Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 11

KINI sudah lebih tiga minggu aku menjadi isteri
lelaki itu. Abah, emak dan adik-adikku sudah lama pulang ke
Segamat. Sehari dua ini tanpa ketegangan di antara kami, aku
lihat suamiku itu memang gembira.
Lain pula dengan diriku. Berkurung sahaja di hotel ini,
hatiku benar-benar tidak aman. Kami pula bukannya pasangan
yang sedang meraikan bulan madu. Bukan juga pasangan
yang sedang hangat di alam percintaan. Kadang-kadang asyik
mengadap kehendak dia aja... aku jadi muak! Dah takde kerja
lain agaknya! Nak layan dia lagi... aku sendiri pun sudah merasa
alahan yang semakin teruk. Aku sering berasa tension sendiri.
Malam itu aku mengikut Ariff keluar. Kami ke KL
Tower menikmati makan malam di menara itu. Untuk manusia
seperti aku yang berasal dari kampung ini, semua ini memang
asing pada diriku.Tetapi kerana Ariff yang sudah terbiasa dengan
kehidupan yang bermewah-mewah, maka aku ikutkan juga
ragam suamiku itu dengan separuh hati. Sedangkan hakikatnya
semuanya terlalu canggung untukku.
Tetapi sepanjang malam itu... aku mengenali suamiku
itu, dia sememangnya romantik orangnya. Senyumannya
memang sentiasa tidak lekang di bibir saat memandangku.
Tetapi sayangnya senyuman itu bukanlah untukku seorang.
Melihat sikap mata keranjang Ariff yang kerap merenung ke
arah gadis yang seksi tidak jauh daripada kami, aku terasa diri
seperti sedang dipanggang. Mungkin sekejap lagi aku akan
bertukar menjadi zombie. Dia dulu yang aku nak kunyah
lumat-lumat!
Bukannya aku cemburu tahap jiwa-jiwa kepada Ariff.
Aku pun sudah cukup faham keberadaan dan ketampanan
Ariff sememangnya mudah menarik perhatian wanita-wanita
cantik. Tetapi apa yang aku geramkan... kalau bukan wanita
itu, Ariff sendiri yang memang sentiasa mencari peluang untuk
menggatal apabila jalan sudah terbentang di hadapan mata,
biarpun isterinya ini sedang tercongok di hadapan mukanya.
Itu yang sakit hati sangat-sangat!
Tetapi semakin dibiarkan, semakin menjadi-jadi pulak.
Beberapa kali aku nampak dia tertoleh-toleh kepada gadis
berbangsa cina yang berada tidak jauh daripada kami. Gadis
itu pula tanpa segan silu menjeling manja kepada suamiku.
Akibatnya moodku pecah berteraburan. Bila dah meluat dengan
lagak suamiku itu, aku asyik terfikir nak balik aja! Makan malam
yang seharusnya indah di tempat yang cukup eksklusif begini,
langsung tidak menggembirakan. Malah semakin membakar
perasaan perempuanku.
“Boleh kita balik sekarang? Saya sakit kepala,” ucapku
hambar kepada lelaki di hadapanku itu. Aku sudah bosan
melihat mata lelaki itu yang meliar ke sana, ke mari memandang
perempuan.
“Masih awal, Insyirah.” Ariff membalas lembut.
Tangannya terus merayap menyentuh jemariku di atas meja.
Mungkin mahu memujuk agar menunggu di situ untuk seketika
lagi. Yalah... masih ramai perempuan yang nak dipandang oleh
bola mata keranjangnya itu.
“Tapi saya perlukan rehat, Ariff. Jangan lupa saya
tengah mengandung sekarang,” tekanku sudah tidak larat
menahan perasaan di situ.
“Oh! Saya terlupa pulak yang saya akan dapat anak
nanti,” ujar Ariff bagaikan baru menyedari keadaan aku yang
sedang berbadan dua. Dia sempat ketawa kecil. Geram benar
aku melihat gelagat Ariff. Sudah berkahwin, bakal menjadi bapa
tetapi gatalnya mengalahkan orang bujang. Tidak sedar diri
betul!
Ariff segera membuat pembayaran. Setelah selesai
segala urusan dia lantas bangun. Tanpa aku pinta, tanganku
digenggamnya saat berjalan keluar dari kawasan restoran
itu. Tetapi entah kenapa aku semakin tidak suka dengan
perlakuan lelaki itu. Sepanjang keluar dari restoran itu, Ariff
memang senang mendapat perhatian orang ramai. Apatah
lagi berpasangan dengan perempuan melayu yang bertudung
seperti aku. Ramai yang memandang pelik dan kagum kepada
kami.
“Awak macam tak gembira keluar dengan saya,” ucap
Ariff setelah kami berada di dalam kereta yang membawa kami
berlalu dari situ.
“Saya gembira...” Aku sekadar membalas hambar.
Rasanya tidak mampu lagi untuk aku bersandiwara
setelah hatiku diseksa pedih melihat kelakuan suami sendiri.
Aku perlu merehatkan seketika perasaanku ini. Saat ini mataku
lebih senang memandang pemandangan di luar kereta daripada
memandang wajah Ariff di sisiku.
Entahlah... mungkin aku sudah terlalu banyak berdosa
kerana berperasaan begini kepada suami sendiri. Tetapi aku
tidak mampu memaksa hati untuk menyenangi Ariff jika sikap
seperti inilah yang asyik ditadahkan kepadaku. Aku bukannya
malaikat!
“Tapi mata awak tidak mengatakan begitu!” Sanggah
Ariff sedikit tajam. Semacam kecewa dengan jawapanku tadi.
Aku mengeluh dalam diam. Apa lagi yang dia nak ni? Rintih
hatiku sendiri.
“Mata saya kata apa lagi selain itu?” Balasku pula sambil
mengalihkan pandangan kepadanya. Kami berpandangan
seketika. Namun pandangan mata Ariff cukup tajam bagaikan
mahu diratahnya aku saat itu.
“Saya tak main-main sekarang ni, Insyirah!” Tekan
Ariff mulai keras nadanya. Perlahan aku menggeleng dengan
perasaan penuh sebal. Susahnya nak faham manusia seorang
ini! Keluh hatiku sendiri.
Apa lagi yang harus aku buat untuk membuat lelaki
ini puas denganku? Aku sudah seperti lembu mengikuti buntut
Ariff ke sana ke mari tanpa hati dan perasaan. Melayan segala
kehendaknya tak kira siang ke malam... sedangkan dalam
keadaan begini aku benar-benar perlukan rehat. Adilkah ini?
Sesedap mulut Ariff berkata begini kepadaku. Patung ke aku ni?
“Apa lagi yang tak kena? Apa lagi yang awak tak puas
hati dengan saya? Apa lagi yang saya kena buat untuk awak?
Cakaplah! Semua saya akan tunaikan,” jawabku dalam nada agak
kesal. Ariff menghamburkan sebuah keluhan yang kedengaran
agak keras. Tiada jawapan yang diberikan. Tetapi aku tahu
suamiku ini sedang menahan marah. Aku tidak mengerti apa
lagi lelaki ini tidak puas hati denganku.
“Apa masalah awak ni, Ariff?” Aku akhirnya
memberanikan diri menyoal lelaki itu.
“Saya cintakan awak, tapi awak sedikit pun tak
memandang saya begitu. Teruk sangat ke saya ni?” Tekan Ariff
yang mula diamuk rasa marah dan kecewa.
Aku terkedu tiba-tiba. Ariff mencintaiku? Mahu
tergelak pula aku mendengar pengakuan itu. Bukannya aku
mahu mempersendakan perasaan dia. Tetapi kerana cintakah
kami jadi begini selama ini? Kerana cintakah perasaanku jadi
parah saban hari? Jika rasa yang ada itu benar, Insya-Allah...
dengan senang hati aku akan menyambutnya. Tetapi satu
persoalan yang masih tidak mampu kulepaskan saat ini ialah...
benarkah apa yang diucapkan Ariff itu sebenarnya cinta yang
ikhlas untukku? Atau sebenarnya Ariff menganggap aku sekadar
pelayan seumur hidupnya?
“Awak cintakan saya tapi mata awak juga suka
memandang perempuan lain. Awak tahu ke apa sebenarnya
yang dikatakan cinta? Atau awak sekadar ikut-ikut orang?”
Aku membalas kata-kata lelaki itu dengan nada yang tertahan.
Seburuk-buruk perangaiku ini, aku masih tidak tergamak
mahu memalukan Ariff kepada lelaki yang sedang memandu di
hadapan. Ariff mendengus keras melepaskan bahang di dalam
dirinya.
“Saya boleh buat apa yang saya suka. Anak di dalam
perut awak tu adalah penyebab utama saya terpaksa melalui
hidup seperti ini. Jadi jangan meminta saya melakukan sesuatu
yang saya tak suka dan jangan menghalang saya daripada
melakukan sesuatu yang sentiasa menjadi kesukaan saya,
faham?” Ujar Ariff keras tanpa segan silu.
“Awak nak buat sesuka hati? Jadi saya ni siapa dengan
awak? Patung? Saya tak suka suami saya main perempuan sana
sini!” Ujarku serius mengingatkan Ariff tentang hakikat itu.
Tiada isteri yang suka suaminya bermain mata dengan wanita
lain. Apatah lagi di hadapannya!
“Saya tak peduli. Awak tak cintakan saya. Jadi saya
bebas melakukan apa yang saya suka! Awak penyebabnya saya
jadi begini.” Ariff ikut membalas dengan tegas. Apa yang aku
ucapkan langsung tidak berkesan untuk merebahkan keegoan
Ariff. Semakin memantul pula nampaknya.
“Jadi awak lakukan ini semua sebab marah dengan
sayalah... ya?”
“Katalah apa yang awak suka. Tapi jangan kata pada
saya, jangan buat itu... jangan buat ini... Saya bukannya kolot
macam awak! Jangan layan saya macam patung!” Desis Ariff
semakin tega menyakitkan hatiku.
“Siapa di sini yang dilayan macam patung? Kalau awak
tu patung, tak perlulah saya nak ikut awak sana sini. Saya tak
perlu nak buat apa-apa pun untuk awak sebab awak patung!
Tapi hakikatnya lain. Awak nak saya buat apa lagi untuk awak?”
Aku pula yang mula menaikkan nada kepada lelaki itu. Semakin
menipis kesabaranku melayan bicara lelaki seorang ini.
“Awak cakaplah apa yang awak suka! Saya tak suka
dikongkong! Saya tak suka ditegur dalam banyak hal yang
dah menjadi kebiasaan saya! Saya kahwin dengan awak sebab
nak bertanggungjawab pada bayi tu. Bukannya untuk tunduk
pada kehendak awak. Awak tak perlu nak atur hidup saya.” Arif
membalas tajam.
Aku terpaku seketika dengan bicara Ariff. Selebihnya
aku mula terasa malu kepada pemandu di hadapan apabila Ariff
mengungkit lagi tentang anak dalam kandunganku ini. Buat
seketika aku memandang pemandu di hadapan. Lelaki itu hanya
fokus kepada pemanduannya, tidak begitu mempedulikan
pertelagahan kami di belakang. Entahkan lelaki itu faham
apa yang kami berdua gaduhkan, entahkan tidak kerana kami
berbahasa Inggeris sedari tadi.
“Jaga sikit mulut awak! Saya tak mahu orang lain
tahu tentang hal itu. Kenapa awak nak biarkan orang lain tahu
tentang perkara yang memalukan ni? Bukan kita aja yang berada
di dalam kereta ini!” Tekanku dengan nada tertahan kepada
lelaki kepala batu di sebelahku ini. Spontan Ariff menoleh
dengan sedikit senyuman sinis.
“Kalau bukan kerana saya, anak ini sudah menjadi
anak haram! Awak kena berterima kasih pada saya dan
bukannya mengatur hidup saya supaya jadi macam awak!” Ariff
menambah lagi bicara tajamnya.
Aku terkaku mendengar kata-kata itu. Sesungguhnya
aku tidak menyangka dia akan melemparkan kata-kata seperti
itu kepadaku dengan sebegitu mudah. Akhirnya pandangan terus
aku halakan ke luar bersama rasa sedih yang teramat sangat.
Kasihannya aku... kenapa aku mesti jadi begini? Keluh hatiku
sebak. Betapa rendahnya aku pada pandangan suamiku sendiri.
Akukah yang bersalah selama ini? Akukah yang membuatkan
keadaan menjadi sedahsyat ini? Tidak tertanggung sakit di
hatiku ini apabila Ariff menyebut tentang status bayi ini.
Setiba di hotel, kami terus naik ke atas tanpa saling
bertegur sapa. Bagiku inilah masa yang sesuai untuk kami
putuskan apa yang perlu dan apa yang tidak untuk hubungan
ini.
“Betul ke awak tak mahu saya tegur awak lagi selepas
ini?” Soalku agak tajam setelah kami tiba di bilik. Nekad!
Apa sahaja jawapan yang bakal aku terima nanti, di situlah
keputusan akan kuambil. Ariff terdiam memandang wajahku.
Namun renungan matanya tajam ke dalam mataku seakan-akan
sedang mencari kesungguhanku dalam meluahkan kata-kata.
“Betul awak tak mahu saya tegur awak apa-apa lagi?
Setakat anak dalam kandungan saya ni, Insya-Allah saya mampu
membesarkan dia tanpa awak, Estaban Joseph Buhler!” Ucapku
tajam. Aku sudah nekad. Apa nak jadi... jadilah! Aku sudah tidak
sanggup membiarkan diri aku terus dicabar.
“Jangan teruskan, saya tak mahu dengar!”
“Saya tetap nak ingatkan awak semula walaupun awak
tak mahu dengar,” sambutku tegas.
“Bukan saya yang merayu kepada awak supaya
bertanggungjawab kepada bayi ni. Jadi sekarang cakaplah... apa
yang awak mahu saya lakukan untuk puaskan hati awak yang
penuh dengan keegoan tu? Awak mahu saya tinggalkan awak
supaya awak boleh hidup bebas tanpa teguran saya lagi selepas
ini? Awak mahu saya pergi jauh daripada hidup awak dan
jangan kembali semula? Awak mahu bebas selama-lamanya?
Beritahulah apa yang awak mahu! Saya akan lakukan! Tapi
dengan dua syarat. Awak mesti lepaskan saya dengan saksi yang
sah seperti mana awak nikahi saya juga dengan saksi yang sah!
Dan saya tak mahu tengok lagi muka awak sampai saya mati!”
Ucapku terus meninggikan suara.
Ariff terkedu memandangku dengan dada turun naik
menahan marah. Matanya mencerun tajam seolah-olah bilabila
masa sahaja aku akan dibahamnya. Namun aku sedikit pun
tidak gentar.
“Syarat kedua, anak ni takkan jadi anak awak sampai
bila-bila. Papa awak juga jangan sesekali cari saya lagi untuk
beritahu yang awak mabuk sambil menyebut nama saya!
Cakaplah mana satu pilihan awak?” Tukasku semakin lantang.
“Anak ni anak saya! Sampai bila-bila dia anak saya
walaupun saya tak berkahwin dengan awak! Saya kahwini awak
bukan kerana saya yang mahu, tapi papa yang paksa! Bagi saya
perkahwinan tak memberi apa-apa makna. Sebaliknya saya
hanya terpaksa tunduk pada kemahuan awak sepanjang masa!
Tanpa perkahwinan sekalipun saya tetap berhak pada bayi ni!”
Ariff ikut menaikkan suaranya tanda enggan kalah kepadaku.
Menggigil rasanya seluruh tubuhku menahan rasa.
Kata-kata Ariff terus tajam bak belati yang cukup tajam
menyiat-nyiat sekeping hatiku yang sememangnya sudah lama
parah. Aku bukannya sedang dilanda kemarahan yang berapiapi.
Sebaliknya aku terlalu ingin menangis untuk melepaskan
tekanan ini. Cukuplah aku mendengar diriku direndahkan oleh
suamiku sendiri. Tiada maruahkah aku sebenarnya? Tidak ada
perasaankah aku ini? Cukuplah dengan segala kesakitan yang
telah diberikan oleh lelaki ini kepada aku selama ini. Cukuplah
dengan semua itu!
“Maaflah saya tak berpegang kepada kata-kata awak
yang berpandukan kepada konsep barat. Sebaliknya saya
berpaksikan hukum agama Islam. Anak yang lahir kurang dari
tempoh 6 bulan dua detik mengikut perkiraan bulan Islam dari
tempoh mulanya perkahwinan ini tetap dikira sebagai anak
tidak sah. Biarpun bapa kandungnya ada di hadapan mata saya
sekarang!” Tanpa sedar suara yang keluar dari kerongkongku
terasa sedikit tenggelam oleh rasa sebak yang teramat sangat.
Jika boleh, aku mahu meraung sekuat-kuat hatiku.
“Awak tahu... jika diikutkan anak ini tidak boleh
dibinkan kepada awak sebagai bapanya sebab kita sama-sama
tahu hakikatnya macam mana dia boleh ada dalam rahim saya!
Tapi bapa saya tak benarkan saya sebut lagi peristiwa yang dulu
tu sampai bila-bila. Itu rahsia kita semua. Agama Islam adalah
agama yang sentiasa memaafkan kesalahan penganutnya. Allah
hanya mahu kita bertaubat, Ariff!”
Aku menyambung lagi apabila lelaki itu hanya berdiam.
Namun riak bongkak pada wajah itu cukup-cukup menyakitkan
hatiku. Dia endah tidak endah sahaja kepada kenyataan yang
aku sebutkan tadi.
“Sekarang biar saya beritahu awak. Dengan syarat
yang saya katakan tadi, anak ini layak dibinkan kepada awak.
Melainkan ada pengakuan salah seorang daripada kita, terutama
sekali awak sebagai bapanya yang menyatakan anak ni adalah
anak zina! Maka secara automatik anak ni akan jadi anak luar
nikah biarpun dia lahir selepas enam puluh bulan yang akan
datang!! Seorang bapa yang baik tidak akan menggelarkan anak
sendiri dengan anak haram! Kalau saya sentiasa menahan diri
daripada berkata begitu, apa pula tujuan awak asyik menyebut
tentang status anak ini???” Di akhir kata suaraku meledak
lantang melawan kebongkakan Ariff. Aku sudah tidak peduli
lagi dia siapa kepadaku. Tidak ada guna pun berlembut dengan
manusia kepala batu macam ni. Buang masa!
Ariff merenungku dengan dada turun naik menahan
marah. Namun untuk dia mengalah kepadaku, memang taklah!
Walaupun saat ini aku lihat dia sebenarnya sudah tiada kata
mahu melawan bicaraku.
“Anak hasil zina adalah milik ibu sepenuhnya. Awak
memang tak berhak lagi ke atas anak ini. Tetapi saya berkahwin
dengan awak bukan sekadar mahu menjaga status anak ini. Tapi
untuk menjaga hak awak sebagai bapa! Mana pergi perasaan
awak? Awak ni manusia ke, apa sebenarnya???” Meninggi lagi
suaraku menghentam lelaki itu. Ariff terus terdiam sambil
memandangku.
“Papa merayu saya supaya terima awak. Supaya saya
boleh bantu awak menjadi orang yang lebih baik. Papa awak
tak suka tengok kehidupan awak yang dulu. Tapi kalau awak
sendiri tidak mahu berubah, datanglah berapa puluh orang
isteri dalam hidup awak sekalipun, semua itu takkan bermakna
apa-apa kalau awak sendiri memang jenis kepala batu! Jadi
fikirlah... bagaimana anak ni akan jadi anak awak kalau awak
sendiri yang mengetepikan hak-haknya? Seharusnya awak
tutup mulut awak, jangan sebut lagi tentang status anak ini.
Tapi tak! Jangan kerana dengan lidah tak bertulang awak tu,
anak yang tak berdosa ni akan menanggung keaiban kita berdua
sampai akhir hayatnya. Kalau itu harus berlaku, untuk apa saya
kahwini awak lagi? Untuk apa saya berada di sini kalau awak
memang tak perlukan saya? Lebih baik saya tak payah ada
suami!!” Tegasku masih tidak puas melepaskan perasaan sakit
di hatiku tanpa memberi peluang Ariff membalas.
Ariff terus kelu melihat ketegasan aku memarahinya.
Dia hanya membatu dengan wajah mencuka. Seketika kemudian
dia terus keluar ke balkoni. Aku pula mula duduk di birai katil.
Perlahan tudung di kepala aku tanggalkan. Wajah aku raup
perlahan sambil beristighfar berkali-kali untuk meredakan
tekanan. Namun biarpun kemarahan itu menghilang, kesedihan
yang kurasakan tidak menyurut biar sedikit pun.
Entah kenapa aku berasa terlalu sedih dengan diriku
sendiri. Setiap patah bicara Ariff sebentar tadi teramat-amat
melukakan. Selama mana aku mampu bertahan? Rasanya aku
sudah tidak sanggup lagi mahu menunggu lelaki seperti ini.
Aku tidak sekuat itu! Aku lebih rela menarik diri sahaja daripada
terus hidup sengsara.
Tidak lama kemudian pintu gelangsar yang
memisahkan ruang santai bilik itu dan balkoni ditolak dari
luar. Ariff masuk ke bilik itu semula dengan wajah masamnya.
Dia sempat mendengus keras, sengaja mahu menunjukkan
keegoannya tatkala melontarkan tubuhnya ke sofa. Aku yang
memandang, malas mahu melayan lelaki itu lagi. Biarlah lelaki
itu mahu mendengus sebanyak mana yang dia suka. Cintalah
sangat macam ni! Yang ada hanya nafsu lelaki bernama Ariff
kepadaku.
Ya... buatlah apa yang kau suka sampai kau puas. Tiba
masanya nanti, aku pulak yang akan berbuat apa yang aku mahu
untuk diri aku sendiri. Jangan nanti kau meraung melutut di
hujung kaki aku ni. Aku tak akan layan! Hatiku yang masih
bengkak mengutuk sendiri. Seperti sebelum ini, ketegangan
membawa kebisuan kepada kami. Ariff langsung tidak bercakap
sepanjang berada di bilik itu. Aku pula lebih senang menyiapkan
diri mengerjakan solat tanpa menegur lelaki yang sudah mula
mengambil tempat di atas katil.
Apa yang semakin menyakitkan hatiku ini ialah...
sudahlah tak mahu solat. Itu tak kisahlah! Dia sengaja
membiarkan suara tv melantun kuat sehingga aku mula
rasa terganggu. Sudah banyak kali aku berpesan supaya
memperlahankan suara tv waktu orang lain sedang bersolat.
Dalam banyak-banyak tempat, kat sini jugak dia nak tengok tv.
Sedangkan tv ada di mana-mana dalam suite ini. Ariff memang
sengaja mencari pasal denganku. Sehingga aku selesai bersolat,
dia masih dengan muka selambanya sengaja mahu menyakitkan
hatiku dengan kedegilannya itu.
Memang dasar kepala batu! Degil tak kena tempat...
Dengus hatiku meluat memandang muka Ariff.
Usai melipat marhana aku terus mengambil beg baju
dari dalam kloset. Tanpa kata aku mengemas segala barangan
untuk disumbatkan ke dalam beg itu. Kali ini aku nekad! Ariff
pun memang tak perlukan aku, jadi lebih baik aku balik ke
kampung saja. Macam mana untuk kami hidup bersama jika
yang bersarang di hatiku saat ini adalah kebencian!
“Awak nak ke mana?” Soal Ariff apabila sudah
terpandangkan perbuatanku itu. Riak wajahnya mula berubah.
Pantas dia bangun mendekatiku.
“Saya nak balik rumah orang tua saya!” Jawabku serius.
“Tapi kenapa?” Tanya Ariff sedikit kalut. Segala
perbuatanku turut diperhatikannya. Aku hanya diam tidak
menjawab. Lebihan pakaian di dalam almari kuambil semua.
“Sayang, awak marah saya? Awak kecil hati dengan
kata-kata saya tadi?” Ucap Ariff tidak senang hati. Aku terus
berdiam tidak menyambut pertanyaannya. Pakaian yang sudah
dilipat kemas terus aku muatkan ke dalam beg. Namun seketika
kemudian tubuhku mula ditarik oleh lelaki itu.
“Saya minta maaf kalau awak kecil hati dengan katakata
saya tadi. Saya tak bermaksud begitu, sayang. Tolong
jangan buat macam ni. Jangan tinggalkan saya,” pujuk Ariff
pantas.
“Saya nak balik rumah orang tua saya. Takde gunanya
saya berada di sini. Awak tak perlukan saya dalam hidup awak.
Jadi untuk apa saya menunggu di sini?” Balasku dalam getaran.
Entah kenapa aku terasa benar-benar mahu menangis pula saat
ini.
“Bukan macam tu. Tadi... tadi saya tengah marah. Saya
tak sengaja cakap begitu. Maafkan saya! Maafkan saya... Jangan
buat macam ni.” Ariff semakin kalut memujukku. Tubuhku
cuba dipeluknya. Namun aku lebih pantas menolaknya.
“Cukuplah awak menghina saya, Ariff. Saya dah tak
sanggup lagi! Hanya disebabkan saya macam ni, awak senang
meluahkan kata-kata seolah-olah saya ni takde perasaan. Awak
boleh teruskan kehidupan awak sepertimana yang awak suka.
Tanpa kongkongan saya, hidup awak akan lebih aman. Saya juga
tak perlu menadah diri saya untuk dihina oleh suami sendiri.
Awak ingat saya ni tak tahu rasa sedih ke? Bila-bila awak suka,
awak buat macam-macam pada saya, tak kira saya bersedia
atau tidak. Bila awak marah... awak sanggup hina saya seolaholah
saya ni seorang perempuan yang takde harga diri! Awak
menghina anak ni, seolah-olah saya yang terlalu murah selama
ini,” luahku dengan deraian air mata.
“Sayang, maafkan saya. Saya janji takkan cakap begitu
lagi. Tolong jangan buat macam ni. Saya betul-betul cintakan
awak. Saya hanya cintakan awak seorang,” Rayu lelaki itu
teramat lembut. Tubuhku terus dipaut Ariff.
“Saya dah lama jatuh cinta pada awak. Tolong maafkan
saya, sayang.” Ariff berbisik lembut di tepi telingaku.
Aku hanya bungkam dalam dakapan lelaki itu. Mahu
menolak tetapi pautan lelaki itu terasa begitu erat. Aku pula
memang benar-benar tidak berdaya saat ini. Kesakitan yang
ditanggung oleh jiwaku, ditambah lagi dengan kesakitan yang
sedang ditahan akibat kehamilan ini membuatkan aku kalah
juga pada perasaan. Akhirnya aku hanya terdaya menangis sayu
dalam dakapan lelaki itu.
“Saya janji takkan sebut lagi tentang itu, sayang.
Maafkanlah saya.” Ariff memujuk lagi setelah merenggangkan
pelukannya. Wajahku yang basah diusapnya lembut. Perlahan
dahiku dikucupnya syahdu.
“Saya sayangkan awak. Saya takkan ceraikan awak
sampai bila-bila. Awak adalah untuk saya dan saya tak izinkan
awak pergi tinggalkan saya,” luah Ariff bersungguh-sungguh
saat menatap bola mataku.
“Awak berehatlah. Jangan banyak fikir. Saya tahu
awak penat. Kita tak seharusnya bertengkar dalam keadaan
awak begini. Maafkan saya, sayang. Saya tak sengaja.” Ariff
memujuk lagi dengan sikap prihatinnya. Tiba-tiba pula dia
menjadi manusia yang cukup lembut denganku. Hilang segala
kemarahan dan keegoannya.
Aku terus membisu. Berbaring di katil itu aku
menangis lagi. Wajah lelaki itu enggan aku pandang. Sengaja
aku membelakangkan Ariff yang ikut berbaring di tepi. Aku
terus menangis sendiri memikirkan nasib diriku. Sehingga
akhirnya tubuhku ditarik oleh lelaki itu mengadap ke arahnya.
“Saya janji saya akan bahagiakan awak, sayang. Saya
akan lakukan apa sahaja untuk awak. Tapi tolong jangan
menangis. Saya terseksa bila tengok awak begini. Maafkan
saya,” bisik Ariff teramat lembut. Pandanganku dibalasnya
dengan penuh harapan agar aku memaafkannya.
“Maafkan saya, tolonglah....” Pinta Ariff lagi. Jemariku
mula dibawa ke bibirnya lantas dikucup lama. Aku sekadar
memandang wajah lelaki itu. Mata Ariff terpejam lama saat
mengucup jemariku.
“Saya perlukan awak dalam hidup saya lebih daripada
orang lain. Takde seorang perempuan pun yang pernah berada
di hati saya sama seperti awak. Awak terlalu istimewa untuk
diri saya, sayang. Percayalah...” Bisik Ariff cukup lembut.
Mendengarkan itu, sebahagian daripada perasaanku mulai
terpujuk.
“Saya maafkan awak...” Balasku perlahan sahaja.
“Betul?”
Aku hanya mengangguk sambil menyeka air mata
yang masih bersisa di pipiku. Ariff lantas tersenyum kelegaan
apabila melihat aku sudah mulai tenang. Perlahan tubuhku
dirapatinya. Juntaian rambut di dahiku disuaknya lembut. Dahi
yang terdedah segera dikucupnya lagi.
“Saya sangat-sangat cintakan awak...” Bisiknya sekali
lagi.
Aku diam tidak membalas ucapan itu. Seketika
kemudian bibirku pula yang dijamahnya. Seperti sebelumsebelum
ini, aku tidak menolak. Tidak juga membalas.
Sebaliknya aku hanya diam kaku seperti patung. Perasaan yang
masih tidak sembuh sepenuhnya membuatkan aku tidak mampu
merasai apa yang sedang dia rasai. Namun malam ini Ariff tidak
lagi merungut. Mungkin dia mahu menjaga perasaanku.
Cakap aja nak suruh aku berehat kononnya. Kalau dah
nama atas katil, itulah aja kerja dia! Bisik hatiku sendiri.

No comments:

Post a Comment