Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 15



Seawal jam empat empat puluh lima pagi Samirah sudah bangun.  Sempat dia bertahajjud dua rakaat.  Kemudian membaca zikir Al Mathurat sementara menanti masuk waktu Subuh.  Usai solat Subuh Samirah turun ke bawah terus menuju ke dapur.  Pintu peti ais dibuka.  Tiga biji telur dikeluarkan bersama sebiji tomato. 

Tomato itu kemudian dipotong dadu kecil-kecil.  Sebiji bawang besar juga dipotong dadu kecil-kecil.  Telur yang sudah dipukul dicampur dengan tomato, bawang dan kemudian secubit garam dan lada sulah dicampakkan ke dalam telur.  Pukul lagi dan tidak sampai lima minit telur dadar sudah siap.  Dan tidak sampai sepuluh minit kemudian empat keping sandwic telur menggunakan telur dadar siap diletakkan dalam pinggan besar.

Hari ini dia akan mula bekerja.  Samirah sudah merancang akan bersarapan bersama-sama papa dan Aidid sebelum pergi bekerja.  Pukul 7.30 dia akan keluar rumah supaya sempat sampai di USJ Subang sebelum pukul 9.  Dia akan gunakan kereta MyVi Aidid dan Aidid akan pergi kerja dengan papa.  Papanya hendak belikan kereta tapi Samirah menolak kerana nanti bila dia bekerja di Penang barulah dia hendak membeli kereta.

Sedang Samirah menadah air dalam cerek elektrik, terdengar bunyi loceng pagar.  Siapa pula yang datang pagi-pagi ni.  Mungkin penghantar surat khabar ingin mengutip duit suratkhabar yang papa bayar secara bulanan.  Biarlah papa atau Aidid yang tengok.  Dia hendak mengemas dapur supaya balik kerja petang nanti mata tidak sakit melihat dapurnya bersepah.

            “Ira,” Baharin memanggil.  Ira pantas menoleh ke arah papanya sambil tersenyum.

Assalammualaikum and good morning papa.  Ira dah siapkan breakfast.”

Looks delicious.  Ira pergi naik atas, pakai tudung.  Ada orang datang.”

“Siapa?”  Samirah bertanya dengan riak kehairanan di wajahnya.  Takkan ada tetamu seawal pagi ni?  Baru pukul 6.45, siapa yang datang pagi-pagi buta ni?  Hati Samirah bertanya.

“Pergi naik pakai tudung.  Nanti dah tutup aurat tu Ira boleh jumpa orang yang datang.”  Dengan lembut Baharin mengarahkan.  Memang begitulah cara Baharin berinteraksi dengan anak-anaknya, penuh berhemah walaupun tegas.

Samirah pantas membuka apron dan naik ke atas.  Sampai di atas, dia terserempak dengan Aidid yang baru keluar dari biliknya.

“Did aku dah buat breakfast.  Tolong hidang ya.  Buat air sekali.”

Wow, ada breakfast hari ni!”  Aidid pantas berlari menuruni anak tangga.  Sudah lama dia tidak bersarapan di rumah.  Samirah, walaupun sudah balik, jarang sekali membuatkan sarapan untuk dia dan papa.  Ini mesti semangat orang baru nak kerja ni, kata Aidid dalam hati. 




“Terima kasih uncle.”  Dengan penuh bersopan santun ucapan terima kasih diluahkan.  Leganya hati kerana dia tidak dihalau dan sebaliknya dijemput pula masuk ke dalam rumah.  Berbaloi usahanya datang terus ke rumah ini.  Sebenarnya dia main redah saja, kalau dapat jumpa dapatlah.  Kalau tidak dapat jumpa, lain kali pasti ada rezeki.

Masuk saja dalam rumah, terus dia dipelawa duduk.  Terdengar derap kaki menuruni tangga, pantas dia menoleh ke arah tangga.  Aidid yang turun.  Aidid nampak agak terkejut melihat dia.  Mereka bersalaman dan berbual tidak sampai satu minit, sekadar bertanya khabar sebelum Aidid berlalu ke dapur.   

Dia duduk semula.  Matanya meneliti ke seluruh ruang tamu.  Kemas, elok teratur perabot dan perhiasan dalam rumah ini.  Tidak kelihatan seperti permaisurinya sudah meninggalkan istana.  Dadanya berdebar.  Makin lama menunggu makin kuat debarannya.  Derap kaki berbunyi lagi.  Dia pantas bangun dan perlahan-lahan wajah yang dinanti menjelma di depan matanya.

“Irsyad!  Awak buat apa kat sini?”  Samirah menjerit.  Apa dibuat si Irsyad ni di rumah aku pagi-pagi begini?  Lagi lima minit pukul tujuh, belum pernah ada tetamu datang seawal ini.  Gila ke Irsyad ni?

“Ira, Irsyad, mari kita sarapan.”  Baharin mengajak.  Terkejut dengan kehadiran Irsyad di ruang tamu rumahnya, Samirah tidak sedar papanya juga sudah berada di ruang tamu.  Matanya masih melirik ke arah Irsyad, tapi kakinya dihayun ke arah ruang makan.  Irsyad mengikut di belakang.

“Sedap.  Kalau tiap-tiap hari kau buat breakfast macam ni, jimat duit aku.  Boleh Irsyad tumpang breakfast sekali.  Tak payah pergi Penanglah Ira.”  Dengan selamba Aidid berkata ketika mereka, termasuk Irsyad Rifqi bersarapan.

Memang tak sayang mulut Aidid ni tau, bisik hati Samirah.  Nak puji aku atau nak buat aku rasa bersalah?  Cakap pulak depan Irsyad, sukalah Irsyad ada orang yang sokong dia yang memang tak mau aku kerja di Penang. 

“Tambah kopi lagi Irsyad,” pantas Baharin mempelawa untuk mengalih perhatian mereka yang berada di meja makan dari kata-kata Aidid tadi.  Dengan sopan Irsyad menolak.  Cukuplah secawan kopi untuk pagi ini.  Sebenarnya dalam perjalanan dari Alor Star dua kali dia berhenti untuk minum kopi kerana mahu menghilangkan mengantuk.

Samirah pula masih terkedu.  Akibat dari keterkesimaannya, Samirah makan dengan senyap.  Dan sandwic enak yang dikunyah bagaikan tersekat di kerongkong apabila Irsyad bersuara.

“Terima kasih uncle, kerana benarkan saya hantar Samira pergi kerja.”  Sungguh ayat itu buat Samirah rasa tercekik.  Pantas tangannya mencapai air masak di depannya dan air itu ditelan dengan laju.  Aidid yang memandang tersengeh lebar.  Bila matanya menangkap wajah Aidid, Samirah rasa nak dikoyak-koyak muka Aidid dan dibuat sandwic.

Inilah sebabnya aku tak mau dia tau di mana aku tinggal, bisik hati Samirah.  Silap aku juga, sepatutnya aku bagi tau Aidid apa yang terjadi di Lousiana yang menyebabkan Samirah tidak mahu kawan lelakinya tahu di mana dia tinggal.  Wajah Blake Samuel, jejaka kulit hitam yang meminatinya datang ke minda.  Rasa seriau bila dia teringatkan dulu setiap hari Blake akan menunggu di hadapan rumahnya, menanti dengan setia dia pulang dari kuliah.  Dan bila ada hari dia balik lambat dari kuliah, Blake marah.  Walhal dia tidak pernah meminta Blake menunggu.

“Ira!”  Kuat suara Aidid memanggilnya, menyedarkan Samirah dia sudah jauh mengelamun.  Dan di bawah meja kaki si abang pantas menendang kaki si adik.  Mencerun mata Samirah memandang Aidid.  Dahlah panggil kuat-kuat, tendang kaki orang pulak tu, rungutnya dalam hati.

Irsyad Rifqi pula tersenyum melihat gelagat dua beradik itu.  Terserlah keakraban mereka berdua.  Kan seronok kalau dia dan angahnya juga begitu.  Tapi angahnya kepala angin, suka buat hal sendiri.  Dengan daddy dan mummynya sering berbalah.  Dengan kak longnya pula angah sentiasa nak menang.  Dengan dia, hmm… dicari bila susah saja.  Macam kes Nellyza minggu lepas.  Taubat Irsyad tidak akan tolong lagi.

“Baik pergi sekarang Ira, manalah tau jalan sesak.  Hari pertama tak eloklah Ira datang lambat.” 

“Baik papa,” Samirah akur lantas terus bangun.  Piring-piring di atas meja dicapai.  Mahu dibawa ke dapur. 

“Biar sajalah pinggan tu, nanti aku kemas.  Kau pergilah sekarang.  Irsyad dah tak sabar nak hantar kau tu.”  Sekali lagi si abang bermulut laser.  Kali ini Irsyad pula yang terkedu.  Segan dikata begitu oleh Aidid.  Tapi sebenarnya dalam hati memang ternanti-nanti bila Samirah hendak pergi kerja.  Sudah tidak sabar ingin duduk berdua dalam kereta.

Samirah menyalami papanya.  Aidid dijeling saja.  Rasa bengang terhadap Aidid belum berkurangan.  Tepat jam 7.25 pagi kereta Irsyad Rifqi meluncur laju meninggalkan perkarangan rumah Baharin. 

“Awak ni gila ke?  Datang pagi-pagi ke rumah saya, tak pernah dibuat orang tau!”  meluncur laju dari mulut Samirah sebaik saja kereta Irsyad sampai di simpang jalan besar. 

Irsyad di sebelah tersenyum lebar.  Gila?  Lebih daripada tu.  Aku dah angau, sampaikan empat hari di Alor Star rasa macam empat tahun.  Tak sabar nak balik KL untuk berjumpa Samirah.

“Kan awak masih cuti, kenapa susah-susah balik KL untuk hantar saya?  Bukannya saya tak boleh pergi kerja sendiri!” 

Suara masih bernada marah.  Kedua tangannya disilangkan di dada.  Irsyad pula tenang saja, macam orang yang tidak ada perasaan.  Keretanya dipandu laju, sementara belum banyak kenderaan di atas lebuhraya.

“Today is your first day at work.  I want to send you and fetch you from office today.” Itu saja yang keluar dari mulut Irsyad.  Samirah memandang sekilas ke wajah Irsyad.  Sepatutnya dia menghargai tindakan Irsyad yang datang ke rumahnya untuk menghantar dia pergi kerja, tapi dia betul-betul tidak suka dengan tindakan Irsyad.

“Awak tak perlu buat semua tu.  Saya boleh pergi dan balik sendiri.  It’s my first day at work, not first day in school!”  Samirah bercakap dengan nada garang.  Tapi tidak cukup garang untuk menakutkan Irsyad.  Sebaliknya Irsyad rasa tercabar bila Samirah memarahinya.  Dia akan buktikan kepada Samirah dia benar-benar mahukan Samirah sebagai buah hatinya.

“Orang tua-tua kata, hari pertama kita mula bekerja, tak baik marah-marah.”

“Bila masanya saya marah?  Saya sukalah.  Suka sangat-sangat,” Samirah membalas dengan nada sinis. 

Nada yang buat Irsyad tersenyum.  Teringat pesanan daddynya, nak memikat gadis pun perlu ada strategi.  Strategi jangka pendek ialah berikan dia kejutan.  Kebanyakan gadis suka kejutan, lebih-lebih lagi kejutan indah yang boleh buat jantung berdegup kencang, dada bagai hendak pecah dan nafas tersekat-sekat. Strategi jangka panjang pula takluki seluruh jiwa dan raganya sehingga objektif utama iaitu si gadis menjadi pasangan hidupnya tercapai.

Maka kerja gila yang dilakukannya sekarang termasuk dalam pelan tindakan jangka pendek.  Irsyad yakin tindakan nekadnya menerjah rumah Samirah pagi-pagi buta akan membuahkan kejayaan.  Walaupun Samirah sedang marah-marah sekarang, sekurang-kurangnya papa Samirah tau dia serius mahu menjadikan Samirah buah hatinya.  Dan walaupun Samirah sedang marah sekarang, Irsyad yakin Samirah marah-marah sayang.

Mummy dan daddy kirim salam pada awak,” dengan tenang Irsyad Rifqi berkata.  Keretanya tidak lagi bergerak laju di atas lebuhraya KESAS kerana kenderaan sudah banyak.

Hati menjawab salam.  Mulut berkata dengan nada terkejut “your parents know about me?” 

Of course.  I told them I am in a relationship with you.”  Irsyad menjawab dengan keyakinan yang sangat padu.  Memang itu yang berlaku.  Hujung minggu yang lepas dia balik kampung kerana sudah lama benar dia tidak balik kampung.  Sambil melepaskan rindu kepada keluarga, dia juga meluangkan banyak masa bercerita tentang Samirah dan mendapatkan nasihat daripada daddy dan mummynya.

In a relationship?  Apa maknanya tu?  Ada hubungan…  hubungan apa?  Alamak, aku kata tak nak couple-couple.  Tapi kalau dah in a relationship, maknanya aku dengan dia ni couple ke?  Oh tidak!  Aduhai Irsyad, bagaimana boleh, dalam diam engkau menyelinap masuk ke dalam hati aku, hingga aku tidak sedar aku telah melanggar peraturan yang aku sendiri tetapkan? Samirah bermonolog dalam hati. 

“Samira, petang nanti saya jemput awak.  Lepas tu kita pergi dinner.  Dah lama saya tak makan dengan awak.”  Suara Irsyad ada nada merayu. 

Bukan salah saya.  Awak tu yang sibuk memanjang.  Tak ajak saya keluar.  Janji nak telefon tapi selepas dua tiga hari barulah janji ditunaikan.  Samirah merungut dalam hati. 

Dan sebenarnya walaupun mulutnya bising marahkan Irsyad datang ke rumahnya pagi ini, jauh di sudut hatinya ada rasa gembira.  Gembira kerana dia sedar Irsyad mengambil berat tentang dirinya.  Dan Samirah rasa terharu juga kerana Irsyad sanggup bertolak dari Alor Star seawal jam 3 pagi agar dia sempat menghantar Samirah pergi kerja.

“Terima kasih sebab hantar saya,” kata Samirah sebaik saja kereta diberhentikan di hadapan bangunan kolej. Dia memandang Irsyad sekilas sebelum membuka tali pinggang yang menyilang di dadanya.

“Kalau boleh setiap hari saya nak hantar dan ambil awak.  Tapi saya…”

“Irsyad jangan!  Saya tak mau awak hantar dan ambil saya lagi selepas ni.  Please!”  Samirah bertegas. 

“Kalau awak menganggap saya sebagai kawan, tolonglah jangan buat macam ni lagi.  Saya tak mau menyusahkan awak dan kita… kita tak ada ikatan yang menjadikan saya tanggungjawab awak.  Please understand.”  Di hujung ayat nada tegas dalam suara Samirah hilang, muncul pula nada merayu.  Sungguh dia berharap Irsyad Rifqi faham apa yang ingin disampaikannya.

Irsyad mengangguk.  Dia faham.  Dia pun sedar dia tidak dapat menghantar dan mengambil Samirah setiap hari.  Dan dia tahu Samirah bukan tanggungjawabnya selagi tiada ikatan antara mereka.  Kalaulah akal tidak menegah, sudah diturutkan desakan hatinya agar merayu daddy dan mummy menemui papa Samirah dengan membawa cincin merisik.  Tapi jika itu yang dibuat, tuan punya diri pasti akan memarahinya.  Silap-silap tidak mahu langsung berkawan dengannya lagi.

“Saya faham.  Selagi awak tak jumpa mama awak, kita akan kekal sebagai kawan.  Itu kehendak awak.  Kehendak saya lain.  You know where you are in my heart.”

Samirah menunduk, mindanya mencerna kata-kata Irsyad.  Terasa lega bila Irsyad faham.  Tapi terasa juga debaran bila mengenangkan kehendak Irsyad.  Walaupun tidak pernah dinyatakan secara terang dan jelas, Samirah faham Irsyad mahukan perhubungan mereka dilanjutkan ke peringkat seterusnya.

Look at me Samira,” tegas arahan yang dikeluarkan.  Samirah mengangkat wajahnya dan matanya bertaut dengan mata Irsyad.

“Saya takkan meredah perjalanan beratus kilometer pagi ini kalau saya hanya mahu berkawan dengan awak.  Hari ini hari istimewa awak.  Saya mahu berada di depan awak ketika awak melangkah masuk ke alam pekerjaan untuk pertama kalinya.  This is what I want to do for my special girl.  Untuk buah hati saya, yang membuatkan setiap hari saya terasa indah, saya akan rasa terkilan kalau saya tak jumpa awak pagi ni.”

Samirah terkedu.  Belum pernah dia menerima kata-kata seperti itu dari mana-mana lelaki.  Matanya hanya mampu membalas renungan Irsyad.  Renungan Irsyad tajam, menandakan dia serius.

“Terima kasih.  Saya pergi dulu,” akhirnya Samirah berkata. 

Have fun working.  Kita jumpa petang nanti ya.”  Irsyad tersenyum.  Wajah yang sudah kacak itu bertambah kacak bila dia tersenyum.  Samirah keluar, berjalan terus ke pintu masuk bangunan.  Sebelum masuk dia berpaling.  Irsyad masih di dalam kereta, memandang tepat ke arah Samirah yang sopan berbaju kurung.  Lambaian Samirah dibalas sambil bibirnya mengukir senyuman.

She’s a gem.  I must have this precious gem, kata hatinya sebelum kereta dipandu.

No comments:

Post a Comment