Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 17



Ayuni termenung di atas sejadah setelah selesai menunaikan solat maghrib.  Dia masih terus berfikir adakah dia harus memenuhi permintaan Taufik untuk keluar malam ini.  Dari cara Taufik berkata semalam, seolah-olah itu adalah satu arahan dan bukan pelawaan. 
Mengapakah Taufik bersikap begitu?  Ayuni tambah bingung.  Sikap dan perangai lelaki itu memang sukar untuk dijangkakan.  Moodnya macam air laut.  Adakala pasang dan adakala surut. 
Jam di meja soleknya sudah menunjukkan tepat jam 7.30 malam.  Lagi setengah jam Taufik akan sampai, namun dia belum bersiap lagi kerana perasaannya masih berbelah bagi sama ada untuk keluar atau tidak.  Ayuni sengaja tidak memberitahu Hanis kerana malas untuk melihat Hanis yang terlebih teruja.  Dia terus berfikir dan akhirnya dia membuat keputusan muktamad.  Dia akan penuhi permintaan Taufik kali ini.  Mungkin dari pertemuan ini, kekusutan yang sekian lama tersimpul ini akan terlerai jua.  Itu harapan Ayuni kerana dia benar-benar lemas berada di dalam situasi sedemikian.
Ayuni bersiap ala kadar.  Dia hanya mengenakan blouse berwarna ungu berbunga kecil dan berskirt labuh berwarna putih lengkap berselendang sedondon dengan warna blousenya.  Dia mengenakan solekan nipis.  Walaupun dia memang tiada apa-apa perasaan terhadap Taufik ketika ini, namun penampilannya tetap dijaga.  Bukan untuk memikat sesiapa tetapi dia sudah biasa begitu.  Kata orang, imej dan penampilan akan mencerminkan peribadi seseorang.  Dia tidak akan mengabaikan aspek yang penting itu kerana baginya tampil dengan imej kemas dan bergaya bukan untuk ditayangkan kepada sesiapa pun, sebaliknya adalah untuk kepuasan dan keyakinan diri sendiri.
Tepat jam lapan, dia menerima khidmat pesanan ringkas dari telefon bimbitnya.  Bagaikan boleh mengagak siapa si penghantar mesej itu, dia segera membaca.  Benar seperti apa yang diduganya, mesej dari Taufik.

Saya dah sampai depan rumah awak.  Keluarlah cepat….
Sekali lagi mesej dari Taufik kelihatan seperti satu arahan.  Ayuni berasa sedikit kurang senang dengan cara Taufik sewenang-wenangnya mengarahkan itu dan ini kepadanya. 
“Macam bagus aje mamat ni.  Macamlah aku nak keluar sangat dengan dia. Suka-suka hati nak arah orang” Bisik Ayuni jengkel. 
Ayuni melangkah perlahan turun ke ruang tamu.  Hanis yang ketika itu sedang menonton tv agak pelik.  Tidak pernah pula dilihatnya Ayuni keluar malam sebelum ini.  Kalau keluar pun mesti keluar bersamanya.
 “Amboi, cantiknya!.  Kau nak ke mana ni Ayu?  Tak pernah-pernah kau keluar malam, tiba-tiba malam ni nak keluar pulak?  Kau nak keluar dengan siapa?”.  Polis pencen dah mula tugas dah, bisik Ayuni. 
Ayuni hanya tersenyum.  Dia malas hendak memberitahu Ayuni tentang rancangan Taufik itu.  Melihat Ayuni tidak menjawab, sebaliknya hanya tersenyum, membuatkan Hanis bertambah ingin tahu.
“Hei, Ayu…aku tanya ni.  Kau nak pergi mana?” Tekan Hanis apabila dilihatnya Ayuni bersahaja.  Melihat Ayuni terus bersikap selamba, dia terus berlari ke arah tingkap dan mengintai keluar untuk melihat siapa yang datang menjemput Ayuni.
Hanis hampir terjerit apabila dia ternampak kereta Taufik berhenti betul-betul di depan pintu pagar rumahnya. Tahulah dia dengan siapa Ayuni akan keluar.  Dia menutup mulutnya yang terlopong dengan tangan.  Bagaikan tidak percaya yang Ayuni akan keluar ‘dating’ dengan Taufik.  Entah kenapa dia yang terlebih gembira seolah-olah dia pula yang hendak berdating.  Sebab itu Ayuni malas nak mengatakan apa-apa pun tentang rancangan Taufik malam ini, kerana sudah dijangkanya Hanis yang terlebih excited.
 “Amboi, sejak bila kau pandai berahsia dengan aku ni Ayu?  Sampai hati kau tak beritahu aku ye?  Yelah, siapalah aku ni kan?  Aku aje yang menyibuk nak tahu hal kau dengan Taufik, tapi kau sikit pun tak berminat nak beritahu aku kan?” Hanis merajuk. 
Sorrylah Hanis…ni semua adhock planning.  Aku pun tak tahu sebab tu aku tak beritahu kat kau” Ayuni memberi alasan.
 “Ok…ok…aku tak nak dengar explanation kau sekarang.  Kau keluar dulu.  Encik Taufik dah lama tunggu kau tu.  Nanti balik kau mesti cerita semuanya kat aku.  Ingat Ayu, tiada rahsia antara kita….dan kau berhutang dengan aku..” balas Hanis. 
“Hutang?  Hutang apa pulak ni?” Soal Ayuni pelik.
“Hutang explanation!” Jawab Hanis pendek.
Hanis menarik tangan Ayuni apabila dilihatnya Ayuni seolah-olah teragak-agak untk keluar.  Hanis bimbang jika Taufik bosan menunggu dan terus pulang sebab baginya inilah saat yang ditunggu-tunggunya sekian lama sejak kali pertama dia mengenalkan Taufik kepada Ayuni.
Melihat Ayuni dan Hanis keluar, Taufik segera keluar dari kereta BMW 5 seriesnya.  Senyum Taufik semakin lebar apabila melihat penampilan Ayuni.  Makin tersentuh naluri lelakinya bila melihat penampilan Ayuni malam ini.  Segera dia menarik pintu kiri keretanya untuk Ayuni.  Hanis pula hanya tersengih-sengih di situ.  Melihat Taufik membuka pintu untuknya, Ayuni teragak-agak untuk masuk.  Setelah Ayuni masuk, Taufik segera menutup pintunya.  Dia tidak mahu membuang masa walaupun sesaat.  Masa ini harus digunakan sebaik-baiknya kerana bukan mudah untuk mengajak Ayuni keluar.  Entah apa mimpi Ayuni hingga dia bersetuju untuk keluar malam ini.  Taufik pun seolah-olah bermimpi.
 “Ehemmm….Encik Taufik, tolong jaga kawan saya tu baik-baik ye.  Ingat, jangan buat tak senonoh dengan dia.  Encik Taufik belum kenal Ayuni siapa.  Jangan balik lewat sangat.  Habis dating terus hantar dia balik rumah tau!” Hanis mengingatkan Taufik dan seolah-olah memberi amaran kepada Taufik walau dalam nada berseloroh.              Hishh! Macam mak neneklah si Hanis ni, desis Taufik.
 Yes madam….don’t worry ok!!” Balas Taufik pendek.
            Taufik segera memecutkan kereta menuju ke destinasi yang sudah dirancangnya.  Dia ingin memberi kejutan kepada Ayuni.  Berminggu-minggu dia memikirkan cara untuk menawan hati Hanis, akhirnya dia mendapat satu idea.  Walaupun ideanya itu agak berisiko, tetapi dia sanggup menghadapinya, asalkan Ayuni bersedia untuk menerimanya.
 Di dalam kereta, Ayuni hanya mendiamkan diri dan lebih banyak membuang pandang ke luar tingkap.  Dia tidak berani walaupun untuk menjeling Taufik di sebelahnya.  Taufik pun hanya memberikan tumpuan kepada pemanduannya.  Sesekali dia melihat Ayuni di sebelahnya.  Rasanya ingin dipegang tangan Ayuni sebagai menzahirkan rasa sayangnya yang menggunung terhadap gadis itu, tetapi Taufik hanya bersabar.  Dia sedar, dia tidak boleh silap bertindak kerana dia tahu pendirian gadis itu.  Taufik tidak mahu sikap gelojohnya memusnahkan semua perancangannya malam ini.
Taufik sendiri tidak percaya bahawa gadis yang sedang duduk di sebelahnya itu adalah Ayuni kerana memang bukan mudah untuk membawa gadis itu keluar.  Kali terakhir Ayuni menaiki kereta Taufik ialah sewaktu keluar makan tengahari di hari pertama Ayuni berkhidmat di Menara Holding kerana selepas itu, gadis itu seolah-olah sentiasa mengelak dari bertemu dengannya.
Walau pelbagai cara yang dilakukan oleh Taufik untuk mengajak Ayuni keluar, ternyata gadis itu tetap menolak dan seperti biasa seribu satu alasan diberikan untuk mengelakkan diri darinya.
Pasti Ayuni mengharapkan Taufik akan berputus asa dengan dirinya tetapi ternyata, apa yang dilakukan Ayuni semakin menguatkan lagi usahanya untuk memiliki Ayuni kerana dia cukup yakin gadis itu telah ditakdirkan untuk mengisi kekosongan hatinya.  Hanya Ayuni….



No comments:

Post a Comment