Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 2



Penerbangan berbelas jam memang memenatkan.  Ditambah pula dengan perubahan masa dari satu benua ke satu benua yang lain, maka sampai saja di rumah Samirah terus rebah di katil.  Matanya terlalu mengantuk.  Tadi, selepas menunaikan solat subuh di RnR Dengkil, masuk saja ke dalam kereta terus dia terlelap.  Sampai di rumah, kantuknya semakin tidak tertahan.

Entah berapa lama dia tidur, bila tersedar hari sudah petang.  Itu pun kerana perutnya sudah mula berkeroncong.  Jika tidak, pasti Samirah mahu menyambung tidurnya.  Samirah bingkas bangun dan menuju ke bilik air.  Usai mandi dia turun ke bawah dan menuju terus ke dapur.  Pintu peti sejuk dicapai, matanya terpandang nota kecil berwarna kuning.

We are at work.  Kalau lapar, ada lasagna dalam fridge.  Pandai-pandailah kau panaskan dalam microwave.  Nak minum buat sendiri ya.

p/s:  Wei, kat Malaysia Subuh masuk 5.50 pagi. 

Nota yang ditulis oleh Aidid dicabut.  Aku cutilah Did, bisik Samirah dalam hati sambil tersenyum.  Pintu bahagian dingin beku dibuka, sekotak lasagna dikeluarkan, dibelek sebentar dan dimasukkan semula.

“Dah muak makan lasagna.  Dah balik sini aku nak makan makanan tempatan,”  Samirah berbicara sendiri.  Bahagian dingin beku diselongkar.  Tiada yang menarik minatnya.  Pintu bawah peti sejuk pula ditarik.  Matanya menerawang ke setiap inci peti sejuk.  Laci penyimpanan sayur ditarik.  Hanya ada sebatang lobak merah, dan sebungkus kecil cili padi.

“Hai Ira, dah lapar sangat macam ni pun, kau memilih!  Makan sajalah apa yang ada,”  Samirah mengomel sendirian.  “Mama ni pun satu, dah tau orang nak balik, penuhkanlah fridge ni dengan stok makanan.”  Samirah mengomel lagi.  Akhirnya sebiji telur dan sebatang lobak merah dibawa keluar.  Kabinet dapur pula dibuka.  Samirah tersenyum lebar tatkala matanya menangkap sebungkus mi segera.  Tidak sampai lima minit kemudian semangkuk mi segera siap dimasak.  

Sebaik saja dia duduk, Samirah menghidu bau mi segera tersebut.  Aduh enaknya.  “Dah lama aku tak makan mi segera Malaysia.  Hmm… yummy.”  Samirah bercakap sendiri.  Kedua tangannya diangkat, doa dibaca dan dengan berselera dia makan.  Hanya sekadar mi segera, namun dek kerana sudah lama tidak memakannya, Samirah merasakan mi segera itu sangat lazat.  Tidak sah memakan mi segera kalau tidak diminum supnya.  Mi sudah habis ditelan, apa lagi Samirah pun mengangkat mangkuk dan dibawa ke bibirnya.  Perlahan-lahan sup dihirup hingga licin.  Mangkuk diletakkan semula di atas meja.  Sebaik sahaja Samirah mengangkat kepala, Aidid sudah berada di hadapannya dan memandangnnya sambil tersenyum.

“Aidid!  Bila kau balik?”

“Itulah, berselera sungguh engkau makan, sampai aku balik pun kau tak sedar.”

Aidid menarik kerusi dan duduk.  Senyum masih melekat di bibir, terhibur melihat gelagat adiknya.

“Punyalah banyak benda makanan, mi segera juga yang kau balun.”

Samirah tersenyum.   This is heaven.  Dah lama aku tak makan mi segera.  Kat sana ada, tapi tak sedap.”

“Papa mana?”

“Papa balik lambat sikit.”

Aidid bangun menuju ke kabinet di dapur.  Cerek diambil dan dia menjerang air.  Seketika kemudian sebaik sahaja air menggelegak, seteko teh tarik disediakannya.  Dituang ke dalam mug dan ditarik tinggi-tinggi.

“Nah.  Tentu ni pun kau dah lama tak minum.” 

Mug diletakkan di hadapan Samirah.  Membulat matanya.  Pantas mug diambil dan dibawa ke bibir.  Aroma teh tarik yang masih panas pantas menusuk ke dalam rongga hidungnya. 

“Hmm nice  dah lama tak minum teh tarik.  Sejak bila kau pandai buat teh tarik?”

“Sejak mama...”

Ayat Aidid tergantung di situ.  Baru dia sedar dia hampir-hampir membocorkan satu rahsia yang bakal membuat Samirah sedih.  Samirah memandang abangnya dengan kehairanan.  Aidid melarikan pandangannya, tidak mahu melihat wajah kerana dia tahu dia tidak sanggup menipu Samirah.  Namun dia sudah berjanji dengan papa berita itu akan mereka sampaikan bersama-sama kepada Samirah malam nanti.

“Erm… erm… sejak mama sibuk… aku pun belajar buat teh tarik sendiri.  Sekarang dah terror, sedapkan teh tarik aku?”

“Sedap.”

Samirah mengangguk.  Seteguk teh tarik masuk ke tekaknya.  Aidid pantas mengangkat mugnya dan berlalu dari meja makan.  Di dalam hatinya dia merasa lega kerana Samirah tidak bertanya apa-apa lagi.  Harap-harap Samirah tidak perasan kegugupannya dan perubahan riak wajahnya.




“Ira,” Aidid memanggil dengan lembut.  Dua helai tisu dihulurkan kepada Samirah.  Tisu disambut lantas Samirah mengesat airmatanya.  Baharin yang duduk di sebelah mengusap lembut tangan anak gadisnya.

“Macam mana semua ni boleh terjadi?”

“Dah takdir, jodoh papa dengan mama tak panjang.”  Jawab Baharin.

“Ini semua lelaki tu punya pasal!”  Bentak Aidid.

“Siapa lelaki tu?”

Aidid yang duduk di sebelah Samirah, bergerak-gerak rahangnya, tanda dia sedang marah.  Dia tidak pernah jumpa lelaki itu tapi setiap kali teringatkannya, hatinya sangat sakit.  Pemuda yang hadir dalam hidup mamanya dan dengan pantas mengkucar-kacirkan hidup mereka, memecah belahkan keluarga mereka dan akhirnya rumah tangga papa dan mama tidak dapat diselamatkan lagi.

“Papa… mama dan papa dah kahwin lama…  Ira rasa tak boleh terima.  Sepatutnya papa dan mama dan faham perangai masing-masing… dah…”

Ayatnya tergantung, tidak mampu diteruskan.  Airmatanya bercucuran semula.  Hati Samirah hancur.  Patutlah mama tidak menjemputnya di KLIA.  Patutlah mama tidak menjawab panggilannya.  Kenapa semua ini boleh berlaku?  Kenapa papa tidak melakukan sesuatu agar mama tidak meninggalkan mereka?  Kenapa Aidid membiarkan papa dan mama berpisah?

“Ira…”  Aidid memegang bahu adiknya, ditarik rapat adik kesayangan dan diusap bahu Ira.  Samirah berpaling memandang abangnya.

“Di mana mama sekarang Did?”

Aidid sekadar menggelengkan kepala.

“Kau ada jumpa mama?”

Aidid menelan liur.  Bagaikan ada sekatan di kerongkongnya.  Haruskah diceritakan keadaan mama sekarang ini kepada Samirah?  Kalau diceritakan sekarang, bukan Samirah sahaja yang akan bersedih, pasti hati papa juga akan luluh.

“Aidid, kau ada jumpa mama tak?”  Soalan diulang dengan nada suara yang lebih keras.  Aidid sekadar mengangguk.

“Bila?  Macam mana keadaan mama?”

“Tiga bulan lepas, selepas papa lafazkan talak…  mama… okey.”

Aidid menelan liur lagi.  Cukuplah itu sahaja, tidak tergamak menceritakan keadaan mama yang sebenarnya kepada Samirah.  Lebih-lebih lagi dengan kehadiran papa sekarang. 

“Jom Did, bawa aku jumpa mama.”

Aidid melarikan matanya dari Samirah, tidak mahu Samirah melihat riak kurang senang di wajahnya.  Perlahan-lahan kepalanya digelengkan.  Samirah memandang abangnya dengan kehairanan. 

“Did!”  Naik sedikit suara Samirah bila si abang diam membisu.

“Aku tak tau mama kat mana sekarang.  Lepas papa lafazkan talak kat mahkamah, aku… aku tak contact mama lagi.”

Hancur luluh hati Samirah bila mendengar kata-kata Aidid.  Bukankah yang terputus hanya ikatan perkahwinan antara papa dan mama?  Mama tetap emak mereka.  Tidak rindukah Aidid pada mama?  Marah sangatkah Aidid hingga tidak mahu berjumpa dengan mama lagi?

Samirah berpaling semula ke arah papanya.  “Papa… kenapa…”  Samirah berhenti bercakap, airmatanya dikesat.  “Kenapa mudah sangat… papa lafazkan talak.  Kenapa… papa tak pujuk mama?”

 “Papa dah buat segala-galanya, tapi mama Ira tetap mau bercerai.  Hatinya bukan untuk papa lagi, tak ada gunanya menghalang mama pergi kalau hatinya bukan untuk kita lagi.  Papa malu, dah tua-tua pun bercerai, tapi itu jalan terakhir yang terpaksa papa ambil selepas semua usaha untuk memujuk mama gagal.”

“Aidid.”  Samirah memandang pula kepada abangnya.  Aidid mengerti ayat yang tergantung itu bermakna Samirah mahukan penjelasan.

“Aku dah pujuk mama tapi mama berdegil.  Kata mama… dia mahukan hidup baru.”

Ada riak kemarahan dalam wajah Aidid.  Samirah tahu Aidid bukannya orang yang cepat marah.  Sedari kecil Aidid sangat penyabar orangnya, sama seperti papa.

“Aku lagi sedih Ira, sebab aku tengok semua ni terjadi.  Sampai satu tahap aku terlalu marah dan mula membenci mama.  Dan aku… aku kasihankan papa.”

Aidid mengangkat muka, matanya bertembung dengan mata Baharin.  Di dalam hati dia kagum dengan ketabahan papa.  Macam mana mama boleh jatuh cinta dengan lelaki muda itu sedangkan papa adalah seorang suami yang sangat penyayang dan bertanggungjawab? 

“Kenapa tak ada orang yang bagi tau Ira tentang semua ni?  Kalau Ira tak balik, maknanya Ira tak akan tau yang mama dan papa dah bercerai?”

Naik sedikit suara Samirah kerana memang dia kecewa dengan papa dan abangnya yang merahsiakan satu kemelut besar yang melanda keluarga mereka.

“Kami tak mau Ira susah hati.  Ira jauh, kalau Ira bersedih di sana papa dan Aidid tak ada untuk pujuk dan tenangkan Ira.”  Baharin memberi penjelasan.

“Lagi pun kami tak mau pelajaran kau terganggu.”  Aidid pula memberi penjelasan.

 Namun apa pun alasan yang papa dan abangnya berikan, Samirah tetap kesal dengan tindakan mereka.  Hatinya dua kali terluka, sekali kerana perceraian ibu bapanya dan sekali lagi kerana perkara itu dirahsiakan sehinggalah kepulangannya.  Kalau sekali terluka pun sakit, inikan pula dua kali terluka. 







No comments:

Post a Comment