Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 8

SUDAH hampir seminggu aku berada di Kuala
Lumpur. Sepanjang minggu itu setiap hari aku membuat solat
istikharah bagi meminta pertunjuk daripada Allah atas apa yang
sedang aku lalui. Hasilnya... tiada mimpi yang datang kepadaku.
Tetapi naluri hatiku semakin kuat ditarik untuk menerima
lamaran itu. Berlandaskan naluri itu, aku akhirnya memberi
kata putus seperti yang diharapkan oleh bapa Estaban.
Walaupun sudah diketahui yang kami akan berkahwin,
aku lihat Estaban seperti patung bernyawa sahaja lagaknya. Ikut
sahaja apa yang diarahkan oleh papanya. Malah saat diberitahu
yang dia harus memeluk agama Islam sebelum mengahwiniku,
dia akur begitu sahaja tanpa sedikit pun pertikaian. Namun jauh
dari sudut hatiku, aku tahu hati lelaki itu tiada keinginan untuk
memiliki pegangan dan agama yang bakal dianutinya ini. Aku
tidak mampu membayangkan apa yang bakal berlaku esok...
lusa... dan seterusnya. Namun aku sandarkan harapan yang
ikhlas agar ini menjadi jalan yang terbaik buat kami semua.
Termasuklah diriku juga.
Anehnya... walaupun sudah mahu berkahwin, aku
dan Estaban tidak mesra seperti orang yang bakal mendirikan
rumah tangga. Kami jarang bercakap atau berbual mesra
seperti pasangan yang lain. Seorang membisu... seorang lagi
pula hanya diam tidak peduli. Alangkah peliknya hubungan ini.
Minggu ketiga itu selesai juga segala urusan dengan
pejabat agama. Kebenaran bernikah juga sudah kami perolehi.
Aku dan Estaban dijadualkan bernikah selang sehari selepas
upacara pengIslaman lelaki itu. Petang Khamis itu sebaik
sahaja selesai solat zohor, kami semua sudah berada di Masjid
Negara. Aku sememangnya tidak mahu ketinggalan melihat
sendiri upacara yang cukup bersejarah itu. Seorang lelaki yang
tidak mahu beragama, kini akan mengucapkan kalimah tauhid
mengesakan Allah. Semoga Allah memberikan dia hidayah.
Buat yang pertamanya imam menguji pengetahuan
Estaban mengenai rukun Islam dan rukun iman. Dia dapat
menjawabnya dengan baik seperti yang sudah dihafalnya
sebelum ini. Estaban sudah menghadiri kursus jangka pendek
mengenai asas-asas pengetahuan dalam Islam sebelum ini di
PERKIM setiap hari selama tiga minggu ini. Semua itu sudah
ada di dalam kepalanya.
Tetapi apabila diminta membacakan surah hafazan
iaitu surah Al-Fatihah, dia sudah tergagap-gagap. Ada yang
diingatnya dan ada yang dia lupa. Tajwid tak usah cakaplah...
lintang-pukang habis semua dilanggarnya! Sehinggalah imam
itu membantu dengan ikut membacakan surah yang amat
mudah itu. Setelah imam itu berpuas hati dengan pengetahuan
Estaban mengenai asas-asas pengetahuan agama Islam, lelaki
itu segera mengajarnya mengucapkan kalimah mentauhidkan
Allah yang Esa, berserta dengan maknanya sekali.
“Aku naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan
Allah. Dan aku juga naik saksi, Nabi Muhammad itu adalah
pesuruh Allah.” Mudah sahaja Estaban mengucapkan kalimah
itu.
Sesungguhnya hatiku sebak entah kenapa sebaik
sahaja menyaksikan Estaban mengulangi apa yang disebutkan
oleh imam itu. Air mata tanpa dapat aku tahan, mengalir laju di
pipi. Ada rasa halus datang menyelit di sanubari sehingga aku
menjadi begitu sayu. Aku seperti tidak jejak di bumi lagi saat
melihat semua itu di hadapan mataku sendiri. Dengan nama
yang dipilih olehku... kini Estaban bergelar Muhammad Ariff
Buhler bin Abdullah.
KEESOKAN HARINYA pula adalah pernikahan kami...
Aku berhias sederhana dengan baju kurung berkain
lace putih yang baru dibeli oleh emak di Masjid India dan
Estaban a.k.a Ariff pula dengan baju melayu warna sama yang
dipilih oleh papanya.
Usai solat Jumaat, kami mula berkumpul di masjid
yang sama. Buat pertama kali selama aku mengenalinya,
aku mahu memuji ketampanannya apabila melihat Ariff
mengenakan songkok hitam di kepalanya. Teringat aku akan
cerita Nabi Yusuf a.s. itu. Cuma apa yang membuatkan aku
meluat, si romeo itu masih tidak mahu memotong rambutnya
walaupun aku sudah berpesan. Masih juga mahu mengekalkan
watak romeonya itu. Menyampah betul!
Sementara menunggu upacara pernikahan dimulakan,
aku memerhatikan setiap seorang ahli keluarga Estaban. Geli
hati aku melihat Celina yang tidak senang duduk di dalam
masjid itu. Agaknya takut menderhakalah tu, duduk dalam
rumah ibadat orang Islam! Diakan biarawati... Tidak cukup itu,
dia berkipas kepanasan pula. Yalah... Malaysia kan panas. Kena
pulak pakai jubah dan bertudung penuh bagi menghormati
kemuliaan rumah Allah ini. Cuma Samuel aja yang cukup
tenang aku lihat. Dia asyik memandang segala perbuatan imam
di hadapan kami. Beberapa orang pegawai dari pejabat agama
dilantik untuk menjadi saksi upacara itu.
Buat permulaannya kami berdua diceramah panjang
oleh kadi itu. Kepada bakal suamiku itu, banyak sekali pesanan
demi pesanan yang diberikan untuk melengkapkan ilmu
sebagai seorang yang beragama Islam juga sebagai suami.
Walaupun pesanan itu ditujukan buat Ariff, namun aku ikut
mendengarnya. Tidak ketinggalan imam itu mengingatkan aku
akan tanggungjawabku untuk mengemudi arah hidup lelaki ini
setelah bergelar isterinya nanti.
Kata imam itu... ini seumpama ‘janji pada-Nya’ yang
tidak boleh diabaikan. Janji kepada Allah sama sekali tidak boleh
dimungkiri sewenang-wenangnya. Mendidik akidah Ariff adalah
sebahagian daripada tanggungjawabku kerana selepas selesai
akad nikah ini, akulah orang yang paling hampir dengan Ariff.
Aku cukup sedar betapa besarnya tanggungjawab itu. Namun
aku tetap mahu mengikhlaskan hati untuk menerimanya.
Untuk upacara akad nikah pula, imam itu yang dipilih
mewakili abah kerana Ariff tidak memahami bahasa melayu.
Walaupun akad nikah boleh menggunakan bahasa melayu, abah
tetap meminta imam itu menikahkan kami berdua dengan lafaz
akad yang mampu difahami oleh Ariff. Abah mahu Ariff sedar
dan faham apa yang telah diterimanya dan apa yang digalasnya
bersama akad itu.
“Nur Insyirah binti Syawal, sudi atau tidak saya
nikahkan kamu dengan Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah?”
Imam itu mula memandangku untuk meminta persetujuanku.
“Sudi...” Aku menjawab lembut. Imam itu
mengangguk. Tumpuannya mula diberikan kepada Ariff yang
duduk di hadapannya.
“Sambut akad ini dengan jelas dan lancar. Tak mahu
tergagap-gagap, faham?” Imam itu berkata kepada Ariff. Ariff
sekadar mengangguk. Aku lihat dia sudah mula resah. Dahinya
digaru beberapa kali.
Rentak jantungku mulai berubah deras sebaik sahaja
melihat Ariff menyambut huluran tangan imam itu. Lelaki
itu sempat memandangku seketika sebelum dia kembali
menumpukan perhatian kepada imam di hadapannya itu.
Seketika kemudian aku mulai dengar lafaz akad disebutkan
imam itu dalam bahasa Inggeris. Ariff cuba menyambutnya
dengan sekali lafaz seperti yang telah diajarkan kepadanya
sebelum ini. Tetapi lafaz itu ditolak saksi dan akad nikah
terpaksa diulangi sekali lagi. Sekali lagi aku melihat Ariff resah.
Duduknya tidak lagi aman. Dia meraup wajahnya berkali-kali.
Beberapa kali abah mengosok belakangnya meminta dia agar
bertenang.
Sekali lagi imam itu mengingatkan agar Ariff
menyambut akad itu dengan lancar. Tidak boleh tergagapgagap
lagi seperti tadi. Dia hanya mengangguk sahaja. Akhirnya
hingga kali ke enam imam itu melafazkan akad, barulah Ariff
dapat menyambut dengan lafaz kabul yang lancar. Dengan
pengesahan saksi, barulah akad nikah ini diterima oleh imam
itu. Melihat semua itu tiba-tiba aku berasa teramat sedih. Air
mataku mengalir laju di pipi. Di dalam pelukan emak, aku
melepaskan perasaan yang bercampur baur saat ini. Aku sendiri
tidak tahu apa yang sedang aku rasakan. Adakah aku gembira?
Atau berduka? Entah!
Tidak terduga olehku, saat pertama kali aku mengenali
Estaban dahulu... lelaki inilah yang telah ditakdirkan menjadi
suamiku. Tidak pernah juga termimpi olehku yang aku akan
mengahwini seorang lelaki dalam keadaan tergesa-gesa begini.
Tidak pernah aku angankan untuk dinikahi lelaki yang kuanggap
musuh. Lebih daripada itu... aku langsung tidak pernah
menduga yang takdir telah tertulis, aku akan mengahwini
seorang lelaki dalam keadaan diriku telah pun hamil!
Selepas berlangsung pernikahan itu, imam meminta
Ariff membuat lafaz taklik kepada diriku memandangkan
terlalu banyak risiko bagi perkahwinan antara dua bangsa
dan dua negara seperti aku dan dia. Ini adalah jaminan bagi
diriku pada masa hadapan. Dan aku sememangnya tidak mahu
Ariff ingkar daripada tanggungjawabnya. Ariff mula mengerti
dengan tujuan apa lafaz taklik itu dilakukan setelah diterangkan
oleh jurunikah itu. Setelah menerangkan sedikit sebanyak hak
diriku sebagai isteri, imam itu meminta Ariff menyebut sumpah
itu dengan rela hati.
“Saya Muhammad Ariff Buhler bin Abdullah dengan
ini mengakui sekiranya saya meninggalkan isteri saya Nur
Insyirah binti Syawal selama empat bulan berturut-turut tanpa
nafkah zahir atau batin, sekiranya dia pergi membuat aduan
kepada mahkamah syariah di Malaysia ini... maka gugurlah
talak khuluk kepada isteri saya. Kecuali sekiranya isteri saya
meredakannya. Saya juga mengakui sekiranya saya menikahi
wanita lain tanpa keizinan isteri saya, maka gugur talak satu
kepada isteri saya.” Dengan tenang Ariff menyebut lafaz taklik
tersebut di dalam bahasa Inggeris.
“Tahu ke apa itu talak khuluk?” Tanya imam itu setelah
Ariff selesai membaca tulisan di atas buku di hadapannya itu.
Ariff terpana seketika sebelum menggeleng.
“Talak khuluk ini tebus talak. Sekiranya kamu
meninggalkan dia tanpa khabar berita... dan dia pergi membuat
aduan di mahkamah syariah. Maka jatuhlah talak khuluk ini
setelah isteri kamu membuat bayaran yang ditetapkan oleh
mahkamah syariah iaitu sebanyak RM 10. Kamu faham?” Ariff
mengangguk berkali-kali sebelum mengalihkan pandangannya
kepadaku.
“Ambil perhatian dengan lafaz sumpah ini. Lafaz ini
jangan sesekali awak lupakan selagi dia masih isteri awak. Lafaz
ini bertujuan untuk menjamin hak isteri agar tidak dianiaya
oleh pihak suami. Kewajipan isteri adalah taat kepada suaminya
Tetapi mereka juga mempunyai hak dalam perkahwinan yang
telah ditetapkan oleh agama Islam. Suami tidak boleh sesuka
hati menggunakan kuasa yang ada di tangannya sehingga
menganiaya isteri. Sekiranya awak ingkar dengan apa yang
awak lafazkan tadi, maka awak dan dia terlepas dari ikatan suami
isteri ini tanpa perlu lafaz talak lagi. Begitu juga sekiranya awak
ada melafazkan untuk kembali semula kepada agama asal awak
atau bertukar kepada agama lain. Secara automatik hak awak
kepada dia akan gugur dengan sendirinya kerana awak tidak
lagi beragama Islam,” jelas imam itu lagi kepada Ariff.
Ariff terus mengangguk-angguk tanda memahami
kata-kata imam itu. Aku nampak bapa Ariff yang mendengar
juga ikut mengangguk. Wajah lelaki itu cukup ceria setelah
segalanya berjalan dengan baik seperti yang dirancangkan.
Muhammad Ariff terpinga-pinga menggelabah apabila
diminta mengerjakan solat sunat nikah seorang diri. Aku sempat
tersenyum sinis melihat Ariff cuba memberitahu abah yang dia
masih tidak tahu bersolat. Dia cuba meminta pertolongan abah.
Tanpa segan-silu, dia mencuit-cuit abah seolah-olah meminta
abah memberitahu imam itu yang dia masih belum pandai
bersolat. Mujurlah abahku itu mengerti. Kata abah, solat itu
hanya sunat. Kalau tidak berkemampuan, maka tidak perlulah
dilakukan. Tetapi tidak bagi imam yang melihat keadaan itu.
“Sebagai ketua keluarga, kamu mesti sentiasa ada
kemahuan untuk mendalami agama Islam. Kerana sebagai
lelaki, Allah sudah memberatkan lelaki dengan tanggungjawab
tertentu terutamanya tanggungjawab mendidik isteri dan anakanak
kamu nanti. Jika kamu abaikan tanggungjawab ini, maka
kamu akan menanggung dosa kerana gagal menunjukkan jalan
yang benar kepada orang-orang di bawah jagaan kamu. Bukan
sekadar itu, sebagai suami... kamu juga akan menanggung
dosa isteri dan anak-anak kamu sekiranya kamu membiarkan
mereka berbuat dosa tanpa mendidik mereka. Solat sunat
nikah memang hukumnya sunat tetapi tidak dengan solat fardu
yang harus kamu tunaikan lima kali, sehari semalam. Solat itu
hukumnya wajib! Sekiranya kamu meninggalkannya, kamu
harus menggantikannya nanti. Itu penting untuk kehidupan
seharian kamu! Kamu mesti memulakannya dari sekarang.
Belajar sikit-sikit pun takpe, asalkan berterusan. Tapi jangan
abaikan begitu sahaja.” Imam itu berceramah lagi kepada Ariff.
Agaknya sebab dah malu, Ariff terangguk-angguk kepada imam
itu.
Akhirnya tiba pula kepada upacara menyarungkan
cincin dan pemberian mas kahwin. Di atas dulang yang dihias
sederhana terletak senaskah Al-Quran kecil dan juga mas
kahwin. Sebentuk cincin emas putih disarungkan lelaki itu
ke jari manisku dan dulang itu turut diserahkan kepadaku.
Aku tunduk mengucup tangan lelaki itu tanda memulakan
ketaatan sebagai isteri. Kami sempat berpandangan seketika.
Ariff tenang sahaja memandang wajahku. Tetapi apa yang ada
di dalam hatiku ini membuatkan aku tertanya-tanya sendiri.
Mengapa aku tidak berasa apa-apa lagi? Tidak berasa terpaksa...
tidak berasa suka... tidak juga berasa sedih. Jiwaku kosong! Aku
sendiri tidak faham apa yang sedang aku alami.
Kun Fa Ya Kun...
Suatu masa dahulu aku pernah mengatakan lelaki
ini tidak akan mendapat tempat dalam hidupku. Ternyata apa
yang aku katakan, tidak sama lagi dengan apa yang sedang aku
kotakan. Lelaki yang amat aku benci itu sudah pun menjadi
suamiku. Aku sedar aku hanyalah manusia biasa yang hebat
merancang namun tidak berkuasa untuk mengotakan. Moralnya
kini... perjalanan hidup ini bukan ketentuan manusia sematamata.
Semuanya berlaku dengan izin Allah. Sesungguhnya
inilah tanda kekuasaan Allah yang cukup hebat dan tidak
mampu ditandingi oleh sesiapa pun.
SELESAI URUSAN di masjid, ada satu lagi urusan yang masih
belum diselesaikan. Urusan itu sebenarnya teramat penting iaitu
berkhatan! Rupa-rupanya mereka sudah merancang senyapsenyap
untuk mengkhatankan Ariff. Atas sebab-sebab tertentu,
bapa mertuaku itu sengaja membiarkan urusan itu dilakukan
selepas bernikah. Kata bapa mertuaku... kalau diberitahu awalawal
kepada Ariff, lelaki itu pasti akan melarikan diri. Malah
ketika kami dalam perjalanan ke hospital itu, Ariff sebenarnya
tidak tahu apa yang sedang menunggunya di sana!
Huh! Anak manja betul. Baru nak kena potong sikit,
dah menggelabah macam budak lima tahun nak kena cabut
gigi. Aku sempat mencemuh lelaki itu di dalam hati. Terlupa
sekejap yang itu adalah suamiku. Untuk menyelesaikan hal
itu, hanya aku sahaja perempuan yang mengikuti mereka ke
hospital. Kata abah, hanya aku sahaja yang boleh memujuk Ariff
nanti. Aku faham apa yang abah maksudkan. Ni memang mood
nak memujuk sangatlah ni!
Setiba di perkarangan hospital, Ariff sudah mula
buat hal. Aku mahu tergelak melihat kegelabahan lelaki itu.
Wajahnya mula merah padam apabila diberitahu yang dia harus
dikhatankan. Dia mulai cemas dan tidak tentu arah. Memang
benar kata bapa mertuaku itu... Ariff sudah bersiap sedia untuk
melarikan diri tatkala aku mula sibuk mendaftarkan namanya.
“Saya tak mahu!” Ucap Ariff keras. Dia cuba mengatur
langkah ke pintu utama hospital itu untuk pergi. Aku sudah
terpaku memandang lelaki itu dari tempat aku berdiri.
“Estaban!” Papa pantas merenggut tangan Ariff cuba
menghalang anaknya itu. Namun Ariff tiba-tiba agresif pula.
Tangan bapa mertuaku itu ditepisnya kuat.
Aku turut memanggil untuk menenangkannya. Aku
pula yang cemas terlebih-lebih dengan kelakuan lelaki itu.
Jeritan kerasnya tadi sudah menarik perhatian orang-orang
di situ. Bukannya apa... risau juga aku kalau runtuh hospital
ini dibuat dek lelaki seorang itu. Padahal bukannya baru
lepas kemalangan ngeri. Nak kena bersunat aja pun kecoh
sekampung!
Ariff bertempik marah apabila Samuel memeluknya
erat tidak membenarkan dia berlalu. Dia berkeras mahu
melepaskan diri. Namun pelukan abangnya itu semakin kuat
sehingga berlaku pergelutan kecil sebelum abah juga ikut
membantu memegang Ariff.
“Estaban, kamu kena bertenang!” Tegas papa kepada
anaknya itu.
“Apa semua ni? Saya tak mahu berkhatan ni semua!
Ini akan menyakitkan saya!” Tempiknya benar-benar marah.
Wajahnya merah padam entahkan menahan marah ataupun
takut. Pertama kali sepanjang aku mengenalinya, aku melihat
lelaki itu benar-benar kalut. Sikapnya jauh berbeza saat kami
berada di balai polis dahulu. Tahu takut rupanya lelaki ini...
hatiku mengejek sendiri.
“Kamu kena berkhatan. Semua lelaki Islam berkhatan,
Estaban. Ini untuk kebaikan kamu berdua,” pujuk papa masih
cuba berlembut.
“Tidak! Saya nak balik! Lepaskan saya!” Tempiknya
semakin kuat. Matanya buntang bagaikan mahu ditelannya
semua yang ada di sekeliling. Aku jadi malu kepada kakitangan
hospital yang mula berkerumun memandang sketsa itu. Melihat
perangai lelaki yang baru menikahiku itu, aku hanya mampu
menompang dagu di hadapan kaunter itu sambil memandang.
Aku sendiri tidak tahu mahu berbuat apa.
“Saya sudah buat segala yang papa suruh selama ini. Itu
tidak cukup? Kenapa saya kena berkhatan pula? Saya tak mahu!
Ini akan menyakitkan saya!” Tempik Ariff kepada papanya.
Menggeleng aku melihat lelaki itu. Seingat aku adik-adik lelaki
aku tidak sedahsyat ini bila mahu dikhatankan dahulu. Lelaki
dewasa ini pula mengamuk sehingga satu hospital datang
melihatnya. Estaban benar-benar memalukan aku!
“Kamu kena lakukan ini, Estaban. Berkhatan sangat
diperlukan dalam Islam. Kamu sendiri sudah diberitahu tentang
itu, bukan? Ini tak begitu menyakitkan, Estaban. Dengar cakap
papa. Kalau tidak hari ini, suatu hari nanti kamu harus lakukan
juga.” Papa cuba memujuk lagi.
“Saya nak balik, papa. Saya takkan lakukannya!”
Bentaknya semakin marah. Semakin meninggi suaranya kepada
papanya itu. Semakin itu juga dia cuba melepaskan diri dari
pelukan Samuel. Abah terus memegangnya tidak membenarkan
dia pergi. Malu tak usah cakaplah. Semakin ramai pula orang
yang memandang kami di situ.
“Estaban, dengarlah cakap papa. Ini kali terakhir...”
“Tidak! Lepaskan saya!” Semakin lantang Ariff
memintas kata-kata papanya itu. Lantang suara lelaki itu
membuatkan darahku semakin mendidih.
“Muhammad Ariff!” Aku mulai menengking melawan
kekerasan suara Ariff. Aku mula hilang sabar melihat Ariff
menengking papanya tadi.
“Lepaskan dia!” Ucapku nekad kepada semua lelaki
yang sedang menahan suamiku itu. Seketika kemudian aku
terus menarik lelaki itu ke arah pintu utama.
“Nak balik? Pergilah! Saya tak kisah kalau awak nak
balik. Tapi ingat, selagi awak tidak lakukan ini... saya bersumpah
tidak akan membenarkan awak menyentuh tubuh badan saya.
Saya tidak rela awak membawa kekotoran itu ke dalam tubuh
saya! Awak nak saya ikut cara awak, boleh! Tapi awak kena
bersedia untuk menanggung akibatnya! Pilihlah antara dua,
awak lakukan ini atau saya takkan tidur sekatil dengan awak
sehinggalah awak berkhatan nanti!” Ucapku tegas sambil
menuding ke arah lelaki itu.
Ironinya kali ini Ariff tidak lagi seganas tadi. Dia
terkebil-kebil memandangku.
“Pergilah kalau awak nak pergi. Saya takkan halang
awak. Tapi macam saya katakan tadi, kita takkan pernah akan
hidup macam orang lain sehinggalah awak ubah pendirian
awak!” Tambahku serius. Mendengar jaminan itu, Ariff tiba-tiba
menjadi jinak pula. Dia terus berdiam memandang wajahku
lama bagaikan mencari kebenaran kata-kataku sebentar tadi.
“Emm... awak serius ke?” Ucap Ariff kemudian.
“Terlalu serius! Kalau awak berdegil, saya juga akan
ikut cara yang sama. Pilihlah yang mana awak suka! Saya dah
malas nak tengok ragam kebudak-budakan awak lagi,” balasku
amat tegas.
“Saya cuma perlu lakukan ini, kan?” Dia bertanya
perlahan dengan ekspresi wajah polosnya. Upah yang ditawarkan
aku memang lumayan untuk lelaki sepertinya. Hilang terus
rasa takutnya saat itu. Dasar lelaki! Hatiku sempat menggerutu
melihat kemiangannya.
“Ya. Hanya ini sahaja.” Aku akhirnya membalas kelat.
Ariff terdiam seketika sebelum kembali memandang wajahku.
“Err... nanti mereka akan beri ubat bius tak? Banyak
ke dos yang mereka akan beri pada saya?” Tanyanya perlahan
sahaja. Aku memandang seketika lelaki itu sambil menggeleng
perlahan. Dia tanya aku... macamlah aku ni doktor!
“Sikit aja sakitnya, awak tak boleh tahan ke? Awak tahu,
dua adik lelaki saya dikhatankan melalui cara tradisional ketika
mereka berusia sepuluh tahun. Mereka berdua tak diberikan
bius macam yang akan awak dapat di hospital ini. Tapi mereka
tak menjerit memekik macam orang gila. Awak ni betul-betul
memalukan saya! Semua orang tengok kita!” Desisku tajam.
Muhammad Ariff terdiam sambil memandang sekeliling kami.
“Awak temankan saya nanti ya?” Pintanya lembut.
“Awak ni bukan budak-budak lagi, Ariff! Itu pun nak
berteman!” Bentakku semakin geram.
“Tolonglah... saya bukannya takut. Cuma... err...”
Lelaki itu tergagap-gagap sedikit saat mahu menghabiskan
kata-katanya itu.
“Saya cuma ngeri aja.” Akhirnya dia melengkapkan
juga bicaranya. Spontan aku tergelak sinis. Masih nak mengelak
lagi???
“Bagi saya, semua tu kedengaran sama aja!” Desisku
selamba.
Tanpa menunggu lagi, aku meninggalkan Ariff di
situ sambil mendekati semula kaunter pendaftaran. Semua
kakitangan yang tercegat memerhatikan kami tadi sudah
mula bersurai. Malu bagaikan tidak bertebing! Hampir semua
kakitangan ruangan itu terjenguk-jenguk memandang gelagat
kami tadi. Ada yang kelucuan melihat gelagat Ariff. Dalam
pada itu sempat aku melihat senyuman bapa mertuaku yang
menyatakan kegembiraannya melihat aku sudah berjaya
menjinakkan anak lelakinya itu. Memang tidak susah untuk
memujuknya jika upahnya nanti lumayan. Ariff memang
pantang jika ditawarkan tentang itu. Lekas sahaja mood dia
baik! Dasar gatal!
Demi menunaikan kehendak si penakut itu, aku
menemankan juga Ariff di dalam bilik rawatan tanpa kehadiran
orang lain. Sementara Ariff disiapkan untuk menjalani
pembedahan kecil itu oleh beberapa kakitangan lelaki, pegawai
perubatan itu cuba menenangkan Ariff dengan mengatakan
yang pembedahan ini hanya pembedahan kecil yang tidak
akan mengambil masa yang lama. Namun saat ditanyakan
sama ada Ariff mahu menggunakan teknik laser yang kurang
menyakitkan, aku pantas menjawab bagi pihak suamiku itu.
“Buat aja cara biasa! Tak payah guna laser semua...”
Ucapku selamba. Sengaja bercakap bahasa melayu agar Ariff
tidak faham apa yang aku katakan kepada pegawai perubatan
itu.
“Awak cakap apa dengan dia?” Ariff yang sudah
berbaring segera menyampuk. Kepalanya diangkat sambil
memandangku.
“Awak baring aja kat situ! Jangan banyak cakap!”
Ucapku dengan sinar mata yang sengaja ditajamkan kepada
lelaki itu.
Salah seorang kakitangan lelaki itu memandangku
agak lama. Hairan!
“Betul ke nak buat cara biasa? Kalau pakai laser, kurang
sedikit darah yang keluar dan tak berapa sakit. Lagipun kalau
gunakan laser, luka akan lebih cepat baik.” Sekali lagi petugas
perubatan itu berkata untuk meminta kepastian. Ada rasa pelik
dipamerkan pada wajahnya. Mana tak hairan, ya tak? Ada cara
mudah, aku sengaja mahukan cara yang susah. Aku tersenyum
sendiri mengenangkannya.
“Asalkan dia tak mati aja cukup! Tak payah pakai laser
tu semua. Pakai aja pisau macam biasa! Kalau ada pisau yang
tumpul itu lagi baik! Biar dia rasa!” Balasku tetap dengan
keputusanku. Inilah masanya aku membalas dendam di atas
perbuatan jahatnya dulu. Ini baru sikit!
Sebahagian kakitangan lelaki itu sudah tergelak
mendengar kata-kataku tadi.
“Karang kalau pakai pisau tumpul, takut tak boleh
pakai terus lepas ni, puan. Seksa dia nanti,” balas salah seorang
kakitangan itu sedikit berjenaka. Mereka tergelak serentak
mendengar kata-kata lelaki itu.
Aku ikut tergelak sama. Namun dalam hatiku hanya
Tuhan sahaja yang tahu. Potong aja semua lagi baik! Tak boleh
pakai terus itu lebih bagus... Desis hatiku yang masih bersisa
dendam kesumat.
Namun ketika bahagian bawah lelaki itu diselak, aku
mula memandang ke arah lain. Aku cuba sedaya upaya untuk
tidak memberi perhatian kepada apa yang berlaku. Setelah lima
minit diberikan ubat bius, barulah pembedahan dimulakan.
Tidak tertahan aku mahu tergelak apabila mendengar Ariff
dengan panik menegur perbuatan pegawai perubatan itu.
“Jangan pandang! Baring aja di situ. Ini hanya sekejap
sahaja. Lepas lima minit semuanya akan baik. Bertenang saja.”
Dr. Ahmad yang mengetuai pembedahan itu berbicara lembut
dengan Ariff.
“Apa yang kamu buat padanya? Oh! Tuhan...
banyaknya darah!” Seketika kemudian jeritan lantang Ariff
sudah memenuhi ruangan itu. Membuatkan aku mula tergelak
sendiri. Dalam hati sudah tentulah amat gembira kerana sudah
berjaya menyakitkan lelaki itu akhirnya!
Laser? Sama sekali tidak perlu!

No comments:

Post a Comment