Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 3



Tiga hari Samirah merajuk.  Tiga hari juga dia berendam airmata.  Akibatnya kepalanya sakit.  Selera makannya juga hilang, walhal di dalam kapal terbang ketika berbual dengan lelaki kacak itu, berjenis-jenis makanan tempatan dibualkan.  Ayam golek, rojak buah, kambing panggang, rendang kerang, laksa, pecal dan macam-macam lagi terbayang di mata sehingga lidahnya kecur.  Dan jejaka tampan itu pula tambah menyedapkan cerita dengan memberitahu di mana boleh dapat makanan-makanan tersebut dengan murah dan yang paling penting, sedap rasanya.

Jetlag belum hilang, ditambah pula dengan kepala yang sakit dan tiada selera makan, akibatnya Samirah merasa badannya sangat lesu dan tidak bermaya.  Fikirannya lagilah lesu.  Lesu, beku dan tepu dengan persoalan-persoalan yang enggan pergi dari mindanya.  Puas papanya dan Aidid memujuk, namun mereka pula dimarahi.  Selepas tiga hari Samirah masih berkecil hati kerana mereka merahsiakan perceraian papa dan mama dari pengetahuannya.

Telefon bimbit dicapai.  Nombor mama didail lagi, untuk kali yang entah keberapa dalam hari ini saja.  Sama seperti sebelum-sebelum ini, panggilan tidak berjawab.  Samirah melepaskan satu keluhan.  Sampai hati mama tidak menjawab panggilanku, getus Samirah di dalam hati. 

Satu keluhan berat dilepaskan.  Telefon bimbit dicampak semula ke atas katil.  Samirah berjalan ke arah tingkap biliknya. Di luar sudah gelap rupa-rupanya.  Sekejap lagi akan masuk waktu Maghrib dan pada bila-bila masa sekarang Papa dan Aidid akan tiba di rumah.  Terfikir pula oleh Samirah bagaimana Papa dan Aidid boleh menjadi kuat untuk menanggung masalah yang melanda keluarga mereka?  Kalau Papa dan Aidid kuat, kenapa aku tidak boleh?  Fikir Samirah.

Telefon bimbitnya berbunyi.  Mama!  Itulah yang terlintas di kepala, lalu Samirah pantas menuju ke katilnya dan mencapai telefon yang tercampak ke hujung katil.  Namun bukan nombor mamanya yang tertera di skrin.  Satu nombor yang tidak dikenali.  Lama Samirah merenung skrin telefonnya, hingga deringan berhenti.  Malaslah nak bercakap dengan sesiapa pun, melainkan mama, kata Samirah dalam hati.

Telefon berdering lagi. 
           
“Siapa ni?”  Samirah bertanya kepada dirinya sendiri.  Boleh jadi mama.  Mungkin mama sudah menukar nombor telefonnya.  Pantas Samirah menekan butang hijau dan melekapkan telefon ke telinga.

“Assalammualaikum,” satu suara garau memberi salam.  Riak wajah Samirah berubah. 

“Bukan mama,” Samirah berbisik halus kepada dirinya.  Sekali lagi suara di hujung talian memberi salam.  Mungkin lelaki itu si kekasih mama!

“Waalaikumussalam.”

“Cik Samira?”

“Ya.”

“Apa khabar?”

“Alhamdulillah.  Siapa ni?”

“Irsyad Rifqi.”

“Irsyaaad…” panjang Samirah menyebut, sambil cuba mengingati siapa pemanggil bernama Irsyad ini. 

“Cik Samira dah lupa?  Kad saya dah buang ke?”

Kad apa?  Samirah menggaru kepala yang tidak gatal sambil berfikir.

“Awak duduk sebelah saya berbelas jam masa balik dari LA, tak ingat?”

MasyaAllah!  Irsyad yang itu!  Samirah menepuk dahinya.  Macam mana aku boleh terlupa, soalnya dalam hati.

“Irsyad!  Sorry, I am so sorry.  Saya ingat awak.  It’s just that… tak sangka awak telefon saya.”

Suara garau di hujung talian ketawa kecil.  Tawanya menimbulkan kehairanan kepada Samirah.

I am very happy today.”  Kata Irsyad.

“Kenapa?”

“Sebab dapat dengar suara awak.”

Samirah terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab kata-kata Irsyad Rifqi.

“Bila saya sampai rumah… saya teringatkan awak… dan saya…  tertunggu-tunggu bila awak akan telefon.  Dah tak sanggup menunggu, sebab tu saya telefon awak hari ini.”

Samirah terkedu. 




“Papa, esok Ira nak keluar jumpa kawan.”  Kata Samirah kepada papanya ketika mereka duduk makan malam bersama.  Baharin mengangkat kepala dan memandang tepat ke arah Samirah dan kemudian berkalih pandang ke arah Aidid.  Kedua-dua anak dan bapa saling memandang dengan kehairanan.  Satu keajaiban apabila setelah tiga hari, malam ini akhirnya Samirah turun untuk makan malam bersama ayah dan abangnya.  Satu keajaiban lagi bila tiba-tiba Samirah memberitahu esok dia hendak keluar bertemu seorang kawan.

“Ira nak jumpa siapa?”
           
That guy… yang Ira jumpa dalam flight.”

Baharin mengangguk.  Dalam hatinya dia melafazkan kesyukuran kerana sudah ada tanda Samirah sudah pulih dari kesedihannya.

“Yang kau kata offer kau kerja?”  Aidid bertanya sambil mengerling Samirah di sebelahnya.  Tangannya berhenti menyuap nasi ke mulut.

Samirah mengangguk.  Matanya masih tertancap ke dalam pinggan di hadapan.  Berselera sungguh dia makan.  Apa tidaknya, sudah tiga malam menahan lapar semata-mata kerana marahkan papa dan Aidid.  Panggilan telefon dari Irsyad Rifqi tadi telah menceriakannya sedikit dan pelawaan Irsyad untuk bertemu esok disambut dengan gembira.

“Nak jumpa di mana?”  Aidid bertanya lagi.

“Pavilion.”

“Pukul berapa?”  Soal Aidid lagi. 

“12.”

“Dia tak kerja ke?”  Satu lagi soalan dari Aidid.  Baharin sekadar memerhatikan dan mendengar sesi soal jawab di antara dua orang anaknya.

“Kerja.  We are meeting up for lunch.”

“Esok aku hantar kau.”

“Tak payah, Ira boleh pergi sendiri.”

“No.  I want to meet the guy who’s dating my sister.”

I am not dating him!  Kami nak jumpa untuk lunch dan borak-borak, itu saja.  Yang kau ni tanya macam-macam apahal?”

Suara Samirah sudah naik, bengang sungguh dia dengan abangnya yang banyak soal dan sibuk hendak menghantar dia ke Pavilion.  Bukannya dia tidak boleh pergi sendiri, lagi pun Aidid perlu bekerja.

“Tak boleh ke aku tanya?  I just…”

“Aidid,”  tegur Baharin.  Aidid tidak jadi meneruskan ayatnya.  Bila wajah papanya dipandang, Baharin menggelengkan kepala, memberi isyarat agar Aidid jangan bersuara lagi.




Blaus merah labuh mencecah peha dipadankan dengan seluar palazzo berwarna hijau lumut.  Skaf berwarna putih dengan corak polka dot kecil berwarna merah dililit di kepala.  Samirah mengoles bibirnya dengan gincu berwarna koko cair, warna gincu kegemaran Samirah kerana warna itu tidak terang, kelihatan natural dan tidak menonjolkan bibirnya.  Mata sudah dicelak nipis.  Minyak wangi disembur sedikit di pergelangan tangan kiri sebelum digesekkan di atas tangan kanan.  Cukuplah, dia tidak mahu wangiannya terlalu kuat hingga menarik perhatian lelaki.

Penghawa dingin dan lampu dimatikan.  Samirah turun ke bawah, menuju terus ke kabinet kasut.  Kasut bertumit rendah diambil dan dijinjing ke pintu.  Dengan lafaz Bismillah Samirah keluar.  Kasut disarungkan ke kaki.  Pintu dikunci dan sebaik sahaja dia berpaling, sebuah kereta MyVi berwarna putih muncul di depan pagar.  Samirah merenung kereta dan pemandunya dengan rasa tidak puas hati.  Kepalanya digelengkan.

“Kan aku dah kata, aku boleh pergi sendiri,” rungut Samirah sebaik sahaja punggungnya dilabuhkan di tempat duduk penumpang hadapan.

Aidid memandang adiknya sambil tersengeh.

“Kau tak payah kerja ke?”  Suara Samirah sudah ada nada bengang.

“Kerja.  Aku keluar sekejaplah,” dengan selamba Aidid menjawab. 

“Did, aku dah besar, dah boleh jaga diri sendiri.  Kau tak payah susah-susahkan diri jemput dan hantar aku.”  Samirah meluahkan rasa tidak puas hati kepada si abang yang tua setahun dari dirinya.  Papa pun tak buat macam ni, rungut Samirah di dalam hati.

“Apa salahnya aku hantarkan, tak payah engkau susah-susah menapak ke stesen LRT.  Lagi pun sekarang ni banyak kes ragut.  Engkau dah lama tak balik, engkau tak tau keadaan kat KL sekarang.”

Aidid mempertahankan tindakannya.  Samirah menjeling ke arah abangnya.  Bibirnya dicebikkan, sambil dia mengajuk percakapan Aidid.  Kemudian mereka saling mendiamkan diri.  Aidid memberi tumpuan kepada pemanduannnya, Samirah pula melayan perasaan.  Tidak sampai setengah jam mereka sudah sampai ke pusat bandar, mungkin kerana waktu makan tengahari masih jauh maka jalan raya belum sesak.

“Ira,” Aidid menegur.  Ira menoleh ke arah abangnya.

“Sebenarnya, ada benda yang aku nak bagi tau, tapi aku tak boleh bagi tau kau depan papa.  Sebab tu aku jemput kau di rumah tadi.”

Hilang riak sedih daripada wajahnya, timbul pula riak kehairanan di wajah Samirah. 

“Mama… sebenarnya mama dah jauh berubah… bukan dari segi kasih sayang kepada kita, tapi juga dari segi penampilan.  Itu yang aku nampak bila aku jumpa mama.  Papa tak tau, aku tak sanggup bagi tau papa.”

“Berubah?  Berubah macam mana?”  Dahi Samirah berkerut dan jantungnya tiba-tiba berdegup laju.

“She smokes.”

What?”  Mata Samirah membulat.  Wajah Aidid di sebelah direnung dengan pandangan tidak percaya.  Teringat betapa tegasnya mama dulu, mengingatkan dia dan Aidid jangan sekali-kali merokok, sementelah papa sendiri tidak merokok.

“Tudung dah tak pakai.”

Dagu Samirah jatuh.

“Aku… aku… aku rasa mama duduk serumah dengan lelaki tu.”

Kedua belah tangan Samirah dibawa ke muka dan mulutnya ditekup.  Matanya buntang dek terkejut.  Ada rasa antara percaya dan tidak percaya dalam hatinya.  Terlalu sukar untuk diterima kerana dia tahu mamanya perempuan baik.

“Jangan sampaikan semua ni kat papa, nanti papa lagi kecewa.” Aidid mengarahkan.  Masalahnya sekarang ini Samirah yang kecewa, terlalu kecewa selepas mendengar cerita Aidid. 

“Aidid, betul ke apa yang kau cakap ni?”  Samirah bertanya kerana berita yang disampaikan oleh Aidid itu kedengarannya terlalu susah untuk diterima.  Ada nada sebak dalam suaranya.

“Betul Ira.  Aku jumpa mama dua minggu lepas.  Mama yang call aku, dia nak jumpa kerana nak minta aku sampaikan barang kepada engkau.  Hari tu aku tipu sebab aku tak nak papa tau.”Aidid menerangkan. 

Sambil memandu Samirah dikerlingnya sebentar.  Kasihan dia melihat raut kesedihan di wajah adiknya.  Bagi Aidid, dia sudah puas bersedih.  Sekarang sudah tidak kuasa lagi untuk memujuk mama kerana semua itu sudah puas dilakukan sebelum papa melafazkan talak.

“Malam ni aku akan bagi kau barang yang mama suruh serahkan.  Aku tak dapat bagi sebelum ni sebab engkau berkurung saja dalam bilik.”

Samirah kelu.  Fikirannya kusut.  Aidid memberhentikan kereta di hadapan kompleks membeli belah Pavillion di Jalan Bukit Bintang. 

Cheer up sis.  Engkau nak jumpa lelaki kacak, tak sesuai buat muka macam tu,” Aidid cuba menceriakan Samirah yang duduk tegak, kaku memandang hadapan.

“Macam mana aku nak ceria Did …”

“Aku faham.  Itulah yang pernah aku rasakan, malahan sampai sekarang rasa sedih, kecewa, terkilan, kasihankan papa, marahkan mama… semuanya masih ada.  Tapi aku sudah boleh menerima takdir ini.  Kau kena kuat Ira, suka atau tidak kita kena terima keadaan ini.  Life has to go on.  Go and enjoy your lunch with this guy.  I won’t pick you up later… sebab kau dah besar kan?”

Thanks Aidid.”  Samirah menjawab dengan lemah.

Aidid mengangguk, dan memberi satu senyuman kepada Samirah.




Fikirannya berkecamuk.  Setiap butir perkataan yang dituturkan oleh Aidid kembali terngiang-ngiang di telinganya.  Samirah larut dalam fikiran yang menerawang di sekitar perihal mama, sehingga tidak sedar sudah 10 minit dia menunggu Irsyad Rifqi.  Bunyi telefon bimbitnya membawa Samirah ke alam realiti.  Jam tangan dikerling, sebelum tangannya menyeluk beg yang terselimpang di atas bahu kanan untuk mengambil telefon bimbit.  Ada satu pesanan ringkas dari Irsyad Rifqi.  Jangan pula dia tak jadi datang, bisik hati Samirah. 

+Maaf saya lambat sikit.  Jangan marah ya.

Telefon dimasukkan semula ke dalam beg.  Samirah mengeluh.  Harap-harap ini bukan tabiat dia, bisik hatinya lagi.  Sebetulnya Samirah tidak suka lelaki yang datang lambat bila ada temujanji.  Baginya lelaki yang datang lambat tidak budiman kerana membiarkan perempuan menunggu.  Samirah mengatur langkah, menyelusuri kedai-kedai di dalam kompleks Pavillion.  Tidak lama kemudian, satu suara garau memanggilnya dari belakang.



No comments:

Post a Comment