Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 14

AKU dibenarkan pulang seminggu kemudian
setelah dilaporkan sihat tanpa sebarang masalah. Ariff orang
yang paling gembira apabila aku dibenarkan balik. Yalah...
semenjak dia tiba, tugas menunggu aku di hospital sudah
menjadi tugasnya. Penatlah agaknya tu menunggu aku di tepi
katil saja. Aku masih tidak boleh lupa soalan pertamanya apabila
dapat menyentuh anak-anaknya.
“Awak tengok betul-betul... anak-anak saya comel
macam saya tak? Muka mereka memang macam saya, kan.”
“Yalah... anak-anak awak mestilah ikut muka awak.
Takkan ikut muka jiran sebelah rumah pulak,” jawabku
meleret. Macamlah dia seorang aja yang comel. Aku ni tak
comel langsung ke? Huh! Asal yang elok aje mesti pergi kat dia.
Aku ni tak dapat apa... hatiku membebel sendiri.
Ariff sempat tertawa mendengar jawapanku itu. Aku
lihat dia mencium lagi pipi anak kedua kami. Aku nampak dia
cukup teruja melihat anak-anaknya. Alhamdulillah... aku yakin
dia boleh jadi seorang bapa yang penyayang.
Hari ini, hari pertama buatku merasai pengalaman
berpantang di rumah selepas melahirkan anak. Bermacammacam
tegahan dan pantang larang yang aku kena ikut. Dahlah
makan kena catu. Tak boleh makan itu... tak boleh makan ini.
Makan nasi kosong saja eloknya. Itu belum masuk bab makan
jamu. Rasa nak terkeluar balik isi perut aku! Bila muka aku
berkerut, emak pun membebel.
“Memang tak sedap rasanya. Kalau selalu sangat
makan sedap, nanti yang tang sakit tu pun sedap juga. Kalau
dah bentan nanti, Syira jugak yang merana badan. Nak sihat
kenalah sabar.” Itulah biji butir bebelan emak kepadaku.
Mendengar aku sudah selamat bersalin, ramailah jiran
tetangga datang berziarah. Itu bukanlah sesuatu yang pelik.
Namun menghadap orang luar, aku terpaksa memekakkan
sahaja telinga dengan mulut-mulut yang bertanya lebih-lebih.
Paling sakit jiwa bila ada yang bertanya... si mat salih tu dah
Islam ke belum? Aduhai... sabar ajalah. Bertanyalah dengan akal
yang waras. Bukannya gunakan nafsu atau hasad dengki.
Paling berani sekali salah seorang wanita yang aku
kenali sebagai Mak Cik Som. Mak Cik Som memang dikenali
seluruh kampung dengan kepekaannya kepada isu semasa dan
sikap prihatin yang terlebih-lebih.Tetapi mak cik seorang ini
memang pandai mengayat. Bila aku diam sahaja, banyak pula
konarnya.
“Bukannya apa, Syira. Dah ramai sangat yang bercakap.
Makcik pun pening jadinya. Yalah, kita ni berjiran. Cubit paha
kanan paha kiri terasa sama. Betul ke kau tu dah mengandung
dulu sebelum kahwin?”
“Kak Som ni... ada pulak kata begitu. Tak baik
cakap macam tu. Kita ni menziarah. Bukannya nak mencari
keburukan orang. Dah suaminya ada di sini, apa pulak kita ni
nak reka cerita yang bukan-bukan? Tak baik tu, Kak Som...”
Ujar Mak Cik Salmah jiran yang sudah lebih dua puluh tahun
tinggal bersebelahan dengan rumah keluargaku ini. Beberapa
orang yang lain ikut mengangguk bersetuju dengan pendapat
Mak Cik Salmah itu.
“Aku ni tanya aja. Bukannya nak mengumpat ke apa.
Dah macam-macam cerita aku dengar. Nak juga tahu apa
kisah yang sebenarnya daripada tuan punya badan.” Mak Cik
Som menjawab semula kepada Mak Cik Salmah sementara aku
hanya terkebil-kebil memerhatikan mereka berdua.
Mak Cik Som kembali memandang aku.
“Betul ke kau terlanjur waktu belajar kat sana?” Soal
Mak Cik Som masih belum puas hati.
“Mak Cik Som ni, janganlah cakap macam tu. Mana ada
terlanjur ni semua,” jawabku lirih. Rasa macam nak meroyan
aku layan mak cik seorang ini.
“Habis tu... kenapa kau kahwin mengejut, tak buat
kenduri kahwin tu semua?” Timbul lagi soalan seterusnya
daripada wanita tua itu.
Aku sudah menghela nafas resah. Tertekan benar aku
dengan ragam perempuan sebaya emakku ini. Dah aku cakap
tidak... tidaklah! Agaknya masa muda Mak Cik Som ni teringin
nak jadi inspektor polis, tapi tak dapat! Itu yang dia jadi macam
ni.
“Kak Som, tak baik kita mencungkil keburukan orang
ni. Kita tak boleh beranggapan buruk kepada orang. Kesian
Syira ni, Kak Som. Ada ke cakap macam tu dengan dia? Kalau
betul pun, itu hal dia. Kita jangan nak sibuk!” Mak Cik Salmah
menegur sekali lagi. Riak wajahnya mulai tidak senang dengan
gelagat wanita itu. Mak Cik Som mencebik.
“Budak-budak sekarang ni memang senang aja buat
benda yang bukan-bukan ni. Bila dah buat, tak mahu mengaku!”
Cemuhnya selamba. Pedih telingaku mendengar itu.
“Apa benda yang tak mahu mengaku tu, Kak Som?”
Emak yang baru menjenguk ke bilik itu segera menyampuk.
“Takde apalah, Zah. Aku saja je bertanya...” Ucap
Mak Cik Som mulai bengang apabila tidak seorang pun yang
menyokong kata-katanya.
“Janganlah bersangka yang tidak-tidak pada kami, Kak
Som. Menantu saya tu... ada di luar. Kalau dia dengar nanti,
kecil hati dia... orang cakap yang bukan-bukan pasal dia. Dahlah
ini kali pertama dia ke sini. Nanti serik pulak dia nak jejak di
kampung ni lagi,” ucap emak lembut sahaja.
“Eh! Kita ni dah lama benar kat sini. Marilah kita balik.
Syira ni tengah sakit. Nak kena berehat. Tak baik kita ganggu
dia dengan benda yang bukan-bukan macam ni. Hesy! Kita ni
dah lari daripada niat nak berziarah.” Salah seorang tetamu
yang lain ikut menyampuk akhirnya.
“Jomlah! Aku tak mahu campur hal-hal macam ni.
Tak pasal-pasal dapat saham kering. Saham ke neraka! Aku tak
mahu mengata anak orang sementelah aku pun ada anak dara.
Nanti anak orang tak apa-apa, anak aku pulak yang bawak anak
tak berbapak. Nauzubillahi-min-zalik...” Mak Cik Salmah dan
yang lain ikut bersetuju untuk pulang sahaja.
Agaknya boring melihat gelagat Mak Cik Som, akhirnya
kebanyakan daripada tetamu-tetamu wanita itu beredar dari
rumahku tidak lama selepas itu. Aku sempat menghela nafas
perlahan mengenangkan jiran-jiran kami itu. Lapang sikit
otakku saat ini.
“Sabarlah, Syira. Jangan pedulikan apa orang nak kata.
Biarlah diaorang nak kata apa. Manusia ni memang begitu.
Lekas nampak yang buruk aja. Maafkan aja diaorang tu.” Emak
berkata lembut cuba menenangkan perasaanku.
“Syira tak apa-apa, mak. Syira dah lali pun dengan
semua ni.” Aku sekadar menjawab hambar.
“Mak Cik Som tu mulut aja banyak... tapi bila orang
lain susah, dia suka bantu. Janganlah ambil hati dengan dia tu.
Kita pun tak perlu nak buka pekung kita pada orang luar,” ujar
emak lagi.
Aku mengangguk sahaja akur dengan nasihat emak
itu. Ya! Untuk apa aku membuka pekung di dada sendiri jika
yang malu nanti pun aku? Jadi lebih baik aku diam sahaja.
“MANA ANAK-ANAK saya?” Soal Ariff setelah masuk ke bilik
petang itu.
“Jangan kacau. Diaorang baru aja tidur,” tegahku. Aku
tahu apa dia nak buat. Ariff tersengih lalu duduk di tepiku.
“Kalau awak tak bagi saya cium anak-anak saya... biar
saya cium awak,” ucapnya nakal. Terus didekatkan wajahnya ke
pipiku.
“Janganlah!” Tolakku sambil menjauhkan wajahku
daripadanya. Bukannya aku kedekut benar... kalau setakat
bermesra begitu tidak salah. Tapi yang jadi masalahnya, lelaki
seorang ini bila diberi betis mulalah minta paha pulak. Dalam
keadaan aku begini, separas pusat sehingga ke lutut haram
untuknya. Jadi... paha pun dah kira haram tu!
“Kalau awak tak mahu, saya nak cium anak-anak saya,”
ugutnya selamba.
“Sabarlah... anak-anak awak baru aja tidur. Nanti
terjaga... saya jugak yang pening,” jawabku sebal. Aku baru nak
berehat! Namun Ariff tetap tidak mempedulikan teguranku. Dia
terus mendekati anak-anaknya di atas tilam kecil di sebelahku
itu. Ariff terpaku seketika merenung wajah dua orang anakku
itu. Seketika kemudian, dia memandang aku pula.
“Saya rasa seperti bermimpi sekarang. Semenjak saya
tahu awak dah nak bersalin, saya memang dah tak sabar untuk
bertemu dengan mereka. Sekarang baru saya tahu betapa
indahnya perasaan menjadi seorang bapa,” luah Ariff kepada
aku yang sedang memerhatikannya. Aku tersenyum sebagai
balasan bicara lelaki itu.
“Helo, sayang. Kenapa asyik tidur je? Bangunlah... main
dengan daddy.” Ariff mengusik pipi anak sulungku perlahan.
Kemudian dahi dua anak kecil itu dikucupnya secara bergilir.
Kemudian berpindah pula ke pipi anak-anak itu. Sehingga
memerah pipi anak-anak itu akibat dikucup Ariff.
Aku yang memandang mula menggeleng. Kalaulah
boleh susu badanku ini aku pindahkan kepadanya... kan bagus?
Biar dia pulak rasa macam mana payahnya menjaga anak.
Orang lain satu aja baby, aku ni dua sekali gus! Bila seorang
terjaga, seorang lagi pun ikut terjaga jugak.
“Mereka memang serupa dengan saya,” ucap Ariff
bangga. Tidak henti-henti senyumannya memekar di bibir.
Raut anak-anaknya itu dipandang penuh asyik. Bagaikan tidak
pernah puas.
“Yalah... macam mana bapak macam itulah anak.
Mereka memang lebih banyak ikut awak daripada saya,” cebirku
sendiri. Rambut dah ikut Ariff. Muka dah sahlah seketul! Mana
bahagian yang serupa dengan aku? Entah!
Ariff ketawa perlahan mendengar ucapanku itu.
“Awak jangan merajuk. Nanti bila kita ada anak
perempuan, muka dia mesti ikut awak. Sebab sama-sama
perempuan,” ucap Ariff senang hati.
“Sedap aja awak bercakap nak anak perempuan ya?
Saya ni sihat pun belum lagi. Ngeri saya dengar apa yang awak
cakap tu,” tukasku mula terasa ngeri.
Semakin galak pula Ariff ketawa. Seronok benar!
Yalah... bab gentel anak serahlah kat dia. Cuba suruh bangun
malam susukan anak... cepat aja dia tekup telinga dengan
bantal. Cukup masa oder ajelah nak anak lagi!
“Ariff, kita belum letakkan nama mereka lagi,” kataku
cuba menarik perhatian Ariff. Ariff segera menoleh kepadaku.
“Saya ingat abah dah letakkan nama kepada mereka
berdua?” Ujarnya dengan kerutan di kening.
“Kenapa pulak abah yang kena letakkan nama
sedangkan ini anak kita? Awak bapaknya, awaklah yang kena
letakkan nama,” getusku. Patutlah dia buat dono aja. Rupanya
dia ingat itu semua abah punya urusan. Ariff termangu seketika.
“Err... saya tak begitu tahu nama orang Islam. Kalau
saya letakkan nama yang saya tahu, pasti awak akan menolak.
Sebab nama itu tidak seperti nama orang Islam,” balas Ariff
sambil terus memandang anakku. Dikuit-kuitnya pipi anak
sulung kami itu.
“Saya mahu meletakkan Muhammad pada mereka.
Nama awak ada Muhammad. Seeloknya mereka juga harus
ada nama seperti itu,” ucapku kembali. Itu yang sudah aku
putuskan semenjak awal lagi. Nama itu juga bersempena
dengan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
“Kalau begitu... saya mahu nama Mikhael dan Rafael.
Muhammad Rafael untuk abang... dan Muhammad Mikhael
untuk adik,” balas Ariff spontan.
Aku terdiam seketika. Cuba memikirkan nama-nama
yang disebutkan suamiku itu. Mikhael adalah nama malaikat
pemberi rezeki, sudah tentulah bagus untuk anakku. Siapa
tahu murah rezeki kami sekeluarga nanti bersempena dengan
nama itu. Tetapi Rafael agak asing kepadaku. Dari mana Ariff
mendapat nama itu? Dah macam nama pemain bola sepak
pulak.
“Awak tidak suka nama itu?” Soal Ariff apabila melihat
aku tidak menjawab.
“Saya suka nama Mikhael kerana itu nama salah satu
malaikat tetapi nama Rafael agak lain. Macam nama orang Brazil
aja?” Jawabku sedikit ragu. Tampang suamiku itu kupandang
lama.
“Bukan! Itu bukan nama orang Brazil, sayang. Saya
pernah bertemu dengan orang Islam yang bernama seperti itu.
Saya sukakan nama itu. Saya mahu salah seorang anak kita
dinamakan dengan nama itu.” Aku diam lagi sambil memandang
suamiku itu. Nak aku tolak... tak sampai hati pula. Apa makna
Rafael ya? Nantilah aku tanya abah.
“Macam inilah... saya akan tanya abah dulu. Kalau
nama itu tak mendatangkan maksud yang buruk, saya setuju.”
Ariff ternyata amat gembira mendengar keputusanku
itu. Dia kemudian mengesot kembali ke arahku yang sedang
duduk bersandar pada dinding bilik itu. Sempat juga dia
mengipas-ngipas tubuhnya yang kepanasan. Yalah... bilik aku ni
mana ada air-cond macam bilik hotel mewah. Hanya ada kipas
di siling dan kipas meja aja.
“Panas ke?” Sempat juga aku memerli melihat
gelagatnya.
“Bilik ni memang agak panas tetapi perempuan di
dalam bilik ni lagi panas...” Jawab Ariff sambil tersengih-sengih
kepadaku. Dia duduk bersebelahan denganku sambil terus
memaut tubuhku kepadanya. Wajahku ditatapnya penuh rasa
rindu. Segan pula aku dibuatnya.
“Hmm... bau awak wangi macam... err... macam
rasberry.” Ariff berbisik sambil menghidu dalam rambutku.
Sekali lagi dia mahu melakukannya. Aku terus menolaknya.
“Saya tengah uzur. Selama saya masih di dalam keadaan
ini... haram awak gauli saya. Saya harap awak faham. Bukannya
saya tak suka, tapi sentuhan awak harus tidak melebihi batas.
Dari separas pusat sehingga ke lutut haram untuk awak.
Jangan mulakan kalau awak tak kuat menahan nafsu,” ujarku
lembut mengingatkan supaya Ariff membataskan sentuhannya
kepadaku. Kehendaknya juga harus tidak melebihi apa yang
mampu aku berikan.
“Berapa lama awak akan begini?” Soal Ariff dengan
sedikit kerutan di kening.
“Mungkin empat puluh hari, mungkin juga lebih,”
jawabku sambil mengerling lelaki itu.
“Kenapa lama sangat? Kurang sikit tak boleh ke?” Ucap
Ariff selamba.
“Awak ingat melahirkan anak tu mudah? Anak awak
dua orang, Ariff. Saya terlantar berjam-jam menahan sakit
untuk melahirkan mereka. Saya perlukan masa untuk sembuh.
Takde kerja lain agaknya awak ni!” Getusku geram.
“Oh... begitu ke? Hmm... takpelah. Untuk tempoh
ini awak berehatlah. Nanti bila awak dah sihat, awak beritahu
saya ya? Saya akan tunggu sampai awak sembuh.” Ariff berbisik
lembut di telingaku. Senyuman dan renungan mesranya
menghantar keinginan lelakinya yang sudah lama tidak aku
tunaikan.
“Awak datang sini untuk itu saja ke? Awak ni memang
miang!” Aku menggumam geram. Itu sahajakah yang ada dalam
fikiran lelaki ini?
“Saya datang sebab saya rindukan awak dan anakanak
saya. Tapi bila tengok awak macam ni, memang tak boleh
tahan. Awak nampak seksi macam ni. Saya suka...” Balas Ariff
selamba sambil memaut tubuhku lebih erat. Kata-kata Ariff
itu membuatkan aku terkebil-kebil berfikir sendiri. Aku yang
berkain batik dan bert-shirt begini Ariff katakan seksi? Tang
mana yang seksi benar?
Tetapi Ariff ketawa pula dengan reaksiku itu. Lenganku
diusapnya lembut.
“Saya akan tunggu hingga awak sembuh, sayang.
Lepas itu siaplah awak! Saya akan buat awak tertidur sehari
suntuk sebab keletihan,” balas Ariff dengan pandangan yang
cukup mesra.
Seram sejuk aku melihat mata lelaki itu yang redup
semacam. Kata-kata serupa ugutan itu membuatkan aku
kengerian. Cepat-cepat aku mengalihkan perhatian kepada
anak-anakku itu. Salah seorangnya bagaikan mengerti,
segera menyelamatkan aku dengan rengekannya. Aku segera
melepaskan pelukan Ariff. Anak itu terus kuangkat lalu kuriba.
Anak keduaku itu terlelap semula apabila aku menepuknya.
Dengan kehadiran Mikhael di pangkuan, takdelah Ariff boleh
berbuat sesuka hati lagi kepadaku. Selamat aku!
MALAM ITU Ariff bersantai sahaja di ruang tamu saat seluruh
ahli keluargaku sibuk bersolat maghrib secara berjemaah. Aku
pula yang baru selesai bertungku dan menyusukan anak-anak
segera memanggil suamiku itu masuk ke dalam bilik. Sebal
benar aku dengan sikap tidak tahu malu Ariff. Mujurlah emak
dan abah mengerti keadaan Ariff. Jika orang lain yang tengok,
mesti aku yang akan dipersalahkan bila suami tidak pandai
bersolat. Langsung tidak ada segan silu dengan kekurangannya
itu.
“Awak tidak bersolat dengan mereka semua ke?”
Soal Ariff kepadaku sebelum sempat aku meluahkan apa yang
terbuku dalam hatiku. Dengan selambanya Ariff duduk di
sebelahku di atas katil itu.
“Saya yang sepatutnya bertanya begitu dengan awak.
Saya tak bersolat kerana saya uzur. Haram saya bersolat dalam
keadaan saya tidak suci. Tapi awak tu... saya nak ajar awak
bersolat, awak degil. Saya malu pada orang tua saya bila tengok
keadaan awak macam ni,” tukasku kesal dengan sikap selamba
Ariff.
“Kenapa nak malu pula?” Soal Ariff mulai tidak senang
dengan bebelanku. Aku sedar Ariff masih tidak tahu amat
penting untuk dia menjaga air mukanya sebagai orang Islam.
Amat penting untuk dia menjaga air mukanya kepada Allah!
“Solatlah, Ariff. Awak dah ada kewajipan itu. Alasan tak
tahu, tak boleh diterima sebab awak diwajibkan belajar bersolat.
Suatu hari nanti apabila sampai masanya, anak-anak juga kena
bersolat. Awak yang kena ajar anak-anak bersolat. Apa kata
mereka kalau mereka nampak awak pula yang tak bersolat?”
Pujukku cuba berlembut.
“Saya belum belajar lagi cara-cara untuk bersolat.
Nantilah...” Balas Ariff selamba sambil baring menelentang di
atas katil itu. Reaksi sebegitulah yang paling menguji kesabaran
aku apabila aku mula bersuara tentang agama kepada suamiku
ini. Bukannya Ariff tidak mampu tetapi lelaki itu sememangnya
tidak mahu belajar! Malas memang alasan yang mudah untuk
membiarkan dirinya lalai.
“Sampai bila nak macam ni?” Keluhku sambil
menggeleng sendiri.
“Sampai bila-bila yang saya suka. Tengok sini Insyirah,
saya tak pernah memaksa awak dengan saya selama ini. Awak
suka duduk sini dengan keluarga awak, saya tak pernah bantah.
Tetapi kenapa awak suka memaksa saya buat sesuatu yang saya
tak suka?” Balas Ariff dengan nada tertahan. Mulalah dia naik
angin. Namun masih dikawal suaranya. Mungkin dia takut abah
dan emak mendengar kata-katanya.
“Ini bukan soal paksa tapi kewajipan. Kalau saya
tak tegur, saya berdosa. Benda yang awak tak suka tu wajib
hukumnya, Ariff. Yang awak suka itu haram hukumnya. Saya
bukannya nak paksa awak belajar semuanya. Tapi belajarlah
sikit-sikit dulu. Kemudian baru amalkan. Semua amalan kita
akan mendapat balasannya, Ariff. Allah tengok kita sepanjang
masa. Awak tak takut ke? Bukalah mata awak luas-luas. Awak
suami saya. Takkan saya nak relakan awak abaikan agama.
Sedarlah... awak seorang suami dan daddy sekarang. Kita kena
selalu berubah untuk kebaikan!” Tekanku bersungguh. Ariff
diam sahaja sambil menatap kipas yang ligat berpusing.
“Ariff, awak dengarlah nasihat saya. Solat tu ibarat
sebatang sungai yang mengalir di hadapan rumah. Kalau lima
kali sehari kita mandi di sungai itu lama-kelamaan segala dosa
kita akan digugurkan Allah. Awak tak mahu begitu? Bukannya
susah. Hanya lima kali sehari, semalam. Belajarlah dulu, Ariff.
Suatu hari nanti, awak akan menjadi imam kepada saya dan
anak-anak kita,” nasihatku lembut.
“Bila awak nak berhenti membebel mengenai hal ini?”
Soal Ariff perlahan.
“Selagi Allah berikan saya kekuatan, saya akan
terus mengingatkan walaupun awak tak suka. Kerana itulah
tanggungjawab kita suami isteri. Kita saling melengkapi antara
satu sama lain. Bila sampai masanya... Allah akan tutup mulut
saya ni, awak takkan dengar lagi apa-apa daripada saya. Waktu
tu awak boleh buat apa sahaja yang awak suka sebab saya dah
tak melihatnya lagi!” Serius kata-kataku untuk membuatkan
suaminya itu sedar. Ariff menoleh memandangku lama. Cuba
memahaminya. Wajahnya mengeruh mendengarkan itu.
“Apa maksud awak tadi? Awak nak tinggalkan saya?”
“Hidup hanya sementara. Begitulah juga dengan nyawa
yang ada pada jasad kita ni. Kalau ditakdirkan saya diambil
oleh Allah kembali ke sisi-Nya, waktu tu segala tanggungjawab
saya pada awak akan terhenti. Tinggal awak sahaja mahu terus
begini atau tidak. Selagi Allah berikan saya kesempatan dan
kemampuan untuk menjalankan amanah ni, saya akan jalankan
sebaiknya. Tapi apa yang terjadi selepas itu saya hanya berserah
kepada Allah,” jelasku sekadar mahu mengingatkan.
Ariff mengeluh perlahan dan termenung jauh.
“Saya sudah pernah kehilangan suatu masa dulu.
Tuhan memang tidak adil kepada saya kerana merampas mama
dalam usia saya yang masih terlalu muda. Kalau saya terpaksa
kehilangan lagi, Tuhan memang tidak pernah kasihan kepada
saya selama ini,” luah Ariff perlahan.
“Benarkah Allah tak adil kepada awak?” Aku menyoal
lembut. Aku mahu Ariff menilai semula apa yang diluahkannya.
Aku tahu Ariff memaksudkan yang dia pernah merana setelah
kehilangan mamanya dalam usia yang muda. Bapa mertuaku
pernah menceritakan tentang itu kepadaku.
“Allah rampas mama saya!” Jawab Ariff pantas.
“Rampas? Perkataan tu tak sesuai kerana awak tak
kenal siapa Allah sebenarnya. Kita semua adalah milik Allah.
Mama juga sekadar pinjaman di atas dunia ini, Ariff. Tetapi
Allah tidak pernah berlaku kejam kepada setiap hamba-Nya.
Allah tidak akan mengambil sesuatu daripada kita begitu sahaja.
Setiap sesuatu yang Dia ambil, Dia akan gantikannya dengan
sesuatu yang lain.”
“Pernah tak awak pandang semula apa yang ada dalam
hidup awak? Awak memang tiada mama tapi papa awak baik.
Dia limpahkan awak dengan kasih sayang. Dia mahu awak
hidup sempurna dengan memberikan segala-galanya kepada
awak. Awak kaya raya dan ramai orang sayangkan awak. Awak
tak perlu bersusah payah untuk hidup selesa atas dunia ni.
Tanpa pekerjaan yang baik atau kelulusan tinggi, awak tetap
dapat hidup senang. Ramai orang lain di sekeliling awak yang
ada emak tapi tetap tak seberuntung awak. Bukan semuanya
yang kita mahukan akan kita dapat, Ariff. Hidup tidak akan
selamanya sempurna seperti yang kita mahukan. Allah menguji
kita dengan kehilangan untuk mengajar kita erti bersyukur
dengan apa yang kita miliki selama ini. Supaya kita dan orang
sekeliling kita beringat yang hidup ni bukan untuk selamanya.
Kita tak patut meminta-minta jika kemudiannya tak mahu
bersyukur,” ceramahku lagi.
“Memang ramai orang sayangkan saya tapi perempuan
yang saya suka tak sayangkan saya. Betulkah Tuhan itu adil?
Kalau Tuhan adil, mengapa dia buat saya jatuh cinta kepada
perempuan yang tak cintakan saya?” Celah Ariff. Lekas sahaja
dia menggunakan topik itu untuk mematahkan hujahku.
Matanya sempat mengerling sinis kepadaku.
Aku terpaku seketika memandang Ariff. Siapa yang dia
maksudkan? Aku ke? Rasanya lebih baik aku bertanya daripada
membuat spekulasi sendiri.
“Apa maksud awak?”
“Awak tak cintakan saya, kan? Saya tahu awak memang
tak pernah cintakan saya selama ini,” jawab Ariff sambil
merenungku agak tajam. Aku sempat menghela nafas perlahan.
“Apa bukti yang mesti saya berikan untuk buat awak
faham tentang perasaan sayang saya kepada awak? Perhatian
saya hanya kepada awak seorang. Setiap apa yang saya lakukan
di belakang awak, saya akan fikirkan awak dulu. Saya tegur
awak sebab saya tak mahu hidup awak hancur, Ariff. Itu semua
tak bermaksud yang saya sayangkan awak ke?” Balasku sedikit
kesal. Ariff kembali terdiam. Dia sudah kehilangan bicara untuk
membalas saat itu.
“Perlu ke kita menanti hingga kita hilang sesuatu...
baru kita mahu insaf, Ariff. Apabila tiba waktunya... masa
yang dah berlalu tidak akan berulang semula walaupun kita
menangis dengan air mata darah. Lebih rugi lagi kalau kita
mati dalam keadaan Allah tidak ampunkan dosa kita. Itu sangat
dahsyat, Ariff. Berubahlah selagi ada kesempatan. Bukannya
susah! Hanya mulakan dengan solat. Kalau jiwa kita dah terisi,
Insya-Allah segala amalan yang buruk akan mudah untuk kita
tinggalkan. Solat itu pembersih jiwa, Ariff. Setiap apa yang kita
lakukan setiap hari, itulah penyukat di mana paras keimanan
kita sebenarnya,” tambahku lagi.
Ariff terus diam dengan muka ketatnya. Setiap apa
yang aku katakan macam tidak masuk langsung ke dalam
dirinya. Aku hanya mampu menggeleng melihat Ariff mula
membalikkan tubuhnya menghadap ke arah lain. Lelaki itu
sudah mula menunjukkan kebosanannya apabila diceramah
lagi mengenai Tuhan dan agama. Aku hanya mampu mengeluh
melihat kedegilan suamiku itu. Susah betul untuk menegur
lelaki ini kerana tembok keegoannya mungkin melebihi
kukuhnya Tembok Berlin. Agaknya kalau dibom oleh nazi pun,
belum tentu runtuh tembok itu!

No comments:

Post a Comment