu gembira bertemu dengan papa dan abangnya, sekarang baru dia perasan mamanya tidak menjemput dia di KLIA, sedangkan ketika berbual melalui telefon tiga hari sebelum berangkat pulang mama berjanji akan menyambutnya di KLIA.

“Mama… dia tak dapat datang.”  Baharin menjawab, sambil cuba berlagak normal.

“Mama tak sihat ke?”

“Taklah.  Mama Ira sihat, dia…”

Haruskah dikatakan sekarang, atau nanti saja bila mereka sampai di rumah?  Dua persoalan ini berlegar di minda Baharin.  Wajahnya dimaniskan, cuba menutup galau yang melanda hati.

“Hah, ni mesti mama sibuk dengan aktiviti persatuan dia.  Ish mama ni, tak habis-habis dengan kerja persatuan.  Patutnya sekarang ni mama dah duduk diam-diam kat rumah, luangkan lebih banyak masa untuk papa.  Lepas ni Ira nak suruh mama kurangkan aktiviti persatuan tu.”  Samirah menebak.  Memang sejak dulu mamanya suka melibatkan diri dengan aktiviti persatuan pengusaha restoran yang disertainya. 

Baharin menarik nafas kelegaan, tidak perlu dia menerangkan sekarang di mana Latifah berada dan mengapa Latifah tidak turut serta menjemput Samirah di KLIA. 

Flight tadi okey?”  Segera Baharin menukar topik perbincangan.

“Okey.”  Samirah menjawab sambil kepalanya melentok manja dan matanya bersinar.

“Lain macam je papa tengok senyuman tu.  Hah… ni mesti dapat duduk sebelah mat salleh handsome ni… kan?”  Baharin cuba menyakat anaknya.  Samirah mencebik manja dan mengangguk kepalanya.  Matanya membulat.

“Papa ni tau je.  But you are half right, half wrong.  Memang Ira duduk sebelah lelaki handsome.  Handsome sangat-sangat pa.  Tapi bukan mat salleh.”

“Bukan mat salleh?  Hmm… nanti papa teka.”  Baharin mengetuk-ngetuk dagunya.   Kepalanya didongakkan sedikit, matanya dijulingkan ke atas, berpura-pura memikirkan siapakah gerangan lelaki kacak yang duduk di sebelah anaknya dalam penerbangan tadi.

“Hah!  Kalau bukan mat salleh… bangla!”

“Papa!”

Samirah menjeling.  Lengan papanya ditepuk lembut.  Baharin ketawa, seronok dapat menyakat anak manja yang sudah berada di depan mata.  Samirah memang manja dengan semua ahli keluarganya.  Hubungan mereka akrab, lantaran saiz keluarga yang kecil.  Hilang seketika resah di hati dengan masalah keluarga yang belum dimaklumkan kepada Samirah.  Bertambah leganya apabila terdengar bunyi hon.  Aidid sudah sampai.  Pantas Baharin dan Samirah menolak bagasi keluar dari balai ketibaan dan menuju kereta mereka.  Sampai di kereta, lekas-lekas Aidi keluar dan membantu papanya memasukkan bagasi Samirah ke dalam bonet.  Mereka harus segera beredar kerana kenderaan tidak dibenarkan diparkir di situ.

Samirah mengambil tempat di belakang.  Matanya meliar melihat pemandangan di luar.  Dalam kegelapan awal pagi, Samirah dapat melihat tidak banyak perubahan sejak kepulangannya dua tahun lepas.  Baharin sudah terlelap.  Aidid memandu agak laju, mungkin kerana tidak banyak kenderaan di atas lebuhraya di pagi-pagi buta begini. 

“Ira,” Aidid memanggil.

Samirah mengalihkan pandangan, dari luar ke arah abangnya yang sedang memandang melalui cermin.

“Apa plan kau?  Nak kerja dengan papa atau kerja di tempat lain?”

“Aku belum ada plan.  Tapi kalau boleh aku nak kerja di tempat lain dulu.  After one or two years, baru aku join papa.  Aku tak naklah mentang-mentang aku ni anak papa, senang-senang je masuk company papa.”

“Apa salahnya kerja terus dengan papa?  Papa akan suruh kau mula dari bawah… macam aku.  Lagi pun sekarang susah nak dapat kerja.”

Aidid melontarkan pandangan.  Samirah diam, otaknya mula mencerna kata-kata abangnya.  Ada betulnya kata-kata Aidid itu.  Samirah teringat lelaki kacak yang duduk di sebelahnya sepanjang penerbangan dari lapangan terbang Los Angeles.  Beg sandangnya dicapai.  Kocek beg di bahagian depan diseluk.  Sekeping kad nama dikeluarkan. 

“Tadi dalam flight, orang yang duduk sebelah aku ada offer kerja.  Tengoklah nanti, aku fikirkan dulu.”

Samirah akhirnya menjawab.  Kad nama ditenung lama.  Bayangan wajah lelaki kacak yang peramah itu terbayang di ruangan matanya.  Senyuman terukir di bibir Samirah

No comments:

Post a Comment