Monday, 14 March 2016

JANGAN GANGGU BUAH HATIKU - BAB 6



“Tak boleh laju lagi Abang Di?

“Nak laju macam mana Qi, jalan tengah sesak ni?”

Irsyad Rifqi mengeluh.  Jam di pergelangan tangan diintai.  Sepatutnya pukul 5.45 petang tadi dia sudah meninggalkan pejabatnya, namun dek kesibukan dia terbabas sehingga pukul 6.  Sekarang sudah pukul 6.30.  Dengan keadaan jalan raya yang sesak sekarang, jangan-jangan pukul 7 baru dia sampai ke Restoran Al Rawsha.

“Lain macam sesaknya hari ini.  Mungkin ada accident atau kereta rosak.”

Ayat Rafidi itu sedikit pun tidak membantu melegakan Irsyad Rifqi yang sedang gundah gulana.  Dia resah kerana pada pertemuan pertama dia terlewat 20 minit.  Hari ini mungkin dia bakal terlewat 1 jam.  Harap-harap Samirah tidak marah. Tadi dia sudah menghantar pesanan bahawa dia akan lewat.  Sangkaannya dia boleh sampai ke restoran dalam masa setengah jam ternyata meleset. 

Sampai sahaja di hadapan restoran sepuluh minit kemudian, Irsyad Rifqi berlari masuk ke dalam.  Matanya melilau mencari wajah Samirah sambil berdoa gadis itu masih berada di dalam restoran.  Huh, leganya hati bila dia nampak di satu sudut seorang gadis bertudung kelabu sedang duduk dengan wajah muram.

Samirah menguap lagi.  Rasanya sudah lebih daripada 10 kali dia menguap.  Hatinya dari sejuk menjadi suam, dari suam menjadi panas, dari panas sudah menjadi apa entah.  Tidak dapat digambarkan perasaanya.  Kalau bab mengeluh pula, sudah berbakul-bakul keluhan yang keluar. Terlintas juga di fikiran kenapa harus dituruti permintaan Irsyad Rifqi untuk berjumpa petang ini juga?  Macamlah esok-esok tidak boleh jumpa.  Tapi entahlah… di kala hati sedang lara, panggilan telefon dari Irsyad Rifqi berjaya mengalihkan sebentar fikirannya dari memikirkan soal mama. 

Hai mamat ni, nama saja orang korporat tetapi tidak reti menepati waktu, keluh Samirah di dalam hati. Hari tu lambat dua puluh minit, hari ni… Samirah mengintai jam tangannya.  Hah!  Sudah jam 6.40!  Maknanya Irsyad Rifqi sudah lewat empat puluh minit dari waktu yang dijanjikan.  Angkat kaki sajalah, buang masa menunggu orang yang tidak tahu menepati masa. 

Beg tangan yang diletakkan di atas kerusi di sebelah ditarik dan talinya disangkutkan di atas bahu.  Hatinya sudah ditetapkan.  Empat puluh minit ialah tempoh menunggu maksimanya.  Dia tidak mahu menunggu lebih lama.  Samirah berdiri.  Dan sebaik sahaja dia berpaling, Irsyad Rifqi sedang berjalan laju ke arahnya.

I am sorry.  I am very, very sorry,” melantun keluar permohonan maaf dari bibir Irsyad Rifqi sebaik sahaja dia berdiri tidak jauh dari tempat Samirah berdiri.  Ada riak kesalan di wajahnya. 

“Awak nak pergi mana?”  Irsyad Rifqi bertanya.

Soalan itu dijawab oleh Samirah dengan renungan tajam, wajah masam dan bibir yang sedikit dicebikkan.  “Balik.  Takkan nak menunggu kat sini sampai malam?”

Please don’t be angry, ada hal di pejabat dan by the time I could leave, it was already six.  Office saya sebenarnya tak jauh dari sini, kalau tak sesak dalam masa sepuluh minit dah boleh sampai sini, tapi hari ni jam teruk.  Maafkan saya.  Saya janji lepas ni saya tak akan lambat lagi.”

“Awak fikir… lepas ni… saya nak jumpa awak lagi?”

Irsyad Rifqi menggelengkan kepalanya.  Dia tidak yakin Samirah akan mahu keluar dengannya lagi.  Tapi untuk hari ini, dia mahu dimaafkan agar pertemuan kedua ini akan membuatkan dia merindui Samirah.

“Apa boleh buat… kalau lepas ni awak tak mau jumpa saya lagi, terpaksalah saya terima keputusan awak.  Tapi sekarang ni… tolong maafkan saya.  Please Samira.”  Sekali lagi dia memohon maaf, kali ini dengan suara yang bernada sayu.  Renungan tajam Samirah sudah kendur, tapi muram di wajah belum pergi.

Well… if this is our last date, then please… forgive me.  Kalau lepas ni awak tak mau jumpa saya lagi, saya dah tak ada peluang untuk minta maaf.”  Akhirnya ayat itu berjaya mencairkan hati Samirah. 

Seperti kelmarin, hari ini Samirah diberi kejutan yang sama.  Restoran Al Rawsha yang menghidangkan makanan Arab bukanlah destinasi makan mereka.  Sebaliknya mereka menaiki kereta Irsyad Rifqi yang menunggu di luar restoran.  Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap sepatah pun.  Yang kedengaran hanyalah suara Irsyad Rifqi memberi arahan kepada Rafidi.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian BMW X5 berwarna perak itu berhenti di hadapan sebuah warung.  Irsyad Rifqi segera keluar dan berlari anak ke sebelah kereta dan membukakan pintu untuk Samirah.  Samirah terkedu.  Dia tidak menyangka seorang Irsyad Rifqi tidak kisah makan di warung mamak sebegitu.

“Jom,” Irsyad Rifqi mempelawa.  Samirah masih terpacak di sisi kereta.  You will get to eat the best tandoori in town here,” katanya.  Samirah memandang Irsyad Rifqi dengan rasa kagum sebelum menghayun kakinya ke arah warung.

 “Bos, ada baik?”  Dengan ramah si pelayan menegur.  Irsyad Rifqi mengangkat tangan ke arah si pelayan sambil tersenyum. 

“Wah… ada adik manis aaaah?  Mari-mari saya tunjuk meja.”

Dengan pantas si pelayan melangkah ke hadapan dan membawa mereka ke sebuah meja yang agak terkedalam letaknya.  Samirah dan Irsyad Rifqi mengambil tempat duduk masing-masing. 

“Biasakah bos?” Tanya si pelayan.

“Untuk saya biasa.”

“Awak nak makan apa?”  Soal Irsyad Rifqi sambil matanya memandang tepat ke wajah Samirah yang masih muram. Samirah pula memandang tepat ke arah si pelayan. 

“Nan ada?” tanya Samirah.  Irsyad Rifqi tersenyum, teringat perbualan di dalam kapal terbang.  Dari cheese nan, garlic nan, butter nan, almond nan semuanya kata Samirah ingin dimakan bila sampai KL nanti.

“Ada.  Semua jenis nan ada.  Adik mau apa nan?”  Si pelayan ramah menjawab.

“Tosei ada?”

“Ada.  Semua jenis tosei ada.  Adik mau apa tosei?”

“Capati ada?”
           
“Itu pun adaaa.”

“Roti ca…?”

“Roti canai pun ada.  Sekarang apa mau makan… nan ka, tosei ka, capati ka, roti canai ka?”  Si pelayan sudah mula rimas.  Samirah merendahkan wajahnya.  Kepalanya ligat berfikir yang mana hendak dipesan.  Tadi sudah terbayangkan nasi mandy, rupa-rupanya ke warung mamak dia dibawa.

Irsyad Rifqi memandang Samirah dengan penuh minat.  Seperti si pelayan, dia juga ternanti-nanti jawapan dari Samirah.  Dia meneka Samirah akan memesan nan, tandoori dan teh tarik, berdasarkan perbualan mereka di dalam kapal terbang.

“Errmm… toseilah.  Tosei rava.  Limau ais kurang manis satu.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  Unpredictable, bisiknya dalam hati.  An unpredictable girl can be challenging to manage, bisiknya lagi.

Samirah memandang Irsyad Rifqi sekilas.  Dia perasan senyuman yang tergaris di bibir Irsyad Rifqi.  Apahal mamat ni, suka sangat senyum-senyum bila pandang aku, hatinya bertanya.

“Tak apakan kita makan di sini?”  Soalan Irsyad Rifqi memecahkan kebisuan di antara mereka.  Samirah membalas dengan anggukan saja.  Sebenarnya dia agak bengang.   Aku dah duduk, dah order makanan, baru dia tanya okey tak makan di sini!  Sengal!  Kata Samirah di dalam hati.

I think she’s still angry.  Kena cari topik yang menarik untuk dibualkan.  Selain daripada suka makan, apa lagi yang dia suka, hati Irsyad Rifqi berbicara sambil memandang Samirah yang juga sedang merenung tepat ke arahnya.  Mata mereka bertembung.  Ada debaran dalam dada Irsyad Rifqi.  Samirah pula tidak rasa apa-apa, kemarahannya masih bersisa.

“Cantik tudung awak.  Sesuai dengan warna kulit awak.”

“Terima kasih.”

Aik, terima kasih saja.  Kalau gadis lain bila dipuji pakaiannya, terus keluar segala cerita tentang pakaian.  Di mana dibeli, jenamanya, bila dibeli, berapa harga dan macam-macam lagilah.  Sama ada dia tidak berminat bercerita tentang pakaiannya… atau dia tidak berminat bercakap dengan aku.  Fikir Irsyad Rifqi.

Cantik ke?  Tudung bawal biasa je.  Issh… mana tosei ni.  Tak sabar aku nak makan.  Dah lama tak makan tosei rava.  Fikir Samirah.

“Tandoori siap, cheese nan siap.”

Si pelayan yang peramah tadi meletakkan pinggan berisi cheese nan dan tandoori di hadapan Irsyad Rifqi dan pantas menghilang.  Aroma cheese nan segera masuk ke rongga hidung Samirah.  Perutnya yang sudah mula berkeroncong semakin lapar bila melihat nan dan tandoori di hadapan.

“Adik manis… tosei rava siap.”

Sekeping tosei rava di atas dulang besi diletakkan di hadapan Samirah, siap dengan kari, dhal dan chutney.  Samirah menelan liur.  Bulat matanya memandang tosei rava itu.  Di mata Irsyad Rifqi, gelagat Samirah menghiburkan.  Dengan berselera dan segera Samirah menyerang tosei rava di hadapannya.  Habis licin dimakan, sementelah dia memang sangat lapar kerana tidak makan tengahari tadi.

“Nak?  Rasalah.  The best in town.”  Irsyad Rifqi mempelawa sambil piring berisi tandoori ayam ditolak sedikit ke arah Samirah.  Samirah mengangkat mukanya, senyum dan ayam tandoori dicubit sebelum disuapkan ke mulut.

“Hmmm, sedap,” kata Samirah sambil mulutnya masih mengunyah.

Irsyad Rifqi tersenyum lebar.  Sudah lama dia tidak keluar makan dengan gadis yang selamba seperti Samirah. 

“Makanlah lagi.”

“Dah kenyang.”

“Nak cuba teh tarik?  Orderlah.”

“Lain kalilah.  Saya dah kenyang.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  Dia kata lain kali, maknanya ada peluang nak jumpa dia lagi, fikir Irsyad Rifqi.  Samirah pula memandang Irsyad Rifqi dengan kehairanan.  Apahal dia ni asyik tersenyum saja?  Tapi bila dia senyum… wow boleh gugur jantung aku, fikir Samirah.

“Selalu ke awak datang sini?”

“Tak.  Kalau ada geng baru saya datang.”

“Tak sangka… orang kaya macam awak tak kisah makan di tempat macam ni.”  Dengan selamba Samirah berkata.  Dia berkata apa yang ada dalam fikirannya.

“Kenapa awak fikir orang kaya tak makan di tempat macam ni?”

“Biasanya… orang banyak duit macam awak… tentulah suka makan di restoran yang eksklusif.”

“Saya makan di tempat yang makanannya sedap dan bersih.  Tak semestinya restoran mewah dan eksklusif.”

Saya pun, kata Samirah tetapi hanya di dalam hati.  Limau aisnya dihirup sampai habis.  Jam di tangan dikerling.  MasyaAllah, Maghrib sudah lama masuk.

“Irsyad… ada surau tak dekat-dekat sini?  Saya nak solat Maghrib.”

Irsyad Rifqi terpempan.  Inilah kali pertama gadis yang keluar dengannya mahu bersolat.  Yang lain-lain, dulu-dulu, tidak pernah.  Lebih teruk lagi, walaupun dia selalu datang ke sini untuk makan, dia tidak pernah ambil kisah di mana letaknya surau atau masjid terdekat.

“Sekejap ya, saya pergi bayar.”

Irsyad Rifqi cepat-cepat bangun.  Di kaunter dia bukan setakat membayar, tetapi bertanyakan tentang kedudukan surau terdekat daripada si penjaga kaunter.  Kemudian telefon dikeluarkan dan dia segera memanggil Rafidi.  Lima minit kemudian Rafidi sampai dan menghantar Irsyad Rifqi dan Samirah ke surau berdekatan.  Irsyad Rifqi turut keluar dari kereta dan melangkah memasuki surau.  Bertahun-tahun dia makan di warung mamak itu, inilah kali pertama dia ke surau ini yang hanya lima minit perjalanan dari warung. 

Irsyad Rifqi sudah menunggu di sisi keretanya ketika Samirah selesai bersolat. 

“Saya nak balik,” kata Samirah sebaik sahaja dia sampai ke kereta yang diparkir di hadapan surau.

Balik?  Baru pukul lapan, bisik Irsyad Rifqi di dalam hati.  “Awal lagi.” Kata Irsyad.

“Papa benarkan saya keluar dengan syarat saya mesti balik sebelum pukul sembilan.”

Kolotnya bapa dia, bisik hari Irsyad Rifqi lagi.

“Okey jom.  Saya hantar awak balik.”

Samirah pantas berfikir, alasan apa yang hendak diberikan untuk menolak pelawaan Irsyad Rifqi.

“Irsyad, awak tahukan… kita baru kenal… saya tak biasalah orang lelaki hantar saya balik.”

Irsyad Rifqi memandang Samirah dengan riak kurang senang di wajahnya.  Tak biasa keluar malam dengan lelaki, tak biasa orang lelaki hantar balik… lepas ni entah berapa banyak lagi ‘tak biasa’ yang akan keluar, fikirnya.  Tapi sikapnya menyenangkan hati, senyumannya mendamaikan dan tutur katanya menghiburkan.

Wajah Samirah direnungnya dalam-dalam.  Dalam kesamaran malam yang hanya diterangi oleh lampu jalan dan lampu di atas pagar surau, kecantikan Samirah terserlah.  Wajah putih bersih yang tidak disolek langsung adalah satu kelainan kerana lazimnya Irsyad Rifqi ditemani gadis-gadis yang suka bersolek tebal.  Bersolat di surau malam ini juga adalah kelainan kerana lazimnya apabila dia keluar dengan perempuan, bersolat tidak pernah masuk dalam agendanya.  Makan di warung mamak dengan seorang gadis juga adalah satu kelainan kerana gadis-gadis yang pernah keluar dengannya sebelum ini hanya mahu makan di restoran dan kelab ekslusif.  Kelainan-kelainan inilah yang menyebabkan Irsyad Rifqi ingin mengenali Samirah dengan lebih lanjut.

“Saya belum puas berbual dengan awak, awak dah nak balik.  Kalau saya hantar awak, kita boleh berborak dalam kereta.”

Terbit rasa kasihan dalam hati Samirah apabila melihat wajah Irsyad Rifqi yang bersungguh-sungguh mengharapkan.  “Sekejap ya,” kata Samirah dan dia berlalu menjarakkan dirinya dari Irsyad Rifqi.  Telefon dikeluarkan dan dia menghubungi seseorang.  Tidak sampai lima minit dia datang semula kepada Irsyad Rifqi.

“Papa lanjutkan waktu keluar saya selama setengah jam… tapi awak tetap tak boleh hantar saya balik.”

Irsyad Rifqi tersenyum.  Good enough, bisik hatinya.  Pintu kereta dibuka untuk Samirah.  Destinasinya belum ditetapkan.  Sepuluh minit kemudian Samirah minta diturunkan di sebuah stesen minyak.

“Perbualan kita semasa dalam penerbangan was the most exciting conversation I ever had with a girl.”  Kata Irsyad Rifqi.  Wajah Samirah yang berdiri di sebelah direnung.  Samirah pula menundukkan wajahnya, melihat kaki sendiri sambil bersandar di kereta.  Rafidi entah ke mana, meninggalkan bosnya untuk berbual dengan gadis bertudung kelabu yang cantik manis.  Rafidi pun turut merasa hairan kenapa mereka hanya berdiri di hadapan stesen minyak untuk berbual-bual. 

“Samira.”

Samirah menoleh ke arah Irsyad Rifqi.

“Boleh saya jadi kawan awak?”

Tiada jawapan, hanya renungan mata yang tidak dapat difahami oleh Irsyad Rifqi.  Renungan itu memberi satu debaran dalam dadanya.  Debaran yang tidak pernah dicetuskan oleh mana-mana gadis sebelum ini.

“Kawan macam mana?” Akhirnya Samirah bersuara.

“Kawan… macam…”  Macam mana ya, Irsyad menggaru kepalanya.  Bagi tau sajalah aku nak dia jadi girlfriend aku.  Tapi belum pernah aku terus nak jadikan seorang gadis girlfriend, Irsyad Rifqi berfikir.  Ada yang dah dua tiga kali keluar pun aku tak teringin jadikan girlfriend, bisik hatinya lagi.

“Awak nak kita berkawan… atau kita couple?”

Irsyad Rifqi terkedu.  Beraninya dia bertanya soalan itu.  Sungguh berterus terang, tiada ada selindung-selindung langsung.

“Saya baru habis belajar.  Fokus saya sekarang ialah mencari kerja.  Saya tak minat bercinta.  Kalau sekadar berkawan, tak ada masalah.”  Samirah menyuarakan apa yang tersimpan dalam hati.  Memang dia tidak mahu bercinta.  Meminati seseorang pun dia tidak mahu.  Keutamaannya sekarang ialah berjumpa dengan mama dan mendengar sendiri dari mulut mama kenapa mama mahukan perceraian.  Dan dia juga mahu memujuk mama agar kembali ke pangkuan keluarga.  Dia takut usaha ini terganggu sekiranya dia sibuk bercinta.

Sebuah kereta MyVi berhenti di hadapan mereka.  Samirah mengucapkan terima kasih dan masuk ke dalam kereta.  Irsyad Rifqi memandang ke arah kereta MyVi sehingga kereta itu hilang dari pandangannya.  Jam di tangan dikerling.  Baru pukul 9.00 malam.  Masih terlalu awal untuk pulang ke rumah di malam Sabtu.  Tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar. 

This is my shortest date on a Friday night, desis hatinya.








No comments:

Post a Comment