Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 7

SEMUA ini bukan mimpi!
Seminggu yang lalu aku telah disahkan hamil. Itu
memang bukan mimpi. Aku sudah mula merasa kesan yang
sering dialami oleh wanita yang sedang hamil. Namun semenjak
mula aku mendapat berita itu, aku lebih banyak termenung di
dalam bilik. Sepanjang masa aku hanya termenung memikirkan
segala-galanya. Sayangnya hatiku ini masih menelan setiap bait
rasa benci itu apabila aku memujuk diri agar menerima qada
dan qadar daripada Allah.
Aku sedar kini... tidak dengan sejam dua aku dapat
menenangkan fikiran. Tidak dengan sehari dua aku dapat
melapangkan dada. Hakikatnya aku sebenarnya masih tidak
mampu menelan hakikat ini. Lantaran hati yang bengkak, tidak
aku pedulikan saranan doktor yang meminta aku berbuat itu
dan ini untuk menjaga kandunganku. Pil asid folik dan vitamin
yang dibekalkan oleh doktor langsung tidak aku makan. Aku
nekad membuangnya melalui tingkap setiap kali emak meminta
aku memakannya. Untuk apa aku memakannya jika hasratku
yang sebenarnya adalah untuk melenyapkan zuriat ini daripada
hidupku? Bukankah bagus kalau aku keguguran sahaja? Itu
yang berada dalam fikiranku selama ini.
Namun detik yang berlalu, aku kian keletihan. Kepada
siapa kemarahan ini aku lemparkan sebenarnya? Kepada Tuhan?
Kepada anak ini? Atau kepada Estaban yang nun jauh di sana?
Sepanjang masa berkurung di dalam bilik aku meratapi nasib,
tiada apa yang berubah kepada diriku. Sepanjang masa aku
langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingku,
apa sebenarnya yang aku cari?
Jawapannya mudah sahaja... termenung, meratap
dan mengutuk nasib diri tidak akan mengubah apa-apa.
Inilah kehendak Allah. Hanya Allah sahaja yang berhak untuk
mengubahnya. Aku yang menumpang belas kasihan Tuhan,
tiada daya yang kuat untuk melawan takdir ini. Seketika
kemudian aku mulai kesal dengan perbuatanku menyeksa diri
dan anak di dalam kandungan ini. Datang kesedaran kepada
diri. Hatiku segera berbisik... untuk apa aku menyeksa anak dan
diriku sedangkan nanti yang merananya juga aku. Kenapa mesti
aku khilaf sedangkan anak adalah anugerah biar siapa pun dia...
Naluri keibuan ciptaan Tuhan pantas meresap ke dalam
diriku yang lemah. Aku sedar, aku tidak harus menghukum
kandungan ini walau apa pun yang telah terjadi kepada diriku.
Anak ini tidak bersalah sedikit pun kepadaku. Dialah yang akan
menemani aku susah dan senang nanti.
Aku menangis lagi buat ke sekian kalinya. Kali ini
tangisan ini tangisan kekesalan kerana aku terlalu tunduk
kepada kecewa dan hati yang rapuh. Perut yang masih leper aku
usap lembut. Namun hatiku berasa amat hiba mengenangkan
nasib anakku kemudian hari nanti. Aku tidak bisa menidakkan
hakikat... ada sayang yang Allah anugerahkan kepadaku buat
anak ini. Ini adalah zuriat yang suci tanpa sebarang dosa.
Tetapi satu hakikat itu membuatkan aku bagaikan
tidak mampu bernafas dengan tenang. Anakku tiada bapa! Anak
luar nikah... Apa kata orang nanti? Ya Allah... rendahkanlah hati
ini dalam menerima cubaan-Mu. Bantulah aku untuk bangkit
semula...
Anak anugerah Allah. Kenyataan itu cukup
menyedarkan aku akan hakikat hidup ini. Bukan semua
kepahitan itu tidak berguna dan bukan semua kesengsaraan itu
menghancurkan. Setiap yang berlaku biarpun pahit tetap ada
hikmahnya.
AKU BANGUN dari katil apabila tersedar ada tetamu yang
memberi salam seawal ini. Namun aku sekadar mengintai
melalui pintu bilik kerana abahku ada untuk menyambut
tetamu itu.
Aku tertanya-tanya seketika. Mengapa ada tamu yang
tidak dikenali datang seawal jam sepuluh pagi ini? Abah dan
emak pula bagaikan sudah menjangkakan ketibaan tetamu
itu semenjak awal lagi. Mereka tidak ke ladang seperti biasa.
Seperti memang sedang siap menanti tetamu itu. Malas mahu
mengambil tahu, aku kembali semula ke katil.
Lelaki itu berbual seketika sahaja di ruang tamu rumah
kami. Tidak lama selepas itu, emak masuk ke bilikku meminta
aku bersiap segera. Kata emak kami akan ke Kuala Lumpur
dengan lelaki itu sebentar lagi. Apabila aku bertanyakan tujuan
kami mengikut lelaki itu, emak tidak menjawab. Sebaliknya
emak hanya meminta agar aku segera bersiap.
Dengan agak kemalasan aku bersiap juga untuk
mengikut emak dan abah ke Kuala Lumpur. Tambahan pula
Syahril dan Fairuz juga ikut menyertai pemergian kami ke
Kuala Lumpur. Di halaman rumah, aku lihat ada sebuah van
jenis Mercedes terparkir. Pada pintu van itu tertera tulisan
Royal Swiss Hotel. Kami nak ke hotel ke? Nak buat apa? Aku
tertanya-tanya lagi.
Agaknya dek kerana pembawakan budak, aku masih
menguncikan mulut daripada bertanya mengapa kami dibawa
oleh pihak hotel itu ke Kuala Lumpur. Aku benar-benar mahu
tahu tetapi entah kenapa lidahku ini terasa amat berat untuk
meluahkan kata-kata. Orang lain mengandung malas buat
kerja rumah, aku mengandung... malas bercakap pulak. Ada ke
pembawakan budak macam tu? Entahlah!
Tolak campur waktu untuk bersolat dan makan,
akhirnya pada jam empat petang kami semua tiba di hotel
lima bintang itu. Aku semakin tidak faham apa tujuannya
kami berada di situ. Emak dan abah nampak bersahaja seolaholah
sudah tahu apa agenda kami berada di situ. Tetapi dalam
pada mulut terus terkunci, mataku ini begitu kagum melihat
dekorasi lobi hotel lima bintang itu. Kemudian kami disambut
pula oleh dua lelaki lain. Dua lelaki itu membawa kami ke bilik
khas untuk bertemu dengan seseorang.
Emak dan abah masih tenang duduk di satu meja.
Aku pula canggung apabila berada di dalam hotel mewah itu.
Tidak pernah sekalipun seumur hidupku ini menjejakkan kaki
ke tempat semewah ini. Fikiranku masih tidak lepas tertanyatanya
mengapa kami harus berada di sini.
Tidak sampai lima minit kami menanti akhirnya meja
itu dihampiri oleh tiga orang lelaki dan seorang wanita. Namun
saat telihat salah seorangnya, jantungku bagaikan tercopot
serta-merta dari tangkainya. Cepat sahaja aku terfikir mahu
melarikan diri dari situ. Mataku sudah tidak sanggup untuk
melihat lelaki itu lagi. Nyawa terasa bagaikan mahu terbang.
Aku pernah menyangka yang aku tidak akan bertemu
lagi dengan lelaki itu. Tetapi ternyata aku salah! Di mana
sahaja aku berada, lelaki itu juga boleh berada. Hatiku kembali
mendongkol benci. Kenapa lelaki itu asyik datang ke dalam
hidupku? Mengapa mesti dia datang ke sini?
Aku terus bangun dengan niat mahu melarikan diri
dari situ tatkala Estaban tiba di hadapan meja itu dengan wajah
tenangnya. Betapa bencinya aku melihat reaksi lelaki itu. Tetapi
emak lebih pantas memegang lenganku, meminta aku bersabar
untuk seketika.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu, mak!” Tanpa
mempedulikan orang sekeliling, juga lelaki-lelaki yang datang
itu, aku menudingkan jari kepada Estaban. Lelaki itu tenang
sahaja di belakang dua orang lelaki Inggeris itu. Lantang
suaraku mula menarik perhatian semua orang di meja itu.
“Sabar dulu, Syira. Kita di sini nak selesaikan masalah
Syira ni,” pujuk emak lembut. Syahril turut memegang aku.
Tidak mahu kakaknya ini melarikan diri.
“Selesaikan macam mana? Masalah Syira selesai kalau
anak ni hilang dari dalam perut Syira ni. Syira tak boleh nak
bersabar kalau hanya ada kebencian yang penuh meluap-luap
dalam jiwa Syira ni bila memandang muka dia tu. Syira benci!”
Tekanku kuat tanpa mempedulikan pandangan lelaki yang
paling berusia di antara semua manusia yang tidak aku kenali
itu.
“Duduklah dulu. Malu orang tengok,” rayu emakku
cuba berlembut lagi.
“Syira tak nak tengok muka binatang tu. Syira nak
balik!” Tegasku tetap berdegil.
“Syira... duduk!” Suara abah mula keluar tegas melawan
kedegilanku. Matanya mencerlung tajam tanda memarahi sikap
biadabku.
“Syira...”
“Duduk!” Tekan abah lagi dengan matanya terus
menikam tajam kepadaku. Lidahku kelu.
Tiba-tiba aku berasa amat gentar melihat pandangan
mata abah. Selama ini dengan pandangan seperti itulah
abah menegur setiap tindak-tanduk kami. Aku mula terdiam
menelan liur sendiri. Akhirnya aku merelakan diriku dibawa
emak supaya duduk semula di tempatku tadi. Tetapi dalam diam
jiwa ini hanya ada pemberontakan yang amat dahsyat menanti
masa untuk dilepaskan. Kalaulah abah tiada di sini... aku mahu
melempar apa sahaja yang ada di hadapanku kepada lelaki
bernama Estaban itu.
“Bawak bertenang. Ini semua untuk kebaikan Syira.
Juga untuk masa depan anak dalam perut Syira ni,” pujuk emak
mengharap aku bersikap rasional. Aku hanya mampu berdiam
mendengar bicara emak.
Dengan bantuan lelaki yang membawa kami ke hotel ini
sebagai orang perantaraan, aku akhirnya mengerti apa mahunya
lelaki-lelaki Inggeris itu daripada kami sekeluarga. Rupanya
lelaki Inggeris yang paling berusia itu ialah Tuan Christopher
Buhler, bapa Estaban. Lelaki yang lebih tua berbanding Estaban
itu adalah Samuel, abang Estaban dan wanita itu ialah kakak
Estaban, Celina Buhler.
Aku tidak tahu dari mana mereka semua mengetahui
keadaanku sekarang ini. Aku juga hairan dari mana bapa
Estaban tahu mengenai kejadian hitam itu? Tuan Christopher
menjelaskan hasrat murninya dengan meminta aku mengahwini
anak lelakinya itu. Terbeliak mataku mendengarnya. Menerima
Estaban sebagai suami? Entah kenapa aku terasa mahu ketawa
sampai pengsan pula. Geli hati sungguh mendengar lamaran
seperti itu. Itu tidak masuk akal! Teramat mustahil!
“Tidak!” Jawabku tegas apabila pendirianku tentang itu
ditagih mereka.
Abah dan emak terpaku seketika dengan ketegasanku
menolak kemahuan lelaki itu. Sesungguhnya ini memang tidak
masuk akal. Tidak masuk akal untuk aku mengahwini seorang
perogol! Tidak mungkin aku akan mengahwini lelaki yang tidak
seagama denganku. Bagaimana untuk aku terima dia jika aku
hanya mampu membenci lelaki itu seumur hidupku?
“Kenapa kamu tak mahu? Kamu sedang hamil,
Insyirah...” Ucap Tuan Christopher lembut sahaja. Lagak
seorang bapa yang terlebih sayangkan anak memang jelas
dalam nada suaranya. Mungkin kerana dia sering memanjakan
anaknya menyebabkan Estaban membesar, lalu menjadi liar.
“Tak kisahlah apa yang telah terjadi kepada saya. Yang
penting saya tak rela bersuamikan dia. Dia dah merosakkan
hidup saya dan saya tak boleh sediakan tempat dalam hidup saya
untuk lelaki seperti dia. Semenjak saya kenal dia, hidup saya
memang malang. Entah apa yang akan terjadi kepada saya jika
saya mengahwini lelaki macam dia,” tegasku dengan jari yang
ditudingkan kepada Estaban yang berdiam sahaja di sebelah
abangnya.
Abah juga hanya membisu membiarkan aku berkata
apa sahaja yang aku mahukan. Namun emak memegang
lembut bahuku, meminta aku menimbangkan kata-kata yang
paling elok dalam meluahkan perasaan. Di hadapanku ini ialah
seorang lelaki yang lebih tua daripada abahku sendiri. Aku tetap
harus beradab kepadanya...
“Saya tahu dia bersalah, Insyirah. Tetapi saya mahu
anak itu lahir di dalam perkahwinan. Ini untuk masa depan anak
kamu juga,” balas Tuan Christopher Buhler cuba berdiplomasi
denganku.
“Masa depan anak ini adalah tanggungjawab saya.
Masalahnya dia memperlakukan saya di luar perkahwinan.
Hakikat itu tidak akan berubah sampai bila-bila walaupun
saya menyembunyikan kenyataan dengan meletakkan nama
dia sebagai bapa. Dia hanya menganggap saya perempuan
yang boleh disentuh sekali dan ditinggalkan di tempat gelap.
Patut ke saya menerima lelaki kejam seperti dia menjadi suami
saya? Tanpa dia pun, anak saya tetap akan terus hidup. Saya tak
perlukan dia semata-mata untuk meletakkan nama dia sebagai
bapa kepada anak saya. Saya lebih rela meletakkan salah satu
daripada sembilan puluh sembilan nama Tuhan sebagai nama
bapa kepada anak ini. Nama itu lebih suci. Sekurang-kurangnya
nama itu bukan daripada seorang lelaki yang hipokrit! Saya tak
rela anak saya terpalit noda yang diberikan lelaki seperti dia.
Saya jijik pada dia! Saya tak sanggup untuk berkongsi apaapapun
dengan dia. Lebih baik awak bawa dia balik semula
ke tempat awak. Jangan ganggu saya lagi,” sambutku tetap
berdegil.
Tuan Christopher terpaku mendengar kata-kataku.
Panjang keluhannya seolah-olah sudah buntu dengan masalah
ini. Kemudian dia memandang anak perempuannya Celina
untuk meminta bantuan.
“Insyirah, anak di dalam kandungan kamu adalah
pewaris kepada empayar hotel ini. Tolong pertimbangkan hasrat
papa saya.” Kali ini Celina pula mengambil alih tugas untuk
memujukku. Aku tergelak sinis mendengar kata-kata wanita
itu. Ada udang di sebalik mi rupanya semua ini.
“Oh! Inikah sebab utama kamu semua sanggup
datang dari jauh untuk mencari saya? Bukan masa depan anak
ini yang menjadi keutamaan tetapi masa depan hotel mewah
ini yang kamu semua bimbangkan? Takut hotel ini terlelong
begitu sahaja kerana tidak ada pewaris?” Dengan selamba aku
mempersendakan bicara wanita itu sehingga terbit perubahan
pada wajah Celina.
“Entah kenapa saya tak sedikit pun rasa gembira
daripada itu semua. Untuk apa anak saya jadi pewaris hotel
ni kalau dia dilahirkan bukan atas dasar kasih sayang ibu
dan bapanya? Perasaan saya tak boleh dibeli dengan duit dan
kemewahan!” Aku menambah lagi sindiranku lantaran hati
yang sakit.
“Insyirah, mari kita berbual. Cuma kita berdua,”
pelawa bapa Estaban amat lembut.
“Mari. Lebih mudah kalau kita berbual secara
personal...” Tambah Tuan Christopher lagi, lantas dia bangun
mengajak aku ke meja lain.
Aku terpaksa juga mengikutnya setelah emak memujuk
agar aku menghormati lelaki berusia itu. Anggukan abah
membuatkan aku semakin tiada pilihan. Aku dan lelaki tua itu
duduk agak jauh dari meja kami tadi. Kami duduk berhadapan
dan berpandangan buat seketika.
“Saya sedar kemarahan kamu, Insyirah. Memang
wajarlah kamu marah kerana apa yang dilakukan anak saya
memang keterlaluan. Saya sebenarnya teramat malu untuk
bertemu dengan kamu dan orang tua kamu. Tapi saya lakukan
ini demi maruah kamu dan maruah saya juga,” ujar Tuan
Christopher cuba untuk mengerti perasaan yang menghuni
dalam diriku.
“Dari mana awak tahu mengenai saya?” Melihat
kelembutan lelaki itu, aku tidak sampai hati pula untuk
berkasar. Sekurang-kurangnya rasa hormatku masih ada untuk
lelaki yang baik budi bahasa ini.
“Sebaik sahaja saya mengetahui apa yang telah terjadi,
saya mencari kamu melalui kawan-kawan Estaban. Tetapi
sayangnya saya gagal bertemu kamu. Ryan memperkenalkan
saya dengan kawan baik kamu, Ameena sehari selepas kamu
pulang ke Malaysia. Ameena mendapat tahu yang kamu telah
hamil daripada emak kamu dan dia memberitahu saya beberapa
hari yang lalu. Kerana itulah saya berada di sini. Atas dasar
tanggungjawab saya kepada anak kamu itu, saya menebalkan
muka saya untuk menemui bapa kamu, Insyirah. Tolong
pertimbangkan harapan saya ini,” kata lelaki itu cukup rendah
diri.
“Saya tak sanggup...” Balasku sambil menggeleng.
Sekurang-kurangnya aku harus juga berfikiran rasional untuk
memilih lelaki itu sebagai suami. Oh! Tidak! Tiadakah calon
yang lebih baik untuk diriku? Mengapa mesti lelaki itu? Adakah
hanya kerana anak di dalam kandunganku ini? Macam mana
dengan kehidupanku nanti?
“Tolonglah saya. Hanya kamu sahaja yang boleh
membantu saya. Estaban itu anak bongsu saya. Dia kehilangan
emaknya ketika dia berusia empat belas tahun. Semenjak itu dia
menjadi liar dan sukar dikawal. Perangainya semakin menjadijadi
apabila dia masuk ke universiti. Saya memang terlalu
kecewa apabila mendapat tahu yang dia sudah merosakkan
kamu. Saya tidak pernah membayangkan anak saya itu akan
menjadi seorang yang sekejam itu,” luah Tuan Christopher
perlahan sahaja.
Aku diam tidak mencelah. Aku tahu lelaki ini
masih belum habis meluahkan perasaannya. Aku juga ingin
mendengar ayat lain, yang boleh meyakinkan diriku dalam
membuat keputusan selain daripada kasihan kepadanya.
“Saya akui selama ini dia jauh daripada didikan moral
dan agama. Dia tidak pernah ke gereja. Saya tidak pernah
menyuruh, malahan dia tidak pernah belajar mengenai agama
selama ini. Mungkin kerana itu dia jadi begitu. Sebagai bapa,
saya terseksa melihat cara hidup dia. Saya sedar lambat-laun
hidupnya akan hancur jika dia terus berkeadaan begitu. Itulah
yang paling saya takutkan berlaku,” luah Tuan Christopher
lembut.
“Hotel ini... bukanlah tujuan utama kami datang ke
sini. Saya mengenali keperibadian kamu daripada Ameena.
Daripada dia saya mendapat tahu kamu seorang perempuan
yang baik yang taat beragama. Dengan agama sahaja saya dapat
mengembalikan Estaban ke jalan yang betul. Saya sudah tidak
sanggup melihat dia menjadi begitu lagi. Cukuplah kamu
seorang sahaja yang menerima nasib seperti ini. Saya juga
tidak sanggup membiarkan cucu saya lahir tanpa bapa. Kita
boleh memilih nasib yang lebih baik untuk anak ini, Insyirah.
Tolonglah saya. Saya yakin kamu akan berjaya membawa
Estaban ke jalan yang benar. Kerana agama Islam adalah
agama yang sempurna dan adil kepada penganutnya. Agama
Islam adalah agama yang menerapkan banyak panduan kepada
umatnya agar lebih berdisiplin dalam hidup mereka,” tambah
Tuan Christopher lembut namun suaranya aku dengari penuh
dengan kesungguhan.
Aku terus berdiam sambil berfikir sendiri. Dari riak
wajah lelaki tua itu, aku tahu Tuan Christopher tidak mainmain
dalam hal ini kerana suaranya penuh dengan harapan.
Masalahnya sanggupkah aku menggalas beban seberat ini?
Kalau boleh, aku ingin menolak sahaja. Tetapi terkenangkan
anak di dalam kandunganku ini, aku mulai serba salah.
“Adakah semua ini untuk Estaban? Tahukah awak
untuk berkahwin dengan saya, dia perlu memeluk agama
Islam,” ucapku kemudian.
“Itulah penyebab utama saya mahu dia mengahwini
kamu. Kalau kamu tidak hamil sekalipun saya tetap mahu dia
mengahwini kamu, jika kamu sudi. Kerana dengan mengahwini
kamu, dia dimestikan menganuti agama Islam. Saya mahu dia
dididik oleh agama kamu dan kamu sendiri, Insyirah. Saya tahu
hanya itu sahaja jalannya untuk buat dia berubah,” jawab lelaki
tua itu bersungguh-sungguh.
“Tapi memeluk agama Islam memerlukan kerelaan.
Estaban bukan sahaja tidak perlukan agama tetapi dia tidak
percaya kepada Tuhan. Ini mustahil!” Bangkangku apabila
teringatkan hal itu. Ini bukan sekadar soal keinginan lelaki
tua ini. Paling aku takut saat ini ialah... aku tidak mahu
mempermainkan agama demi melunaskan kehendak lelaki ini.
Besar bahayanya nanti.
“Kamu tahu kenapa pada namanya ada diletakkan juga
nama Joseph?” Soal Tuan Christopher kepadaku. Aku terus
menggeleng. Manalah aku tahu! Bukannya aku yang letak
nama tu waktu dia lahir dulu. Kalau aku yang letak... memang
aku letak nama Bajingan bin Bengong! Baru sesuai dengan
orangnya.
“Dahulu ketika mama Estaban mengandungkannya,
kami terdengar cerita tentang kisah seorang nabi bernama Yusuf.
Yusuf seorang nabi yang cukup tampan dan amat budiman.
Ketampanan Nabi Yusuf membuatkan wanita terpukau
sehingga ada yang terpotong jari sendiri ketika memandang
beliau. Malah Zulaikha sanggup memfitnahnya kerana marah,
cintanya tidak dibalas. Namun Nabi Yusuf tidak pernah alpa
dengan keistimewaan yang ada pada dirinya. Dia tetap seorang
nabi yang taat kepada Tuhannya. Dia tetap seorang lelaki yang
sabar. Mama Estaban sangat sukakan kisah itu. Kerana itulah
dia meletakkan nama Joseph pada Estaban dengan harapan
suatu hari nanti, akan ada sedikit keperibadian lelaki istimewa
itu pada Estaban. Yusuf di dalam bible disebut sebagai Joseph.”
Tuan Christopher terdiam seketika memikirkan kata-kata
seterusnya. Aku pula sempat terpaku mendengar kisah itu.
Begitu ke kisahnya?
“Kamu tentu akan dapat membuat dia percaya kepada
Tuhan, Insyirah. Dia akan mendengar dan tunduk kepada kamu.
Kamu adalah kelemahan dia, Insyirah.” Tuan Christopher terus
menambah bicaranya dengan yakin.
“Saya kelemahan dia? Apa maksud awak?” Soalku
semakin tidak mengerti.
“Saya melihat keistimewaan kamu yang tiada pada
perempuan lain yang pernah dibawa oleh Estaban. Kamu
memang cantik sebagai seorang perempuan Islam. Sikap
kamu yang lantang berbicara membuatkan saya kagum dengan
kamu. Sudah tentu ada sebabnya mengapa dia tergamak juga
menyentuh kamu dalam keadaan begitu. Saya ada terfikir...
jika tujuan utamanya hanya sekadar memuaskan nafsu,
dia boleh mendapatkannya daripada wanita lain yang lebih
pandai melayani dan lebih merelakan tubuh mereka disentuh.
Betul, kan?” Ucap Tuan Christopher sambil memandangku.
Mahu tidak mahu aku mengangguk juga kepada bicara Tuan
Christopher itu.
“Tetapi daripada cerita Ryan dan kawan-kawannya
yang lain, saya mendapat tahu yang Estaban sebenarnya tergilagilakan
kamu. Dia tetap mahukan kamu biarpun hanya untuk
sekejap sahaja. Ada keistimewaan kepada kamu sehingga
membuatkan dia begitu nekad. Selama ini saya tidak pernah
menyangka yang anak saya akan tergamak memperlakukan ini
kepada kamu. Rasanya dia tidak perlu merisikokan hidupnya
dengan memperlakukan kamu seperti itu jika hanya sekadar
mahu mengejar keseronokan sementara. Pasti ada yang lebih
daripada itu!” Ujar lelaki berambut perang itu lagi. Kedutan
di wajahnya itu mungkin kerana dia sudah terlalu keletihan
dengan olah anak-anaknya. Mungkin olah Estaban antara yang
paling dahsyat.
“Selepas kamu pulang ke Malaysia, dia semakin
teruk. Saya dengar setiap malam dia mabuk. Pelajarannya
juga semakin teruk. Ryan pernah ceritakan, ketika Estaban
mabuk dia menyebut-nyebut nama kamu. Saya benar-benar
bimbangkan dia, Insyirah.” Suara Tuan Christopher mula
bertukar sayu. Aku sekadar memandang wajah lelaki itu tanpa
apa-apa reaksi. Jawapan apa yang hendak aku berikan kepada
dia, aku sendiri pun tidak tahu.
“Tolonglah terima lamaran saya ini. Saya tahu Estaban
akan memeluk agama Islam jika dia diminta berkahwin
dengan kamu. Saya tahu itu! Selebihnya sebagai isteri, kamu
tentu mampu membuat dia berubah kerana wanita ada
senjata yang mampu melemahkan lelaki. Saya akan pastikan
dia bertanggungjawab kepada kamu dan anak yang kamu
kandungkan ini. Saya janji!” Ujar lelaki tua itu lagi cukup serius.
“Semua ini bukan mudah. Saya tak pernah bermimpi
untuk bersuamikan dia. Saya tak sukakan dia. Macam mana
saya nak menerima dia dan mendidik dia? Ini semua sungguh
berat untuk saya,” luahku pula. Mengapa aku pula yang dipilih
untuk menanggung semua ini? Hanya kerana aku sudah hamil,
jadi inilah kesempatannya?
“Dah tentu, Insyirah. Kamu juga tidak pernah
bermimpi untuk mengandungkan anak Estaban tetapi itu tetap
juga terjadi. Kamu percaya kepada takdir tetapi kenapa tidak
percaya kepada jodoh? Mungkin inilah jodoh kamu.” Sekali lagi
ucapan lelaki tua itu mengalunkan keyakinannya. Aku terdiam
patah bicara mendengar kata-kata bapa Estaban itu. Apa yang
dia tahu tentang jodoh?
“Saya tahu kamu memang tak cintakan dia tetapi demi
anak yang kamu kandungkan itu, tolonglah terima lamaran ini.
Saya merayu kepada kamu, Insyirah. Tolong kasihankan lelaki
tua ini. Saya yakin hanya kamu sahaja yang boleh membuatkan
Estaban berubah. Saya mahu hidup dia lebih bermakna. Dan
saya mahu dia membesarkan zuriat dia ini dengan sempurna.
Masakan kamu mahu membiarkan anak ini lahir sebagai anak
luar nikah? Saya tahu... Mungkin bagi masyarakat di barat, ini
semua sudah biasa tetapi tidak bagi orang Islam. Lagipun saya
ada terdengar bapa kamu memberitahu saya yang kamu malu
kerana anak ini akan dilahirkan di luar perkahwinan. Sekarang
inilah masa yang terbaik untuk kamu ubah takdir anak kamu
itu,” tambah Tuan Christopher lagi. Pandai sungguh lelaki tua
itu mentarbiahkan aku sehingga pendirianku jadi kelam-kabut
begini.
“Saya tak tahu... kalau saya menerima ini semua,
saya tak tahu apa yang akan berlaku kepada saya. Sungguh,
selama ini saya tak pernah bermimpi yang ini semua akan
terjadi kepada saya. Selama saya mengenali Estaban, kami lebih
banyak bertengkar daripada berbaik. Saya tak tahu bagaimana
untuk saya jalani hidup dengan dia.” Perlahan sahaja keluhan
itu kulahirkan.
“Saya faham. Saya memang bukan orang Islam. Tetapi
sebagai ahli perniagaan, saya sudah pergi ke banyak negara
dan melihat ramai orang. Selama itulah saya berpengalaman
mengenali agama Islam yang pernah diperkenalkan kepada
saya oleh seorang lelaki arab. Saya amat kagum kerana agama
Islam agama yang adil dan suci. Saya yakin dengan ajaran
agama ini sahaja Estaban dapat dijinakkan. Sebenarnya
saya sudah lama fikirkan masalah Estaban ini. Tetapi sebaik
sahaja saya mengetahui Estaban hampir sahaja ditangkap
kerana memperkosa kamu, hati saya memang hancur. Saya
cuba mencari kamu tetapi malangnya kamu tidak lagi ke
kampus. Apa yang saya tahu, kamu sudah balik ke sini.” Tuan
Christopher menghela nafas perlahan sebelum memandangku
dan menyambung lagi pujukannya.
“Susah untuk saya membuat keputusan begini
sebenarnya. Saya tak pasti apakah saya mampu laksanakannya.
Tetapi apa yang saya pasti, mungkin sudah sampai masanya
saya berusaha sebaiknya untuk membuatkan Estaban berubah.
Mungkin Tuhan mempunyai sebab dengan membiarkan kamu
hamil. Sedangkan tiada wanita lain diluar sana yang hamil
angkara Estaban. Mungkin inilah sebabnya.”
Aku menghela nafas panjang. Tanganku tiba-tiba
beralih ke perutku. Bagaikan tindakan refleks perlakuan itu.
Patutkah aku menerima lamaran itu demi anak yang sedang aku
kandungkan ini? Sebagai seorang ibu sudah tentu aku mahu
anak ini lahir dengan sempurna. Mempunyai bapa dan juga
aku sebagai ibunya. Juga lahir daripada sebuah perkahwinan
yang sah. Sungguh memalukan jika aku melahirkan anak tanpa
seorang suami. Lebih malang lagi apabila anak ini dewasa, aku
tiada jawapan yang mampu menyenangkan hati anakku tentang
status dirinya. Itulah yang paling menakutkan aku sebenarnya.
Kini aku kabur dengan jalan yang harus aku pilih.
Sanggupkah aku melalui keadaan itu? Tahankah hatiku nanti
jika anak ini menjadi bahan ejekan orang lain kerana statusnya
sebagai anak luar nikah? Aku tahu... demi masa depan anakku
ini, aku harus bersedia mengorbankan perasaanku kepada
Estaban. Buat sekian kalinya aku kembali bertanya kepada
diriku. Benarkah aku yang harus berkorban saat ini? Entahlah!
Ya Tuhan... berilah aku jawapannya.

No comments:

Post a Comment