Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 7



 Aidid ketawa terbahak-bahak sambil memandu.  Dia merasa lucu mendengar cerita Samirah tentang pertemuan kali keduanya dengan Irsyad Rifqi.  “Kesian kau, dah terbayang-bayang nasi Arab, dapat tosei Mamak.  Aku rasa dia sengaja menguji engkau.”

“Baguslah, sebab aku pun menguji dia.  Aku rasa dia mesti menganggap aku ni dikawal ketat oleh papa.”

“Pandai pula engkau buat-buat telefon papa, lepas tu dapat extension setengah jam.  Yang tu aku tak boleh tahan.”

Aidid sambung ketawa.  Senyuman terukir di bibir Samirah.  Wajah Irsyad Rifqi terbayang di mata.  Sebenarnya jauh di sudut hati dia seronok melihat reaksi Irsyad Rifqi ketika dia memberitahu harus balik sebelum pukul 9 dan lebih seronok lagi melihat riak kelegaan di wajah jejaka itu ketika diberitahu papa membenarkannya balik lewat setengah jam.

Samirah sambung bercerita, kali ini perbualan ketika dia dan Irsyad berdiri di hadapan stesen minyak pula diceritakan kepada Aidid.  Bagusnya mempunyai abang yang satu kepala, dia tidak segan berkongsi cerita.

            “So, kau suka dia tak?”

            “Entahlah Did.  Baru sangat kenal manalah aku tau aku boleh click dengan dia ke tidak.  Tapi dia sempoi, aku rasa selesa.  Kita dah diajar jangan memilih kawan so kalau setakat nak berkawan aku tak ada masalah.  Kan papa dah didik kita dari kecil, tengok rupa dalaman seseorang, bukan rupa luarannya.  Papa juga ajar kita jangan pandang harta seseorang, tapi pandang peribadinya.”  Samirah menjawab soalan Aidid dengan panjang lebar.

“Papa ajar kita jangan tengok pendidikan seseorang, tapi tengok akhlaknya.  Jangan cepat mengadili orang sebelum tahu perkara sebenar.” Aidid pula menyambung. 

“Aidid di mana mama sekarang?”

Aidid terus memandu dengan senyap, seolah-olah dia tidak mendengar soalan   Samirah.

 “Aidid.”  Bahu Aidid disentuh.  Namun Aidid tetap mendiamkan diri. 

“Did… aku nak jumpa mama.  Kau dengar tak?” 

            “Tak payahlah Ira.”  Aidid menjawab.  Matanya masih fokus kepada jalanraya di depan.    “Aku takut kau akan lebih sedih kalau jumpa mama. Atau kau mungkin bencikan mama.”

Menyirap darah Samirah bila mendengar ayat itu.  “Aidid, apa yang kau merepek ni?  Dia mama kita.  Baik ke, buruk ke, jahat ke, dia yang lahirkan kita.  Mana boleh kita benci mama!  Jangan cakap kau dah benci mama!” kata Samirah dengan suara yang keras, bagaikan memberi amaran kepada Aidid.

“Aku tak benci mama, tapi aku malu.  Ada kawan-kawan aku yang nampak mama.  Aku tak tau apa nak cakap kat dia orang.”

“Aku nak jumpa mama,” tutur Samirah perlahan tetapi tegas.  Aidid diam.



“Alhamdulillah, mudah-mudahan ada rezeki.”  Samirah bercakap kepada dirinya sendiri usai menamatkan perbualan dengan Cheryl dari Duta Holidays yang menelefon untuk memanggil Samirah menghadiri satu temuduga bagi jawatan management trainee.  Samirah tidak ingat bila dia memohon untuk bekerja di Duta Holidays.  Tapi itu tidak penting.  Yang penting selepas sebulan pulang ke tanah air dia tidak betah duduk diam saja di rumah.  Dia mahu bekerja.  Kalau tinggal di rumah saja, fikirannya sentiasa berpusat pada kisah perceraian ibu bapanya. 

Samirah sudah penat menangis.  Keluar airmata darah sekalipun tidak boleh mengubah apa-apa.  Dia mahu mencari mama, namun Aidid tidak menggalakkan.  Niat ini harus disuarakan kepada papa, mungkin papa lebih memahami.  Namun sementara dapat berjumpa dengan mama, dia harus keluar bekerja, untuk menimba pengalaman dan untuk mengalihkan perhatiannya dari terlalu memikirkan tentang mama. 

            Keesokan harinya Aidid menghantar Samirah ke pejabat urusan Duta Holidays. Abangnya dilambai sebelum Samirah memasuki bangunan.  Pantas langkahnya dihayun menghala ke lobi dan bila lif sampai dia naik ke tingkat 21.  Keluar dari lif matanya melilau mencari pejabat Duta Holidays. 

Samirah dibawa masuk ke dalam sebuah bilik kecil dan diminta mengisi borang permohonan.    Lima belas minit kemudian dia dibawa ke sebuah bilik yang lebih besar.  Wanita bernama Cheryl yang menelefonnya memperkenalkannya kepada Pengurus Bahagian Sumber Manusia bernama Mariam yang akan menjalankan temuduga.

Temuduga berjalan lancar.  Puan Mariam kelihatan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Samirah.  Namun katanya Samirah perlu menjalani satu lagi temuduga dengan Ketua Pegawai Eksekutif.  Samirah disuruh pergi ke tingkat 22.  Dia terpesona sebaik sahaja matanya menangkap hiasan dalaman pejabat Ketua Pegawai Eksekutif.  Sungguh mewah gaya hiasan dalaman pejabat tuan Ketua Pegawai Eksekutif. 

Seorang wanita dalam usia tiga puluhan tersenyum kepadanya.  Agaknya ini secretary Ketua Pegawai Eksekutif, bisik hati Samirah.  Jantungnya berdegup laju tanpa difahami sebabnya.  Ish Ira, chill.  This is just an interview.  Habis teruk pun aku tak dapat kerja ni, itu saja.  Bukannya dia orang nak makan aku.  Samirah cuba melegakan rasa berdebar yang melanda diri. 

Samirah disuruh masuk ke dalam pejabat Ketua Pegawai Eksekutif.  Entah kenapa tangannya menggigil saat tombol pintu digenggam.  Sebaik sahaja pintu dibuka, dagu Samirah jatuh. 

Di hadapannya, segak bergaya si tuan Ketua Pegawai Eksekutif dalam baju kemeja biru gelap yang dipandankan dengan tali leher biru muda berjalur senget berwarna krim.  Rambutnya tersisir rapi di kiri dan kanan, tapi sebelah atas tetap terpacak.  Sebelah tangan di dalam kocek, sebelah lagi memegang sebatang pen.

“Irsyad!”  Spontan melantun keluar dari bibir Samirah.

“Di pejabat ini orang panggil saya Encik Rifqi.  Masuklah.  Saya tak biasa interview orang dekat muka pintu.”

Samirah menapak perlahan menghampiri meja Irsyad Rifqi.  Mukanya yang cerah sudah berubah menjadi merah.  Merah bukan kerana malu, tapi kerana marah.  Irsyad pula  masih menayangkan senyuman manis yang mampu mencairkan mana-mana gadis. 

Tanpa berkata apa-apa lagi, Irsyad menundukkan wajahnya.  Kertas putih di hadapan mata dibaca, diselak ke halaman berikutnya, dibaca hingga ke halaman terakhir.  Sekali sekala dia mengetuk-ngetuk jari-jarinya di atas meja.  Sekali sekala dia senyum.  Sekali sekala dia baca semula halaman terdahulu yang sudah dibaca.

Kenapa lama sangat dia baca resume aku? Tanya hati Samirah.  Jantungnya masih berdegup laju.  Dalam dada bercampur baur perasaan.  Rasa nervous sementara dipanggil masuk ke bilik Ketua Pegawai Eksekutif sudah hilang.  Tapi rasa bengang belum hilang.  Rasanya tidak akan hilang selagi dia tidak mendapat penjelasan Irsyad Rifqi.

“Awak baca resume ke baca thesis?”  Tidak boleh tahan lagi, dikeluarkan soalan itu bila rasanya lama sangat Irsyad Rifqi membaca.  Terus Irsyad angkat muka.  Ceria wajahnya mendengar soalan Samirah. 

How are you?”

Fine, thank you.”  Samirah menjawab selamba. 

Irsyad menunduk.  Gambar Samirah bersaiz pasport yang melekat di halaman pertama direnung sekali lagi.  Kemudiannya wajahnya diangkat dan senyuman diberikan kepada Samirah.  Ditunjukkan gambar itu kepada Samirah.

“You are prettier in person.”

I know.”

Jawapan sepatah perkataan Samirah membuatkan Irsyad tersenyum lagi.  Kali ini lebih lebar senyumannya.  She’s confident.  I like it.  Salah satu ciri utama untuk jadi teman hidup sepanjang hayat, bisik hatinya.

“Sudi tak awak bekerja dengan syarikat saya?”

Irsyad Rifqi juga cuba berlagak profesional.  Dalam hatinya dia merasa seronok dapat melihat Samirah.  Selepas pertemuan minggu lepas, dua kali dia mengajak Samirah keluar tetapi gadis itu enggan dan memberikan macam-macam alasan. 

“Kenapa tak bagi tau dari awal awak nak panggil saya datang interview?”  Samirah bercakap dengan nada bengang. 

Irsyad Rifqi tersenyum lagi. Baru setengah hari bekerja sudah banyak senyumannya keluar.  Biasanya jarang dia dapat senyum banyak-banyak ketika di pejabat.  Ada saja perkara yang memeningkan kepala.  Matanya memandang tepat ke wajah Samirah.  Semakin lama direnung, semakin manis.  I need her.  In my office… in my life. 

Samirah pula semakin lama direnung, semakin dia rasa rimas.  Asyik senyum saja, bila nak habis interview.  Kata sibuk tapi macam tak sibuk saja.  Hati Samirah berbicara lagi. 

“Saya ajak awak keluar sebab hendak beri tau saya nak panggil awak untuk interview di sini.  Tapi awak tak sudi keluar dengan saya.”

“Awak boleh telefon saya untuk bagi tahu.”  Suara Samirah sudah naik sedikit.  Tak sukalah Irsyad ni, terus terang sajalah dari awal kalau nak suruh aku datang temuduga, desis hatinya. 

“I want to tell you in person.”

“Apa bezanya?  Dalam telefon pun boleh bagi tau kan?”

“Tapi saya tak dapat tengok senyuman awak dalam telefon.”

Jeda.  Samirah terkedu.  Bila Irsyad mengayat Samirah tidak tahu hendak jawab apa.  Tangannya naik ke atas, membetulkan tudung.  Irsyad tersenyum, suka melihat Samirah yang kelihatan gugup tiba-tiba.

“Samira.”  Dengan lembut Irsyad memanggil.  Samirah panggung kepala. 

“Kerja dengan saya ya.”  Ada nada memujuk dalam suara Irsyad.  Dan ada juga nada menggoda.  Haish, apahal pulak dia nak goda aku.  Ish Ira, jangan perasan.  Hati Samirah berbisik.   

“Kenapa awak nak ambil saya bekerja?”

“Awak ada kelulusan dan sikap yang saya perlukan.”

“Sikap apa?”

Dari bersandar Irsyad Rifqi membawa badannya ke depan.  Kedua belah tangannya direhatkan di atas meja.  “Awak muda, bijak, berani… lain.”

“Lain?”  Dahi Samirah berkerut.

“Yes, you are different from other girls that I have met.”

“How different am I from all those girls?”

Soalan itu tidak terus dijawab.  Sebaliknya Irsyad Rifqi sekadar merenung Samirah.  Wajah mulus tanpa solekan, sekadar calitan celak di mata dan gincu di bibir.  Auratnya tertutup rapi di sebalik balutan selendang berwarna kuning cair.  Mata Irsyad Rifqi melurut ke bawah, tertancap pula pada jari-jari halus Samirah yang terletak di atas meja.  Cincin!

Irsyad Rifqi menelan liur.  Berkerut sedikit dahinya.  Bukankah di dalam penerbangan dia berkata dia tidak ada kekasih, mahu pun kawan lelaki yang rapat?  Minggu lepas, ketika mereka makan bersama di gerai mamak, tidak pula Irsyad Rifqi perasan ada cincin di jari Samirah.  Cincin itukah penyebab Samirah enggan keluar dengannya lagi?

“Encik Rifqi, awak belum jawab soalan saya.”

Irsyad Rifqi mengangkat matanya.  Aduhai, kenapalah hati ini mudah lebur dengan renunganmu, hatinya berbisik.

You… you cause a stir in my heart.”

Kali ini Samirah pula yang terdiam.  Lama.  Matanya perlahan-lahan melurut ke bawah, tidak sanggup melawan renungan Irsyad Rifqi.  Dia terasa macam ada irama k-pop yang rancak dalam dadanya.


No comments:

Post a Comment