Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 9

MALAM itu buat pertama kalinya aku terpaksa
sebilik dengan lelaki itu. Hatiku mahu tertawa puas apabila
melihat Ariff tidak berdaya untuk menyentuhku. Ariff hanya
mampu memandang sahaja walaupun aku tahu keinginan
jantannya memang sedang meluap-luap. Aku hanya buat tidak
tahu sahaja dengan pandangan mata Ariff yang asyik menyoroti
pergerakanku di dalam suite bulan madu itu.
Masih tidak dapat aku lupakan saat melihat Ariff
keluar dari bilik rawatan petang tadi. Dia berjalan terkengkangkengkang
dengan berkain pelekat dan yang paling menggelikan
hati, Ariff menangis seperti budak kecil sebaik sahaja bertemu
papanya. Baru kena sunat, macam dah nak mati sangat sakitnya!
Rasa benci dan meluat yang masih bersarang membuatkan aku
asyik mengejeknya.
“Saya sakit ni. Tolonglah saya...” Ariff mula bersuara
meminta perhatianku.
“Awak nak saya tolong macam mana? Tahan jelah sikit
sakit tu,” jawabku bersahaja. Aku sekadar memandang kosong
Ariff yang terkedang di atas katil itu. Dengan riak selamba, aku
duduk di sofa. Namun dalam hati aku terus mendongkol benci
dengan perangai lelaki itu yang mengada-ada minta dilayan itu
dan ini. Dia ingat aku ni takde perasaan agaknya! Bisikku dalam
diam.
“Kalaulah saya tak sakit... dah tentu saya takkan siasiakan
saat ini,” ujar Ariff agak nakal. Dia mula tersengih-sengih
memandangku yang langsung tidak teringin mahu tersenyum
atau terhibur dengan usikan nakalnya itu.
Aku mencebik sendiri tanpa mempedulikan Ariff yang
sedang memandangku. Walaupun dia sudah menjadi suamiku
tetapi rasa menyampah memang amat sukar untuk dikikis dari
hatiku biarpun sedikit. Entah berapa timbunlah dosaku kerana
berperasaan begini kepada lelaki yang seharusnya aku hormati.
Tetapi sebenarnya jauh di lubuk hatiku ini, aku amat berharap
lelaki itu akan berubah. Jika tidak sepantas esok yang datang,
mungkin suatu hari nanti. Harapan itu terlahir secara tiba-tiba
saat melihat Ariff mengucapkan kalimah syahadah semalam.
Tiada kata yang dapat aku gambarkan betapa sayunya hati saat
melihat lelaki itu mengucapkan pengakuan untuk mengesakan
Allah. Mungkin sampai bila-bila aku tidak akan melupakan saat
itu.
“Insyirah, marilah sini...” Ariff memanggil lagi. Kali
ini cukup lembut mendayu-dayu. Aku mendecit geram sendiri.
Macam-macam pula mahunya dia ini. Mengada-ada betul!
Menyampahnya.... Hatiku menjerit sendiri. Namun dalam rasa
tidak ikhlas itu, aku tetap juga mendekati Ariff yang terdampar
di atas katil macam orang sakit tenat.
“Nak apa?” Soalku teramat hambar setelah duduk di
birai katil bersebelahan dengan Ariff yang sedang berbaring.
Walaupun berdekatan dengan suami sendiri tetapi
seluruh hatiku mula menolak untuk menerimanya. Aduhai...
susah sungguh. Berdosakah aku jika aku tidak mampu
mengikhlaskan diriku kepada lelaki ini? Aku sendiri tidak tahu
berapa lama aku harus berkeadaan begini bersama Ariff.
Ariff memandang aku sambil tersenyum gembira.
Terus sahaja dia mencapai jemariku lantas diletakkan di atas
tubuhnya.
“Sekarang awak dah kahwin dengan saya...” Katanya
lembut sambil mengelus-elus mesra jemariku.
Paling menyakitkan hatiku apabila melihat lagak
selambanya. Dia seolah-olah tidak pernah teringat apa yang
pernah dilakukannya kepada aku sebelum ini. Langsung tidak
pernah terpamer rasa bersalah lelaki ini tentang peristiwa itu.
Malahan semua itu bagaikan tidak pernah berlaku. Sedangkan
saat ini jiwaku terus bergolak masih tidak mampu menerima
dia. Aku masih tidak mampu melepaskan semua kenangan
hitam itu. Bukan semudah itu!
“Dasar tak sedar diri!” Tanpa dapat ditahan, meluncur
perkataan itu dari mulutku. Sengaja aku menggunakan bahasa
Melayu supaya Ariff tidak tahu yang aku sedang mengutuknya.
“Awak cakap apa tu?” Soal Ariff.
“Takde apa-apa...” Balasku segera mengelak daripada
memanjangkan hal itu. Aku tersenyum buat-buat pula. Semoga
Ariff tidak terus bertanya. Terlupa langsung yang perbuatanku
ini amat tidak patut. Tidak seharusnya aku mencemuh lelaki
yang seharusnya aku taati. Tetapi apakah lelaki ini layak
mendapat penghormatan daripadaku setelah apa yang berlaku?
“Awak tak suka kahwin dengan saya ke?” Soal Ariff
perlahan sahaja.
“Awak suka ke kahwin dengan saya? Kahwin selepas
buat saya mengandung. Awak pernah kata yang perkahwinan
itu suatu yang sia-sia sahaja. Jadi kenapa awak kahwini saya?”
Aku terus membalas dalam nada ejekan. Ariff terdiam pula.
Keriangan pada wajahnya mula memudar melihat sikap
dinginku.
“Kita masih muda. Awak baru 22 tahun. Dah bersedia
ke untuk pikul tanggungjawab seorang suami dan bapa? Dalam
Islam tanggungjawab suami dan bapa amat berat. Suatu hari
nanti, segala kelebihan dan kekurangan kita dalam menunaikan
kewajipan akan dihitung dan dibalas,” ujarku lagi sambil
mengerlingnya.
“Awak pulak? Kenapa awak kahwin dengan saya
sedangkan awak bencikan saya?” Kali ini Ariff pula menyoalku.
Dia juga mahu menguji pendirianku tentang itu. Aku tersenyum
sinis sendiri.
“Kalau bukan sebab anak ini...”
Namun tiba-tiba aku terdiam apabila ‘janji’ itu kembali
melintasi memoriku. Aku segera beristighfar dalam hati. Tidak
seharusnya aku membiarkan perasaan benci menguasai akal
dalam meluahkan kata-kata. Aku tidak boleh mengungkit
tentang kandungan ini biar semarak mana pun rasa benciku
kepada lelaki ini. Sekarang bukan masanya untuk aku kesal
dengan segala yang berlaku. Kekesalan tidak akan membawa
kami semula ke masa lalu. Sebaliknya ada tanggungjawab yang
harus dilunaskan. Ariff tidak harus kubiarkan mengemudi hidup
sendirian. Walaupun dalam hati tidak jejak biarpun sekelumit
rasa untuk mendewakan lelaki yang seharusnya aku taati ini.
“Awak memang tak pernah sukakan saya selama ini?”
Soal Ariff lagi. Nadanya amat rendah. Jika tidak aku tersalah
tafsir, nada itu jelas menunjukkan yang dia kecewa. Untuk
apa kecewa? Bukankah dia pernah mendendami aku sehingga
tergamak mencela maruah perempuanku?
“Entahlah. Saya tak tahu apa yang patut saya cakap.
Awak suami saya. Tanggungjawab saya adalah menggembirakan
hati awak. Kalau berbohong mengatakan yang saya memang
sukakan awak selama ini mampu membahagiakan awak, maka
saya akan lakukan. Tapi ke mana hala tuju hidup kita jika semua
yang kita ada, takde satu pun yang berlandaskan keikhlasan,”
jelasku tanpa memandang lelaki itu. Keluhan kulepaskan
sendiri. Bukan tentang Ariff yang sedang aku perkatakan saat
ini sebaliknya tentang diriku sendiri. Aku yang paling tidak
ikhlas di sini!
“Awak tetap akan bersama saya walaupun awak tak
cintakan saya? Kalau awak tidak hamil, awak memang tak akan
menerima semua ini, kan?” Soal Ariff lagi masih tidak puas
menduga perasaanku.
Aku mula memandang Ariff yang terlentang sahaja di
atas katil. Sebuah jawapan yang terbaik cuba digali sedalamnya
dari pemikiranku ini. Aku terus terdiam dalam pada menghela
nafas perlahan. Apa pilihan yang aku ada saat ini? Adakah harus
aku menggembirakan hati lelaki ini sedangkan suatu masa
dahulu lelaki ini pernah menganiaya diriku tanpa belas kasihan?
Adakah perlu aku berpura-pura suka sedangkan hati benci?
Begitukah sebaiknya? Ah! Tidak perlulah aku menyulitkan
keadaan ini. Lakukan sahaja apa yang termampu. Jawab sahaja
apa yang perlu... itulah kata hatiku saat ini.
“Kewajipan isteri adalah taat kepada suami sama ada
cinta atau tidak, Ariff. Taat tidak semestinya harus bersandar
kepada rasa cinta. Sebaliknya keikhlasan dan keredaan. Selagi
awak tidak menceraikan saya... selagi itulah saya tetap akan
taat walaupun saya tak cintakan awak. Perkahwinan ni wujud
kerana saya percaya jodoh kita telah diaturkan oleh Allah. Allah
lebih tahu apa yang terbaik untuk kita semua,” balasku pasrah.
“Awak memang tak pernah cintakan saya ke, Insyirah?
Awak hanya melakukannya kerana anak ini, kan? Kalau awak
tidak hamil, mungkin saya tidak akan memiliki tempat dalam
hidup awak. Betul, kan?” Sekali lagi Ariff bertanya soalan yang
sama sehingga aku merenungnya dengan rasa hairan. Dia
mahukan jawapan yang jujur, aku agak.
“Kalau jujur itu akan menyebabkan awak kecil hati
dengan saya, saya lebih rela memilih untuk tak menjawab
soalan tu. Itu lebih baik. Saya percaya kita berdua perlukan
masa untuk menyesuaikan diri. Itu sahaja yang perlu awak tahu
buat masa ini,” balasku sedikit serius.
Memang mudah memilih untuk berada dalam
perkahwinan ini untuk menutup kecelaan masa lalu. Tetapi
tidak mudah untuk aku menyayangi dengan setulus hati lelaki
yang telah menghina maruahku. Susah bagiku mendewakan
seorang suami jika tiada rasa dihati untuk meletakkan lelaki itu
di tempat yang paling istimewa dalam hatiku. Sukar!
Ariff mengeluh sendiri.
“Memang menyedihkan kalau kita mencintai orang
yang tak mencintai kita,” ujarnya hambar dalam menahan
rasa kecewa. Dengan perlahan dia melepaskan jemariku dari
genggamannya. Memang pun semenjak tadi hanya dia sahaja
yang memegang jemariku, sedangkan aku langsung tidak
berminat untuk membalas sentuhannya.
“Lebih menyedihkan kalau kita menganiaya orang yang
kita cintai tanpa sedikit pun rasa belas kasihan. Kemudian tanpa
sebarang perasaan kita meninggalkannya begitu sahaja seperti
sampah. Lebih sadis lagi bila kita memalukan orang yang kita
mengaku sayang setelah puas kita mencela kehormatannya.
Paling tidak pun...” Aku mula memandang lelaki itu sambil
menarik nafas dalam.
“Mungkin sesekali perlu juga kita belajar untuk
menyebut perkataan maaf setelah kita menyakitkan hati
seseorang. Bukannya membiarkan begitu sahaja seolah-olah
semua itu tidak pernah berlaku! Tak semua kesalahan boleh
dilupuskan begitu sahaja macam sampah di tempat pelupusan!”
Ucapku tajam. Semoga dia sedar... Perbuatannya yang satu
itulah yang telah membuatkan hatiku menjadi keras begini.
Ariff diam sahaja tidak terkutik. Malas mahu
mengadapnya lagi, aku terus bangun dari situ lalu kembali
semula ke sofa. Untuk apa kami saling duduk berdekatan
jika hanya mahu saling menyakitkan? Eloklah... kami berdua
memang pasangan suami isteri yang unik. Ariff begini, aku pula
begitu.
“Awak marahkan saya kerana peristiwa malam itu
ke?” Tiba-tiba kedengaran lagi suara Ariff saat aku sedang
memandang tv di hadapanku.
“Awak rasa?” Balasku dalam nada jengkel. Bebal pula
lelaki ini kurasakan.
“Awak mahu saya minta maaf?” Soal Ariff lagi sambil
merenung aku dari pembaringannya. Saat itu aku hanya
mampu menghela nafas perlahan demi menghimpunkan
sedikit kesabaran untuk menangani kebebalan lelaki ini. Sedikit
sebanyak kata-kata dan sikap Ariff saat ini sudah membuatkan
aku rasa amat terhina.
“Muhammad Ariff Buhler... suatu hari nanti awak juga
akan melalui saat-saat yang menyakitkan seperti yang saya lalui
sebelum ini. Mungkin bila awak dah rasa perasaan tu, barulah
awak akan putuskan sama ada awak harus meminta maaf pada
saya atau tidak!”
Sekali lagi Ariff terdiam. Namun dia kelihatan sedang
memikirkan apa yang dibicarakan olehku tadi. Tetapi itu hanya
untuk seketika. Agaknya kerana malas mahu melayan bicaraku,
dia segera memejamkan matanya.
KEESOKAN PAGINYA selepas solat subuh, aku menghidangkan
Ariff sarapan pagi yang aku pesan melalui telefon. Hanya ada
roti kosong dengan jem strawberi dan kopi yang dihantar oleh
pihak hotel kepada kami.
“Ini sahaja?” Soal Ariff teramat jengkel sambil
merenung makanan di hadapannya itu.
“Awak tak boleh makan telur, ayam dan makanan laut.
Jangan lupa luka tu kena jaga dengan baik kalau awak nak
organ kesayangan awak tu sihat semula. Kalau awak tak jaga
makan, nanti luka tu akan bernanah. Awak juga yang akan rasa
sakitnya,” ucapku berusaha berlembut untuk mengingatkan
lelaki itu tentang keadaannya.
“Saya tak suka ini!” Ariff mula membentak.
“Makan ajalah, Ariff. Ini cuma untuk sementara sahaja.
Bersyukurlah dengan apa yang ada,” keluhku sudah mula bosan
dengan perangai lelaki itu. Entah berapa lamalah aku mampu
bertahan dengan lelaki yang berperangai begini?
“Bawa makanan lain. Saya tak mahu makan bendabenda
macam ni! Mereka patut beri saya lebih! Hotel ni
keluarga saya yang punya!” Bentakan lelaki itu semakin kuat.
Sengaja mahu menunjukkan sikap keras kepalanya. Masam
kelat wajahnya saat memandang makanan itu. Seolah-olah
rendah benar taraf makanan itu di matanya.
Sekali lagi aku terpaksa menghela nafas sabar dengan
gelagat suami mithaliku itu. Kalau ikutkan hati yang sakit,
mahu sahaja aku berlaku kasar terhadapnya. Sabar, Syira...
Itu suami kau! Bisikku mengingatkan diri agar tidak melebihi
batas. Tetapi sikap Ariff semakin lama semakin memualkan
perasaanku yang dah sediakala mual ini.
“Saya tahulah hotel ni bapak awak yang punya. Takde
siapa yang mampu menafikan kenyataan itu. Tapi awak tu sakit!
Kalau tak jaga makan, saya jugak yang nak kena hadap muka
awak nanti. Bukannya hotel ni boleh jaga awak pun!” Keluhku
dalam nada tertahan. Janganlah hendaknya dia sakitkan hati
aku lagi. Aku dah rasa macam nak meletup dah ni!
“Saya tak suka benda ni semua. Saya nak salad!”
Malas untuk mendengar lelaki itu memekak lagi, aku
segera memesan ceaser salad dan set lengkap sarapan pagi
untuk santapan ‘tuan putera’ yang baru bersunat ini melalui
talian. Sempat juga aku berpesan agar kandungan yang tidak
boleh diambil oleh Ariff tidak diletakkan ke dalam hidangan
itu. Mujurlah sesampai sahaja hidangan itu, Ariff makan juga
walaupun keenakannya sudah berkurangan. Begitu juga set
sarapan pagi yang tidak diletakkan telur dan daging. Nampak
macam lapar benar tuan putera seorang ni.
Tetapi yang membuatkan aku bertambah menyampah
dengan Ariff, selepas menikmati salad itu... roti yang dikatanya
tak suka sebentar tadi itu juga disebatnya sampai tinggal habuk.
Kepala roti pun dia baham sekali. Mungkin apabila sudah lapar,
terlupa pula Ariff yang pemilik hotel seperti dia... juga boleh
memakan makanan yang ringkas dan murah seperti itu. Sama
juga kenyangnya!
“Ariff...” Panggilku setelah Ariff selesai membersihkan
dirinya. Sesudah kenyang lelaki itu lebih suka bersantai di atas
katil. Aku mula mendekatinya lalu duduk bersebelahan dengan
suamiku itu.
“Saya tak suka awak memanggil saya dengan nama
itu. Boleh panggil saya Estaban? Bila awak sebut nama itu, saya
terasa awak macam memanggil lelaki lain,” ucap Ariff dengan
nada yang cukup menyakitkan hati. Selamba sahaja tanpa
mengira apa yang sedang dilafazkan lidahnya itu.
“Astaghfirullahal’adzim... awak ni bercakap ikut sedap
mulut aja, Ariff. Estaban tu bukan nama orang Islam. Kita
digalakkan untuk mempunyai nama yang baik-baik,” tegurku
dalam rasa terkejut yang amat sangat. Kurang ajar betul mulut
lelaki ini! Kena panah petir nanti baru dia tahu!
“Itu hanya sekadar nama saja. Apa salahnya?” Balas
Ariff bersahaja.
“Memanglah tak berdosa tapi kita digalakkan ada
nama yang baik-baik. Sebab nama yang ada maksud baik tu,
seumpama kita didoakan oleh orang yang menyeru nama kita.
Saya takkan panggil suami saya dengan nama orang bukan
Islam. Awak orang Islam! Apa yang tidak kena dengan nama
Ariff? Ariff tu bermaksud bijak. Saya mahu awak juga begitu!”
Tegasku serius kepadanya.
Ariff hanya menjongket bahu. Sedikit pun dia tidak
mengambil berat akan apa yang sedang aku perkatakan
kepadanya. Aku dapat merasakan yang Ariff hanya mengimpikan
keseronokan batin di sebalik perkahwinan ini. Selebihnya dia
tidak berhasrat untuk memelihara kesuciannya.
“Awak tahu kenapa nama awak ada dua. Satu Estaban
dan satu lagi Joseph?” Soal aku kembali berlembut dengan lelaki
itu. Nak bercakap dengan dia ni kena membayangkan yang aku
sedang bercakap dengan budak 5 tahun. Tak reti bahasa! Aku
memang kena banyak sabar. Kalaulah sabar itu ada dijual di
kedai... memang aku dah pergi borong!
“Tak tahu. Siapa yang pilihkan nama itu?” Dia masih
dengan reaksi biasa-biasanya itu.
“Nama Yusuf itu mama awak yang pilih untuk awak.”
“Hah?” Spontan lelaki itu terkejut. Dia mula
memandang aku tajam.
“Awak jangan nak bergurau dengan saya! Mama
saya dah lama meninggal!” Bentaknya marah tiba-tiba. Aku
memandangnya hairan. Apa dia ingat aku tengah bergurau
senda ke?
“Ya... saya dah tahu mama awak meninggal waktu
awak berumur 14 tahun. Saya cakap yang benar. Nama itu
ada kisahnya sendiri. Mama awak yang pilih nama itu untuk
awak. Kalau awak tak percaya, awak tanyalah papa.” Aku tetap
menjawab dengan tenang.
“Macam mana mama saya dalam kubur tu boleh
bercakap dengan awak dan papa? Awak ingat saya ni bodoh?
Saya tak suka awak mempersendakan mama saya!” Bentak Ariff
kian lantang.
“Siapa pulak yang kata dia bangun dari dalam kubur
untuk bercerita tentang itu? Awak ni nama aja pelajar universiti
tapi akal fikiran awak terlalu sempit, Ariff! Perkara semudah ini
pun awak masih tak boleh memahaminya dengan sempurna!
Awak malas nak berfikir! Perkara senang yang saya sampaikan
jadi susah bila masuk kat otak awak tu. Sebab itulah saya ni
selalu sakit jiwa dengan perangai awak dulu. Bila saya cakap
saya tak nak, otak awak tafsir lain!” Tekanku mulai geram
dengan lelaki itu. Kalau mama dia bangun dari dalam kubur,
memang mendiang mama dia tu takkan dapat bercakap dengan
aku. Sebab waktu itu, aku dah pun lari agaknya.
Kali ini Ariff terdiam pula apabila dimarahiku. Riak
ketegangan juga memudar sedikit.
“Mama awak pilih nama Joseph untuk awak sempena
kisah Nabi Yusuf a.s. yang pernah didengarinya daripada
seseorang sewaktu mengandungkan awak dulu. Nama Yusuf
adalah untuk orang Islam. Tetapi di dalam kitab bible Nabi
Yusuf ditulis dengan nama Joseph. Nabi Yusuf adalah manusia
yang dikatakan sebagai manusia yang teramat tampan paras
rupanya. Sehinggakan pernah diceritakan di dalam kitab-kitab
lama, beberapa wanita di Mesir pada zaman itu sampai terpotong
jari-jari mereka hanya kerana terlalu taksub melihat rupa
paras Nabi Yusuf a.s. Baginda juga seorang nabi yang memiliki
pekerti mulia dan penyabar semenjak kecil. Nabi Yusuf a.s.
pernah dianiaya oleh saudara-saudara kandungnya dan pernah
dipenjarakan kerana fitnah isteri tuan yang memiliki Nabi Yusuf
hanya kerana cintanya telah ditolak oleh nabi Allah itu. Wanita
itu mengatakan nabi Yusuf a.s. cuba menggodanya padahal
dialah yang cuba menggoda Nabi Yusuf agar menzinainya.
Kisah Nabi Yusuf a.s. itu dijadikan contoh oleh mama awak
untuk menjadikan awak manusia yang berguna. Tetapi hayat
dia tak panjang bersama awak. Dia mahu awak juga mencontohi
keperibadian seperti itu. Kerana itu nama Joseph diletakkan
pada awak.” Aku bercerita lembut kepada lelaki itu.
“Joseph itu nama seorang nabi?” Tanya Ariff seolaholah
baru tersedar semua itu. Riak terkejut jelas dipamerkan
pada wajahnya.
“Awak tak pernah tahu semua itu?” Ariff lantas
menggeleng. Bersungguh benar gelengannya menandakan dia
sememangnya tidak tahu dan tidak pernah mengambil tahu
selama ini.
“Papa tidak pernah memberitahu saya apa-apa
tentang itu. Kenapa papa beritahu awak?” Ucapnya sambil
memandangku.
“Ada sebabnya. Biarlah saya saja yang tahu apa
sebabnya. Tapi sekarang awak dah tahu, kan? Siapa yang
beritahu awak itu tak penting. Yang penting harapan mama
pada awak selama ini. Dia mahu awak jadi orang yang baik.
Kita takkan mampu menandingi budi pekerti seorang nabi atau
rasul. Tapi kita wajib beriman kepadanya,” jelasku lembut.
“Tapi saya memang orang baik selama ini!” Sambut
Ariff pantas. Terkedu aku mendengar kata-kata lelaki itu. Dia
baik? Baik apa kejadahnya kalau sampai sanggup merogol?
“Jadi macam mana dengan kita selepas ini?” Tanyaku
malas mahu melayan ragam suamiku itu. Lebih baik aku terus
ke pokok persoalan yang mahu dibincangkan segera daripada
melayan lelaki ini merapik yang bukan-bukan. Kalau sekali lagi
dia mengaku dia baik, memang muntahlah aku kat tepi katil ni.
“Macam mana apa?” Soal Ariff masih tidak serius.
Rambutku mula dibelainya dan diciumnya lembut.
Aku mula kelemasan dengan kelakuan lelaki itu. Namun aku
sekadar membiarkan sahaja walaupun hati membentak tidak
suka. Tidak wajar pula rasanya aku menolak kemahuan lelaki
itu kalau hanya setakat itu yang mampu dia lakukan.
Tetapi apabila dibiarkan... Ariff mula pergi semakin
jauh. Pinggangku mula dipeluknya dan leherku terus
dicumbunya. Aku semakin lemas. Hati yang masih bengkak
segera menghasut agar menolak sahaja lelaki itu. Tetapi
sebahagian hati lagi tidak sanggup pula. Ariff adalah suamiku
dan tidak berdosa dia menyentuh isterinya sendiri. Sebaliknya
akulah yang berdosa sekiranya menolak kehendak suami yang
tidak semana.
“Hmm... cantik rambut awak. Saya suka. Saya rasa
macam bermimpi pula bila melihat awak berbaring di sebelah
saya semalam,” bisik Ariff dalam keasyikan.
“Ariff, kita perlu berbincang...” Tekanku sudah tidak
tahan. Harap-harap lelaki ini akan menghentikan perbuatannya
segera.
“Bincang apa?” Soal Ariff dalam suara yang teramat
jauh.
“Tentang kita selepas ini. Masakan kita hanya di hotel
ini selama-lamanya. Awak kena teruskan pengajian nanti. Saya
ni macam mana?” Sambutku pantas.
“Awak akan ikut saya balik ke Londonlah!” Putusnya
mudah.
“Tapi...” Aku tidak jadi meneruskan kata-kata. Ariff
mula menghentikan sentuhannya apabila mendengar aku
masih bertapi dengan keputusannya. Dia memandangku tajam
seperti tidak berpuas hati.
“Apa masalahnya?” Soal Ariff hairan.
“Saya mahu lahirkan anak kita di sini,” ujarku sambil
memandang tepat ke dalam mata suamiku itu. Tetapi seketika
kemudian pandangan segera aku larikan. Entah kenapa aku
takut dia dapat menyelami isi hatiku yang sebenar.
“Apa masalahnya kalau awak lahirkan anak kita di
London?” Soal Ariff pula.
“Ini anak pertama kita. Tolong izinkan saya. Biarlah
saya di sini buat sementara dengan mak saya. Saya janji lepas tu
saya akan ikut awak,” ucapku selembut yang boleh. Mana tahu
Ariff cair dengan kelembutanku itu. Saat ini aku yang harus
bijak mengampu agar dia bersetuju dengan kemahuanku yang
satu itu.
Ariff terdiam seketika. Tiada jawapan diberikan saat itu.
Pada pengamatanku... amat penting untuk aku lahirkan
anak kami di sini. Salah satu sebabnya... pada masa hadapan,
hak anak ini akan terus berada di tanganku sekiranya apa-apa
terjadi antara aku dan Ariff. Aku tahu kelebihan akan berpihak
kepadaku nanti kerana pernikahan kami didaftarkan di Kuala
Lumpur. Tidak mudah Ariff mahu merebut anak kami nanti jika
lelaki itu melepaskan aku dari ikatan ini. Kuasa menentukan
hak penjagaan kanak-kanak warganegara Malaysia, terletak
kepada mahkamah syariah di Malaysia.
Bukannya aku mahu menafikan hak Ariff sebagai bapa
tetapi sudah terang dan nyata suamiku ini memeluk agama
Islam sekadar menurut permintaan papanya. Rasanya tidak
salah jika aku melakukan ini untuk menjaga masa depan kami
anak-beranak nanti. Apa yang penting, soal akidah sesuatu yang
tidak boleh dibuat main.
“Kalau awak di sini, macam mana dengan saya?
Masakan saya harus bersendirian di London?” Ariff mula
meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kemahuanku itu.
“Ini anak pertama kita. Saya bukannya pandai jaga
anak. Saya perlukan emak saya untuk mengajar saya tentang
itu semua. Cuma untuk sementara sahaja, Ariff. Bolehlah... saya
janji selepas itu saya akan ikut ke mana saja awak pergi,” rayuku
lembut.
“Hmm... pertama kali saya dengar suara awak manja
begini. Baiklah! Awak boleh lahirkan anak kita di sini. Tetapi
setelah itu jangan lupa untuk kembali semula ke London
bersama dengan saya,” ujarnya dengan senang hati.
Tidak dapat ditahan bibirku terus tersenyum
kegembiraan. Kini aku sudah mula mengerti. Bukan susah
untuk memujuk lelaki ini jika kena dengan caranya. Manjamanja
sikit aja dah bolehhh..
“Tapi dengan syarat!” Belum habis lagi aku meraikan
kegembiraan itu, Ariff sudah meletakkan syaratnya.
“Apa syaratnya?”
Ariff mula memuncungkan bibirnya. Aku mengerutkan
kening, hairan melihat kelakuan lelaki itu. Tidak faham aku
tentang apa maksudnya mulut yang sedang termuncung
sebegitu.
“Apa tu? Macam muncung itik aja?” Getusku tidak
mengerti.
“Cium saya dulu...” Pinta Ariff sambil tersengih miang.
“Erk???” Aku terus terkaku dalam kegelabahan. Eeii...
Macam-macam pulak naknya dia ni. Dalam diam hatiku kembali
mendongkol menyampah.
“Saya tak pandailah semua benda tu...” Balasku pantas
untuk mengelak.
Spontan Ariff menarik tubuhku sehingga aku
melekap di badannya. Mudah sahaja dia mendapatkan apa yang
dimahukannya tanpa sempat aku bersedia. Namun sedikit
pun tidak aku membalas perlakuannya itu. Aku hanya terdaya
mengeraskan diri dengan kelopak mata yang dipejamkan rapat.
Seketika kemudian Ariff melepaskan aku dengan sebuah keluhan
hampa. Entah mengapa terhiris benar hatiku mendengar
keluhan itu. Namun aku hanya diam sahaja tanpa berkata apaapa.
Kalau dilayan perangai dia ni... memang bergaduh besarlah
kami nanti. Lebih baik aku mengalah sahaja.
“Saya akan balik dengan papa nanti. Awak tinggallah di
sini. Selepas melahirkan anak nanti, awak boleh pilih apa yang
awak mahu. Sama ada mahu bersama saya atau tidak,” ucap
Ariff perlahan setelah puas melayan rajuk di hatinya.
Aku segera menoleh kepada Ariff. Dalam kebisuan
sendiri, aku cuba memahami apa maksud Ariff setepat-tepatnya.
Apakah Ariff mahu menolak aku pergi daripada hidupnya?
Secepat itu pendirian suamiku ini berubah. Sedangkan
sebentar tadi Ariff yang meminta aku ke London bersamanya.
Inilah akibatnya jika tidak memiliki pedoman. Cakap pun selalu
lintang-pukang. Sekejap begitu, sekejap begini. Telinga yang
mendengar inilah yang pening dibuatnya.
“Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak mahukan
saya?” Soalku dengan keberanian yang tidak seberapa.
“Kita memang tak sama. Saya perlukan wanita yang
pandai membuat saya gembira. Awak hanya kaku dan dingin
semenjak dulu. Awak tak pernah rela kalau dengan saya,” keluh
Ariff kehampaan. Tersirap darahku mendengarkannya. Tersiat
pedih hatiku mendengar bicara yang cukup mudah diluahkan
tanpa mengira perasaanku.
“Ya! Saya memang tak sama dengan semua perempuanperempuan
yang selalu dihurung awak. Saya bukan seorang
perempuan yang pandai beraksi di atas katil dengan awak. Awak
jangan samakan saya dengan mereka sebab saya tak boleh ikut
cara mereka.” Pahit bunyi jawapanku.
Ariff mencebik dengan jawapanku. Wajahnya
diselambakan semata-mata untuk menyakitkan hatiku.
Angkuh benar! Sebentar tadi dia begitu mesra, sekarang dia
amat sombong pula. Sakit betul hati aku melihatnya. Kalau
dilayan desakan hatinya ini, memang banyak kata-kata yang
mahu dihamburkan kepada lelaki itu. Tetapi akalku menahan...
meminta aku supaya bersabar sahaja.
“Saya pun tak boleh ikut cara awak,” balas Ariff selamba
cuba menghidupkan pertengkaran kami berdua.
“Apa maksud awak ni, Ariff?” Soalku dengan sorotan
mata yang agak tajam. Cara apa yang dia maksudkan?
“Saya memang tak biasa beragama semenjak dahulu.
Jadi awak tak boleh memaksa saya mengikuti semua ajaran
agama ini. Saya kahwini awak sebab papa yang mahu saya
buat begitu. Begitu juga untuk menganuti agama ini,” jawab
Ariff serius. Turun naik dadaku menahan perasaan mendengar
jawapan suamiku itu.
“Jadi untuk apa awak buat sejauh ini? Saja-saja buang
masa?” Dugaku dalam kesabaran yang kian menipis.
“Senang saja, sayang. Papa mahukan cucunya...
Saya pula mahukan awak... Awak tahu yang saya memang
mengangankan awak semenjak dulu, kan. Inilah peluangnya!”
Kata-kata itu meluncur kejam dari mulut Ariff tanpa rasa
bersalah. Sedangkan kata-kata itu amat menyakitkan untukku
dengar sebegitu sahaja. Seolah-olah sebelum ini akulah yang
terhegeh-hegeh meminta Ariff bertanggungjawab kepada bayi
yang sedang berada dalam kandunganku ini. Sayangnya dalam
keadaan aku masih dikawal perasan marah, tiada sepatah kata
dapat aku luahkan untuk lelaki ini.
“Saya boleh dapat sesiapa sahaja yang saya mahu. Masih
ingat apa yang saya katakan dulu? Saya akan buat apa sahaja
untuk dapatkan awak,” ucap Ariff sengaja mahu memulangkan
paku buah keras kepadaku. Nadanya menyerlahkan rasa bangga
seolah-olah dia telah memenangi pertandingan ini kerana
akhirnya aku yang terpaksa tunduk kepadanya sebagai seorang
isteri.
“Oh! Begitu ke sikap awak selama ini? Jadi awak
kahwini saya sebab nak membuktikan yang awak dah
menanglah? Permainan kita baru bermula, Ariff.” Aku mula
membalas tajam.
“Apa maksud awak?” Dia pula yang bertanya kepadaku.
“Maksud saya, awak belum menang lagi kalau awak
rasakan ini adalah satu permainan. Bukan saya yang datang cari
awak tapi awak yang datang cari saya. Jangan lupa... bukan bapa
saya yang melamar awak tapi bapa awak yang datang merayu
pada saya. Satu perkara lagi, awak jangan sesekali lupakan yang
ini tempat saya! Sekarang ini... kalau ada yang perlu memilih,
itu adalah awak! Bukannya saya. Kerana untuk diri saya... jalan
yang masih tinggal untuk saya menang sedang terbentang luas
di hadapan mata saya! Tak perlu awak bersusah payah meminta
saya berfikir dalam-dalam ke mana harus saya pergi jika awak
buang saya daripada hidup awak. Saya akan terus berasa di sini!”
Ucapku nekad dalam pada hatiku berombak ganas.
Ariff ingin membalas kata-kataku. Namun aku lebih
cepat memintas.
“Saya memang sedia maklum semenjak dari awal
saya kenal awak dulu. Saya tahu apa yang awak nakkan sangat
daripada saya. Dan saya pun tahu, awak sedar apa pulak yang
saya mahukan untuk diri saya. Masih ingat? Saya hanya
memerlukan lelaki sejati dalam hidup saya. Kehadiran bayi
ini tak mencacatkan sedikit pun impian saya, kalau awak nak
tahu,” ucapku serius.
“Awak jangan cabar saya, Insyirah!” Balas Ariff keras.
“Jalan kita memang tak sama, Ariff. Tapi takpe! Saya
sedia beri awak masa untuk memilih apa sahaja yang awak
mahu, okey?” Ujarku dalam keselambaan yang dibuat-buat.
Padahal aku hanya menunggu masa sahaja untuk menangis.
Spontan berubah merah wajah Ariff. Dia mahu
membalas kata-kataku itu, namun aku terlebih dahulu bangun
dari situ.
“Awak berehatlah. Tak perlu nak bertegang urat
dengan saya lagi. Agama Islam ni agama yang adil. Pegang katakata
saya itu sehingga awak terjumpa bukti yang mengatakan
apa yang saya katakan ini benar!” Ujarku selamba sebelum
terus masuk ke dalam bilik air. Di dalam ruangan kecil itu aku
memandang diriku melalui cermin. Berkali-kali nafas aku hela
untuk menghilangkan sesak di dada. Kata-kata Ariff sebentar
tadi terus terngiang-ngiang di telingaku.
Sebegitu rendahkah nilai diriku pada mata suamiku
itu? Aku sekadar teman untuk dia berseronok. Dan kemudian
nanti, setelah puas madu dihirup aku tidak lagi berharga
kepada lelaki itu. Jadi apa erti semuanya ini? Ke mana perginya
perkahwinan ini akhirnya? Baru sehari dua aku bersamanya,
hatiku sudah dijeruk semasam-masamnya oleh lelaki itu.
Mampukah aku bertahan nanti? Aku menggeleng buntu. Aku
tidak tahu!

No comments:

Post a Comment