Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 15

AKU sebenarnya segan dengan orang kampung
dengan kewujudan Ariff. Semenjak lelaki itu ada, rumah kami
tidak putus-putus didatangi orang. Ada sahaja yang mahu
berkenalan. Yalah... inilah pertama kali mat salih masuk ke
kampung kami. Tetapi semua itu tidak menjadi kudis bagi
Ariff. Pakej melawat aku dilengkapkan juga dengan aktiviti
perkenalan kepada suasana kampung. Petang-petang dia
selamba sahaja naik motor dengan Syahril pergi menjelajah
ladang sawit dan kebun buah keluarga kami. Padahal pokokpokok
di kebun buah-buahan abah itu bukannya ada berbuah
pun. Belum musim...
Apatah lagi kebiasaan di kampung kebanyakan
penunggang motor memang tidak gemar memakai topi keledar,
maka semakin jauhlah mereka berdua berjalan. Sehingga ke
perkampungan lain pun ada. Kata Ariff dia benar-benar seronok
dengan pengalaman duduk di kampung. Dia suka mencuba
sesuatu yang tidak pernah dilihatnya terutama sekali makan
mempelam muda dengan sambal kicap. Pada mulanya aku
mahu tergelak melihat muka lelaki itu yang berkerut menahan
masam. Katanya inilah pertama kali dia makan buah mempelam.
Tetapi selepas mula merasai kenikmatan mempelam muda
dicicah dengan sambal kicap, makannya tak mahu berhenti
pula. Aku pulak yang seram menengoknya.
“Cuba awak rasa... sedap!” Dengan selamba dia
menyuakan hirisan mempelam muda itu kepada aku. Tetapi
emak lekas menegah aku memakan mempelam itu.
“Saya tak boleh makanlah, Ariff. Awak makanlah. Tapi
jangan makan banyak sangat. Nanti kalau tak tahan, awak boleh
kena gastrik. Buah ni banyak asid,” ucapku sambil memandang
dia makan. Lajunya dia makan... macam makan nasi. Kesian
betul mat salih ni. Jakun...
“Kenapa awak tak boleh makan? Buah ini pun
berbahaya untuk awak?”
“Yalah. Awak rasa buah tu amat masam, kan? Banyak
asid. Kalau orang yang sihat walafiat pun boleh jatuh sakit bila
makan buah itu, inikan pula saya yang sememangnya tengah
sakit. Awak tu jaga-jaga sikit! Nanti sakit perut... saya juga
yang susah,” ucapku lembut. Bukannya aku tidak tahu betapa
manjanya lelaki ini bila sakit. Kalau boleh... nak mandi pun
suruh aku jugak yang mandikan.
“Sedap! Saya tak pernah makan benda-benda
begini. Saya kena cuba! Nanti di London kita takkan dapat
pengalaman begini lagi.” Ariff menjawab selamba. Mukanya
sudah kemerahan menahan pedas sambal kicap itu. Macam tak
hairan sahaja dia dengan peringatan aku tadi. Belum kena...
memanglah nak cuba.
Malas mahu menegah lagi, aku hanya membiarkan
lelaki itu makan sesedap rasanya. Dia mahu pengalaman
pertama ya? Biarkan!
Akibatnya malam itu...
“Sayang, kenapa perut saya ni sakit?” Berkerut-kerut
dia menahan sakit.
“Saya dah cakap siang tadi. Awak degil! Tengok apa dah
jadi...” Keluhku sudah tidak senang hati. Nak ke klinik, di sini
mana ada klinik beroperasi malam hari. Nak tak nak kenalah
tahan sampai esok pagi.
“Sakitlah. Dada saya ni pedih sangat...” Keluhnya lagi.
Tubuhnya mengerekot seolah-olah mahu menenggelamkan
penderitaannya sedalam yang boleh. Inilah akibatnya kalau
kepala batu! Aku jugak yang susah. Nak belek anak lagi...
bapaknya lagi. Hesy! Membebel juga aku dalam hati.
“Awak kena muntahkan balik apa yang awak makan
tadi. Takpe... biar saya sapu minyak dulu,” ucapku tetap tidak
sampai hati mahu marah kepadanya.
“Cepatlah sapu minyak. Sakit sangat ni.” Ariff semakin
kuat mengerang. Terhegeh-hegehlah aku melayan lelaki manja
seorang ini. Tidak cukup menyapukan minyak, aku bancuhkan
susu pula supaya sakit pada ulu hatinya itu lega. Masih tidak
lega juga sakitnya, dia suruh aku bancuh lagi sehingga Ariff
akhirnya muntah. Selepas itu barulah dia nampak tenang.
“Macam mana? Nak makan buah tu lagi ke? Banyak lagi
kat pokok tu kalau awak nak.” Aku segera memerlinya apabila
melihat dia sudah tidak mengerang seperti tadi. Dia yang sakit,
aku pula yang tak boleh tidur dibuatnya... Getus hatiku geram.
Sempat aku memandang anakku yang sedang aku susukan.
Ralik sungguh Muhammad Rafael tanpa mempedulikan apa
yang berlaku kepada daddynya itu.
“Tak nak! Saya serik...” Jawab Ariff lemah. Kini barulah
dia dapat berbaring dengan aman. Matanya terus dipejamkan.
Sekejap sahaja dia sudah terlelap.
Tinggallah aku seorang diri melayan anak-anak yang
sudah mula terjaga. Macam ni... alamat sampai ke pagilah aku
tak boleh tidur. Baru tiga orang lelaki Allah berikan kepadaku,
sudah pening aku dibuatnya. Bagaimanalah kalau bertambah
lagi nanti? Aduhai...
SELEPAS MASUK waktu asar aku menjengukkan diri ke luar
rumah. Dari ambang pintu dapur aku sudah terpandangkan
Ariff sedang duduk santai di pangkin di bawah pokok rambutan
di hadapan rumahku itu. Mata lelaki itu terdongak-dongak ke
atas memandang buah rambutan yang sedang melebat di pokok.
Aku sempat menggeleng melihat dia berlenggeng dengan
baju yang tersangkut di bahunya. Aku terus bergerak untuk
menyertainya. Bosan pula berkurung sahaja di dalam rumah.
“Awak dah baik?” Ariff segera bertanya apabila melihat
aku menjejakkan kaki ke tanah. Sebelum ini dia ada diberitahu
oleh emakku yang aku sedang berpantang daripada memijak
tanah.
“Sikit...” Jawabku sambil duduk bersebelahan dengan
suamiku itu.
“Emak awak kata, awak tak boleh pijak tanah selagi
awak masih...” Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya,
aku sudah tergelak. Keluguan lelaki itu membuatkan aku
rasa geli hati pula. Ariff sudah tersalah faham dengan maksud
emakku itu.
“Kenapa awak ketawa?” Soal Ariff hairan melihat
tingkah lakuku.
“Awak tak faham sebenarnya. Mak bukannya kata saya
tak boleh pijak tanah yang ada di kaki saya ni. Maksud dia,
saya tak boleh sesuka hati nak merayap keluar rumah dalam
keadaan saya masih macam ni. Contohnya saya tak boleh pergi
ke kedai atau keluar bershopping. Keluar rumah pada waktu
maghrib dan berembun di luar rumah waktu tengah malam
memang pantang besar bagi wanita yang baru lepas bersalin.
Orang perempuan yang baru lepas melahirkan anak tidak boleh
membiarkan badannya terdedah pada angin luar, kerana itu
akan membuatkan badan akan sakit. Itulah maksud emak saya,”
jelasku sambil tersenyum.
“Oh...” Ariff mengangguk akur dengan penjelasanku
itu.
“Emak awak walaupun dah berusia empat puluhan
tetapi dia masih cantik. Dulu waktu pertama kali saya nampak
mak, saya ingat dia kakak awak,” komen Ariff lembut. Aku
lantas menoleh memandang suamiku itu. Kembang hatiku
mendengar pujian itu. Tengoklah emak siapa?
“Emak saya orang kampung aja. Tapi orang macam
kami ada banyak cara lain untuk menjaga kecantikan selain
daripada menghabiskan masa di spa. Mak saya cuma suka
makan sayur ulam-ulaman selain daripada mengamalkan petua
orang-orang lama. Itulah yang dia ajarkan pada saya selama ini.
Kami tak mampu nak meluangkan masa di spa-spa sebab di
rumah ada banyak tanggungjawab,” ujarku lembut.
“Ya ke? Apa petua yang mak awak ajarkan pada
awak? Boleh beritahu saya?” Soal Ariff berminat. Tampangku
ditatapnya mesra.
“Ini petua untuk orang perempuanlah! Awak lelaki
buat apa nak sibuk?” Tukasku selamba. Namun aku sempat
tergelak melihat gelagatnya.
“Emak awak cantik, patutlah anaknya juga cantik.
Mungkin begitulah rupa awak bila awak berusia empat puluhan
nanti. Cantik dan langsing!” Komen Ariff sambil tersenyum
kepadaku. Bab memuji memang serahlah kat dia...
Aku mencebik lantas pandangan kularikan daripada
lelaki itu. Bukannya aku tidak suka pujian daripada lelaki
ini. Tetapi aku sudah mengajar diri agar berhati-hati dengan
pujiannya. Lelaki ini memang kaki mengayat perempuan!
“Saya suka dengan kampung awak ni. Orang di sini
baik-baik semuanya,” ucap Ariff mula mengalihkan topik
tentang kampung ini pula.
“Orang di sini memang baik kepada orang luar. Tapi
anak-anak dara di kampung ni awak jangan buat main. Di sini
awak kena berhati-hati dengan setiap perbuatan awak. Tidak
semua orang di sini berfikiran terbuka,” ujarku bersungguhsungguh.
Supaya dia sedar tentang adab sopan duduk di
kampung. Ariff mula merenungku dengan kerutan di kening.
“Kenapa awak cakap saya begitu? Apa yang saya dah
buat?” Soalnya tidak faham.
“Saya cakap ni bukanlah bermakna saya tuduh awak
dah buat sesuatu. Tapi saya ingatkan sebelum awak buat. Jangan
nanti... awak nampak anak dara yang putih melepak, awak kacau
mereka sesuka hati awak, macam awak buat pada saya dulu.
Kampung ni lain... tak sama macam di London. Orang-orang
tua di sini memang baik dengan orang sekeliling. Tapi mereka
juga tak moden tentang maruah anak-anak perempuan mereka.
Di sini kalau awak duduk berdua-duaan dengan perempuan,
orang kampung akan tangkap dan belasah awak. Lepas tu awak
kena berkahwin dengan perempuan tu. Kalau awak nak rasa
kena macam tu, cubalah buat!” Dengan lagak bersahaja aku
menjelaskan.
Ariff terdiam seketika. Namun aku sempat terkesan
reaksi wajahnya sedikit berubah seolah-olah tidak menjangkakan
sehingga begitu sekali orang kampung ini menjaga maruah
keluarga mereka.
“Sampai macam tu sekali ke? Kejamnya?” Ariff bertanya
bersungguh-sungguh.
“Saya dah kata kat sini tak begitu moden seperti di
London. Sikap saya yang awak anggap kolot tu pun sebab saya
dah terbiasa dengan persekitaran begini. Di sini... setiap ibu bapa
tak suka anak perempuan mereka berkawan rapat dengan lelaki
sehingga menimbulkan prasangka tak elok orang lain. Semua
orang di sini menjaga adab sopan. Jangan berlagak seolah-olah
awak sedang berada di London, kalau awak tak mahu mendapat
mimpi ngeri di sini. Kalau tak... jangan pelik... ini akan menjadi
kali yang pertama dan yang terakhir awak berada di kampung
saya ni!” Selamba sahaja aku berkata.
“Err... saya takde kacau sesiapa. Kalau ada pun saya
hanya kacau awak saja. Saya tak pernah buat macam yang awak
katakan tu pada orang lain di sini. Jadi takde sebab mereka nak
paksa saya kahwin dengan sesiapa di sini. Saya sentiasa bersopan
dengan sesiapa yang saya temui. Betul!” Ujar Ariff cukup serius.
Gelagatnya itu membuatkan aku segera mengerutkan kening.
Yang dia emosi sangat, kenapa pulak?
“Saya ingatkan aja! Bukannya menuduh awak. Kalau
takde... baguslah...” Ucapku meleret.
“Awak menakutkan saya, sayang.”
“Kenapa nak takut? Awak ada menggatal dengan
sesiapa ke di sini?” Dugaku dengan kerlingan ekor mata.
“Sumpah takde! Saya tak pernah buat begitu! Saya
hanya usik awak aja. Orang lain saya tak peduli!” Tegas Ariff
dengan mata yang membulat kepadaku. Aku mahu tergelak
melihat wajah suamiku itu. Kalau dah macam itu sekali
reaksinya, maknanya memang betullah dia tak buat. Tapi sekali
tengok memang geli hati. Tahu pun kau takut, kan?
“Jadi ke awak akan ikut saya balik nanti?” Soal Ariff
sambil menilik wajahku dari tepi.
“Saya ingat awak tak mahu saya berada dengan awak
di sana.” Aku menoleh kepada Ariff dengan kerlingan ekor
mata. Sebelum ini setiap kali kami bertengkar, mesti dia akan
mengungkapkan yang dia tidak berharap yang aku akan ke sana
bersamanya. Sekarang lain pula ceritanya.
“Atau awak yang tak mahu bersama dengan saya...”
Ariff pula membuat andaiannya sendiri tentang pendirianku.
“Kalau saya tak mahu berada dengan awak, saya takkan
kahwin dengan awak. Saya sedar tanggungjawab saya sebagai
isteri, Ariff. Awak tak benarkan saya keluar rumah bergaul
dengan orang lain, saya turutkan. Apa lagi yang harus saya
lakukan untuk membuktikannya? Pernah ke awak dengar saya
kata saya tak mahu ikut awak balik ke London?” Ucapku agak
lirih. Susah benar mahu mencipta keserasian dalam hubungan
ini. Kadangkala aku rasa tidak difahami sedikit pun olehnya.
“Kalau begitu... kita akan balik ke London bersama?”
Ariff mula ceria mendengar kata-kataku itu.
Perlahan aku menghela nafas. Bersama? Bermakna
dalam masa terdekat ini. Sudah bersediakah aku? Menjaga
keluarga sendirian tanpa kehadiran emak dan abah yang selama
ini menjadi tempat aku meminta segala tunjuk ajar. Cabarannya
sudah dapat aku bayangkan. Mampukah aku?
“Kita akan balik ke London bersama, kan?” Soal
Ariff sekali lagi setelah tiada kedengaran sebarang jawapan
daripadaku.
“Takkanlah sekarang? Awak dah tak tahan hidup
di sini?” Soalku semula. Bersungguh benar Ariff menagih
keputusanku. Dah tak sabar nak balik agaknya.
“Bukanlah hari ini... tapi dalam seminggu lagi. Saya
dah tak boleh tinggalkan kuliah lagi,” jawab Ariff lembut. Aku
terdiam berfikir lagi.
“Kita balik nanti ya?” Soal Ariff mesra sambil memaut
pinggangku. Bibirku mahu dicumbunya tetapi aku lebih
pantas mengelak. Lelaki itu mula mendecit geram dengan
penolakanku.
“Takkan ini saja pun tak boleh?” Ucap Ariff sebal.
“Janganlah kat sini. Orang tengoklah! Saya dah puas
menjadi bahan cerita orang. Saya tak mahu buat orang terus
mengata saya lagi,” balasku perlahan.
“Bahan cerita orang? Apa yang awak maksudkan?”
Soal Ariff tidak mengerti. Aku lantas bercerita kepadanya apa
yang sering aku dengari daripada orang sekelilingku. Selalunya
Syahril yang akan membawa pulang cerita orang tentang kami.
Ariff mula berubah reaksi apabila mendengar tentang itu.
“Apa maksud awak? Mereka panggil anak saya... anak
haram?” Soal Ariff mula dicuit rasa marah dan geram. Wajahnya
sudah mula merah.
“Kenapa mereka suka sangat menyibuk hal orang lain?
Awak hamil atau tidak itu bukan urusan mereka! Di London
ramai orang yang hamil dan menggugurkan kandungan tapi
tiada siapa pun peduli. Saya tak ganggu orang lain dan saya tak
suka orang ejek anak-anak saya begitu. Kalau saya tahu siapa
yang kata anak saya begitu... tahulah saya ajar mereka,” tekan
Ariff mula mengeras nadanya tanda tidak berpuas hati.
“Awak janganlah marah diaorang. Tak baik bergaduh
sesama jiran! Kita hidup dalam masyarakat yang saling
mengambil berat antara satu sama lain. Hamil suatu perkara
yang baik. Tetapi jika di luar perkahwinan itu memalukan kerana
pasangan itu telah melakukan hubungan terlarang. Perkara
seperti itu dikeji masyarakat kerana kita telah melakukan
sesuatu yang amat dikeji Allah. Kebanyakan orang masih tidak
mampu merelakan perkara seperti ini sebagai satu kebiasaan
dalam masyarakat. Biarlah apa orang nak kata. Kalau kita nak
hentikan semua kata-kata orang, kita takkan boleh hidup aman,
Ariff.” Aku membalas lembut dalam pada memujuknya. Orang
lain yang dikata, orang lain pula yang naik angin!
“Mereka sepatutnya tutup mulut dan jangan kata
apa-apa! Saya tak ganggu orang lain dan saya tak suka mereka
ganggu awak dan anak-anak saya! Lain kali awak beritahu aja
saya siapa yang jahat mulut begitu. Biar saya ajar mereka!”
Desis Ariff masih dikawal oleh perasaan marahnya.
“Tak payahlah buat begitu. Takde gunanya, Ariff! Lebih
baik kita diamkan aja hal itu. Saya tak mahu nanti, hal ini
melarat dan akhirnya rahsia kita selama ini terbongkar. Siapa
yang malu nanti? Kita juga!” Ucapku tetap lembut.
Ariff diam sambil memandang tanah di hujung
kakinya. Kemudian dia memandang aku semula. Wajahnya
mendung sedikit.
“Awak susah kerana hal itu?” Soalnya perlahan sahaja.
Ada terbesit sedikit rasa bersalah pada wajahnya. Pertama kali
aku melihat suamiku mengambil berat keadaanku. Selama ini
Ariff tidak pernah peduli.
“Susah juga. Tapi ini semua dah lumrah. Kalau saya
marah atau memaki hamun sekalipun keadaan tak akan
bertambah baik. Walaupun pada mulanya saya marah, tapi
pilihannya hanya ada satu saja. Saya kena berdiam diri dan
bersabar. Jadi saya terima semuanya dengan hati yang terbuka.
Semua ini ada hikmahnya. Sekarang saya bahagia melihat anakanak
kita,” luahku jujur. Perkara yang lepas tidak sepenting
masa depan anak-anak kami. Hanya itu yang berada dalam
fikiranku saban hari.
“Anak-anak sahaja? Awak tak bahagia ke bila tengok
wajah saya?” Perlahan aku mula menoleh kepadanya. Ariff
memang gemar bertanya soalan yang membuatkan aku rasa
serba salah.
Dia mahu aku bahagia? Macam mana caranya? Siapa
yang akan rasa bahagia dengan suami yang tak pernah setia?
Walaupun aku tidak pernah mengungkitnya tetapi itu tidak
bermakna aku senang hati dengan tabiat Ariff. Entahlah...
Kenapa bila bersangkutan soal wanita, dia terlalu sukar
untuk berubah? Apa kurangnya aku? Kenapa ucapan cintanya
untuk aku, tetapi dia masih mengelek wanita lain pada masa
lapangnya? Kenapa? Kenapa? Semua soalan itu tidak pernah
aku temukan jawapannya.
“Kenapa awak suka tanya saya soalan yang awak sendiri
dah tahu jawapannya?” Jawabku juga berbentuk soalan. Ariff
diam seketika. Dalam pada itu dia mengeluh sedikit.
“Kalau bukan kerana anak kita, awak takkan pandang
saya, kan? Semenjak dulu awak memang bencikan saya. Hanya
saya saja yang beria-ia sukakan awak. Selama ini apabila saya
dekati awak, awak akan marah-marah dengan saya,” ujar Ariff
dengan sedikit keluhan hampa.
Aku terkedu mendengar kenyataannya. Aku marahmarah
bila dia dekati aku? Bila masanya aku marah-marah dia
apabila dia menuntut sedikit perhatian daripadaku? Bila? Aku
marah bila dia tak mahu mendengar nasihatku. Besar bezanya
di situ. Oh! Jadi itulah maknanya yang selama ini aku tidak
cinta kepadanya.
“Saya percaya kita tak boleh mengubah diri kita
kerana cinta tetapi cinta boleh mengubah kita untuk menjadi
orang yang lebih baik. Tapi jangan cakap soal cinta kalau kita
sebenarnya tak tahu apa maknanya cinta. Jangan cakap soal
sayang, kalau sekadar memberi kesetiaan pun kita tak mampu.
Cinta adalah tentang kejujuran kita, Ariff. Cinta adalah tentang
kesetiaan dan keikhlasan kita menerima seseorang dalam hati
kita. Kalau semua itu tidak pernah ada dalam diri kita, itu
belum boleh dipanggil cinta,” luahku perlahan sahaja.
Ariff menoleh kepadaku dengan pandangan yang
tidak mampu kutafsirkan maknanya. Namun kedengaran pula
keluhan kesal lelaki itu.
“Saya memang sukakan perempuan cantik. Awak
salah satu daripadanya. Saya memang tak pernah berniat
untuk mengahwini mereka. Tapi dengan awak... saya memang
tersilap dulu kerana tak berhati-hati...” Ujar Ariff perlahan. Satu
pengakuan yang aku anggap teramat jujur.
Aku cuba untuk mendalami apa yang sedang
dimaksudkan Ariff sebaik-baiknya. Akhirnya seketika kemudian
aku mengerti juga. Andaian yang ada dalam benakku begini...
Kegelojohan lelaki ini dahulu telah membuatkan aku hamil.
Sedangkan dengan wanita lain, Ariff terlebih dahulu bersiap
sedia dengan menggunakan alat perlindungan supaya dia tidak
perlu bertanggungjawab kepada wanita yang sudah digaulinya
itu. Alangkah kejamnya kau wahai lelaki! Detik hatiku benci.
“Jadi itulah cinta yang awak katakan pada saya selama
ini? Kalaulah ditakdirkan awak yang terkena semua itu,
bagaimana awak nak membalas cinta saya selepas saya puas
menyakitkan hati awak?” Tanyaku serius.
“Saya dah kata saya tak sengaja. Saya mabuk waktu itu,
sayang.”
“Ya! Awak gauli saya dalam keadaan mabuk. Tapi
bagaimana dengan yang lain? Semuanya mabuk atau awak
memang rela?” Tekanku cukup sinis. Ariff mula tunduk tidak
mampu menjawab, juga tidak memandangku.
“Cuba bayangkan kalau anak perempuan awak
dipermainkan orang seperti yang awak buat pada semua
perempuan-perempuan tu, Ariff. Awak suka ke dengan keadaan
tu?” Ucapku sedikit tajam. Ariff terus berdiam tidak membalas
bicaraku.
“Bagi saya sama ada anak perempuan saya dipermainkan
atau anak lelaki saya mempermainkan perempuan, keduaduanya
saya tak mahu! Saya mahu anak saya menjadi lelaki
sejati. Lelaki sejati... Lelaki yang akan melindungi maruah
wanita! Bukan merosakkan wanita itu!” Tambahku sinis.
“Tapi mereka sendiri yang suka dengan saya. Saya tak
pernah memaksa mereka ikut saya. Mereka sendiri yang bodoh
kerana menyerah!” Balas Ariff mudah. Meletakkan kesalahan
itu di bahu wanita-wanita yang menyerah kepadanya pula.
Ah! Sekarang dia cuba membayangkan aku pun bodoh,
sama macam perempuan-perempuan itu. Bodohlah agaknya
aku... sepatutnya lelaki ini aku sumbat dalam penjara. Tapi lain
pulak ceritanya. Aku sanggup kahwin pulak dengan dia.
“Dalam Islam si penzina kedua-duanya akan dihukum.
Kecuali kalau dipaksa atau perhubungan itu dilakukan dalam
keadaan terlupa atau salah sangka. Itu dimaafkan. Tapi kalau
kedua-duanya sudi, keadaan fikiran pula cukup waras... maka
boleh dikenakan hukuman seratus kali sebatan setiap seorang.
Tiada belas kasihan. Baik pada lelaki atau perempuan. Tidak
kiralah siapa yang mengajak, siapa yang diajak. Sama-sama
akan kena!”
“Allah ciptakan makhluk lelaki dengan sembilan akal
tetapi satu nafsunya. Berbanding wanita sembilan nafsunya
tetapi satu sahaja akal. Dalam Islam juga diakui lelaki lebih
bijak daripada wanita kerana itulah lelaki diangkat sebagai
pemimpin dalam negara dan sesebuah keluarga. Kerana itu juga
Allah hanya melantik nabi dan rasul di kalangan lelaki sahaja.
Kerana pertimbangan seorang lelaki lebih tepat berbanding
wanita yang suka mengunakan emosi. Tetapi tidak semua
lelaki menggunakan sembilan akal itu untuk tujuan yang
baik sedangkan Allah menetapkan, lelaki adalah pembimbing
kepada isteri dan anak-anaknya. Wajarkah akal yang banyak itu
digunakan untuk menipu daya wanita yang bersifat naif yang
seharusnya dilindungi dan dibimbing?” Balasku pula.
“Saya ini terlalu teruk ke untuk awak, Insyirah? Saya
memang tiada tempat langsung di hati awak?” Entah kenapa
soalan itu pula yang ditanyakan Ariff kepadaku. Aku terkebilkebil
seketika saat itu. Dah ke situ pula perginya lelaki ini. Lain
yang aku cakap, lain pula penerimaan Ariff.
“Awak tetap suami saya selagi awak tak menceraikan
saya, Ariff. Selama itulah saya perlu mengingatkan awak supaya
awak menjadi orang yang lebih baik. Tanggungjawab kita adalah
saling ingat-mengingatkan dan saling menegur apa yang tidak
kena. Saya tak kata awak teruk. Saya beritahu awak supaya awak
tahu dan jangan ulanginya lagi selepas ini. Itu sahaja!” Ujarku
cuba untuk memperbetulkan tanggapan lelaki itu. Aku tidak
berniat sikit pun untuk menghinanya.
“Awak tak jawab soalan saya. Adakah saya memang tak
pernah berada di dalam hati awak selama ini?” Soal Ariff masih
tidak berpuas hati dengan jawapanku tadi. Aku terus beristighfar
di dalam hati. Apa yang dia nak daripadaku sebenarnya?
“Beginilah, Ariff... awak suami saya. Selagi awak
memerlukan saya, selagi itulah saya akan sentiasa dengan awak.
Saya takkan ke mana-mana!”
Aku akhirnya menjawab juga setelah puas berdiam
diri. Agak melencong jawapan itu. Tetapi dalam keadaan begini,
aku tidak mampu berterus terang apa sebenarnya yang sedang
bermain di hatiku ini. Ariff bukanlah seorang yang memahami.
Aku tidak mahu jawapan jujurku nanti membuatkan aku
bertengkar di sini. Aku paling tidak mahu kedua orang tuaku
melihat kerapuhan yang masih merwarnai hubungan kami.
“Jawapan itu sama sekali tak cukup bagi saya! Saya
mahu segala-galanya pada awak jadi milik saya termasuklah
hati awak! Kesetiaan awak memang kepada saya tapi hati awak
bukan untuk saya. Saya tahu!” Ariff mendengus tidak puas hati.
“Habis tu awak nak saya buat macam mana? Beritahu
saya bagaimana caranya untuk saya buat hati saya cintakan
awak? Soal jatuh cinta bukan kuasa saya, Ariff. Awak bercakap
seolah-olah kuasa saya ni tinggi sampai ke langit. Macam mana
saya nak rasa semua perasaan tu kalau awak asyik mendesak
saya? Fikirlah sikit! Awak nak saya jatuh hati pada awak, tapi
awak sibuk layan perempuan lain belakang saya. Saya ni
bukannya robot boleh disetting sesuka hati!” Bentakku sudah
mula geram.
Ariff terkedu seketika dengan jawapanku itu. Lama
pandangannya singgah pada wajahku. Namun akhirnya
keluhannya terhela tanda dia sudah tidak tahu apa lagi yang
mahu diucapkan. Aku pula memilih untuk membisu apabila
keadaan sudah mula terasa tegang.

1 comment:

  1. Baru baca satu bab ini.. Tapi sudah jatuh cinta sama ceritanya

    ReplyDelete