Tuesday, 1 March 2016

MY SOULMATE - BAB 19



Ayuni tidak dapat mengagak dengan siapa dan apa yang dibualkan oleh Taufik di telefon bimbitnya.  Ayuni hanya memerhati dari jauh.  Jika diikutkan rasa marahnya di atas kata-kata Taufik sebentar tadi, mahu sahaja dia meninggalkan lelaki itu di situ tetapi bila mengingatkan tempat ini sungguh asing untuknya dan dia sendiri tidak tahu ke mana harus dituju, dibatalkan kehendak hatinya itu. 
Dia sendiri amat takut untuk membelah kepekatan malam seorang diri.  Mahu tidak mahu terpaksalah dia seperti orang bodoh menunggu Taufik berbicara di telefon bimbitnya.  Taufik dilihatnya sungguh serius berbicara.  Adakalanya dia seperti resah meluahkan sesuatu dan ada masanya kelihatan riak wajahnya lega.
Tiba-tiba Taufik datang menghampirinya dengan senyuman di bibir sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Ayuni.  Ayuni terpinga-pinga.  Untuk apa Taufik menghulurkan telefon bimbitnya kepadanya?
 “Ayuni…ibu awak nak bercakap dengan awak.  She’s on the line right now”.  Kata-kata Taufik itu amat memeranjatkan Ayuni. 
Ibu?  Macam mana pulak ibu boleh kenal dengan Taufik dan berbicara dengannya?  Apa yang dibualkan Taufik dengan ibunya?  Seribu satu persolan timbul di benaknya di kala itu.  Menggeletar tangannya  menyambut telefon bimbit Taufik.  Tangannya serta merta sejuk.  Dadanya berdebar-debar memikirkan kaitan ibu dengan Taufik.  Tergagap-gagap dia memulakan berbicara sambil dalam hati berdoa bahawa bukan ibunya di talian kini.  Apabila Ayuni masih membisu, tiba-tiba suara seorang wanita yang amat dikenali dan dirinduinya menyapa telinganya. 
“Assalamualaikum….Kakak” Mendengar suara wanita itu, air matanya terus tumpah membasahi pipi. 
Ya Allah!   Memang betul dia adalah ibu.
 “Wa…wa’alaikumsalam ibu.  Ibu apa khabar?” Bergetar suara Ayuni menahan sebak.  Dia seolah-olah tidak percaya bahawa di hujung talian itu adalah ibunya. 
“Alhamdulillah…ibu sihat…kakak  macam mana kat sana?  Ok ke?” Tanya ibunya lagi. 
“Kakak baik-baik saja kat sini bu….ibu..kakak rindukan ibu” Makin bertambah laju air matanya mengalir ke pipi.
 “Ibu pun..” Balas ibunya. 
“Ayah dan adik-adik apa khabar bu?  Kakak rindu sangat dengan semua tapi kakak sibuk di sini bu…ibu pun tahu kakak baru mula kerja kan?  Kakak belum berpeluang nak ambil cuti.  Nanti, bila kakak dapat cuti, kakak balik ye bu…” Ayuni terus sebak. 
Kalaulah ibu di depan matanya kini mahu sahaja dipeluk wanita itu sepuas-puasnya untuk melepaskan rasa rindunya yang menggunung.
 “Takpe..ibu faham..kakak janganlah risaukan kami di sini…kami semua baik-baik saja” Lega hatinya mendengar kata-kata ibunya itu.
Taufik bergerak meninggalkan Ayuni.  Mungkin dia tidak mahu mengganggu dua beranak itu berbual.  Biarlah ibu Ayuni yang menjelaskan duduk perkara sebenar kepada gadis pujaannya itu.  Taufik sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh mengambil tindakan sedemikian. 
Setelah buntu memikirkan cara untuk memenangi hati Ayuni, tiba-tiba dia terfikirkan keluarga Ayuni.  Walaupun dia langsung tidak mengenali ahli keluarga Ayuni, tetapi mungkin hanya keluarganya yang dapat membantu dia untuk menunaikan hasrat hatinya yang tulus ikhlas terhadap Ayuni. 
Oleh kerana itu, tanpa perasaan gentar dia sanggup pergi ke kampung Ayuni di Johor Bahru.  Dengan bantuan Hanis, Taufik akhirnya menjejakkan kaki di kampung halaman Ayuni di Kampung Melayu Majidee dengan ditemani Hanis.  Pemergian mereka tanpa pengetahuan Ayuni.  Memang mereka sengaja  merahsiakan dari Ayuni kerana jika Ayuni tahu akan rancangannya, pasti Ayuni akan membantah dengan sekeras-kerasnya.  Rasanya kurang manis pula jika dia seorang diri berjumpa dengan orang tua Ayuni sedangkan mereka langsung tidak mengenalinya.  Sekurang-kurangnya dengan kehadiran Hanis, keluarga Ayuni akan percaya kepada dirinya kerana keluarga Hanis dan keluarga Ayuni berjiran.  Malahan, mereka sudah seperti bersaudara  kerana Ayuni dan Hanis memang berkawan sejak kecil lagi.
Pada mulanya orang tua Ayuni agak terperanjat juga dengan kehadiran Taufik dan Hanis.  Mereka bertambah pelik apabila Ayuni tiada bersama-sama tetapi setelah Taufik menerangkan tentang hajatnya datang ke situ dan menyuarakan hasrat hatinya terhadap Ayuni dengan bersungguh-sungguh, akhirnya orang tua Ayuni, Pakcik Ismail dan Puan Zaharah faham akan perkara sebenar.  Tambahan pula Hanis juga membantunya meyakinkan kedua-dua orang tua Ayuni. 
“Pakcik…makcik…saya memang benar-benar ikhlas terhadap Ayuni semenjak pertama kali saya berjumpanya.  Tidak pernah langsung saya terfikir untuk memainkannya.  Pakcik dan makcik boleh tanya sendiri dengan Hanis….tapi saya sudah buntu…saya tak tahu macam mana lagi untuk mendekati Ayuni sebab dia langsung tidak memberi peluang kepada saya” Jelas Taufik panjang lebar sewaktu memulakan bicara bersama-sama orang tua Ayuni.
 “Errr….Encik Taufik…”
 “Panggil saja saya Taufik pakcik…makcik” Taufik memotong kata-kata ayah Ayuni apabila dirasakan orang tua Ayuni mungkin tidak selesa dengannya setelah mengetahui dia adalah ‘bos’ Ayuni.  Kemudian pakcik Ismail menyambung semula.
 “Errr…Taufik.  Sebenarnya Ayuni tu pernah mengalami kekecewaan yang amat sangat.  Dia pernah bertunang….tapi apakan daya jodohnya tiada dengan bekas tunangnya.  Mungkin dia serik untuk bercinta.  Sebagai orang tua Ayuni, kami amat faham penderitaan yang dilalui oleh anak kami itu tetapi Ayuni memang anak yang cukup cekal.  Dia cuba bangkit kerana menyedari dia adalah anak sulung dalam keluarga.  Dia perlu tunjukkan contoh yang baik kepada adik-adiknya.  Mungkin semua yang berlaku kepadanya kebelakangan ini yang menjadikan dia bersikap sedemikian” Suara Pakcik Ismail kedengaran sebak.  Isterinya, Puan Zaharah pula sesekali mengesat air matanya yang mula bertakung di tubir mata.
Perasaan lelakinya juga tersentuh mendengar penjelasan orang tua Ayuni itu.  Nampaknya bukan sahaja Ayuni yang mengalami kesakitan, keluarganya juga turut merasakan.  Taufik bertambah yakin dengan hasrat hatinya.  Kini, dia bukan sahaja jatuh hati dengan Ayuni, tetapi keluarganya juga.  Apatah lagi, adik-adik Ayuni semuanya mesra dengan Taufik walaupun mereka baru pertama kali mengenali antara satu sama lain.  Dia merasakan mereka semua dapat menerima kehadiran Taufik yang tidak disangka-sangka itu walaupun pada awalnya mereka agak segan untuk mendekati Taufik.  Indah sungguh perasaan yang dilaluinya kini.  Semua perasaan ini tidak dirasanya semasa bercinta dengan bekas isterinya., Farah.  Taufik semakin nekad untuk memiliki hati Ayuni kerana dia merasakan sekarang ini dia telah mendapat sokongan dari keluarga Ayuni walaupun Ayuni sendiri masih enggan menerimanya.  Mungkin inilah cara terbaik untuk menawan hati Ayuni dengan cara memikat hati keluarga Ayuni terlebih dahulu.
Taufik juga tidak merahsiakan apa-apa pun tentang dirinya.  Dia mahu keluarga Ayuni tahu bahawa dia sememangnya serius untuk memiliki Ayuni.  Dia tidak mahu sesuatu yang tidak diingini timbul di belakang hari apabila dia cuba merahsiakan perihal dirinya termasuk status dirinya kini.  Semuanya diceritakan kepada orang tua Ayuni.  Seharian Taufik berada di rumah keluarga Ayuni.  Keluarga Ayuni telah melayannya dengan sangat baik, terutama semasa makan tengahari.  Beria-ia mereka melayan Taufik sehingga Taufik sendiri merasa segan dilayan dengan begitu baik.  Memang terserlah keikhlasan mereka bukan kerana dia adalah ‘bos’ Ayuni.  Memang begitu sikap mereka walaupun bukan dia tetamunya.  Dia menggunakan masa itu sebaik-baiknya untuk memenangi hati keluarga Ayuni terutama orang tuanya walaupun tanpa pengetahuan Ayuni.  Taufik bersungguh-sungguh meminta semua ahli keluarga Ayuni merahsiakan akan kedatangannya ke sana.  Dia tidak mahu Ayuni salah sangka dengan tindakannya itu.
Sampai waktunya untuk Taufik pulang semula ke Kuala Lumpur.  Dia merasakan kedatangannya amat berbaloi.  Hilang segala rasa penat memandu.  Sebelum pulang Taufik sekali lagi meminta keluarga Ayuni untuk meyakinkan Ayuni tentang keikhlasan hatinya.  Dia meminta Pakcik Ismail dan Puan Zaharah untuk membantunya menjelaskan kepada Ayuni apabila dia memerlukan.  Dia juga meminta orang tua Ayuni merahsiakan kepada Ayuni terlebih dahulu sehingga dia sendiri menghubungi mereka.  Dia perlu merancang dengan teliti supaya hasrat hatinya tercapai. 
Untuk memikat gadis seperti Ayuni memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.  Semua adik beradik dan kedua-dua orang tua Ayuni berkumpul untuk menghantar kepulangannya di halaman rumah.  Mereka melambai-lambaikan tangan sehinggalah bayang kereta Taufik hilang dari pandangan mata mereka. 
Sepanjang perjalanan pulang, Taufik kelihatan ceria.  Beberapa kali Hanis menjeling ‘bos’nya di sebelah.  Dia juga tumpang gembira akan hasil dari pertemuan itu.  Hanis tahu ‘bos’nya sangat gembira.  Biarkanlah dia terus tersenyum kerana dia sendiri tidak pasti apakah reaksi Ayuni apabila tahu apa yang mereka lakukan ini.
           
           










No comments:

Post a Comment