Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 12

KANDUNGANKU kini sudah banyak menunjukkan
perubahannya. Alahan semakin hari semakin teruk. Kadangkala
aku sampai tidak mampu berdiri kerana sakit kepala. Hari
ini setelah lebih dua bulan kami menginap di hotel ini, Ariff
akhirnya menyatakan dia mahu pulang ke London. Aku tahu
tidak lama lagi Ariff akan memulakan pengajiannya semula
untuk semesta yang seterusnya.
Kepulangan Ariff ke London bermakna bolehlah aku
pulang ke rumah orang tuaku semula. Aku pun sudah tidak
tahan lagi hidup menyinggah begini. Sakit jiwa pulak rasanya
bila dah dua bulan lebih tak tengok rupa dapur. Menginap di
hotel mewah ini sebenarnya lebih kepada mengikut kehendak
Ariff yang sentiasa suka dengan suasana kota, sedangkan rumah
keluarga aku ada di Segamat. Bukannya aku tidak pernah
mengajak Ariff pulang ke Segamat, tetapi dia yang tidak mahu.
Malulah! Takut panaslah! Macam-macam alasannya yang malas
aku nak dengar. Akhirnya aku ikut sahaja rentaknya.
“Selama awak di kampung, saya tak mahu awak
layan lelaki lain. Awak kena ingat saya ni suami awak,” ucap
Ariff malam itu. Dia duduk di birai katil sambil merenung aku
yang sedang mengemas saki-baki pakaian milik Ariff untuk
dibawanya pulang ke London esok malam.
“Saya tahu. Takkanlah saya nak layan lelaki lain dalam
keadaan saya macam ni. Takde siapa nakkan saya pun...” Aku
sekadar menjawab perlahan. Selesai mengemas pakaian lelaki
itu, beg itu terus aku zipkan.
“Mari sini duduk dengan saya...” Pinta Ariff lembut.
Aku terus duduk di sisi lelaki itu.
“Lima bulan terlalu lama untuk saya. Saya dah terbiasa
awak ada dengan saya. Saya tahu saya akan rindukan awak. Saya
nak awak lahirkan anak kita cepat-cepat dan kembali ke London
dengan saya nanti.” Ariff berbisik lembut sambil merangkul
tubuhku.
“Saya tahu...” Jawabku perlahan.
“Esok pagi awak akan balik ke kampung. Nampaknya
saya terpaksa bersendirian bermula esok. Awak tahu tak...
selama ini saya selalu bimbang. Saya bimbang awak akan
berpaling daripada saya dan memilih lelaki lain. Saya tahu...
selain saya, mesti ada lelaki lain yang selalu memandang awak.
Mesti ada lelaki-lelaki yang sukakan awak sama macam saya.
Saya takut awak akan layan mereka waktu saya takde. Saya nak
awak tahu yang saya tak suka awak bercakap dengan lelaki lain,
awak faham?” Ucap Ariff lembut, namun nadanya serius tanda
mengingatkan. Aku terus menoleh dengan sedikit kerutan di
kening.
“Selama ni awak nampak saya suka melayan lelaki
ke? Siapa yang nak mengurat saya dalam keadaan saya macam
ni?” Soalku pula. Rasanya yang sering berbuat begitu Ariff.
Bukannya aku!
“Saya hanya ingatkan awak,” ucap Ariff lembut.
“Saya suka kalau awak ingatkan saya sebab awak tak
mahu saya jadi isteri derhaka. Tapi semenjak dari hari pertama
saya jadi isteri awak, saya sentiasa sedar yang saya dah bersuami.
Saya belum hilang akal lagi nak buat macam tu pada awak. Tapi
persoalannya sekarang, kalau awak tak mahu saya layan lelaki
lain... macam mana pulak dengan awak? Masih nak melayan
perempuan-perempuan di luar sana ke?” Balasku sedikit sinis.
“Saya takkan buat begitu pada awak, sayang. Saya
hanya sayangkan awak seorang. Mereka semua cuma kawan
waktu saya sunyi. Saya tak serius pun dengan mereka semua.”
Tanpa sengaja Ariff menjawab begitu.
“Lepas ni kita akan hidup berjauhan. Awak dah tentu
akan rasa sunyi bila sendirian. Jadi awak akan layan perempuan
lain bila sunyi ke?” Tembakku. Langsung tidak berpuas hati
dengan jawapan Ariff. Bagiku alasan seperti itu langsung tidak
boleh diterima.
Ariff terdiam sambil memandang kepadaku. Aku
turut membalas renungannya dalam pada aku cuba mencari
kejujuran suamiku ini. Sayangnya sehingga ke saat ini aku
sebenarnya tidak cukup berani untuk meletakkan kepercayaan
kepada lelaki ini. Aku takut untuk meletakkan harapan yang
tinggi kepadanya. Mempercayai Ariff begitu sahaja bermakna
aku telah meletakkan sekeping hatiku untuk dilukai oleh lelaki
ini semahunya. Apa yang sering kelihatan di hadapan mataku
selama ini, Ariff sebenarnya tidak pernah berusaha untuk
berubah! Walaupun jelas dia cuba menjaga hatiku tetapi bab
melayan perempuan masih sama aja.
“Ariff, jangan lakukan sebab takutkan saya. Jangan
lakukan sebab awak tak mahu saya terluka. Tapi berhentilah
lakukan itu kerana takutkan Allah. Kalau kita takde rasa takut
atau malu kepada Allah, kita akan melakukan sesuka hati kita
apabila orang yang kita sayang tak mampu melihat kita. Sifat
seperti itu sifat orang munafik. Saya nak percaya yang awak tak
seburuk itu. Jadi awak jangan buat kepercayaan saya musnah.
Kalau awak tak suka saya layan lelaki lain, tak kurang juga saya
begitu, Ariff. Takde isteri yang sanggup melihat suaminya asyik
berkepit dengan perempuan di belakangnya. Saya tak larang
awak berkawan dengan sesiapa yang awak mahu tapi ingatlah.
Permulaan zina adalah pergaulan lelaki dan perempuan yang
tak mengira di mana batasnya. Saya tak suka awak ulangi
lagi perbuatan awak yang lepas-lepas. Belajarlah untuk
setia, Ariff. Ini untuk masa depan rumah tangga kita juga.”
Panjang ceramah aku berikan kepadanya. Aku bukannya jenis
perempuan yang suka berleter. Tapi dia pun janganlah beri aku
sebab untuk berleter!
Ariff mengangguk perlahan.
“Saya takkan lakukannya lagi. Saya sayangkan awak
sangat-sangat, sayang. Walaupun hubungan kita belum kukuh
sepenuhnya, tapi saya nak awak tahu yang saya bahagia kerana
awak dah jadi milik saya.” Perlahan lelaki itu berbicara dalam
redup pandangannya kepadaku.
“Saya tahu awak cintakan saya. Saya hargai kasih
sayang awak selama ini, Ariff. Saya minta maaf kalau layanan
saya selama ini tak setara dengan kemahuan awak. Saya seorang
perempuan yang banyak kekurangan.” Aku membalas lembut
kepadanya. Lelaki itu menggeleng perlahan. Serentak itu Ariff
meletakkan jemarinya di pipiku. Lalu diusapnya lembut.
“Tak, sayang. Awak dah cukup baik untuk saya.
Semenjak awak jadi isteri saya, perasaan sayang saya pada awak
semakin mendalam. Awak terlalu istimewa untuk saya. Awak
sudah cukup sempurna sebagai seorang isteri,” ucap Ariff
separuh berbisik. Tubuhku ditariknya rapat kepadanya. Dahiku
dikucupnya lama. Kemudian dia meletakkan jemarinya di
perutku yang sudah mula kelihatan.
“Jangan nakal-nakal, sayang. Jangan susahkan mummy
ya?” Ariff berbisik sambil tunduk di perutku. Perlakuan lelaki
itu lantas membuatkan aku tersenyum. Hatiku sempat disapa
bahagia. Pertama kali aku melihat dia membelai anaknya.
Seketika kemudian kami berpandangan. Entah
kenapa aku merasakan ada bisa yang menular di hatiku tatkala
terkenangkan perpisahan sementara ini. Buat seketika aku
tertanya kepada hati, sayangkah aku sebenarnya kepada lelaki
ini? Adakah rasa itu sebahagian daripada rasa cinta sebenarnya?
Sayanglah kut... dah jadi suami... takkan masih tak sayang,
ya tak? Sebenarnya dia ni memang hensemlah bila pandang
dekat-dekat macam ni. Sayangnya kaki perempuan. Kalau tak,
memang dah lama aku tersangkut kat dia ni... hatiku sempat
juga merepek meraban saat memandang wajah Ariff.
“Sayang, saya susah hati bila awak jauh daripada
saya. Saya pernah berasa separuh gila bila tak dapat tengok
awak walaupun hanya untuk sehari. Sehari aja dah cukup
menyeksakan, saya tak tahu macam mana saya nak melaluinya
selama lima bulan ini. Saya hanya nak awak temankan saya
selama-lamanya,” luah Ariff agak sayu.
“Lima bulan aja. Bukannya lima tahun. Kalau awak
sabar lima bulan akan terasa seperti lima hari. Ini cuma untuk
sementara. Sampai masanya, saya akan bersama awak di
sana,” pujukku lembut. Kalau dia susah hati, aku sendiri lebih
daripada itu.
Ariff mengalihkan pandangannya sambil menganggukangguk
perlahan. Seketika kemudian dia kembali memandang
wajahku. Jemariku diraihnya lalu dibawa ke bibirnya.
Lama dia tunduk mengucup jemariku sebelum dia kembali
memandangku.
“Maafkan saya atas perbuatan saya yang dulu tu.
Saya...” Bicara lelaki itu terhenti seketika sebelum menghela
nafas.
“Saya tak tahu kenapa saya tergamak buat awak macam
tu. Saya tak sengaja, sayang.” Ariff berkata perlahan.
“Jangan sebut lagi tentang itu, Ariff. Saya tak mahu
terus mengingati perkara yang dah lepas. Saya dah maafkan
awak. Saya hanya mahukan masa depan yang baik untuk
keluarga kita,” luahku sedikit merendah. Namun lelaki itu
menggeleng perlahan. Ada sesuatu yang harus diperkatakan
juga biarpun aku tidak mahu mendengarnya.
“Selagi saya tak katakan, selagi itulah hati saya takkan
aman,” ucap Ariff lemah. Buat seketika dia tunduk lagi. Aku
yang memandang lelaki itu mulai keliru. Kenapa dengan dia?
“Sayang, saya betul-betul tak sengaja malam itu. Saya
tak sedar apa yang saya buat pada awak. Saya tak merancang nak
berbuat begitu pada awak pada mulanya. Waktu tu saya memang
asyik teringatkan awak. Saya pergi minum. Selepas itu apa yang
berlaku saya sendiri tak sedar. Sayang, percayalah... waktu tu
saya tengah mabuk. Apa yang saya buat bukan kehendak akal
fikiran saya. Saya tak sengaja lakukan itu pada awak, sayang.
Maafkan saya,” rayu Ariff sayu. Aku terpaku memandang
suamiku. Pengakuan itu ternyata amat mengejutkan.
“Saya ingat... awak sengaja nak balas dendam pada
saya.” Luahku yang masih dikuasai oleh kejutan itu. Kalau
peristiwa malam itu dia sendiri tak sedar... apa ceritanya pula
ketika di balai polis itu? Tak sedar jugak?
“Tak! Bukan begitu niat saya. Saya tak pernah terlintas
nak menyakitkan awak sehingga begitu sekali. Saya cari awak
malam itu sebab saya terlalu rindukan awak. Saya cuma nak
berbual dengan awak. Sayang, saya sayangkan awak... saya
takkan tergamak sakitkan awak macam tu. Cuma waktu itu saya
memang betul-betul kecewa bila awak asyik menolak saya. Saya
tak sengaja, sayang. Saya hanya sedar sepenuhnya bila saya balik
ke rumah saya. Waktu itu saya keliru dengan apa yang berlaku.
Saya ingat-ingat lupa tentang peristiwa itu sehinggalah awak
membuat aduan di balai polis. Kerana takut tertangkap... saya
tak mengaku perbuatan itu. Saya memang jahat. Maafkan saya.”
“Ariff, cukuplah tentang itu. Saya tak mahu ingat
lagi. Demi masa depan kita, saya sedia maafkan awak. Saya tak
mahu ingat lagi tentang semua itu. Cukuplah!” Putusku sambil
menggeleng. Bercerita tentang itu hanya mengembalikan
kepedihan yang mana sudah pergi meninggalkan aku. Aku
sudah tidak sanggup mengenangnya lagi.
Ariff lantas memelukku. Sebuah helaan nafas
kedengaran jelas di telingaku.
“Terima kasih, sayang... terima kasih sebab awak sudi
maafkan saya. Saya janji, saya akan bahagiakan awak,” balas
Ariff dengan nada terharu.
Hampir 4 bulan berlalu...
“HIDUP BERUMAH tangga kena banyak bersabar, Syira.
Memang banyak dugaan yang Allah beri. Dalam hal sebegini
lagilah banyak ujiannya. Kita kena banyak bersabar. Jangan
cepat putus asa. Allah sekadar mahu melihat sejauh mana
keimanan kita bila kita bermasalah.” Abah berkata lembut
kepadaku lewat petang itu.
Aku sekadar diam memikirkan setiap perkataan
yang diperkatakan abahku itu. Perlahan perut yang sudah
membusung kuusap. Dalam keadaan aku begini, dugaan demi
dugaan yang hadir... aku semakin tidak tentu rasa. Ngilu hatiku
memikirkan masa depan kami anak-beranak. Memang terlalu
banyak dugaan yang harus aku lalui semenjak kebelakangan ini.
Tidak cukup soal Ariff... jiran-jiran sekeliling ikut
menambah perasa membuatkan aku semakin tenggelam dalam
kesedihan. Nak kata aku ni artis top... memang tak langsung!
Namun atas kebenaran nasihat abah, aku tetap memilih untuk
mendiamkan diri. Apa yang penting, kami sudah menghebahkan
kepada orang sekeliling yang aku dah bersuami. Jika mahu
diambil kira gelagat semua orang sekeliling, alamat sampai
mati nanti pun belum tentu aku habis melayani semua itu.
Manakala perihal suamiku seorang itu memang
benar-benar menguji perasaanku. Sudah lebih empat bulan
kami tinggal berasingan begini. Aku tahu Ariff kini sedang
sibuk dengan pengajiannya. Namun bukan kesibukan itu yang
membuatkan perasaanku merusuh saban hari. Daripada pelapor
yang telah kulantik secara rasmi iaitu Hamizah dan Ameena...
aku sering mendengar cerita mengenai sikap suamiku itu di
sana.
Dengarnya Ariff masih ligat dengan wanita ketika di
kampus tanpa segan silu. Aku pun bukanlah mahu mempercayai
cerita orang luar membuta tuli. Tetapi kalau dari mulut Ryan
sendiri aku dengar cerita yang lebih kurang sama, Ariff mabuk
setiap malam dan sering mengunjungi kediaman perempuan
lain, apa makna semuanya itu? Takkan menipu lagi kut?
Tetapi apa yang menyedihkan aku, setiap kali aku
bertanya aktiviti Ariff setiap hari... dia akan mereka cerita yang
kadangkala membuatkan aku menyampah nak dengar. Ada ke
dia kata dia pergi masjid belajar agama. Bila aku tanya nama
masjid tu... dia jawab tak ingat pulak. Kan dah membohong
namanya? Bila aku tanya dia ada minum arak lagi ke tidak, cepat
aja dia jawab tak. Padahal bercakap dengan aku pun kadangkadang
meleret-leret. Sampai tertidur di tepi telefon pun ada.
Takkan mengantuk benar?
Dia mungkin tak tahu yang aku sering menelefon ke
rumahnya apabila waktu di sana menjelang tengah malam.
Sengaja aku mahu melihat dia ada di rumah atau tidak. Tapi
selalunya panggilanku tidak berjawab. Jadi apa maksudnya
semua itu? Ikutkan hati yang bengang memang aku dah malas
nak ambil tahu pasal Ariff. Tapi bila dua hari aku tak telefon
dia, mulalah dia bising cari aku. Marah sebab aku tak pedulikan
dia. Macamlah dia pedulikan aku sangat! Bila berbual, asyik nak
kena tanya pasal dia aja. Dia takde pun tanya aku ni sihat ke
tidak. Pening sungguh melayan suamiku seorang itu.
“Mungkin Syira patut berada di sisi dia saat ini. Tempat
isteri adalah di sisi suaminya. Bila berjauhan memang banyak
perkara buruk boleh berlaku. Kasih sayang antara suami
isteri ni, kalau tidak dipupuk akan lekas tawar,” tambah abah
tenang sahaja. Aku terus memandang abah yang sedang duduk
di sebelahku itu. Kata-kata abah tidak mampu kujawab. Bak
kata abah tadi, tempat isteri adalah di sisi suami. Isteri adalah
penyokong kepada suami. Sayangnya aku tidak begitu... Aku
menghela nafas perlahan.
“Syira tak berniat nak berjauhan dengan dia, abah. Tapi
keadaan sekarang tak mengizinkan. Syira cuma boleh berharap
dia faham dan bersabar. Itu aja,” luahku perlahan sahaja.
“Syira juga kena bersabar. Kita kenalah faham, dia tu
orang baru. Maafkanlah dia,” pujuk abah lembut. Perlahan aku
menggeleng bersama dengan sedikit senyuman.
“Syira tak apa-apa, abah. Syira belum patah semangat
lagi buat masa ini. Cuma kadang-kadang Syira rasa sedih
dengan apa yang Ariff dah lakukan selama Syira takde. Kalau
boleh, Syira nak letakkan sedikit kepercayaan kepada dia. Takde
sedetik pun Syira rasa selesa untuk membiarkan dia begitu
sahaja tanpa perhatian. Tapi bila kawan-kawan dia sendiri pun
boleh beritahu cerita macam tu... Syira tak tahu macam mana
Syira nak percaya kepada dia. Syira betul-betul keliru dengan
perangai dia sebenarnya,” luahku perlahan.
“Mungkin keadaan tak seburuk yang kita sangkakan.
Jangan terlalu berpegang pada cerita-cerita orang. Melainkan
kalau Syira nampak sendiri apa yang dia buat. Itu memang
wajib Syira tegur dia. Perlahan-lahanlah. Perkara macam ni
memang tak mudah. Mungkin dia masih tak tahu mana arah
hidupnya. Syira yang sepatutnya membimbing dia. Mungkin
kerana itu dia jadi begitu. Beri dia peluang lagi. Takde manusia
yang tak pernah terlalai dalam sehari kita hidup atas bumi ni,
Syira.” Abah tetap berkata lembut, cuba menanam pemikiran
yang elok-elok tentang Ariff.
“Entahlah, abah. Syira tak tahu apa yang harus Syira
buat sekarang. Kalau ditakdirkan Syira ada sayap memang Syira
dah terbang ke sana cari dia. Tapi masalahnya tak boleh! Buat
masa ni, Syira kena dulukan anak-anak Syira. Syira harap sangat
dia faham. Selama ini Syira pun tak gembira biarkan dia sendiri
di sana,” adu aku perlahan sahaja. Sedih benar aku dengan sikap
Ariff. Apa yang sering aku ingatkan kepada lelaki itu, satu pun
tidak pernah dipedulikan. Masuk telinga kiri keluar entah kat
mana!
“Abah faham memang sulit keadaan Syira ni. Tapi
abah percaya, ada sesuatu yang Allah hendak tunjukkan kepada
kita. Memang susah kerana Ariff tu orang baru. Tambah pula
pengetahuan dia tentang agama Islam memang takde. Tapi
perlahan-lahanlah. Sentiasa bagi dia peluang untuk berubah.
Anggaplah dia masih belum matang sepenuhnya. Orang lelaki
ni memang lambat matangnya, apatah lagi dia masih terlalu
muda. Janganlah Syira lemah semangat dengan dugaan sekali
dua ni. Ingatlah, Allah sentiasa akan membantu orang yang
sabar, Syira. Percayalah cakap abah ni. Satu masa nanti pasti
doa Syira akan dimakbulkan Allah juga. Mungkin Allah sekadar
nak menguji sejauh mana hati Syira tahan dengan dugaan
ni. Selalu anggap yang baik-baik. Dalam hubungan dua hala
ni, memang tak selalunya kita akan sekata dan sefahaman.
Bertolak ansurlah... Sebagai manusia kita memang selalu akan
melakukan kesalahan,” nasihat abahku lagi.
Aku tunduk mengusap perutku dalam pada mendengar
nasihat abah itu. Memang setiap kali bersolat, aku tidak pernah
lupa untuk mendoakan Ariff. Aku mahu lihat dia berubah. Jika
tidak semuanya... mungkin sebahagian sifat buruk lelaki itu
harus dibuang. Tetapi aku harus reda... mungkin ada sebab
mengapa Allah masih tidak memakbulkan apa yang aku minta
selama ini. Mungkin semua ini masih terlalu awal untuk aku.
“Jangan sesekali Syira patah semangat. Jangan
sesekali Syira biarkan dia mengemudi hidupnya sendiri. Dia
tanggungjawab kita semua. Banyak ganjarannya kalau Syira
bersabar dalam usaha mengembalikan dia pada pegangan dia
sebagai orang Islam. Allah akan sentiasa bersama kita, nak.
Bersabarlah...” Abah terus menenangkan perasaanku dengan
nasihat-nasihatnya.
“Syira faham tu, bah. Syira pun tak mahu lekas patah
semangat. Syira akan berusaha yang terbaik untuk membimbing
dia,” balasku perlahan. Tekad itu sebenarnya sudah lama
tersemat di hati kecilku ini. Demi kebaikan bersama, aku mahu
melupakan segala keterlanjuran suamiku itu.
“Jadi... Syira akan ke London nanti?”
“Lepas Syira habis pantang nanti, Syira akan ikut dia.
Itu yang dia nak selama ini.”
“Baguslah kalau begitu. Abah ni juga seorang suami,
Syira. Abah faham perasaan dia bila isteri takde di sisi. Cuma
kita orang Islam, kita masih sedar ada batas yang menghalang
kita berbuat sesuka hati. Sebab itu wanita ni dianggap
penyokong kepada suaminya. Sebab tanpa perempuan, lelaki tak
boleh hidup!” Abah berkata lagi. Aku mengangguk mengakui
kenyataan itu.
“Jadi... cucu-cucu abah ni macam mana?” Soal abah
lembut.
“Apa maksud abah? Abah nak Syira tinggalkan anakanak
Syira kat sini ke? Takkanlah Syira nak tinggalkan anakanak
Syira.” Balasku sambil memandang abah dari tepi.
“Abah tak mahu memaksa. Syira yakin ke, Syira
mampu menjaganya? Kalau Syira tak mampu, biarlah diaorang
ni dengan abah dan mak. Mak pun ada kata kalau Syira rasa
susah, mak nak jaga mereka berdua.” Lembut sahaja kata abah
dalam menyampaikan hasrat emak tentang bayi yang bakal
lahir ini.
Aku pantas menggeleng menolak hasrat emak dan
abah. Itu memang mudah untuk dibuat tetapi belum pasti lagi
kesenangan itu akan memudahkan diriku. Aku mahu anakanak
berada dekat denganku dalam apa juga keadaan. Mana ada
ibu yang sanggup meninggalkan anak-anaknya begitu sahaja?
Anak-anak adalah penguat semangatku.
“Abah nak Syira biarkan anak-anak kat sini dan Syira di
London dengan Ariff? Boleh ke kalau abah berjauhan daripada
anak-anak? Apa perasaan abah dan mak? Macam itulah yang
Syira akan rasa nanti, abah. Bukan Syira tak suka anak-anak
Syira dengan abah dan mak. Tapi Syira nak Ariff jalankan
tanggungjawab dia sebagai bapa. Kalau Syira tak buat begini...
dia akan lupa yang dia ada anak. Dia takkan tahu apa yang dah
ada di bawah tanggungjawab dia.” Tanpa mahu bertegang urat
tentang itu, aku menyatakan pendirianku pula. Abah terus
mengangguk setuju dengan apa yang dinyatakan olehku.
“Tapi satu perkara yang abah nak Syira pegang sampai
bila-bila. Memang kewajipan isteri adalah taat kepada suami.
Tetapi Islam ini adil dan saksama. Ketaatan isteri kepada suami
haruslah berlandaskan hukum syarak. Bukannya taat membuta
tuli. Tidak patut Syira akur dengan kehendak suami yang
hukumnya haram.” Aku sekadar mengangguk kepada pesanan
abah itu.
“Ariff tu orang baru. Abah percaya banyak amalannya
selama ini yang dia tak tahu sama ada itu benar atau tidak.
Sebagai orang yang tahu, Syiralah yang kena mengingatkannya.
Jangan sesekali Syira tunduk di hujung kuasa dia sebagai suami
tanpa mematuhi kehendak agama. Jangan sama sekali Syira ikut
berkongsi dosa yang dia lakukan hanya sebab sayangkannya.
Jangan reda dengan kehendak suami yang di luar batas Syira
sebagai isteri. Pendirian kita harus teguh. Jangan sampai kita
yang sepatutnya membimbing dia, juga ikut sama rebah dalam
kemungkaran. Sayang suami biar berpada-pada. Sayang sesama
manusia harus berlandaskan keimanan. Kalau kita sayangkan
seseorang, kita harus selalu ingatkan dan menegur dia apa yang
salah. Itu baru benar tandanya sayang. Bukannya kita pula yang
ikut jalan yang salah macam dia. Ingat tu?” Pesan abah lagi.
“Insya-Allah Syira akan ingat setiap apa yang abah
pesan kepada Syira,” jawabku lembut. Alhamdulillah... kiranya
pendirianku sebelum ini, itu juga pendirian abah.
“Dia kena selalu mendalami Islam barulah boleh jadi
ketua keluarga yang boleh diharapkan. Ramai orang sekarang
ni yang melalaikan tanggungjawab itu, sedangkan semua itu
amat penting. Bila kita tak mahu menuntut ilmu, kita akan
jadi orang yang zalim,” ujar abah lagi. Kata-kata abah segera
membawa aku kepada cerita Ariff sebelum ini. Katanya dia
selalu pergi mendengar ceramah agama. Entah ya, entahkan
tidak. Aku dengar saja. Malas nak bangkang lagi.
“Sudahlah. Jangan banyak fikir lagi. Kadang-kadang
apa yang kita fikirkan tu semuanya hasil rekaan iblis aja.
Sedangkan perkara sebenarnya taklah seburuk apa yang ada
dalam fikiran kita. Abah nak naik ke atas, nak mandi. Abah nak
ke masjid ni,” ucap abah mengakhiri perbualan kami tentang
hal itu.
Aku hanya mengangguk sambil membiarkan abahnya
berlalu. Bersendirian di pangkin itu, aku termenung lagi
mengenangkan Ariff. Kemudian aku memikirkan pula tentang
perasaanku sendiri. Selama kami berjauhan, adakah pernah aku
berasa rindu kepadanya?
Entahlah... aku pun tak tahu.

No comments:

Post a Comment