Taufik bernyanyi-nyanyi kecil mengikut alunan lagu yang dimainkan di
corong radio di keretanya. Dia memandu dengan kelajuan sederhana. Ayuni yang duduk di sebelah keresahan. Ayuni resah kalau-kalau dia akan terlambat
masuk semula ke pejabat. Sudahlah hari
ini adalah hari pertama dia bekerja, belum apa-apa lagi dia sudah menunjukkan
sikap yang buruk sebagai seorang pekerja.
“Encik Taufik, kita nak lunch di mana ni? Kenapa nak pergi jauh-jauh? Kitakan boleh lunch kat kafe di lobi aje”
Ayuni menyuarakan keresahan hatinya.
Taufik dengan selamba meneruskan pemanduannya sambil
sesekali tersenyum memandang Ayuni yang keresahan. Ayuni cukup pelik dengan sikap Taufik. Taufik berlagak seolah-olah dialah CEO
syarikat yang sewenang-wenangnya memberikan arahan itu dan ini sedangkan dia
hanya assistant kepada CEO.
Ayuni tambah pelik bila akauntan syarikat, Shah Iskandar
pun boleh diarahnya dan Shah Iskandar pun macam lembu dicucuk hidung hanya
menurut arahan Taufik. Kalau tidak
masakan dia boleh berada di dalam kereta dengan manusia pelik ini.
Sekurang-kurangnya kalau ketuanya itu memberikan syarat kepadanya untuk
masuk semula pejabat sebelum pukul dua, sudah tentu dia tidak perlu mengikut
Taufik sejauh itu hanya untuk lunch.
“Ayuni…relax ok. Awak ni kalut sangatlah. Everythings
are under control. Awak jangan
risau. Cuma hari ni saja saya buat macam
ni. Mulai esok, memang awak dah kena
mulakan tugas awak sebagai pembantu akauntan. Semua yang saya lakukan hari ini, sebenarnya
di dalam pengetahuan Datuk Bakri, Encik Hisyam dan juga ketua awak, Encik Shah
Iskandar” Terang Taufik untuk meredakan Ayuni yang tidak habis-habis
kerisauan.
Ayuni memandang Taufik tanpa berkelip. Betulkah apa yang didengarnya? Semua orang penting itu tahu? Apa tujuan Taufik membawanya keluar sehingga
perlu memberitahu mereka semua? Adakah
ini sebahagian polisi syarikat?
Ah! Ayuni tambah bingung. Persoalan-persoalan itu hanya sekadar bermain-main di fikirannya. Ayuni malas hendak bertanya jika hanya
menambah serabut kepalanya. Tidak mengapalah
kerana menurut Taufik hari ini saja dia berbuat begitu. Ikutkan sajalah kerana Ayuni percaya selepas
ini Taufik tidak akan mengganggunya bekerja lagi.
Taufik memilih restoren
makanan barat yang terletak di Jalan Sultan Ismail kerana menurutnya pada
waktu-waktu begini orang tidak ramai dan lebih privacy. Sememangnya
restoren itu tidak berapa jauh dari syarikatnya tetapi ia terasa jauh
disebabkan jalan di ibu kota
itu yang sentiasa sibuk terutama ketika waktu pejabat. Ini kali kedua mereka makan bersama cuma kali
ini tanpa Hanis.
Di sepanjang mereka makan tengahari bersama, Ayuni rasa
cukup tidak selesa. Apa yang dilakukan
sekarang ini semua kerana terpaksa.
Terpaksa memenuhi ajakan Taufik untuk makan bersama. Kalau tidak disebabkan dia terhutang budi
kepada Taufik, pasti dia akan menolak pelawaan Taufik. Seperti biasa, Taufik akan terus-menerus
merenungnya sehinggakan Ayuni merasakan apa saja yang dilakukannya jadi serba
tidak kena. Ayuni sudah tidak tahan lagi
diperlakukan begitu. Dia boleh jadi gila
jika terus menerus memendam perasaannya.
“Encik Taufik..saya nak tanya satu soalan…” Ayuni
memulakan bicara.
Seperti biasa Taufik hanya akan tersenyum dan
menganggukkan kepalanya tanda dia sudah bersedia untuk menjawab.
“Kenapa Encik Taufik buat semua ni? Kenapa Encik layan saya begini? Apa yang Encik Taufik mahu sebenarnya dari
saya? Terus terang saya katakan, saya
tak selesa dengan apa yang Encik buat.
Saya tak mahu dipandang serong oleh staf-staf yang lain. Saya ni hanya pekerja biasa. Kalau Encik
Taufik terus melayan begini, saya bimbang mereka akan mengatakan saya dapat
kerja di Menara Holding bukan kerana saya layak, tetapi kerana saya menggunakan
Encik Taufik. Tolonglah Encik
Taufik. Saya orang susah. Saya sangat-sangat memerlukan kerja ni untuk
bantu keluarga saya di kampung. Saya
bimbang saya akan kehilangan pekerjaan jika saya terus leka” Terang Ayuni
panjang lebar meluahkan apa yang terpendam di hatinya selama ini.
Riak wajah Taufik
sedikit berubah. Jika tadi dia hanya
akan tersenyum dengan setiap perlakuan Ayuni, tetapi setelah mendengar
kata-kata yang keluar dari mulut Ayuni, dia tiba-tiba dihujani rasa bersalah.
“Ayuni…saya minta maaf jika perlakuan saya
terhadap awak selama ini telah membebankan dan menyusahkan awak. Saya tiada niat untuk menyusahkan awak, lagi
pun tiada sebab untuk saya berbuat begitu” Taufik berhenti sebentar dari
meneruskan kata-kata.
Dia sedang berfikir haruskah dia berterus-terang sahaja
dengan Ayuni. Akhirnya dia membuat
keputusan untuk memberitahu Ayuni.
Alang-alang Ayuni sudah bertanya, dia rasakan inilah masa yang sesuai
untuk dia meluahkan hasrat hatinya yang menggunung terhadap Ayuni.
No comments:
Post a Comment