PETANG itu selepas asar aku cuba berbual
lagi dengan Ariff setelah kedinginan melanda kami untuk
beberapa hari ini. Tidak tahan dengan keadaan itu, aku nekad
mengalah sahaja kepada suamiku. Aku sudah tidak sanggup lagi
membiarkan kekeruhan mewarnai hubungan ini sedangkan
kami baru beberapa hari berkahwin. Bukankah seharusnya saat
ini kami meraikan bulan madu? Nama aja dalam suite bulan
madu. Kami berdua asyik dengan muka mencuka antara satu
sama lain.
Walaupun tak berapa nak ikhlas, aku layan jugaklah
angin manja-manja Ariff. Nak meriba segala. Biarlah... Ariff pun
memang dah lama takde ibu. Jadi aku ni selain jadi isteri dia,
jadi mak dia jugaklah!
“Apa yang awak fahami dengan erti perkahwinan
sebenarnya, Ariff?” Soalku perlahan. Mood Ariff agak baik
berbanding sebelum ini. Mudahlah aku untuk berbual dengan
lelaki itu.
“Perkahwinan hanya mengikat seorang lelaki dan
wanita di dalam ikatan suami isteri. Ada anak dan menjadi
tua dengan kerenah masing-masing,” jawab Ariff sedikit pun
tidak serius. Dia terus bermain dengan jemariku tanpa mahu
memberi perhatian kepada persoalanku sesungguhnya.
“Lagi? Takkan itu sahaja yang awak tahu?” Aku terus
memancing minat Ariff lagi supaya dia lebih banyak bercakap
denganku.
“Itu sahaja...” Ariff tetap menjawab acuh tidak acuh.
Aku menghela nafas perlahan mendengar persepsi Ariff yang
terlalu serong mengenai erti sebuah perkahwinan. Sudahlah
pengetahuannya teramat sikit malahan apa yang dipegangnya
itu ternyata salah. Kasihan jika suamiku ini terus berada dalam
keadaan naif begini.
“Itu sahaja persepsi perkahwinan dalam agama Kristian
atau awak yang tak tahu sebenarnya?” Soalku lagi.
“Saya tak tahu untuk apa perlu wujudnya perkahwinan.
Kita masih boleh berseronok tanpa berkahwin. Lebih mudah
kalau hubungan itu tidak melibatkan perasaan dan ikatan seperti
ini. Apabila kita bosan dengan seseorang, kita bebas memilih
apa yang lebih baik untuk kita. Tetapi dengan perkahwinan
segalanya sukar kerana kita perlu bercerai dahulu sebelum
membuat pilihan yang lain. Memang rumit dan membuang
masa!” Ujar Ariff tanpa sebarang rasa bersalah mengucapkan
kata-kata itu.
Oh! Sekarang aku sudah mengerti. Mungkin aku akan
diceraikan oleh lelaki ini apabila dia sudah bosan. Agaknya
dia fikir aku juga sama macam dia. Bila-bila rasa teringin nak
mencuba dengan lelaki lain, pergi aja macam takde apa-apa!
“Jadi selepas ini bila awak dah bosan dengan saya, awak
akan ceraikan sayalah, ya?” Soal aku agak mendatar. Lelaki itu
aku kerling melalui ekor mata.
“Bukan begitu maksud saya. Saya tak maksudkan awak,
sayang. Awak dah jadi isteri saya. Takkan saya nak ceraikan
awak,” ucap Ariff lembut sambil menyeringai.
“Yalah tu...” Sambutku malas mahu mendengar lagi.
“Sebelum ini saya memang selalu tertanya-tanya
kenapa perlunya sesuatu perkahwinan? Tanpa perkahwinan pun
kita masih boleh memiliki anak dan keluarga. Semua orang di
barat ada anak tapi tak semestinya mereka berkahwin.” Ariff
sekali lagi menjelaskan pendiriannya tentang hal itu.
“Memang betul tapi pendirian seperti itu tidak
diamalkan oleh agama kita, Ariff. Anak yang datang dari hasil
perhubungan yang tidak sah, hilang banyak keistimewaan
seperti yang berhak didapati oleh anak yang lahir dalam
perkahwinan. Perkahwinan ini Allah tekankan di kalangan
manusia untuk menjaga hak dan keturunan manusia supaya
tidak bercampur aduk. Juga supaya dapat dibezakan hubungan
di dalam sesebuah keturunan. Anak luar nikah tidak berhak
mendapat nafkah dan pewarisan harta daripada bapanya
biarpun bapa kandungnya sendiri. Anak perempuan pula tidak
boleh diwalikan pernikahannya oleh si bapa tadi. Dan kewajipan
untuk menyara keperluan anak luar nikah telah dijatuhkan
ke atas ibu sepenuhnya. Bapa sudah tidak berhak sama sekali
kepada anak itu. Dari situ... sudah hilang salah satu keberkatan
iaitu doa anak yang soleh.” Aku merenung wajahnya seketika
sebelum menyambung penjelasanku lagi.
“Berbeza dengan anak yang lahir di dalam sesebuah
hubungan yang dihalalkan Allah. Bapanya bertanggungjawab
menjaga kebajikan anak itu sehinggalah mereka dewasa nanti
dan bapanya berhak mendapat ketaatan anak itu sepenuhnya.
Apabila anak itu dewasa, anak itu juga ada kewajipan untuk
menjaga kebajikan bapanya itu. Kerana itu perkahwinan
dianggap amat penting bagi kita semua. Sebab hidup kita tidak
akan selamanya begini. Hidup atas dunia ini ada kitarannya.
Hari ini kita muda, sampai satu masa kita pula yang akan tua.
Kita semua memerlukan antara satu sama lain. Orang itu sudah
tentulah anak-anak yang sah dilahirkan dari perhubungan yang
sah,” jelasku satu per satu agar dia faham tentang hak anak luar
nikah menurut persepsi hukum Islam pula.
“Awak faham ke tak apa yang saya cakap ni?” Soalku
apabila dia hanya diam sahaja.
“Saya faham,” jawab Ariff biasa.
“Satu perkara lagi yang saya nak awak faham. Dalam
agama Islam, berzina itu ditakrifkan sebagai persetubuhan
antara lelaki dan perempuan yang bukan pasangan suami
dan isteri yang sah. Hukumnya berdosa besar, Ariff. Firman
Allah ada menyatakan... perempuan yang berzina dan lelaki
yang berzina, hendaklah disebat tiap-tiap seorang daripada
kedua mereka dengan seratus kali sebat, dan janganlah kamu
dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya
dalam menjalankan hukum Allah jika benar kamu beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukum
seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari
orang-orang yang beriman. Firman Allah tentang hukuman
zina ni, terdapat dalam Surah An-Nur ayat 2.”
“Hukuman sebat?” Lelaki itu agak terkejut mendengar
apa yang aku utarakan tadi. Kepalanya diangkat memandang
kepadaku. Mungkin dia tidak menyangka sebegini sekali
seriusnya dosa perlakuan yang sedang kami maksudkan.
“Hukuman yang disebut dalam surat An-Nur ayat 2
ini adalah secara umum. Tetapi dalam hadis-hadis Rasulullah
SAW dijelaskan satu per satu hukumannya, iaitu jika lelaki atau
perempuan yang berzina itu pernah menikmati persetubuhan
yang halal dengan isteri-isterinya, maka hukuman bagi tiaptiap
seorang di antaranya ialah direjam. Sebaliknya jika
mereka belum pernah merasa kenikmatan persetubuhan,
maka hukumannya ialah disebat dengan seratus kali sebat dan
dibuang negeri,” terangku serius.
“Hukuman rejam tu apa pulak?”
Alahai... macam mana aku nak terangkan ya?
“Emm... macam ni. Contohnya jika seorang lelaki
yang dah beristeri itu ditangkap akibat berzina dengan wanita
lain. Dia akan diikat di sebatang tiang. Maka setiap orang yang
menyaksikan lelaki itu, mereka mesti melemparkan batu ke
arahnya. Lebih kurang begitulah,” ucapku serba ringkas. Nak
terangkan secara terperinci manalah aku tahu. Aku bukannya
pernah nampak orang yang dihukum rejam ni macam mana.
“Oh...” Ariff terkelu mendengar penjelasanku itu.
“Kerana itu seluruh umat Islam dilarang mendekati
zina kerana ianya amat terkutuk dan amat keji di sisi Allah.
Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita amat dilarang kerana
akan memberikan natijah yang buruk seperti anak yang tidak
diketahui nasabnya dan juga penyakit kelamin. Lelaki mahupun
perempuan amat penting bagi semua manusia menjaga
kemaluannya kerana Allah sudah menjanjikan hukuman
yang berat bagi siapa yang ingkar. Allah telah berfirman yang
bermaksud sesiapa yang menjaga kemaluannya melainkan
kepada isterinya maka mereka tidak akan tercela. Tetapi barang
siapa yang telah melakukan dosa besar itu, maka dia adalah
orang yang telah melanggar batasan.” Aku terhenti seketika
sambil memandang lelaki itu yang sedang terkebil-kebil
mendengar bicaraku.
“Memang amat sukar untuk mengawal syahwat tetapi
dalam Islam setiap manusia dituntut agar menjaga mata kerana
ada disebut di dalam hadis Rasullullah SAW yang berbunyi, mata
akan memulakan segalanya. Mata akan melihat dan nafsu berahi
akan bergejolak dan kemaluan pula akan membenarkan. Ketika
nafsu sudah menguasai diri, tidak ramai orang yang mampu
berfikir di mana halal dan haramnya lagi. Allah menetapkan
hukuman bagi penzina akan dilipat gandakan seksanya pada
hari kiamat dan penzina akan menetap di sana dalam keadaan
yang sungguh hina kecualilah dia telah bertaubat kepada Allah
atas dosanya itu.” Aku meneruskan kata dengan hati-hati agar
suamiku ini mengerti tentang apa yang sedang aku bicarakan.
Melihat Ariff terus berdiam, aku menyambung lagi.
“Seorang wanita wajib menjaga maruah dirinya dari
pandangan lelaki-lelaki yang bukan mahramnya. Tubuh badan
wanita adalah larangan pada mata lelaki asing kecuali kepada
suaminya dan mahramnya seperti bapa dan adik-beradik
lelakinya. Kerana itu Allah wujudkan perkahwinan dalam Islam.
Ikatan perkahwinan adalah perhubungan yang amat suci dan ada
ganjaran yang besar bagi lelaki dan perempuan yang menjaga
kesucian hubungan ini. Kita berdua wajib menjaga kesucian
hubungan ini. Di dalam perkahwinan wujud kasih sayang yang
terjalin antara lelaki dan wanita yang menghalalkan hubungan
seks antara suami dan isteri. Memang bagi sesetengah orang
menganggap perkahwinan ini amat melecehkan kerana banyak
tanggungjawab yang harus dipikul sebagai suami dan isteri
tetapi Allah sudah meletakkan ganjaran yang tertentu bagi
yang ikhlas menjalaninya. Walaupun perbuatan itu sekecilkecil
perbuatan tetapi jika ianya mendatangkan kebaikan untuk
pasangannya, Allah tetap akan memberikan balasan.”
“Hanya itu sebabnya mengapa manusia disuruh
berkahwin? Untuk apa bersusah payah memikul tanggungjawab
itu sedangkan kita masih boleh pilih untuk bebas daripada
tanggungjawab tu?” Bidas Ariff tetap enggan menerima
penjelasanku itu.
“Ariff, semua orang tahu... lelaki dilahirkan dengan
hanya satu nafsu iaitu nafsu kepada perempuan. Sedangkan
perempuan nafsunya berbilang-bilang dan tidak hanya
tertumpu kepada yang satu itu. Kerana itu Allah menyuruh
kita berkahwin. Malahan lelaki Islam dibenarkan beristeri lebih
daripada seorang dan tidak lebih daripada empat orang isteri,
jika dia berkemampuan dari segi batin dan zahirnya. Takkanlah
empat isteri masih jugak tidak cukup untuk memenuhi
keperluan batin seorang lelaki? Berzina ni antara dosa-dosa
yang paling dahsyat, Ariff.” Aku menjawab tenang. Aku tahu
lelaki ini tidak akan menerima segala nasihat orang lain begitu
sahaja. Pasti akan ada bangkangannya.
“Apa kelebihannya dengan perkahwinan? Sama sahaja!
Awak sendiri kata dalam perkahwinan banyak tanggungjawab
yang menyusahkan!” Desis lelaki itu tetap tidak menerima katakataku.
“Banyak kelebihannya, Ariff. Dalam hidup ini bukan
hanya keseronokan sementara yang perlu kita kejar. Apa
yang paling penting ialah kehidupan yang kekal abadi nanti.
Perkahwinan adalah medan untuk mengumpul pahala. Memberi
makan pakai kepada anak isteri itu adalah salah satu daripada
ibadah dan Allah memandang tinggi seseorang yang ikhlas dan
sabar dalam melunaskan tanggungjawabnya. Mendidik anakanak
dan isteri juga salah satu daripada ibadah dan amat besar
ganjarannya bagi lelaki yang istiqamah melakukannya,” ucapku
tenang.
“Ariff, hakikatnya Allah telah menjadikan wanita
daripada satu tulang rusuk lelaki. Setiap wanita memerlukan
seorang lelaki untuk melindungi dan menyayanginya kerana
wanita adalah hamba Allah yang lemah. Wanita bukan tempat
untuk lelaki melepaskan kemahuannya atau kemarahannya
kerana setiap manusia dilahirkan dengan satu hati. Dalam
Islam setiap suami dituntut supaya berlaku adil kepada isteri
dan wajib bagi setiap suami menjaga kebajikan isteri-isterinya.
Banyak tanggungjawab sebagai suami jika saya nak ceritakan.”
“Kalau suami diminta berlaku adil kepada isteri dengan
semua tanggungjawab itu, apa pula tanggungjawab isteri pada
suaminya?” Tanya Ariff lagi.
Aku tersenyum memandang suamiku itu. Apabila
dia mengajukan soalan, aku menganggap dia berminat untuk
mengambil tahu. Itu sudah cukup bagus.
“Allah Maha Adil, Ariff. Dalam hidup ini, kita memberi
dan kita menerima. Allah tidak hanya memberatkan sebelah
pihak sahaja dengan tanggungjawab di dalam perkahwinan.
Besar hak suami di atas bahu seorang isteri dan bagi isteri
yang menunaikan hak suaminya, amat besar pahala yang Allah
berikan bagi isteri tersebut. Manakala bagi isteri yang ingkar
akan mendapat dosa besar. Nabi Muhammad SAW pernah
berkata... ‘sekiranya mampu aku akan menyuruh seorang
isteri itu untuk menyembah seseorang yang lain maka aku
akan menyuruhnya menyembah suaminya’. Tetapi Allah
sudah menetapkan kita hanya boleh menyembah Allah. Jadi
suami itu hanya boleh ditaati tetapi tidak boleh disembah,”
jawabku lembut.
“Maksud hadis tadi... tinggi kedudukan seorang suami
itu kerana dia adalah tunggak sesebuah keluarga dan dia adalah
pemikul amanah untuk menjaga seluruh kehidupan isteri
dan anak-anaknya selain daripada memberikannya makan
pakai dan rumah untuk berteduh. Selain itu... mendidik isteri
dan anak-anak supaya menjadi orang yang baik juga adalah
tanggungjawab suami. Sebab itu hak suami amat besar di atas
pundak isteri adalah kerana fitrah lelaki dan wanita tidak sama.”
“Sabda Nabi SAW yang lain ada mengatakan, sekiranya
seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, berpuasa
sebulan di bulan ramadhan, memelihara kehormatannya
daripada lelaki bukan mahram dan mentaati suaminya akan
dikatakan kepadanya di akhirat nanti... Masuklah engkau ke
dalam syurga melalui mana-mana pintu yang engkau mahu.
Sabda Nabi SAW yang lain juga ada mengatakan, Allah tidak
akan memandang seorang isteri itu dengan pandangan rahmat
jika dia tidak mensyukuri suaminya sedangkan suaminya
tidak pernah menghampakannya. Dan jika seorang suami itu
mengajak isterinya ke tempat tidur tetapi si isteri menolak untuk
memenuhi kehendak suami dan membiarkan suaminya tidur
dalam keadaan yang marah, para Malaikat akan menyumpahnya
sehinggalah ke pagi,” ceritaku lembut.
Ariff terus memandangku dengan mata terkelip-kelip.
Entahkan masuk, entahkan tidak ke benaknya apa yang aku
katakan tadi. Tetapi aku dapat lihat Ariff mendengar dengan
bersungguh-sungguh apa yang aku katakan sebentar tadi.
“Perkahwinan akan mencegah umat manusia daripada
berbuat dosa terutama sekali dosa zina. Kerana Allah mahu kita
mendekati yang halal dan menjauhi yang haram. Fitrah manusia
sentiasa mahukan kasih sayang juga bertepatan dengan objektif
perkahwinan itu sendiri. Itulah sebabnya Allah wujudnya
perkahwinan ni, Ariff. Kerana itu jugalah Allah menetapkan
hak suami amat besar dan isteri wajib memenuhinya kerana
jika dia sengaja tidak memenuhinya, itu boleh menyebabkan
suami akan pergi mendapatkan kepuasan batinnya di tempat
yang haram. Dalam Islam setiap isteri itu diminta berusaha
bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendak suami agar
beroleh keredaan Allah.” Aku terus berbicara lembut sebelum
menutup bicara tentang hal itu.
“Awak pernah lihat Tuhan?” Soal Ariff sambil menatap
mataku.
“Tiada siapa yang pernah melihat bagaimana rupa
Allah. Tetapi Dia wujud berdasarkan sifat Allah yang pertama
iaitu wujud.”
“Apa buktinya Allah wujud kalau awak benar?” Soal
Ariff mahu berdebat pula dengan aku tentang itu.
Perlahan aku mengambil tangan suamiku itu lalu
aku letakkan di atas perutku. Aku mahu Ariff merasai apa yang
sedang wujud di dalam itu. Kerana itulah tanda pemberian
Allah yang paling dekat dengan kami berdua.
“Anak yang sedang hidup di dalam rahim saya ini
adalah salah satu bukti kewujudan Allah, Ariff. Semua benda di
dalam dunia ini ada penciptanya. Allah yang menjadikan semua
manusia, saya... awak dan juga anak ini. Awak hidup dengan
udara yang segar, siapa yang mencipta udara yang segar itu?
Malah udara yang segar ini sentiasa ada untuk awak, tidak
pernah habis biar di mana awak berada. Sepertimana sebuah
kereta tidak akan terjadi sebuah kereta jika tidak manusia
yang menciptanya. Macam itulah juga dengan kita semua.
Hanya Allah sahaja yang tidak dicipta oleh sesiapa. Allah terjadi
dengan sendirinya dan berdiri dengan sendirinya. Seperti
yang dikatakan dalam Surah Al-Ikhlas ayat 3 hingga 4, Allah
tidak beranak dan tidak diperanakkan. Tiada sesiapa pun yang
mampu menyerupai-Nya. Begitulah sifat Allah untuk awak
kenali,” balasku cuba untuk meyakinkan lelaki itu.
Ariff diam lagi. Nampak seperti dia sedang berfikir
tentang apa yang aku katakan tadi atau mungkin dia sedang
mencari idea lain untuk mematahkan hujahku.
“Untuk apa kita kena menyembah Allah kalau kita tak
nampak Dia? Allah tak boleh dilihat. Kalau Tuhan mahu kita
mengagungkan-Nya, Tuhan kena menjelmakan diri. Jika tidak,
kita hanya seperti orang bodoh menyembah sesuatu yang kita
tidak dapat lihat dengan mata.” Ariff lantas bersuara setelah
beroleh idea untuk mencabar apa yang diperkatakan olehku.
Aku tersenyum seketika sebelum menjawab.
“Allah Maha Besar, Maha Tinggi Kedudukannya, Ariff.
Awak lihat bintang di langit. Apabila malam awak nampak
kerdipannya kecil sahaja. Kelihatan dekat walaupun bintang
tu di atas sana. Tetapi apabila ahli astronomi pergi mengkaji
bintang itu, rupanya bintang itu amat besar dan jaraknya
daripada kita berjuta-juta kilometer. Berjuta-juta kilometer
itu kalau kita berkereta sekalipun, mungkin sampai kita sudah
bercucu-cicit nanti kita tetap takkan sampai sejauh itu. Tetapi
itu bintang yang saiznya masih boleh diukur oleh manusia dan
jaraknya masih boleh disukat dengan jentera ciptaan manusia.
Tetapi Allah lebih daripada itu! Allah Maha Besar. Terlalu besar
sehingga tiada siapa yang mampu membayangkan betapa
besarnya Allah. Kalau kita merasakan bintang itu cukup besar,
Allah jauh lebih besar daripada itu,” jelasku bersungguhsungguh
“Ya ke? Buktinya?” Ucap Ariff selamba.
“Awak tanya saya mengapa Allah tidak kelihatan tetapi
saya katakan Allah itu ada. Saya contohkan pada awak tentang
bumi ini supaya mudah untuk awak faham. Bumi ini antara
planet yang terkecil di dunia. Tetapi biarpun kecil terlalu banyak
negeri-negeri dan benua-benua di atasnya. Jika saya minta awak
nampakkan kepada saya bandar London tanpa menggunakan
apa-apa alatan daripada tempat awak duduk sekarang, boleh
awak buat?”
“Dah tentulah tak boleh! Mana saya tahu arahnya ke
mana. London tu jauh dari sini.” Ariff menyambut pantas.
“Kerana apa tak boleh?” Soalku kembali.
“Apa sebenarnya yang awak cuba cakap ni?” Tekan
Ariff mula lemas. Mungkin malas mahu berfikir teka-teki yang
sedang diberikan olehku.
“Jawab dulu soalan saya kenapa tak boleh awak
tunjukkan saya di mana letaknya London dari sini? Apa
sebabnya?” Pintaku bersungguh-sungguh.
“Yalah, sebab bumi ni luas. Dah tentulah London
tak kelihatan lagi dari sini kerana jaraknya amat jauh.” Ariff
menjawab juga biarpun acuh tidak acuh sahaja.
“Tetapi dari sini awak tahu London memang wujud
dalam peta dunia, kan? Cuma kita sahaja yang tidak nampak.
Betul, kan?” Ujiku lagi sambil tersenyum.
“Yalah!” Dengusnya malas.
“Kenapa bila saya kata London tu memang wujud di
atas dunia ini sedangkan kita tidak mampu nampak dari sini,
awak percaya? Tapi bila saya kata yang Allah tu Maha Besar dan
Maha Tinggi Kedudukannya, awak pertikaikan? Sebab awak
pernah berada di London, maka awak percaya yang London tu
ada dan masih wujud sehingga sekarang. Tapi awak tak tahu
yang kita manusia sentiasa berurusan dengan Allah setiap
hari walaupun kita tak nampak Dia. Suatu masa dulu sebelum
ditiupkan roh ke dalam jasad kita, kita pernah berjanji kepada
Allah untuk taat kepada-Nya. Tapi hari ini awak pertikaikan
kewujudan Tuhan!” Ucapku serius.
Ariff terus terdiam menyedari perangkap yang aku
bina sudah dimasukinya dengan mudah. Dia terkumpal-kumpal
tidak mampu mematahkan kata-kataku.
“Kita ni hamba Allah yang berkeupayaan terbatas,
Ariff. Jika bumi yang tak sebegitu luas ni saja pun kita tak
mampu melihat semuanya, bagaimana kita nak lihat Allah yang
Maha Besar dengan keupayaan mata kita yang amat terbatas
ni? Allah Maha Besar kerana itu kita tidak mampu melihatnya
kerana Allah sudah mencipta dua bola mata kita ini dengan
keupayaan yang sedikit. Jangan awak pertikaikan pulak kenapa
Allah mencipta mata kita macam ni. Sebab itu semua rahsia
Allah,” balasku pantas.
Bicaraku itu sudah cukup membuatkan Ariff terdiam
tidak mampu membidas lagi. Riak tegang pada wajah Ariff mula
mengendur seperti sudah kalah.
“Allah tak perlu menjelmakan diri-Nya untuk
membuktikan yang Dia amat berkuasa dan wujud. Kalau kita
mempunyai mata pada hati sudah tentu kita akan melihat bukti
kekuasaan Allah setiap hari. Lumrah manusia memang hanya
mahu sesuatu yang mudah sepanjang hidupnya. Jika kita dengan
mudah melihat Tuhan, manusia tidak akan mampu menyelami
apa erti hidup di atas dunia ini. Allah lebih tahu apa yang ada
di atas dunia ini, Ariff. Kita tidak boleh mempertikaikan segala
sifat-sifat Allah. Awak kaya-raya. Kalau bukan dengan izin-Nya,
awak tidak akan kaya seperti sekarang. Bukankah itu sahaja
sudah menunjukkan Dia memang wujud selama ini?” Kataku
lagi.
“Saya kaya kerana papa memang otak bussiness. Orang
lain tidak kaya mungkin kerana mereka malas,” bidas Ariff
selamba dalam nada yang berbaur keangkuhan.
“Siapa yang mahu hidup miskin di atas dunia ni, Ariff?”
“Tentulah semua orang mahu kaya,” jawab lelaki itu
pantas.
“Tapi mengapa bukan semua orang di atas dunia ni
kaya? Manusia sentiasa berkejar-kejaran di atas dunia ini untuk
mencari kesenangan hidup tetapi mengapa tidak semuanya yang
dapat begitu? Kalau awak anggap semua ini tidak bergantung
sedikit pun kepada Allah, cakap dengan saya mengapa ada
manusia yang sudah berusaha untuk jadi kaya tetapi masih ada
yang gagal dalam hidupnya,” dugaku mudah.
“Manalah saya tahu...” Ariff kembali semula kepada
habitnya, malas berfikir!
“Sebab semuanya yang kita mahukan kita akan
usahakan tetapi hanya dengan izin Allah sahaja semua itu akan
kita dapati. Allah Maha Memakbulkan. Kita manusia hanya
perancang tetapi yang memakbulkan masih juga Allah. Kuasa
kita sebagai manusia tidak sebesar mana, Ariff. Tanda Allah itu
wujud yang paling mudah untuk awak faham ialah tentang
mati. Mengapa kita harus mati suatu hari nanti? Kalau Allah
tidak wujud, ke mana perginya kehidupan kita selepas mati?
Kenapa kita tak mampu hidup selama-lamanya atas dunia ini?
Kenapa kita akan tua suatu hari nanti? Kenapa ada masanya
kita akan jatuh sakit? Kenapa ada manusia yang boleh menjadi
saintis dan ada yang tidak? Kalau Allah tidak ada dengan kita
selama ini, kenapa hidup ini tidak mampu berlalu seperti yang
kita mahukan selama-lamanya? Mengapa?”
Sekali lagi suamiku itu terkedu tidak mampu
menjawab. Banyak sangat agaknya soalan aku tadi? Tak lekat
kat otak dia!
“Tuhan tu wujud, Ariff. Awak wajib percaya yang kita
akan menempuhi kiamat kecil iaitu kematian. Kematian ialah
gerbang utama untuk kita bertemu Allah suatu hari nanti. Di
akhirat nanti kita akan pergi bertemu Allah bersama setiap
amalan kita di atas dunia ini,” ujarku sambil memandang mata
suamiku itu dalam-dalam.
Ariff diam mendengar itu. Masih cuba memikirkan
kelogikan apa yang aku katakan. Aku tahu Ariff masih mahukan
hujah yang tepat bagi membenarkan apa yang kukatakan
sebentar tadi. Tapi nak dalil yang sahih... contoh yang mudah
sahaja aku bagi, dia dah lintang-pukang tak boleh fikir.
“Sesungguhnya orang yang beriman itu akan
mencintai Allah dan para Rasul terlebih dahulu kemudian
barulah yang lain. Kerana segala nikmat yang didatangkan
kepada kita di atas dunia ini datangnya daripada Allah. Allah
juga boleh mengambil semua kenikmatan itu bila-bila masa
yang Dia suka. Awak jangan lupa tentang itu!” Tegasku.
“Jadi awak akan mencintai Tuhan melebihi saya?” Soal
Ariff dalam pada dia merenung bola mataku.
“Awak juga harus mencintai Tuhan melebihi saya,
Ariff. Kerana saya cuma isteri awak. Kemampuan saya terhad!
Saya tak mampu memberi kebahagiaan kepada awak melebihi
daripada apa yang Allah mampu berikan. Sungguh berbahaya
bagi orang yang memiliki perasaan waswas kepada keesaan
Allah. Nilailah semula perasaan itu. Kerana Allah hanya mahu
kita taat pada Dia. Bukannya Allah meminta wang ringgit kita.
Redalah kepada Allah, Ariff. Allah sedang dan sentiasa melihat
kita,” ujarku lembut namun bersungguh. Aku tidak rela dia
terus memegang pendiriannya yang dahulu.
“Allah terlalu sayangkan kita selama ini, Ariff. Hanya
kita aja yang selalu lupa pada dia.”
“Kata-kata awak semua tu terlalu mendalam, Insyirah.
Awak memang taat beragama. Semua perkara awak tahu,”
komen Ariff agak rendah.
“Saya bukan orang yang terlalu arif tentang hal agama
ini, Ariff. Saya sendiri masih banyak kekurangan dan perlu terus
belajar. Taat kepada Allah amat dituntut kepada semua orang,
Ariff. Perlahan-lahanlah... Awak boleh mendalami agama Islam
sekiranya awak mahu. Ada ramai orang yang boleh membantu
awak jika awak mahu. Di masjid juga, selalu ada kuliah agama.
Jika awak selalu ke masjid, banyak yang awak akan dapat tahu.
Kalau awak akur dengan ini semua, awak akan mendapat
ketenangan yang abadi. Awak akan berasa lebih bahagia dari
sebelum ini. Kalau kita kenal Allah dengan baik, kita akan
cintakan Dia melebihi segala-galanya, Ariff. Percayalah cakap
saya ni,” ujarku cuba memancing minat suamiku itu.
Ariff hanya diam sahaja tanpa berkata apa-apa.
Berminat tidak... Tidak berminat juga tidak... Reaksinya begitubegitu
sahaja.
“Takpelah. Saya berdoa suatu hari nanti, awak akan
berada di jalan yang sama seperti orang Islam lain. Waktu itu
awak akan melaluinya dengan hati yang reda dan bahagia, Ariff.
Walaupun mungkin waktu itu Allah menentukan saya tidak lagi
bersama awak, awak akan tetap menjalani hidup ini dengan
sabar. Saya percaya Allah akan menemukan awak dengan waktu
itu suatu hari nanti,” ujarku dengan harapan yang amat tulus.
ARIFF MENGAMATI segala perbuatanku dengan penuh
keasyikan sehinggalah aku menoleh kepadanya. Aku cuba
menghadiahkan senyuman kepadanya apabila melihat
pandangan mata Ariff yang tidak berkelip kepadaku. Mungkin
Ariff tidak tahu apa yang aku lakukan tadi. Namun senang
hatiku melihat gelagatnya.
“Awak nak cuba bersolat, Ariff?” Soalku apabila melihat
pandangan mata Ariff masih ralik memandangku.
“Untuk apa bersolat?” Soal Ariff kembali. Pertanyaan
itu tidak kedengaran seperti dia sedang mempertikaikan
kewajipan bersolat. Sebaliknya ada rasa mahu tahu mengapa
semua orang mesti bersolat.
“Awak masih ingat kata-kata imam yang menikahkan
kita dulu? Solat lima waktu ni wajib bagi kita. Solat yang
ditinggalkan mesti digantikan semula. Awak juga wajib
bersolat tetapi saya saya faham... sekarang ni awak tak pandai
bersolat. Nanti saya akan ajarkan awak caranya. Saya nak awak
tinggal lebih lama di sini, sementara awak masih bercuti.” Aku
memandang suamiku itu sambil marhana aku tanggalkan dari
tubuhku.
Namun mata Ariff masih terus melekap memandang
perbuatanku. Aku segera menyidai sejadah dan telekung
bersebelahan dengan kloset. Setelah itu aku terus mendekati
Ariff lantas duduk bersebelahan dengan lelaki itu di sofa. Mata
Ariff masih memandangku bagaikan ada yang benar-benar
menarik pada wajahku ini.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Soalku hairan
dengan sikapnya.
“Awak nampak cantik sangat dengan pakaian tadi tu,”
luah Ariff perlahan. Aku lantas mengukirkan sedikit senyuman
tanda senang dengan pujian lelaki itu.
“Awak masih tak beritahu saya kenapa kita kena lakukan
solat lima kali setiap hari,” Ariff berkata lagi. Kelembutan
nadanya saat ini menunjukkan ada sedikit kemahuannya untuk
belajar tentang sesuatu dalam hidupnya. Aku senang sekali
melihat sedikit minatnya itu. Alhamdulillah... Sikit-sikit lamalama
jadi bukit.
“Solat fardu lima waktu sehari semalam, diwajibkan
kepada semua umat Islam yang sudah baligh. Orang yang
cukup umur atau baligh, suci daripada hadas besar dan tidak
gila memang wajib bersolat. Solat adalah salah satu cara kita
mendekatkan diri kepada Allah. Dengan menyembah Allah
kita akan ingat pada Allah. Bacaan dalam solat itu sendiri
sudah bersifat memuji dan menyebut nama Allah. Tanpa solat
lima waktu, kita akan lekas lupakan Allah,” jelasku sebagai
mukadimahnya.
“Kita semua memang amat dituntut agar
meninggalkan pekerjaan lain kerana yang paling penting dalam
hidup kita adalah ingat kepada Allah. Solat juga mengejar kita
erti kehambaan kepada pemilik kita, Ariff. Kita kena sedar yang
kita ini hamba Allah, bukan hamba wang atau hamba nafsu.
Sifat kehambaan itu sangat penting dalam hidup kita seharihari
kerana sifat itulah yang mengajar kita merendahkan hati
kepada orang di sekeliling kita. Solat akan membuatkan hati
kita tenang dan aman. Selain daripada itu, dengan bersolat kita
mempunyai peluang untuk menyampaikan doa kita kepada
Allah. Lima kali sehari kita melakukan solat bermakna tujuh
belas kali kita membaca surah Al-Fatihah. Bermakna kita ada
meminta kepada Allah agar mempertemukan kita dengan jalan
yang benar kerana ayat ke-6 bermaksud, Ya Allah tunjukkanlah
kami jalan yang lurus,” ucapku sambil tersenyum kepadanya.
Ariff kulihat khusyuk menatap raut wajahku.
“Jadi kesimpulannya... tujuh belas kali itu awak
darabkan dengan berapa kali solat fardu yang awak kerjakan
dalam masa sebulan, darabkan pula dengan setahun, kemudian
darabkan lagi dengan sebanyak mana solat yang dah awak
lakukan sepanjang hidup ini. Dengan jumlah doa sebanyak
itu, awak rasa Allah akan makbulkan atau tidak doa awak tu?
Tak susah kalau kita selalu mengamalkannya,” tambahku lagi
menurut pengertianku sendiri tentang solat.
“Lima kali tak susah?” Soal Ariff kabur.
“Lima kali saja awak tidak sanggup? Awak menikmati
pada setiap minit hidup awak, takkan lima kali sehari Allah
minta awak mengadap Dia awak tak sanggup? Awak tak malu
menikmati segala pemberian Allah begitu sahaja sedangkan
semua itu Allah yang punya? Allah dah berikan awak kehidupan
yang baik, awak kaya-raya, awak ada segala yang awak perlukan
dalam hidup ni... takkan awak tak mahu bersyukur?” Pujukku
lembut sahaja.
“Susah. Saya tak tahu bersolat.” Ariff menjawab mudah.
Semacam beralasan untuk tidak mahu mengamalkannya.
“Kalau awak tak tahu, saya boleh ajarkan. Allah
kasihankan kita. Hanya 13 rukun sahaja yang wajib dalam solat
bagi kita. Sedangkan yang lain tu semuanya sunat. Kita nak
buat... kita boleh buat. Kalau tidak mahu pun tak berdosa. Tapi
tinggalkan solat ni berdosa, Ariff. Ketika di depan Allah nanti,
solat dulu yang Allah akan kira daripada amalan kita,” ucapku
lembut namun serius memujuknya.
Ariff terus berdiam tidak terkutik. Matanya merenung
ke hadapan seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Hidup awak akan lebih baik dengan bersolat, Ariff.
Kalau awak dapat keredaan Allah, yang lain juga akan Allah
berikan,” luahku lagi cuba untuk melenturkan kekerasan hati
lelaki itu.
“Nantilah. Saya belum bersedia sekarang.” Ariff sekadar
menjawab hambar.
“Jangan lupa, mati itu tak menunggu sehingga
kita bersedia...” Tanpa mahu memaksa lelaki itu aku sempat
mengingatkan Ariff akan hakikat itu sebelum bangun dari situ.
Ariff sempat memandangku sehingga aku menghilangkan diri
ke dalam bilik air.
No comments:
Post a Comment