Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 18



Ayuni tidak tahu arah tuju Taufik malam itu.  Hendak bertanya terasa berat.  Namun, sesekali perasaan bimbang tetap menjengah.  Bimbang jika Taufik akan mengapa-apakan dia.  Kalau benar Taufik ada berniat jahat, dengan siapa dia hendak meminta pertolongan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.  Tiba-tiba terasa menyesal pula menerima pelawaan Taufik.  Entah kenapa hatinya terus-terusan digaru kebimbangan selagi destinasi yang hendak dituju tidak nampak bayangnya lagi.  Mujurlah esok hari minggu.  Kalau hari bekerja, dia bimbang terpaksa mengambil cuti kerana perjalanan sejauh ini tentu pulangnya pun lewat.
Apa yang Ayuni nampak, Taufik memandu masuk ke lebuhraya sprint dari rumah sewanya di Taman Tun Dr Ismail.  Sedang Ayuni berteka-teki sendiri, tiba-tiba kereta Taufik membelok masuk ke kawasan kampung yang tertulis Kampung Sungai Penchala.  Ke mana Taufik nak bawa aku ni?  Kampung siapa pula?  Kampung Taufikkah? 
Jika betul kampung Taufik, kenapa dia hendak membawa aku datang ke kampungnya malam-malam buta begini?  Ayuni makin tidak keruan.  Lebih kurang sepuluh minit menyusuri jalan kampung, Taufik membelok ke suatu kawasan  yang cukup cantik.  Terpegun Ayuni melihat keindahan kawasan tersebut.  Sebuah bangunan yang senibinanya berkonsepkan bali.  Kelihatannya seperti tempat makan kerana dilihatnya ramai juga orang yang keluar masuk dari bangunan itu.  Di sebelah pintu masuknya tertulis perkataan ‘Bora Asmara’. 
“Ok Ayuni…kita dah sampai.  Jom keluar” Taufik bersuara sebaik sahaja dia mematikan enjin keretanya. 
Keretanya diparkir berhampiran dengan pintu masuk bangunan itu.  Ayuni masih tercengang-cengang.  Di dalam hatinya masih tertanya-tanya  tempat apakah itu.  Melihat Ayuni yang terus-terusan mengamati bangunan itu, Taufik bersuara lagi. 
“Marilah kita masuk.  Kat dalam tu lagi cantik.  Mesti awak suka” Taufik bagaikan tahu Ayuni mengkagumi keindahan kawasan tersebut.
Sebaik sahaja Ayuni melangkah masuk ke dalam bangunan itu, dia tambah terpegun dengan keadaan di bahagian dalam bangunan itu.  Jika di luar tadi dia sudah kagum, di sebelah dalam bertambah lagi kekagumannya.  Benarlah tekaannya bahawa bangunan itu adalah sebuah restoren tetapi bukan sebuah restoren biasa.  Bora Asmara adalah sebuah restoren yang eksklusif lagi romantik.  Ini kerana, dari pengamatan Ayuni pengunjung-pengunjung kebanyakannya terdiri daripada pasangan-pasangan yang sedang bercinta atau pun pasangan pengantin baru.  Hanya di beberapa sudut kelihatan sebuah keluarga yang sedang menjamu selera.  Ini mungkin kerana suasana restoren itu yang sungguh romantik dengan dikelilingi pohon-pohon nan rimbun.  Ditambah lagi dengan tiupan angin malam nan sepoi-sepoi bahasa.  Memang cukup mengasyikkan dan Ayuni sendiri seperti telah terbuai dengan keindahan malam yang mempesonakan itu.  Hilang sudah rasa gundah di hatinya.
Taufik sudah menempah meja di suatu sudut yang agak jauh dari pengunjung-pengunjung lain.  Meja yang ditempahnya terletak dalam sebuah pondok seperti gazebo yang menghadap sebuah pancuran air.  Susun atur perabotnya yang berkonsepkan bali memberikan panorama yang cukup indah.  Bunyi pancuran air itu cukup mendamaikan.             Taufik melayannya seperti puteri raja.  Kerusinya ditarik oleh Taufik terlebih dahulu sebelum Ayuni duduk.  Sebaik sahaja Ayuni duduk, Taufik pula mengambil tempat betul-betul berhadapan dengan Ayuni.  Kini jarak antara mereka hanya dipisahkan oleh sebuah meja.  Ayuni cukup janggal berada dalam keadaan begitu, apatah lagi dalam keadaan hanya mereka berdua.  Mata Taufik tidak lepas-lepas   meratah wajah Ayuni.  Dia mahu melihat sepuas-puasnya wajah gadis idamannya yang membuatnya hampir separuh gila kerana selama ini dia tidak berpeluang untuk berbuat begitu dalam keadaan seperti sekarang ini.   Ayuni keresahan.  Mujurlah datang seorang pelayan menghantar pesanan Taufik yang telah ditempahnya lebih awal.  Ayuni rasa dia terselamat seketika kerana selepas ini dia tidak tahu apa yang akan berlaku. 
Ayuni terperanjat melihat makanan yang dipesan Taufik.  Cukup banyak.  Mampukah mereka menghabiskannya?  Sebenarnya, Ayuni memang jarang mengambil makanan berat di waktu malam.  Bukan sahaja kerana diet, tetapi juga untuk menjaga kesihatannya.  Dia sudah biasa begitu.  Apatah lagi terpaksa makan di hadapan Taufik.
 “Ayuni…jemputlah makan.  Jangan malu-malu ok….” Taufik memulakan bicara sebaik sahaja pelayan meninggalkan mereka. 
“Encik Taufik..sebenarnya apa tujuan Encik Taufik bawa saya keluar malam ni?” Ayuni sengaja mengingatkan Taufik akan tujuan asal mereka keluar.  Manalah tahu kalau-kalau Taufik terlupa.
“Makanlah dulu.  Tak baik cakap banyak depan rezeki….” Jawab Taufik lembut.  Wajahnya kembali ceria seperti dahulu.  Tidak seperti waktu pertemuan di lobi syarikat tempoh hari.  .
Apabila Taufik melihat Ayuni seolah-olah sudah bersedia untuk mendengar kata-katanya, Taufik memulakan bicara. 
“Ayuni, sebenarnya tujuan saya membawa awak keluar malam ini untuk mendengar jawapan awak”. 
“Jawapan apa?” Balas Ayuni pendek.  Dia memang sudah lupa apakah soalan kepada jawapan yang diminta Taufik. 
“Ayuni, janganlah awak buat saya macam ni.  Susah sangat ke awak nak buka pintu hati awak tu untuk saya?  Jahat sangat ke saya ni hingga awak langsung tak mempertimbangkan permintaan saya ni?” Taufik mula bengang apabila melihat Ayuni seolah-olah langsung tidak mempedulikan perasaannya. 
Seperti biasa Ayuni hanya membisu.  Dia sebenarnya sudah kehilangan kata-kata.  Dia sendiri tidak tahu kenapa hatinya begitu keras.  Mungkin luka lamanya masih meninggalkan parut.
 “Ayuni….please say something…saya nak awak berterus-terang dengan saya malam ini juga tentang perasaan awak pada saya.  Takkanlah tiada sekelumit pun rasa suka pada saya atau awak masih tak boleh lupakan bekas tunang awak yang tak guna tu?  Ayuni…Amir adalah kisah silam awak!  Stop rejecting new relationships just because old ones didn’t work out….”.            
Menyirap darah Ayuni apabila nama Amir disebut.  Dia sedaya upaya berusaha untuk melupakan jantan keparat itu, tetapi kenapa Taufik membuatkan luka lamanya berdarah kembali?  Dia pelik bagaimana Taufik boleh tahu kisah silamnya.  Tentu Hanis punya kerja!  Hatinya tiba-tiba geram dengan rakan baiknya itu.
 ”Encik Taufik…itu hal peribadi saya dan Encik Taufik tiada hak untuk mencampuri urusan peribadi saya! Faham??” Jerkah Ayuni seraya bangun untuk cuba meninggalkan kawasan itu. 
Tempat yang pada awalnya dirasakan cukup indah bertukar jadi seperti suatu tempat yang cukup mengerikan.  Taufik segera menarik tangan Ayuni untuk menghalangnya dari berlalu.  Mujurlah tempat mereka agak jauh dari pengunjung lain.  Kalau tidak pasti semua pengunjung akan menonton cerekarama mereka di situ. 
“Ayuni..tunggu!!!.  Ok…Ok saya minta maaf.  Saya tak berniat melukakan hati awak.  Awak duduk dulu.  Tunggu saya sebentar”. 
Taufik kemudian mencapai telefon bimbitnya dan seolah-olah sedang untuk menghubungi seseorang.  Ayuni masih terpaku di situ kerana dia pelik dengan perbuatan secara tiba-tiba Taufik itu.  Taufik bergerak menjauhinya apabila panggilan yang dibuatnya dijawab.  Siapakah yang cuba dihubunginya?  Ayuni tambah pelik dengan apa yang sedang disaksikannya sekarang ini.
















No comments:

Post a Comment